6 Rabi'ul Awal  1434 H. [MOD] -
Sebagai
 seorang Perdana Menteri bagi sebuah negara berdaulat seperti negara 
kita ini, dia mesti menjaga kebersihan imej serta kredibiliti peribadi 
dengan setinggi dan sebaik mungkin. Jika imej dan kredibiliti seorang 
Perdana Menteri boleh dicemar oleh seorang penjual karpet atau penjual 
barangan rumah maka PM itu wajar mengambil tindakan undang-undang 
terhadap yang membuat tuduhan secara terbuka itu.
Deepak wajar diambil tindakan undang-undang oleh Najib kerana tuduhan
 itu amat kotor dan amat hina terhadap seorang Perdana Menteri negara 
kita ini. Satu-satunya jalan untuk Najib membersihkan nama beliau ialah 
dengan menyaman dan mengambil tindakan undang-undang dengan secepat 
mungkin. Jika Najib tidak mengambil tindakan itu maka ia sekali gus 
membenarkan isu yang dituduh terhadap beliau oleh penjual karpet itu.
Kita perlu ingat tuduhan Deepak terhadap Najib itu melibatkan isu 
kehilangan nyawa seorang wanita dan juga isu mengubah akuan bersumpah 
yang dilakukan oleh Balasubramaniam seperti yang dibocorkan oleh Deepak 
yang suatu ketika dahulu mempunyai hubungan abang-adik dengan isteri 
Perdana Menteri yang tersohor di dunia itu. Kematian seorang wanita 
Mongolia yang begitu trajik telah dilakukan oleh dua orang pegawai 
keselamatan Najib dan telah pun dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah 
Tinggi negara kita.
Kita perlu ingat penglibatan dua pegawai keselamatan negara yang 
hampir dengan Najib dan keluarga ini amat mudah dikaitkan oleh sesiapa 
dengan Najib dan isteri beliau dan tidak siapa tahu secara 
undang-undangnya tentang motif pembunuhan itu kerana isu itu tidak di 
sebut dalam perbicaraan kes ini. Jika tuduhan itu tidak dinafikan dengan
 mengambil tindakan undang-undang terhadap Deepak maka ia menghampirkan 
Najib kepada kebenaran tuduhan Deepak terhadap Perdana Menteri itu.
Penafian Najib semalam tidak mempunyai kredibiliti. Jika Najib 
menganggap tuduhan Deepak itu tidak mempunyai kredibiliti tindakan Najib
 untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Deepak itu adalah
 lebih tidak berkredibiliti lagi. Najib mesti bertanya kepada diri 
beliau sendiri, apakah isu akuan bersumpah Balasubramaniuam ini 
merupakan isu yang kecil dan tidak payah diambil tindakan terhadap 
penjual karpet ini?
Kalaulah Najib ini seorang penjual kobis dan bayam di pasar tani, 
mungkinlah beliau tidak perlu mengambil berat terhadap isu peribadi yang
 sangat buruk dan hina ini, tetapi beliau adalah seorang Perdana Menteri
 negara merdeka. Persepsi buruk terhadap Najib itu adalah persepsi buruk
 terhadap negara dan memalukan rakyat.
Ahli-ahli parti UMNO pimpinan Najib tidak boleh melarikan isu ini 
dengan membuat tuduhan yang isu ini adalah permainan politik kotor 
dalaman parti itu kerana ada pihak yang hendak menjatuhkan beliau dari 
pimpinan negara. Jika benar pun isu ini diperbesarkan oleh Deepak kerana
 permainan politik cah keting dalam UMNO itu, Najib jugalah yang salah 
kerana memberikan sebab untuk beberapa pihak dalam UMNO itu untuk 
melakukannya.
Isu permainan kumpulan Timbalan Perdana Menteri hendak mengambilalih 
kepimpinan itu merupakan isu yang biasa dalam UMNO. Hussein Onn dahulu 
bertindak mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan 
Presiden UMNO dan Perdana Menteri dahulu pun adalah kerana permainan 
Timbalan beliau semasa itu. Kepada orang-orang lama ini adalah isu yang 
diketahui umum.
Apabila Hussein Onn mengambil tindakan untuk bersara maka pengganti 
beliau itu juga sudah merasakan yang beliau akan menghadapi masalah 
dengan Timbalan beliau. Justeru sebelum Timbalan beliau itu memberikan 
masalah, beliau telah dengan bijak membuatkan Timbalannya Musa Hitam 
merajuk dan meletakkan jawatan.
Selepas itu Dr Mahathir ini telah mengganti Timbalan beliau dari 
seorang dengan seorang yang lain. Selepas Musa digantikan dengan Ghaffar
 Baba. Selepas Ghaffar Baba Timbalan beliau ialah Anwar Ibrahim yang 
digalakkan untuk mencabar Ghaffar, juga kerana kemahuan Dr Mahathir.
Selepas itu Anwar sendiri telah bercanggah dengan Dr Mahathir yang 
menyebabkan Anwar disingkirkan dengan menggunakan isu-isu skandal seks 
luar tabii dan banyak lagi yang di mainkan oleh Dr Mahathir. Hasilnya 
Abdullah Badawi menjadi Timbalan Perdana Menteri. Dalam pada beliau 
(Mahathir) sibuk mengganti ramai Timbalannya beliau (Mahathir) telah 
berjaya menjadi Perdana Menteri lebih dari dua puluh tahun.
Rakyat mula ada kecenderungan untuk menolak Dr Mahathir maka Mahathir
 memberikan jawatan itu kepada Abdullah Badawi yang beliau sangkakan 
akan tunduk dan berterima kasih kepada beliau dengan memenuhi segala 
kehendak beliau. Beliau kemudiannya sedar yang Abdullah yang beliau 
anggap sebagai seorang yang lemah dan lembut itu adalah seorang yang 
sangat degil dan keras kepala. Maka Mahathir mengambil tindakan untuk 
menaikkan Timbalan kepada Abdullah pula dengan menggunakan Muhyiddin 
untuk menolak Abdullah dan memberikan Timbalan Abdullah menjadi Perdana 
Menteri.
Muhyiddin mendapat upah dengan menjawat jawatan Timbalan kepada Najib
 yang bakal memberikan masalah kepada beliau (Najib). Isu yang 
melibatkan masalah yang dilakukan oleh Timbalan ini memang perkara biasa
 dan Najib wajar menerimanya sebagai satu hakikat yang tidak boleh di 
nafikan oleh sesiapa pun.
Oleh itu Najib tidak boleh menyalahkan Muhyiddin atau Dr Mahathir 
melakukan cah keting ini kerana bagi Dr Mahathir beliau memang 
berpengalaman melakukan cah keting sesama sendiri ini sejak dahulu lagi.
Najib patut fokus untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap 
Deepak untuk membersihkan nama beliau. Jika tidak diambil tindakan 
sebegitu maka akan berjayalah Mahathir untuk mempraktikkan kemahiran 
beliau dalam menaik dan menjatuhkan kepimpinan UMNO dan negara itu. 
Najib menggantikan Abdullah dahulu pun dengan cara yang sama seperti 
yang akan dilakukan ke atas beliau selepas pilihanraya nanti.
Hanya kali ini Dr Mahathir akan gagal untuk melakukannya kerana jika 
UMNO itu kalah dalam pilihanraya kali ini, beliau yang ingin menggunakan
 Muhyiddin untuk menyungkurkan Najib itu akan tidak berjaya. Sebab 
apa?...kerana UMNO akan kalah dan tidak menjadi parti yang berkuasa 
lagi.
Apabila sampai ke episod ini maka akan tamatlah drama kotor bersiri 
UMNO yang telah bermula sejak tiga dekad yang lalu. Selepas itu akan 
bermula drama bersiri yang akan dilakonkan oleh pelakon-pelakon baru 
dari Pakatan Rakyat dan diharap drama bersiri selepas ini merupakan 
drama yang lebih baik dan sedap ditonton oleh hampir 30 juta rakyat 
negara ini. - 
http://aspanaliasnet.blogspot.com/