Kemajuan Untuk Semua Bangsa Tanpa Mengira Warna Kulit atau Bangsa di bawah Agama Islam

Instagram

Instagram

Suara Ketenangan

Revolution Ads

Revolusi

28 Safar 1431H
Nazri Abdullah

KOTA BHARU, 11 Feb: Majoriti rakyat Kelantan menolak pemberian wang ehsan oleh kerajaan Pusat bagi menggantikan bayaran royalti petroleum terhadap negeri itu.

Dalam satu kaji selidik yang dibuat Pusat Kajian Strategik (PKS) Kelantan berhubung tuntutan royalti negeri itu, 80.8 peratus atau 5,721 dari 7,077 responden tidak bersetuju menerima wang ehsan berbanding royalti.

Manakala 1,023 atau 15.5 peratus sahaja bersetuju dengan tindakan kerajaan pusat tersebut.

Berhubung tindakan kerajaan negeri menuntut royalti pula, 95.1 peratus dari jumlah keseluruhan responden menyokong tindakan kerajaan negeri dan hanya dua peratus tidak bersetuju manakala 2.8 peratus lagi memberikan jawapan tidak pasti.

Sekiranya, tuntutan royalti tidak mampu diselesaikan melalui meja rundingan, 83.2 peratus atau 5,886 dari responden bersetuju tuntutan tersebut dipanjangkan ke mahkamah.

Ketua Pegawai Penyelidik PKS, Zainal Abidin Hussin ketika merumuskan hasil kajian itu berkata, rakyat Kelantan sememangnya menyokong dan bersama kerajaan negeri dalam menuntut hak royalti tersebut.

"Rakyat Kelantan bersama kerajaan negeri dalam usaha menuntut hak royalti seperti termaktub dalam Akta Pembangunan Petroleum (1974).

"Ini juga satu referendum rakyat negeri dan mereka menolak kaedah kerajaan pusat yang menukar royalti kepada wang ehsan," katanya.

Kaji selidik tersebut dibuat merangkumi sepuluh jajahan iaitu Kota Bharu, Bachok, Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah, Jeli, Machang, Pasir Puteh, Kuala Krai dan Gua Musang.

Responden pula adalah berumur 21 tahun ke atas mewakili pelbagai latar belakang kerjaya termasuk kakitangan kerajaan pusat, kerajaan negeri, swasta dan bekerja sendiri.

Kerajaan pusat sebelum ini mengumumkan akan memberi wang ehsan RM20 juta kepada Kelantan berbanding RM2 bilion royalti yang dituntut kerajaan negeri itu.

Harakahdaily.net/-

at 2/12/2010 10:42:00 AM Posted by Unknown 0 Comments

28 Safar 1431H

KOTA BHARU, 11 Feb: Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) memaklumkan Debat Royalti Petroleum yang dijadualkan pada 13 Februari ini di Kelantan Trade Centre (KTC) ditangguhkan.

Pengerusi Bersama Gegar, Dr Abdul Halim Yusof dan Mohamad Fauzi Abu Samah berkata, selaku penganjur pihaknya tidak menerima pengesahan kehadiran daripada dua orang ahli panel yang dijemput iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapha Mohamad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz.

“Surat jemputan ke program ini telah dihantar dan pegawai-pegawai di pejabat Yang Berhormat berkenaan telah mengesahkan menerima surat jemputan debat,” ujar mereka dalam satu kenyataan.

Walau bagaimanapun, kata mereka Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa dan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub masing-masing telah mengesahkan untuk hadir ke debat tersebut.

“Walaupun ditangguhkan, Gegar akan berusaha untuk menjayakan program debat seperti ini dan akan memaklumkan kepada orang ramai tarikh baru debat setelah mendapat persetujuan kehadiran daripada ahli-ahli panel,” ujar mereka.

Berikutan dengan keprihatinan dan komitmen ramai rakyat Kelantan kepada tuntutan royalti petroleum, Gegar juga merayu dan memohon seluruh rakyat negeri ini tanpa mengira di mana pun mereka berada untuk mengibarkan bendera negeri di kereta dan premis kediaman sepanjang bulan Mac ini.

Ini, kata untuk tujuan menandakan sokongan terhadap tuntutan rakyat Kelantan mendapatkan royalti petroleum seperti mana perjanjian tahun 1975 yang telah dimeterai.

Di samping, ia juga menandakan sokongan rakyat Kelantan dalam mendokong semangat Persekutuan Malaysia dan Kelantan sebagai negeri di bawah Persekutuan hendaklah diberikan hak-hak menurut Perlembagaan, undang-undang dan perjanjian yang telah termerai.

Selain itu, kata mereka, ia juga bersempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan yang akan menjelang tidak lama lagi di mana rakyat negeri ini menzahirkan perasaan kasih dan dekatnya rakyat kepada kepada Tuanku al-Sultan.

“Gegar menyeru seluruh rakyat negeri Kelantan terus berdoa agar Allah mengurniakan kesihatan yang baik, kesejahteraan, rahmah dan inayah-Nya kepada Tuanku Sultan Kelantan,” ujar mereka.

Harakahdaily.net/-

at 2/12/2010 10:40:00 AM Posted by Unknown 0 Comments

28 Safar 1431H

BESUT, 11 Feb: Kemelut yang melanda Umno Terengganu nampaknya semakin membarah apabila kain rentang satu program timbalan presiden parti itu yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini tidak dipaparkan sebarang jawatannya.

Kain rentang yang memaklumkan Majlis Kecemerlangan Pendidikan Bersama Muhyiddin yang akan diadakan di Dewan Majlis Daerah Besut, di sini pada Sabtu ini yang dipasang di beberapa lokasi di Jertih termasuk di hadapan pejabat Umno bahagian langsung tidak menyebut jawatannya sama ada di dalam kerajaan mahupun parti.

Walaupun penganjur program tidak dinyatakan, namun berdasarkan lambang Umno yang terdapat pada kain rentang itu menunjukkan bahawa majlis kecemerlangan itu dianjurkan oleh Umno.

Pada sesetengah pemerhati, adalah tidak munasabah sama sekali pemimpin nombor dua negara seperti Muhyiddin itu tidak diletakkan sebarang jawatannya sama ada di dalam kerajaan atau parti.

Paling tidak pun, jawatan sebagai Menteri Pelajaran ditulis pada kain rentang itu kerana ia berkaitan dengan majlis kecemerlangan pendidikan di samping menyebut Besut, bumi ulul albab.

Orang ramai turut mempertikaikan tindakan pihak berkenaan yang langsung tidak menyebut jawatan Muhyiddin, sedangkan ketua cawangan atau bahagian Umno lazimnya ditulis pada kain rentang atau poster untuk sesuatu program yang diadakan.

“Tak kan jawatan Muhyiddin lebih rendah daripada ketua cawangan atau bahagian Umno atau langsung tak ada jawatan dalam kerajaan sedangkan beliau adalah Timbalan Perdana Menteri,” getus seorang petugas parti.

Apapun, situasi panas yang melanda Umno negeri, ditambah pula dengan tersingkirnya ketua Umno bahagian sebagai menteri besar selepas Pilihan raya Umum ke-12 lalu dan pelantikan Naib Presiden Umno menerajui Umno negeri ini sudah cukup untuk menggambarkan betapa kemelut yang melanda itu tidak mudah untuk diredakan.

Sementara itu, penjaga pelajar melahirkan rasa sangat menyampah dengan apa yang dilakukan oleh Umno yang memperalatkan Pejabat Pelajaran Besut dalam mengadakan majlis kecemerlangan pendidikan itu.

Bagi mereka, tidak patut sama sekali dalam majlis yang dihadiri sama oleh murid cemerlang UPSR dan PMR 2009 itu, meletakkan agenda nyanyian lagu Umno sebelum acara bermula yang hanya sesuai kalau ia dilaksanakan dalam perhimpunan parti itu.

Harakahdaily dimaklumkan setiap sekolah rendah, guru diwajibkan hadir seramai 19 orang manakala sekolah menengah pula ialah 30 orang.

Harakahdaily.net/-

27 Safar 1431H

Isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tidak akan dilantik semula sebagai canselor Universiti Industri Selangor (Unisel) apabila tamat tempohnya Jun ini, kata exco negeri, Dr Xavier Jayakumar.

"Kita tidak berhentikan dia. Kita cuma tidak melantiknya semula," katanya ketika ditemui di perkarangan kompleks mahkamah di Jalan Duta hari ini.

Menurutnya, ia belum diputuskan secara rasmi oleh kerajaan negeri.

"Tapi ia sudah dibincangkan secara tidak formal bersama menteri besar," katanya lagi ketika diminta menjelaskan satu tulisan ringkasnya di twitter mengenainya.

Sebelum ini, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan pelajar Unisel sendiri telah mendesak kerajaan supaya menggugurkan Rosmah sebagai canselor universiti berkenaan.

Malaysiakini/-

at 2/11/2010 10:02:00 AM Posted by Unknown 0 Comments

27 Safar 1431H
Rizal Tahir

KOTA BHARU, 10 Feb: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan suasana aman di lima buah negeri Pakatan Rakyat diragut Umno apabila melakukan kudeta di Perak.

Sedangkan katanya, selepas pilihan raya umum lalu, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan berada dalam keadaan aman.

“Pergolakan berlaku bermula dengan hari rampasan kuasa sehingga tidak berkesudahan sebagaimana dilakukan pihak tidak bertanggungjawab itu.

“Kelantan alhamdulillah termasuk tidak berlaku huru hara kerana tidak berlakunya perancangan rampasan kuasa,” katanya ketika ditemui selepas majlis jamuan perpisahan dua bekas setiausahanya, Annual Bakri Haron dan Mohd Saiba Yaakub.

Annual meletak jawatan sebagai Setiausaha Politik akhir tahun lepas dan Mohd Saiba tamat kontrak pelantikan awal Febuari lalu.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, berlakunya rampasan kuasa di Perak menyebabkan rakyat sedar kerja tersebut merupakan perkara mungkar yang tidak bermoral.

Oleh itu, beliau meminta orang ramai melahirkan rasa benci kepada mereka yang menggadaikan maruah rakyat dengan melakukan kudeta.

Katanya, perasaan benci wajar ditanam terhadap mereka yang kufur dan fasik kerana Islam mengajar agar menanam kebencian terhadap golongan seperti itu.

Beliau juga berkata, tidak wajar dilakukan demontrasi terhadap penggunaan kalimah Allah oleh penerbitan Herald memandangkan ia telah lama digunakan bukan Islam di tanah Arab.

Harakahdaily.net/-

at 2/11/2010 10:01:00 AM Posted by Unknown 0 Comments

27 Safar 1431H
Roslan SMS

Saya tertarik dengan tajuk akhbar The Star hari ini yang menyiarkan ulasan Perdana Menteri Najib Tun Razak terhadap keputusan 5-0 Mahkamah Persekutuan semalam. Akhbar itu membawa tajuk:Give Zambry a chance, says Najib
(Beri Zambry peluang kata Najib)

Beliau berkata dengan keputusan ini Zambry sepatutunya diberi peluang memimpin Perak dan sebarang masalah atau ketidakpuasan hati terhadap pentadbiran BN Perak dibawa pada PRU akan datang.

Bagi saya itu saranan yang bijak cuma malangnya kenapa hanya di Perak? Kenapa tidak begitu juga di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor? Sepatutnya beliau juga menyarankan:

Give Nik Aziz, Azizan, Guan Eng and Tan Sri Khalid a chance!

Macam mengapa di negeri-negeri Pakatan Rakyat ini kerajaan Persekutuan BN terus menganggu dan tidak memberi kebebasan pada kerajaan-kerajaan negeri pilihan rakyat mentadbir negeri masing-masing.

Contohnya mengapa perlu ada JKKKP apabila kerajaan negeri sudah melantik JKKK nya? Mengapa peruntukkan kepada kerajaan-kerajaan negeri ini disekat-sekat? Mengapa kerajaan negeri tidak dilibatkan dalam program Persekutuan di negeri masing-masing? Mengapa apabila PM dan Menteri turun ke negeri-negeri ini, kerajaan negeri dianak-tirikan?

Benar beri peluang pada Zambry, tapi jangan pula dipinggirkan Nik Aziz, Azizan,Guan Eng dan Tan Sr Khalid. Sebagai PM Najib perlu sedar bahawa kerajaan-kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor juga sah dan perlu dihormati dan diberi pengiktirafan. Negeri-negeri ini semua membentuk Persekutuan Malaysia,oleh itu sebagai PM Persekutuan beliau perlu adil dan saksama pada semua negeri-negeri yang bernaung di bawah Persekutuan.

Kalau BN Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor ghairah sangat mahukan kuasa, tunggu-tunggulah sehingga PRU ke 13 nanti apabila rakyat keluar kembali untuk membuat keputusan. Sementara itu hormatilah keputusan rakyat dimana-mana pun.

Harakahdaily.net/-

26 Safar 1431H
Johari Jaafar

IPOH, 10 Feb: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin mahu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir tidak mendiskriminasi Adun Pakatan dan menunjukkan keikhlasan jika benar-benar mahu mereka memberikan kerjasama.

Pada sidang media di Pejabat PAS Perak malam tadi, beliau berkata, Adun Pakatan sedia memberikan kerjasama untuk kemajuan dan pembangunan negeri namun segala sekatan ke atas Adun Pakatan Rakyat perlu dihentikan.

Ianya termasuk tidak menghalang peruntukan kepada setiap Adun Pakatan Rakyat supaya mereka dapat meneruskan khidmat kebajikan kepada rakyat tanpa batasan perkauman dan fahaman politik.

Adun Pakatan juga perlu diberi kebenaran menggunakan dewan-dewan orang ramai untuk kebaikan rakyat.

Nizar juga mahukan Kerajaan BN Perak memberikan ruang yang secukupnya kepada Pakatan Rakyat untuk turut serta dalam Jawatankuasa Tindakan Dewan Negeri.

Pada sidang media itu juga Nizar turut menyatakan rasa sedihnya di atas keputusan Mahkamah Persekutuan, yang memihak kepada Zambry, sambil menyifatkan keputusan tersebut sebagai satu sejarah hitam, bukan sahaja bagi negeri Perak, malah bagi seluruh negara.

Keputusan yang dibuat oleh lima hakim Mahkamah Persekutuan tersebut katanya, memperlihatkan seolah-olah menyokong kerajaan haram di Perak dengan hujah-hujah yang tidak konsisten berbanding dengan kes-kes yang hampir sama berlaku di Sabah.

Mengenai kemungkinan beliau membuat rayuan ‘review’ terhadap penghakiman tersebut, Nizar menegaskan beliau tidak berminat dan tidak mahu membuang masa kerana urusannya sangat rumit.

Nizar memberi jaminan bahawa Pakatan Rakyat akan bertindak sebagai pembangkang yang kuat dan sihat serta berkesan dalam Dewan Undangan Negeri Perak dan dalam masa yang sama akan meneruskan kerja-kerja sebagai wakil rakyat yang prihatin terhadap masalah rakyat.

Harakahdaily.net/-

    Followers