

Irwan Muhammad Zain foto Nasir Sudin
Thu Jul 09, 09 4:00:38 pm MYT
KUALA LUMPUR, 9 Julai (Hrkh) - Sasterawan Negara, Dato' A. Samad Said menganggap kerajaan hanya menangguhkan pemansuhan dasar Pengajaran dan Pengajian Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) bukan memansuhkan terus dasar gila tersebut.
Beliau juga menegaskan tidak ada sebab bagi kerajaan menangguhkan pemansuhan dasar tersebut hingga ke tahun 2012 sedangkan ketika mahu melaksanakannya ia boleh dilakukan dalam tempoh enam bulan.
Pengumuman Menteri Pelajaran, tegas beliau, bersifat mengumpan rakyat untuk menghadapi pilihan raya kecil Dun Manek Urai dan juga pilihan raya umum ke-13 nanti.
"Apa yang diumumkan oleh Muhyiddin itu hanya menangguhkan pemansuhan PPSMI bukan memansuhkannya terus.
"Jika benar mansuhkan, sepatutnya tahun depan semua pelajar tahun satu, tingkatan satu dan tingkatan empat sudah mula belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu.
"Alasan mengatakan untuk mansuhkan perlu ambil masa tidak logik kerana ketika Perdana Menteri keempat dahulu mahu laksanakan hanya boleh ambil masa enam bulan, kenapa Perdana Menteri keenam perlu ambil masa tiga tahun untuk mansuhkan?" soal beliau.
Pak Samad juga menegaskan perjuangan untuk melestarikan bahasa Melayu akan tetap diteruskan biarpun beliau merasa lega dengan pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.
Tegas beliau lagi, demonstrasi jalanraya perlu diadakan sekali lagi tanda komitmen seluruh rakyat membantah PPSMI dan mendesak kerajaan segera memansuhkannya.
"Setiap perkara yang tidak dapat diselesaikan di dalam dewan rakyat perlu diadakan demonstrasi dan demonstrasi itu halal," tegas beliau dalam satu wawancara yang diadakan dengan Harakah yang akan disiarkan dalam keluaran akan datang.
Semalam, Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan akan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mulai 2012. - mns-HarakahDaily.Net-
Dicatat oleh DRS. KHALIL IDHAM LIM di 12:46 PM
Membudayakan 'Google' di kalangan generasi 'Y'
PENGGUNAAN teknologi yang salah akan mengundang kelahiran generasi masa hadapan yang hanya berminat dengan hiburan semata-mata dan langsung tidak menitik beratkan pembudayaan ilmu.
Sebelum luka menjadi nanah, sebelum nasi menjadi bubur adalah suatu tanggungjawab generasi X selaku generasi semasa untuk memberi input positif kepada generasi Y melalui pelbagai dorongan sihat agar mereka dapat membudayakan penggunaan teknologi untuk menggali ilmu pengetahuan.
Sesungguhnya, pembangunan dunia semakin pesat dan arus kemodenan memungkinkan teknologi baru dicipta hampir setiap ketika sehinggakan ada kalanya alam maya mula terasa sempit.
Membicarakan mengenai dunia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), sudah pasti pemikiran kumpulan-kumpulan perintis 'dunia tanpa sempadan' yang mencetuskan kelahiran world wide web (www) pada era akhir 1980-an dan awal 1990-an barang kali tidak menjangka pencapaian luar biasa dunia ICT pada hari ini. Setelah hampir tiga dekad berlalu, dunia teknologi kini ternyata sudah mencapai suatu dimensi baru.
Daripada hanya telefon ATUR, sambungan internet kaedah dial up, permainan konsol dan laman-laman web yang statik lagi membosankan, industri ICT berevolusi kepada telefon bimbit yang mempunyai kapasiti melayari internet, sambungan internet jalur lebar, permainan konsol 3D dan kini laman web multi fungsi (Web 2.0) seperti paparan berita terkini, forum, blog, perkumpulan komuniti atas talian dan komunikasi video.
Bagi kumpulan generasi Y yang merangkumi kumpulan anak muda 18 tahun ke bawah, jargon seperti Yahoo Messenger, Blogspot, Twitter, MySpace, Spacebook, PS3 dan XBox barang kali bukan lagi sesuatu yang asing.
Tak keterlaluan jika dikatakan, elemen-elemen sebegini bagai 'santapan' harian anak-anak pasca abad ke-21. Melihat dari suatu sudut negatifnya, kita khuatir jika fenomena teknologi yang bertali arus ini menjadi tanpa kawalan lantaran melalaikan dan akhirnya, memudarat anak bangsa kita.
Manfaatkan Teknologi Ke arah Kebaikan
Pengalaman saya semasa mengendalikan program motivasi PMR di salah sebuah sekolah menengah di Putrajaya pada Khamis, 2 Julai lalu seakan-akan mengiakan keresahan saya.
Daripada penyelidikan dan pemantauan, kami dapati hampir 90 peratus pelajar memiliki telefon mudah alih sendiri. Rata-ratanya pula cenderung ke arah perisian permainan PSP dan PS3 terkini serta 'ketagihan' aplikasi Web 2.0 seperti Facebook dan Friendster.
Statistik pula menunjukkan keputusan peperiksaan penggal kedua menjunam berbanding dengan keputusan peperiksaan penggal sebelumnya. Ia cuma bagi sekumpulan pelajar dari sebuah sekolah sahaja. Bagaimana agaknya jika diambil kira sekolah-sekolah yang lain?
Justeru, saya berharap langkah Kementerian Pelajaran menggubal sistem pembelajaran negara tidak akan melupakan saranan agar perkembangan teknologi terkini diterap penggunaannya kepada pelajar-pelajar dalam cara yang positif iaitu mengundang kepada pemantapan dan pembudayaan ilmu.
Teknologi sekiranya sekadar diaplikasikan untuk berhibur, tentulah tidak berfaedah. Sepatutnya, budaya menggunakan internet bagi tujuan meng'google' ilmu pengetahuan dan maklumat terkini perlu diutamakan.
Dengan jutaan laman web membanjiri dunia maya, teknologi perlu dipergunakan semaksimum mungkin untuk kebaikan, menggali ilmu dan informasi terkini di serata dunia.
Dalam hal ini, kemampuan bahasa Inggeris pelajar juga dapat ditingkatkan. Walaupun pembelajaran bahasa Inggeris melalui penggunaan internet adalah kaedah pembelajaran yang dikira 'santai', namun ia tidak boleh dianggap sebagai rutin 'kebiasaan' sehingga menjadikan generasi Y 'ketagih' dan sanggup memberontak jika keinginan mereka untuk berinternet tidak diturutkan.
Seperkara lagi yang tidak boleh diabaikan adalah apabila internet disalah gunakan untuk meng-Google maklumat yang sesat lagi terpesong.
Justeru, pemantauan ibu bapa dituntut untuk mendorong penggunaan Internet secara betul dan tepat.
Perluaskan Jalur Lebar dan Wujudkan 'Sedikit Sempadan'
Kerajaan, di sebalik istilah dunia tanpa sempadan, mungkin boleh menilai kaedah untuk mewujudkan 'sedikit sempadan' dalam sistem perkhidmatan jalur lebar negara supaya generasi Y tidak mudah terdedah kepada perkongsian maklumat yang salah.
Natijah sebenar untuk melahirkan generasi kaya ilmu pengetahuan mungkin tidak akan dapat direalisasikan jika teknologi tidak sampai ke semua peringkat. Masalah kekangan kewangan ternyata masih wujud dan terus menghalang anak-anak luar bandar mengecapi perkembangan informasi terkini berbanding teman-teman di bandar.
Bagi yang mampu memiliki perkhidmatan jalur lebar mudah alih seperti perkhidmatan Celcom dan Maxis Broadband ada kalanya berhadapan dengan keterbatasan capaian perhubungan kerana tiada pencawang talian bukan sahaja di luar bandar malahan juga di sesetengah kawasan di dalam bandar.
Untuk mengatasi isu ini, kerajaan perlu menimbangkan secara serius cadangan yang sudah pun dilaksanakan di beberapa negara asing seperti Amerika Syarikat dan Eropah yang menggunakan laluan elektrik sebagai sumber capaian internet jalur lebar.
Sudah pasti kos penggunaan jalur lebar melalui laluan elektrik ini tidak perlu terlalu tinggi agar masyarakat luar bandar yang kurang berkemampuan tidak ketinggalan.
Insya-Allah, dengan sedikit pemantauan dan galakan sihat, adalah tidak mustahil untuk kita mengecapi cita-cita murni bgi melahirkan generasi baru yang membudayakan ilmu melalui teknologi ICT.
FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris).

Berapa kos PPSMI setakat ini!
Tidak banyak orang yang tahu!
Atau tidak ada yang berani berkata benar!
Atau semua orang yang terlibat terlalu sibuk membelanjakan wang ini dengan tidak mengira sebanyak mana dan apa yang betul-betul diperlukan.
Namun sumber-sumber yang dapat dipercayai mengatakan bahawa RM 12 BILION adalah anggaran yang tidak jauh lari dari jumlah yang sebenar.
Kami cuma berkata, berikan:
1 bilion untuk industri buku dalam bahasa Melayu, dan
1 bilion lagi untuk industri terjemahan buku ke dalam bahasa Melayu,
Kita akan dapat memandaikan bangsa dengan lebih berkesan daripada menggunakan bahasa Inggeris! Sekaligus, kita memperkasakan bahasa Melayu.
( Prof. Emeritus Abdullah Hassan, Pengarah, Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris http://profabdullah 1.wordpress. com/2009/ 05/18/berapa- kos-ppsmi- setakat-ini/ )
Dicatat oleh DRS. KHALIL IDHAM LIM di 7:27 AM

by : http://johordaily.blogspot.com/
KUALA LUMPUR – Kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diketahui hari ini. Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah dijadual mendengar terlebih dahulu dua permohonan Ketua Pakatan Rakyat itu yang difailkan pada bulan jun 2009.
Sebelum ini Ketua Angkatan Muda (AMK) PKR, Shamsul Mohd Akin dalam sidang akhbarnya mendakwa ada unsur untuk memenjarakan Anwar dalam kes lewat ini. Ketua AMK Johor, Zabidie Abas berkata dalam blognya, beliau mendakwa ada usaha bersungguh-sungguh Perdana Menteri untuk memenjara Anwar walau dengan apa cara sekalipun.
Anwar, telah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 24, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun tahun lalu.
Sementara itu Mohd Saiful masih merayu-rayu di blognya agar rakyat mempercayai sumpahnya. Blog bekas ahli PKR iaitu Gerakan Anti PKR masih bertalu-talu mengeji Anwar dengan pelbagai cercaan termasuk menyamakan Anwar dengan pemimpin Yahudi.
Majlis Peguam pula yang saban hari bergelumang dengan ratusan ribu kes yang diseliakan oleh ribuan ahlinya mendakwa pertuduhan itu terlalu banyak kemuskilan dari segi bukti dan keterangan.
Dicatat oleh DRS. KHALIL IDHAM LIM di 2:44 PM
Oleh : Alif H'ng
Pada zaman Dinasti Han Timur, di sekitar bandar Luoyang, ibu nergara China pada ketika itu, sering berlaku gempa bumi. Menurut catatan sejarah, dalam tempoh lebih 50 tahun, iaitu bermula tahun 89 hingga tahun 140 Masihi, 33 kali gempa bumi telah berlaku di kawasan tersebut, mengakibatkan banyak bangunan musnah, dan banyak orang dan binatang ternakan terbunuh. Rakyat jelata sangat takut akan bencana itu. Maharaja pada ketika itu, menganggapnya sebagai hukuman Maharaja Kayangan atas tingkah laku manusia yang tidak menghormati dewa-dewi. Maka, baginda pun meningkatkan kutipan cukai dalam kalangan rakyat, untuk mengadakan aktiviti memuja dewa-dewi. Bagaimanapun, seorang ahli sains yang bernama Zhang Heng, menganggap bencana gempa bumi ini sebagai satu fenomena alam sahaja, cuma ia belum dikenali oleh manusia. Maka, dia pun mempercepat penyelidikannya terhadap bencana tersebut.
Zhang Heng memperhatikan dan menyelidik setiap gempa bumi yang berlaku dengan teliti, dan menganalisis sebab berlakunya bencana itu dengan cara saintifik. Dengan percubaan yang dilakukannya selama beberapa tahun, pada tahun 132 Masihi, dia berjaya mencipta alat pengesan gempa bumi yang pertama di dunia. Alat ini dinamakan seismoskop, atau "Di Dong Yi" dalam bahasa Mandarin.
Alat pengukur gempa bumi yang berbentuk sfera ini, diperbuat daripada tembaga. Garis pusat sfera itu adalah kira-kira 1 meter. Di tengahnya, ada sebatang tiang besar yang diperbuat daripada tembaga, yang bersambung dengan lapan batang tiang yang kecil. Lapan ekor naga yang diperbuat daripada tembaga telah dipasang pada sfera tersebut. Kepala kelapan-lapan ekor naga itu pula bersambung dengan lapan batang tiang kecil tadi, dan masing-masing mengarah ke lapan arah yang berlainan, iaitu utara, selatan, timur, barat, timur laut, tenggara, barat laut dan barat daya. Dalam mulut setiap ekor naga tersebut, terdapat sebiji bebola tembaga yang kecil. Di bahagian bawah lapan ekor naga tersebut pula, terdapat lapan ekor kodok yang ternganga yang juga diperbuat daripada tembaga. Mereka saling berpandangan. Keadaan itu dilihat seolah-olah kodok sedang bermain dengan naga. Menurut reka bentuk Zhang Heng, apabila gempa bumi berlaku, bebola kecil dalam mulut naga yang mengadap ke arah tempat berlakunya gempa bumi, akan terjatuh ke dalam mulut kodok yang terletak di bahagian bawahnya itu.
Dalam tempoh 4 tahun selepas alat tersebut selesai dicipta, empat kali gempa bumi telah berlaku di sekitar Luoyang, dan kesemuanya telah berjaya dikesan secara tepat oleh alat itu. Bagaimanapun, pada suatu hari pada tahun 138 Masihi, mulut ekor naga yang mengadap ke arah sebelah barat pada sfera tersebut terbuka, dan bebola kecil dalam mulut naga itu terjatuh ke dalam mulut kodok di bawahnya. Ini menunjukkan bahawa gempa bumi telah berlaku di suatu tempat yang terletak di sebelah barat Luoyang. Namun, gegaran sedikit pun belum dirasai. Oleh itu, ramai orang mula mencurigai keberkesanan alat ini. Namun, tidak beberapa lama selepas itu, utusan dari Provinsi Gansu, sebelah barat Luoyang, telah melaporkan berita bahawa gempa bumi telah berlaku di sana. Hingga saat itu, barulah mereka percaya bahawa alat pengesan gempa bumi yang dicipta oleh Zhang Heng itu, bukanlah hanya mainan, seperti "kodok bermain dengan naga" sahaja. Ia benar-benar sejenis peralatan saintifik yang amat berguna. Sejak itulah, rakyat China mula menggunakannya untuk mengesan gempa bumi dari jarak jauh.
Dicatat oleh DRS. KHALIL IDHAM LIM di 11:42 AM

Nama penuh : Fauzi bin Haji Abdullah
Umur : 50 tahun
Tempat kelahiran : Bukit Marak, Kelantan
Tempat tinggal : Pekan Gunchil
Keluarga
Isteri : Aminah bt Mahmud
Anak : 5 orang
Pengalaman kerja :
: 1. Penyelia Dun Guchil
: 2. Ahli Majlis Daerah Kuala Krai
: 3. Pengusaha dan peniaga di Bandar Kuala Krai
Jawatan Dalam Parti :
: 1. Ketua cawangan Bandar Krai
: 2. Bendahari PAS Kuala Krai
Dicatat oleh DRS. KHALIL IDHAM LIM di 1:02 PM

Fakhrol Ekram Abdul Razak
Marilah kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan akhirat.
Kedaulatan negara dan bangsa di negara ini terletak dalam tangan orang Islam kerana orang Islam adalah kumpulan majoriti yang menjadi teras kekuatan bangsa dan pemerintahan di negara ini. Persoalan besar timbul ialah sampai bila kita boleh mendakwa bangsa kita sebagai mempunyai hak ketuanan di negara ini?.
Berdasarkan pemerhatian ternyata kekuatan ketuanan umat Islam semakin merosot dan semakin tercorot. Dalam keadaan politik orang Melayu atau orang Islam yang semakin terlucut kekuasaan itu kerana berpecah belah, maka pada masa yang sama juga orang Islam paling ramai terjebak dalam gejala sosial terutamanya nya menagih dadah. Sekali imbas terdapat orang Islam kelihatan hidup tidak boleh dipisahkan dengan menyedut dan menagih dadah.
Menurut statistik Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pada tahun 2008, jumlah penagih dalam negara kita adalah seramai 12,352 orang yang merangkumi penagih lama dan baru. Secara umumnya 75% penagih dadah adalah umat Melayu. Pada setiap hari kira-kira 17 orang penagih baru dikesan. Selain daripada itu pada masa ini terdapat 29 buah Pusat Serenti di seluruh negara yang menampung kira-kira 10,000 orang penagih dadah sebagai tempat rawatan dan pemulihan. Menurut sumber agensi itu lagi, hanya kira-kira antara 20-25% penagih dadah yang menghuni di Pusat Serenti berjaya dipulihkan. Manakala yang lainnya gagal untuk dipulihkan, di mana hidup terumbang ambing, lemah serta terjebak menghidap HIV dan AIDS.
Apa yang membimbangkan, sebahagian besar yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah adalah daripada golongan belia. Sedangkan golongan inilah pewaris meneruskan kesinambungan kepimpinan keluarga, masyarakat dan negara. amat bimbang, sebilangan orang Islam yang hidup bergelumang dengan dadah, HIV dan AIDS ini dari segi jangka panjangnya akan melemahkan kedaulatan bangsa dan menghapuskan hak ketuanan Islam di negara ini.
Firman Allah S.W.T:
Maksudnya: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk mereka, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.
(Ar-Rum:41)
Penglibatan besar orang Islam dalam menagih dadah, terjerumus dalam HIV/AIDS dan gejala sosial lain memberi amaran awal bahawa dalam masa jangka panjang ketuanan Islam akan menjadi bangsa yang hina, dan merempat di negara sendiri. Bagi mengelak ancaman kelemahan orang Islam, maka mimbar menyeru para jemaah dan umat Islam sekalian insaflah dan renunglah peringatan Rasulullah SAW yang sabdanya:
Mafhumnya: “Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya (kuasanya). Sekiranya ia tiada mampu, maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya ( nasihatnya ). Sekiranya ia tiada mampu juga, maka hendaklah ia mengubahkannya dengan hatinya ( tidak meredhai perbuatan tersebut ). Dan yang demikian adalah selemah-lemah iman”.
(Hadith Riwayat Muslim)
Sejajar dengan peringatan Rasulullah SAW ini, umat Islam sekalian untuk sama-sama bertindak iaitu:
Pertama: Ahli-ahli Jawatankuasa Masjid/Surau, Ahli Jawatankuasa Kemajuan Kampung, PERSATUAN PEMUDA-PEMUDA, PERSATUAN BELIA,PEKIDA, DAN PELBAGAI NGO DAN KERAJAAN dan pemimpin masyarakat akar umbi di seluruh negara perlu memperhebatkan peranan dan sanggup turun padang membantu, membimbing, mendekati dan memberi keyakinan hidup kepada keluarga yang menghadapi krisis akhlak ini. Sedarlah bahawa perbuatan mencerca dan menghina mereka yang menghadapi ujian Allah SWT adalah bercanggah dengan ajaran Islam dan menambahkan lagi penderitaan mereka.
Kedua: Ibu bapa sebagai tunjang keluarga mesti bertanggungjawab memastikan agar diri dan ahli keluarga sentiasa melaksanakan perintah Allah SWT dengan sempurna dan istiqamah. Ketahuilah bahawa beristiqamah dalam ibadah mampu menghindarkan anak-anak dari ancaman dadah dan gejala sosial lain.
Ketiga: Semua anggota masyarakat bertanggungjawab untuk sama-sama memburu pengedar-pengedar dadah dan mereka yang bersyubhat. merasa sangat sedih terhadap segelintir mereka yang mengaku beriman, namun menjadi pengikut syaitan menghancurkan kaumnya sendiri.
Menyeru umat Islam di negara ini, marilah kita sama-sama menginsafi tentang kedudukan dan penglibatan umat Islam dalam gejala sosial yang mengaibkan maruah ummah masa kini. Salah satu wabak yang pada masa ini sangat mencemaskan seluruh penduduk dunia ialah mengenai peningkatan penghidap Selsema Babi atau Wabak Selsema H1N1.
Oleh itu, sebagai langkah pencegahan, marilah kita berganding bahu memastikan kebersihan diri dan alam sekitar seperti membasuh tangan dengan air serta sabun secara kerap dan menyeluruh, menutup mulut dan hidung semasa batuk atau bersin, makan makanan halal dan berkhasiat disamping senaman untuk kekuatan sistem pertahanan badan, segera mendapatkan rawatan perubatan jika demam, selesema atau batuk, mendapatkan bantuan keluarga, jiran, dan rakan sekerja untuk tugas-tugas tertentu, dan menunaikan solat Hajat yang berterusan sebagai doa dan ikhtiar menolak bala bencana serta ujian Allah SWT yang menimpa umat Islam dan manusia yang lain.
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; Penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan- Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”
(At-Tahrim:6)
WALLAHUALAM…
Dicatat oleh DRS. KHALIL IDHAM LIM di 10:51 AM
