Kemajuan Untuk Semua Bangsa Tanpa Mengira Warna Kulit atau Bangsa di bawah Agama Islam

Instagram

Instagram

Suara Ketenangan

Revolution Ads

Revolusi

18 Muharram 1431

Syarikat penerbangan akan membatalkan atau menyusun semula sebahagian penerbangan yang tergendala ekoran kesan buruk cuaca di Beijing dan kawasan sekitarnya. Menurut maklumat pihak lapangan terbang, Beijing hari ini, para penumpang diminta supaya berhubung dengan syarikat penerbangan atau lapangan terbang untuk mendapat maklumat terkini bagi memastikan perjalanan dengan lancar.

Ribut salji yang melanda Beijing semalam menyebabkan banyak penerbangan yang berlepas dari Beijing ditangguhkan dan sebanyak 832 penerbangan dibatalkan. Hari ini, 102 penerbangan akan ditambah dan dijangka 1,400 kali penerbangan akan beroperasi. Setakat pukul 12.30 tengah hari tadi, 222 kali penerbangan telah dijalankan, 57 kali penerbangan dibatalkan dan 392 kali penerbangan ditangguhkan. CRI/-

17 Muharram 1431

http://peguamkita.blogspot.com/

Keputusan Hakim Lau Bee Lan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini yang mengisytiharkan nama "Allah" boleh digunakan oleh agama lain mengundang pelbagai polemik sehingga kepada desakan campurtangan Majlis Raja-Raja.

Beberapa NGO termasuk tokoh Pemuda UMNO cuba menjadi hero dengan mengecam hebat keputusan tersebut sehingga menyindir parti-parti politik berasaskan agama yang mengambil langkah berdiam diri ketika ini.

Isu ini sebenarnya harus dilihat secara rasional, tanpa prejudis dan paling utama berdasarkan hujah dan dalil yang sahih serta Qath'ie. Keputusan Mahkamah tersebut harus dinilai berdasarkan persoalan berikut:

Pertama: Apakah skop penggunaan nama Allah dalam THE HERALD? Sekiranya nama Allah dalam artikel mingguan tersebut digunakan bagi tujuan menunjukkan bahawa ia merujuk kepada Tuhan sebenar manusia seluruh alam, maka kita perlu menerimanya.

Ia merupakan suatu pengiktirafan terhadap kewujudan ALlah SWT. Bukankah Allah adalah Tuhan yang menurunkan Rahmat Seluruh Alam? Ia menambahkuatkan lagi bahawa bukan Islam telah memahami Islam dan Tuhan orang Islam.

Kedua: Sekiranya ia merujuk hanya kepada Allah hanya Tuhan bagi agama mereka disamping kewujudan konsep "Trinity" di dalam THE HERALD dan ia disebar luaskan, maka ia telah termasuk dalam kesalahan penghinaan agama lain dimana Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Perkara 11(4) yang memberikan kuasa kepada negeri-negeri untuk menggubal undang-undang berkaitan penyebaran dakyah agama lain.

Dua persoalan ini sudah cukup untuk membuat analisa ringkas tentang keputusan Mahkamah tersebut. Pada hemat saya, umat Islam negara ini perlu dipandu secara jujur dan ikhlas bahawa selagi Allah tidak dihina dan Islam dipijak, maka ruang lingkup perbahasan ilmiah perlu dibuka.

Bagi aktivis yang bermatian-matian "memperjuangkan" isu ini di dalam peti televisyen, saya menjemput anda semua melihat beberapa tragedi-tragedi Islam diputuskan di Mahkamah negara ini.

Kes Pertama: Kes Minister for Home Affairs & Anor v Jamaluddin bin Othman [1989] 1 MLJ 368 & 418, melibatkan tindakan Jamaluddin menyebarkan dakyah Kristian yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Mahkamah kemudiannya memutuskan tindakan tersebut (menyebarkan dakyah) tidak memadai untuk mendatangkan ancaman bagi ditahan dibawah ISA. Jamaluddin dibebaskan.

Kes Kedua: Hajah Halimatussaadiah bt Hj Kamaruddin V Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia & Anor 3 MLJ 61, seorang kakitangan kerajaan yang dibuang kerja kerana memakai Purdah. Mahkamah memutuskan bahawa pembuangan kerana memakai purdah adalah betul. Harus diingat, Hajah Halimatussaadiah dibelia oleh peguam Karpal Singh.

Kes Ketiga: Mior Atiqurrahman & Ors v Fatimah Sihi & Ors. 3 orang pelajar sekolah kena buang sebab pakai serban. Mahkamah Persekutuan memutuskan pembuangan pelajar tersebut adalah betul.

Kes Keempat: Che Omar Bin Che Soh [1988] 2 MLJ 55, Mahkamah tertinggi negara, Mahkamah Persekutuan, memutuskan bahawa Malaysia bukan negara Islam.

Ini adalah antara kes-kes yang amat memeritkan umat Islam, belum lagi dikira kes-kes Murtad yang berleluasa diputuskan dengan mudah oleh Mahkamah. Soalnya dimana UMNO dan NGO "cabuk" perkakas UMNO ini? Adakah keputusan-keputusan Mahkamah ini baik dan harus diterima?

Isu yang "substance" ini lebih utama dari hanya membicarakan penggunaan kalimah Allah dalam akhbar agama Kristian ini. Adakah mereka mendesak Majlis Raja-Raja campurtangan, disaat aktivis agama, peguam-peguam dan pendokong serta pencinta Islam bertempiaran dikejar dan dihamburkan air berasid hadiah FRU?

Saya melihat isu kalimah Allah ini adalah rahmat kepada umat Islam keseluruhannya, kerana masyarakat ingin melihat lebih jauh dari itu.

Maka di hadapan kita sebenarnya terbentang pelbagai "juadah" jijik yang telah disajikan kepada Islam di Mahkamah negara kita..Justeru, di mana kita?

at 1/03/2010 08:09:00 PM Posted by Unknown 0 Comments

allah_kalimah2

Kuala Lumpur 3 Januari 09:57a.m │ Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) hari ini menegaskan bahasa kalimah “Allah” ialah eksklusif dan hanya boleh merujuk kepada konsep tuhan yang difahami oleh umat Islam sahaja dalam konteks masyarakat Islam dan Alam Melayu.

faisal

Pendirian berkenaan dikeluarkan melalui kenyataan media oleh presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz.

Persatuan berkenaan beralasan sebelum kedatangan Islam dalam sejarah Melayu, “kalimah Allah tidak digunakan sebagai rujukan kepada tuhan, tetapi istilah Allah ini hanya wujud dan sebati dalam masyarakat Melayu selepas berlakunya proses Islamisasi akar budaya dan bahasa”.

Faisal juga dalam kenyataannya menyebut bahawa “bahasa asal” bagi Al-Quran ialah Bahasa Arab berbanding Injil dan Taurat masing-masing menggunakan bahasa asal Bahasa Greek dan Bahasa Hebrew.

“Justeru, kalimah yang merujuk kepada istilah tuhan dalam terbitan Herald sepatutnya menggunakan istilah yang diguna pakai dalam bahasa Greek memandangkan kalimah Allah itu adalah pinjaman dari bahasa Arab (Al-Quran),”petik kenyataan berkenaan.

Dalam pada itu, PKPIM menyokong pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengemukakan rayuan secepat mungkin untuk menyemak semula keputusan yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Herald Catholic dalam cetakan bahasa Melayunya.

Persatuan berkenaan yang berpendirian “akan menimbulkan banyak kekeliruan dalam kalangan umat Islam yang akhirnya akan membawa kepada gejala murtad” jika perkongsian nama berkenaan diluluskan.

Kesan berkenaan mengambil fakta kes yang berlaku di Indonesia menerusi terjemahan kitab Bible kepada Al-Kitab.

Dalam masa yang sama, PKPIM bertegas dan mengalu-alukan keputusan kabinet yang bertarikh 16 Mei 1986 yang melarang mana-mana agama selain Islam untuk menggunakan empat perkataan iaitu Allah, Solat, Baitullah dan Kaabah.

Faisal juga mengajak NGO Islam yang lain agar “menggandakan dakwah dan ta’adib” kepada masyarakat Islam.

“Permasalahan ini tidak akan timbul jika kefahaman Umat Islam Malaysia khususnya generasi muda terhadap konsep aqidah benar-benar jelas dan mantap,”petik kenyataan.

Terdahulu, Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai penggunaan perkataan “Allah” di Mahkamah Rayuan bagi tindakan dan pembelaan sewajarnya demi memastikan kesucian Islam di Malaysia terpelihara.

Pada 16 Februari lepas, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit majalah itu, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang beliau menggunakan perkataan “Allah” dalam majalah itu adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.-Mahasiswakini

at 1/03/2010 08:07:00 PM Posted by Unknown 0 Comments

17 Muharram 1431

Kenyataan terbaru YAB. Mentei Besar Kelantan, Dato' Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat yang megatakan kesediaan beliau meminda perlembagaan Kelantan untuk membolehkan orang bukan Melayu boleh menjadi Menteri Besar negeri itu menjadi antara berita yang diperkatakan di penghujung 2009 dan di awal tahun baru 2010 ini.

Saya terpanggil untuk membuat sedikit ulasan dan pandangan peribadi dalam persoalan ini setelah menagguhkan beberapa kali untuk melakukannya. Sebenarnya ini bukan kali pertama kenyataan Tok Guru dalam masalah yang sama. Seingat saya ianya telah melebihi lima kali dan mendapat liputan yang baik dari pelbagai media pro pakatan rakyat dan turut tersiar dalam media pro kerajaan..

Apakah yang menjadikan kenyataan ini penting? Bagi saya Tok Guru telah mendahului zamannya dengan tampil sebagai apa yang dikatakan oleh Baginda Rasulullah :" Berkatalah yang benar walaupun ianya pahit ". Dalam kata lain beliau telah menyakinkan bangsa lain bahawa Islam bukan hanya milik orang melayu sahaja.

Tok Guru telah menampakkan sosok yang sebenar sebagai ulama dan memperlihat dan menjelaskan sesuatu yang sebenarnya yang diajar oleh Islam. Tok Guru telah berjaya menyampaikan mesej Islam bahawa sesungguhnya untuk menjadi pemimpin tidak semesti berbangsa Melayu khususnya di Kelantan itu sendiri.

Beliau sekaligus menjelaskan kepada rakyat Kelantan bahawa Undang-undang Tubuh Kerajaan kelantan yang sedia ada adalah tidak menepati kehendak Islam apabila disebutkan disana hanya orang Melayu yang beragama islam sahaja yang layak menjadi MB Kelantan.

Sekian lama kita mencari seorang pemimpin yang sanggup mengeluarkan sesuatu yang pahit namun ianya benar. Kenyataan untuk meminda supaya manapun bangsa di Kelantan asalkan Islam layak menjadi MB adalah sesuatu yang melonjakkan Islam ke tempat yang sebenarnya.

Kerana itu sayalah orang yang bangga dengan pengikirafan yang diberikan oleh Tok Guru kepada selain dari melayu yang beragama Islam di Kelantan.

Segelintir pemimpin Umno menampakkan kebodohannya dengan menolak cadangan itu dengan andaian ia membelakangi kepentingan Melayu seperti yang dikatakan oleh Ketua Pembangkang di Dun Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad .

Ketika mengulas pandangan balas itu, Tok Guru menyifatkan mereka yang mempertikaikan cadangannya melantik orang Cina Muslim sebagai ketua kerajaan di Kelantan sebagai taksub kepada bangsa sendiri.

Katanya, bangsa Cina yang beriman kepada Allah tidak menjadi kesalahan dilantik sebagai pemimpin, memandangkan pemikiran mereka sudah lama maju ke hadapan, satu pengitirafan yang tidak boleh dinafikan oleh semua pihak.

Dalam kenyataan terbaru itu Tok Guru menegaskan “Kalau bangsa Arab sekali pun jahat nak jadi Menteri Besar saya tidak terima, tetapi kalau orang Cina berperangai baik, saya akan menyokongnya.

Sebagai Mursyidul Am PAS yang disegani oleh lawan dan kawan, Tok Guru juga telah melonjakkan PAS sebagai sebuah wadah politik yang sesuai untuk semua bangsa di Kelantan dan Malaysia. Sesiapapun yang terlibat dengan PAS apalagi sebagai Ahli yang disyaratkan ianya beragama Islam mestilah mendapat hak yang sama walaupun dari masan asal dan keturunannya.

Sebab itulah apa saja unsur yang menampakkan PAS hanya milik orang melayu mestilah segera di perbaiki. Kesediaan PAS membenarkan tertubuhnya Dewan perhimpunan Penyokong PAS juga sangat memberi nilai tambah kepada PAS.

Saya tertarik dengan ulasan teman saya dalam blognya Al Banjari pada satu masa dulu apabila dia mengatakan saf kepimpinan PAS mestilah diwarnai oleh watak non Melayu namun Islam bagi menampakkan ianya adalah benar-benar Parti Islam, bukannya Parti Melayu.

Kerana itu semua pihak mestilah berlapang dada dan sedia menerima hakikat bahawa PAS pada masa ini adalah milik semua sesuai dengan slogan "PAS For All".


14 Muharram 1431H
Oleh: al-Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri

Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis daripada Abi Hurairah bahawa Rasulullah saw bersabda:
لا تبدأوا اليهود ولا النصارى بالسلام فإذا لقيتم أحدهم في طريق فاضطروه إلى أضيقه

Maksudnya: “Janganlah kamu mulakan orang-orang Yahudi dan juga orang Nasrani dengan salam. Justeru itu, sekiranya kamu menemui seseorang mereka di jalan tolaklah mereka ke jalan yang paling sempit.

Ulama berbeza pendapat dalam menyelusuri fiqh (kefahaman) hadis ini. Kebanyakan mereka memutuskan bahawa haram memulakan ucapan salam kepada mereka. Sebahagian pula berkata ianya tidak haram tetapi makruh.

Seorang fuqaha iaitu Abu Sa`ad berpendapat, sekiranya seorang muslim ingin memberi ucapan hormat kepada bukan Islam dia boleh melakukannya dengan lafaz yang lain daripada lafaz salam. Contohnya dengan menyebut: (هداك الله ) maksudnya moga Allah memberi hidayah kepada kamu atau (أنعم الله صباحك) maksudnya moga Allah memberi anugerah di waktu pagimu ini. Imam Nawawi menyetujui pendapat ini tetapi dengan tambahan: sekiranya ianya diperlu. Antara contoh ucapannya bagi Imam Nawawi ialah ucapan selamat pagi, pagi yang bahagia, pagi yang baik, moga Allah kurniakan kamu dengan kebahagian di waktu pagi, atau nikmat di waktu pagi dan seumpamanya. Sekiranya tidak perlu maka pilihannya ialah jangan mengucapkan apa-apa. (Nawawi, al-Azkar, Dar al-Khayr, hlm. 311)

Pandangan ini bagi saya sesuai diamalkan oleh umat Islam di Malaysia pada hari ini. Mereka boleh menyatakan selamat pagi kepada bukan Islam tanda penghormatan, atau berdoa moga Allah bagi hidayah atau seumpamanya. Ucapan-ucapan ini boleh mendekatkan mereka dengan bukan Islam sebagai satu pendekatan dakwah.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan hadis daripada Anas bin Malik katanya, Rasulullah saw bersabda:
إذا سلم عليكم أهل الكتاب فقولوا وعليكم

Maksudnya: “Apabila kamu diberi salam oleh ahli Kitab, jawablah “wa`alaikum”.

Imam Bukhari pula meriwayatkan daripada Ibn `Umar –radiyallahu `anhuma- katanya; Rasulullah saw bersabda:
إذا سلم عليكم اليهود فإنما يقول أحدهم السام عليك فقل وعليك

Maksudnya: “Apabila kamu diberi salam oleh Yahudi, mereka hanya menyatakan Assaamu `alaikum (mampuslah kamu), maka jawablah: wa `alaik (dan ke atas kamu juga).

Daripada kedua-dua hadis diatas para fuqaha mengambil hukum apabila seorang muslim diberi salam oleh bukan Islam, jawapan yang diberi ialah wa `alaik atau wa `alaikum (dan ke atas kamu juga).

Imam Mawardi menghikayatkan satu wajah di kalangan ashab Syafie iaitu harus memulakan salam kepada bukan Islam dengan menyebut Assalamu `Alaik sahaja bukannya Assalamu `Alaikum. Begitu juga boleh menjawab salam mereka dengan Wa `Alaikum Salam, tapi tidak menyebut warahmatullah. Imam Nawawi menegaskan bahawa kedua-dua pendapat ini adalah janggal dan ditolak. (Nawawi, al-Azkar, Dar al-Khayr, hlm. 311)

Kesimpulan perbahasan di atas ialah ucapan salam adalah ucapan khusus untuk umat islam. Justeru, untuk bukan Islam tidak perlu digunakan lafaz salam tetapi boleh digunakan lafaz-lafaz penghormatan yang lain.

at 1/02/2010 01:12:00 AM Posted by Unknown 0 Comments


Asal Usul:

Pada akhir abad ke-3 sebelum Masihi, pemerintah Dinasti Qin yang zalim itu telah menimbulkan kemarahan rakyat jelata. Lantaran itu, muncullah beberapa banyak kumpulan tentera pemberontak petani di merata-rata tempat di China. Antaranya, dua tentera yang paling kuat yang masing-masing diketuai oleh Xiang Yu dan Liu Bang. Xiang Yu merupakan seorang hulubalang dari negeri Chu yang gagah berani dalam pertempuran, tetapi kurang pandai menggunakan taktik perperangan. Liu Bang yang berasal daripada rakyat biasa itu pula sangat mahir dalam menggunakan taktik tersebut. Dalam peperangan untuk menumbangkan pemerintah Dinasti Qin itu, kedua-dua mereka sanggup bekerjasama dan saling membantu hinggalah mereka berjaya menumbangkan pemerintahan tersebut.

Bagaimanapun, sebaik sahaja pemerintah Dinasti Qin itu ditumbangkan, Xiang Yu dan Liu Bang yang dulunya akrab bagai saudara itu mula berperang sesama sendiri untuk merebut kuasa pemerintahan. Pertempuran terakhir antara mereka telah berlaku di suatu tempat yang bernama Gaixia, iaitu di Provinsi Anhui pada masa ini. Melalui beberapa pertempuran yang sengit, tentera yang diketuai oleh Liu Bang telah berjaya mengepung tentera yang diketuai oleh Xiang Yu. Meskipun sudah berada dalam keadaan yang merugikan, namun Xiang Yu masih memiliki 100 ribu orang askar. Maka bukanlah sesuatu hal yang mudah bagi Liu Bang untuk segera menghapuskan tentera Xiang Yu.

Pada suatu malam, Liu Bang mengarahkan askarnya supaya menyanyikan lagu rakyat negeri Chu, iaitu lagu rakyat kampung halaman tentera Xiang Yu secara terus-menerus. Xiang Yu dan askarnya berasa amat terkejut ketika mendengar lagu tersebut. Mereka tersilap menganggap anggota keluarga mereka telah ditangkap oleh tentera Liu Bang sebagai tebusan. Lagu yang biasa didengar itu juga menimbulkan kerinduan mereka terhadap kampung halaman. Keadaan ini menjadikan tentera Xiang Yu semakin risau sehingga mereka beramai-ramai melarikan diri.

Setelah mengalami kekalahan yang teruk, barulah Xiang Yu menyedari bahawa tindakan Liu Bang itu hanyalah satu strategi untuk mengganggu-gugat ketenteraman tenteranya. Dia yang tidak mahu menyerah diri itu, terpaksa membunuh diri.

Tidak lama selepas itu, Liu Bang telah memulakan pemerintahan Dinasti Han, dan melantik dirinya sebagai Maharaja Gaozu.

Catatan Keterangan:

Peribahasa "Si Mian Chu Ge" ini digunakan untuk menggambarkan situasi yang genting apabila seseorang dikepung oleh musuhnya dari segenap penjuru, tanpa seorang pun yang tampil memberikan bantuan. Ia juga membawa erti, apabila seseorang berhadapan dengan sesuatu kesukaran yang agak mencabar, apa jua yang terjadi seolah-olah meramalkan kegagalannya. CRI/-

Oleh ZIEMAN

KIYAI Haji Abdurrahman Wahid yang mesra disapa Gus Dur telah meninggalkan Indonesia dengan segala sejarahnya.

Beliau terkenal sebagai salah seorang tokoh nasional yang banyak mewarnai perjalanan bangsa Indonesia pelbagai kaum.

Bukan saja Gus Dur membawa idea luar biasa tapi tokoh agama ini juga pernah menimbulkan kontroversi ketika beliau bergelar Presiden apabila ideanya membuka hubungan diplomatik dengan Israel.

Hal ini menjadi salah satu gagasan yang membuat beliau dikritik hebat oleh sekelompok pertubuhan Islam di Indonesia.

Cucu ulama besar KH Hasyim Asy'ari ini juga pernah disifatkan sebagai 'wali' dan dilantik menjadi Ketua Nahdlatul Ulama dan menubuhkan Parti Kebangkitan Bangsa atau PKB pada era reformasi.

Kini telah pulang ke rahmatullah tokoh politik yang disayangi jutaan rakyat Indonesia. Gus Dur meninggal dunia pada Rabu (30/12/2009) sekitar pukul 6.45 petang (waktu Jakarta), 7.45 petang (waktu Malaysia) di Rumah Sakit Cipto Mangunkusumo (RSCM) setelah sempat dirawat beberapa hari di sana dan menjalani cuci darah.

Gus Dur meninggalkan seorang isteri, Shinta Nuriyah, dan empat orang anak iaitu Alissa Qotrunnada Munawaroh, Zanuba Arifah, Anita Hayatunnufus, dan Inayah.

Sejarah insan bernama Gus Dur bermula di tempat kelahirannya di Jombang, Jawa Timur, pada 4 Ogos 1940. Beliau mendapat pendidikan awal di Jakarta tahun 1953 dan melanjutkan pelajaran ke SMEP di Yogyakarta tahun 1956.

Sejurus selepas itu, beliau melanjutkan pengajian di Pesantren Tambakberas Jombang pada tahun 1963. Gus Dur juga mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar, Cairo dalam pengajian Islam dan Bahasa Arab dan seterusnya di Fakulti Sastera, Universiti Baghdad, Iraq, pada tahun 1970 tetapi tidak sempat menamatkan pengajiannya.

Karier pertamanya adalah sebagai guru dan kemudiannya sebagai pensyarah selama bertahun-tahun lamanya. Bermula dari Guru Madrasah Mu'allimat, Jombang (1959 - 1963) hinggalah ke pensyarah di Universiti Hasyim Asyhari, Jombang (1972-1974), dan Dekan Fakulti Usuluddin Universiti Hasyim Asyhari, Jombang (1972-1974).

Gus Dur juga aktif di pesantren sebagai sekretari Pesantren Tebuireng, Jombang (1974-1979) dan menjadi konsultan di pelbagai lembaga dan unit pemerintahan pada tahun 1976.

Negarawan yang penyayang ini kemudiannya meneruskan karier sebagai pengasuh Pondok Pesantren Ciganjur, Jakarta, sejak 1976 hingga sekarang.

Di organisasi Nahdlatul Ulama, Gus Dur menjadi anggota Syuriah Nahdlatul Ulama dari 1979 ke 1984. Arwah juga dilantik sebagai Ketua Tanfidziyah Pengurus Besar Nahdlatul Ulama (PBNU) untuk tiga penggal - (1984-1989), (1989-1994) dan (1994-1999).

Di arena politik pula, Gus Dur pernah menduduki lembaga legislatif dan eksekutif dan turut menjadi anggota MPR selama dua penggal - 1987-1992 dan 1999-2004.

Gus Dur yang mempunyai penampilan sederhana ini mencatat karier politik tertingginya sebagai Presiden Republik Indonesia (RI) selama 2 tahun pada 1999-2001.

Walaupun dikenali sebagai tokoh yang menitikberatkan soal agama, pada masa yang sama tindak-tanduk Gus Dur sering mengundang kontroversi. Antaranya apabila beliau menjadi anggota Dewan Pendiri Shimon Peres Peace Center, Tel Aviv, Israel.

Malah Gus Dur pernah menjadi Wakil Ketua Kelompok Tiga Agama, iaitu Islam, Kristian dan Yahudi, yang dibentuk di Universiti Al Kala, Sepanyol, serta Pendiri Forum 2000 (organisisasi yang mementingkan hubungan antara agama).

Meskipun mengalami kelemahan dari segi kemampuan melihat, Gus Dur masih suka membaca buku hingga ke akhir hayatnya. Beliau juga produktif menulis artikel dan buku.

Gus Dur juga merupakan pengajar Pesantren dan Dekan Universitas Hasyim Ashari Fakultas Ushuludin (sebuah cabang teologi bersangkutan hukum dan philosofi); Ketua Balai Seni Jakarta (1983-1985); Ketua Pesantren Ciganjur (1984-sekarang); Ketua Umum Nahdatul Ulama (1984-1999); Ketua Forum Demokrasi (1990); Ketua Persidangan Agama dan Perdamaian Sedunia, Itali (1994); Anggota MPR (1999); dan Presiden Republik Indonesia (20 Oktober 1999-24 Julai 2001).

Sementara penghargaan yang pernah diperolehnya termasuk: Penghargaan Dakwah Islam dari pemerintah Mesir (1991); Penghargaan Magsaysay dari Pemerintah Filipina atas usahanya mengembangkan hubungan antara agama di Indonesia (1993); Bersama dengan Gadis Arivia dianugerahi Tasrif Award sebagai Pejuang Kebebasan Wartawan yang diberikan oleh Aliansi Jurnalis Independen (AJI, 2006).

Gus Dur juga banyak memperoleh gelaran Doktor Kehormat (Doktor Honoris Causa) dari berbagai lembaga pendidikan. Antaranya ialah Doktor Kehormat bidang Kemanusiaan dari Universiti Netanya, Israel (2003); Doktor Kehormat bidang Hukum dari Universiti Konkuk, Seoul, Korea Selatan (2003); Doktor Kehormat dari Universiti Sun Moon, Seoul, Korea Selatan (2003); Doktor Kehormat dari Universiti Soka Gakkai, Tokyo, Japan (2002); Doktor Kehormat bidang Falsafah Hukum dari Universiti Thammasat, Bangkok, Thailand (2000).

Gus Dur turut diberi pengiktirafan Doktor Kehormat dari Asian Institute of Technology, Bangkok, Thailand (2000); Doktor Kehormat bidang Ilmu Hukum dan Politik, Ilmu Ekonomi dan Pengurusan dan Ilmu Kemanusiaan dari Universiti Pantheon Sorbonne, Paris, Perancis (2000); Doktor Kehormat dari Universiti Chulalongkorn, Bangkok, Thailand (2000); Doktor Kehormat dari Universiti Twente, Belanda (2000); dan Doktor Kehormat dari Universiti Jawaharlal Nehru, India (2000).

Gus Dur juga mendapat penghargaan dari Simon Wiethemtal Center Amerika Syarikat (2008), penghargaan dan kehormatan dari Universiti Temple, Philadelphia, Amerika Syarikat, yang menggunakan namanya untuk penghargaan terhadap pembelajaran dan pengkajian kerukunan antara umat beragama, yang diberi nama "Abdurrahman Wahid Chair of Islamic Study (2008)".

GUS DUR TIDAK MAHU KAWALAN KETAT

Para pemimpin Indonesia, biasanya mendapatkan pengawalan ketat jika ingin bepergian ke manapun. Namun ini tak berlaku kepada mantan Presiden keempat RI ini.

Menurut orang terdekat Gus Dur, Hermawi Taslim, Gus Dur tak pernah menggunakan khidmat pengawal pengiring jika pergi kemana-mana.

Para pejabat negara, apalagi mantan Presiden, biasa akan diiringi beberapa kereta pengiring atau pun motor pengawal dari pihak polis.

"Gus Dur, akan dikenang sebagai tokoh yang sederhana. Beliau sangat sederhana. Makan seadanya. Tidak pernah mau dikawal ketat. Tidak pernah mau melalui jalan VIP. Agak susah mendapatkan tokoh seperti Gus Dur," kata Hermawi , seperti yang dilaporkan oleh laman kompas.com.

Sejak meninggalkan kerusi presiden, Gus Dur ada tiga orang pengawal pribadi. Akan tetapi, hubungannya dengan para pengawal tidak ubah seperti seorang teman.

"Gus Dur itu sering bercakap seperti teman dengan para pengawalnya atau pekerjanya. Percakapannya selalu berkisar soal memelihara itik, ikan dan lain-lain. Beliau sangat low profile," jelas Hermawi.

GUS DUR SEPATUTNYA MENDAPAT PENGHARGAAN KEMANUSIAAN JAN 2010

Kita hanya mampu merancang, tuhan yang menentukan. Sebuah penghargaan kemanusiaan seharusnya akan diterima Gus Dur pada bulan Januari 2010.

Akan tetapi, sebelum penghargaan diterima, Gus Dur sudah lebih dulu menghadap illahi. Penghargaan tersebut mengikut perancangan akan diserahkan di Vermont, Amerika Syarikat, seperti yang diberitahu Hermawi Taslim.

"Rencananya, Gus Dur akan berangkat ke Vemont, Amerika Syarikat untuk menerima penghargaan kemanusiaan," kata Hermawi.

Namun, Hermawi tak ingat institusi apa yang akan memberikan penghargaan tersebut. Kata Hermawi, penghargaan tersebut diberikan kepada Gus Dur atas sumbangan besarnya sebagai tokoh anti-diskriminasi dan tokoh Islam yang sederhana. Selama menjadi Presiden, Gus Dur dikenali sebagai pembela kaum minoriti.

Salah satu jasa beliau yang menjadikan beliau disayangi masyarakat Cina di Indonesia apabila memberikan kebebasan pada masyarakat Cina dan menjadikan Hari Raya Imlek (bagi kaum Cina) sebagai hari cuti nasional.

TIGA PRINSIP GUS DUR

Hermawi terkenang tiga prinsip hidup Gus Dur yang selalu disampaikan kepada orang-orang terdekatnya.

Pertama, kata Hermawi, Gus Dur akan selalu berpihak pada yang lemah. Kedua, arwah anti-diskriminasi dalam bentuk apa pun, dan ketiga, tidak pernah membenci orang, sekalipun disakiti.

"Itu nilai-nilai yang selalu dia sampaikan kepada kami dan menjadi prinsip hidupnya," kata Hermawi, yang bersama dengan Gus Dur selama 10 tahun terakhirnya.

Menurut Hermawi, Gus Dur juga tidak pernah marah lebih dari tiga hari kepada siapa pun.

"Meskipun orang jahat dan menyakiti beliau, marahnya tidak pernah lebih dari tiga hari. Hari keempat pasti sudah baik. Hati beliau bersih, walau kadang kala, ada yang mengambil kesempatan di atas kebaikannya," ujar Hermawi.

SATU JUTA LILIN DINYALAKAN

Saat berita pemergiaan Gus Dur tersebar, warga Surabaya yang terdiri dari golongan masyarakat pelbagai agama di Surabaya menyalakan satu juta lilin untuk memberi penghormatan terakhir kepada mantan Presiden RI yang juga dikenal sebagai guru bangsa tersebut.

Sekitar 100 orang dari anak-anak hinggalah ke orang dewasa mengikuti kegiatan yang dilakukan secara spontan di depan Gedung Negara Grahadi, malam semalam, bermula dari pukul sembilan malam.

Antara mereka yang hadir dalam kegiatan ini termasuk tokoh-tokoh masyarakat, antaranya Kuswiyanto dan Suli Daim, anggota DPRD Jatim.

Satu juta lilin dinyalakan, sementara ada di kalangan peserta membaca tahlil. Senarionya amat harmoni sekali bila ada yang menyanyikan lagu Indonesia Raya.

Selepas itu, secara bergantian perwakilan setiap agama menzahirkan ucapan takziah dan belasungkawa.

Ternyata, pemergian Gus Dur meninggalkan duka dan impak yang mendalam pada seluruh masyarakat Indonesia.

Menurut salah seorang peserta dari organisasi masyarakat Lintas Merah Generasi, Toga Sidauruk, Gus Dur merupakan guru bangsa yang menjadi simbol kebanggaan bagi seluruh generasi.

"Kami kehilangan Gus Dur, tapi kami akan meneruskan perjuangan dan cita-citanya," kata Toga.

Dan satu pesanan Gus Dur sebelum ajal menjemputnya, arwah merindukan Bangsa Indonesia bersatu, damai, dan sejahtera.

Di tengah situasi politik yang kacau bilau seperti sekarang, pesanan Gus Dur itu sangat relevan.

"Melalui satu juta lilin ini seperti satu simbol yang satu juta orang bersedia untuk mewujudkan harapan Gus Dur," kata Toga.

Gerakan memperbaiki perhubungan antara agama yang dianuti pelbagai kaum dirintis Gus Dur sejak lama dan merupakan teras perjuangannya selama ini.

Apa saja yang dilakukan, sama sekali tak mengikis niat dan usaha Gus Dur untuk mewujudkan keadilan, kesetaraan, dan keragaman antara agama.

Meskipun kini Gus Dur telah tiada, segenap idea dan cita-citanya akan tetap dikenang.Rakyat Indonesia akan terasa kehilangan pahlawan demokrasi dan pejuang kaum minoriti ini.

Selama hayatnya, Indonesia cukup beruntung memiliki seorang tokoh agama dan politik seperti Gus Dur! Mstar/-

    Followers