Kemajuan Untuk Semua Bangsa Tanpa Mengira Warna Kulit atau Bangsa di bawah Agama Islam

Instagram

Instagram

Suara Ketenangan

Revolution Ads

Revolusi

27 Syawal 1431 H
Oleh: Ali Hashim

SEBERANG PRAI, 5 Okt: Perbicaraan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu dan sembilan yang lain setelah ditangguhkan untuk beberapa kali sebelum ini sekali lagi telah ditangguhkan selepas perbicaraan yang berjalan bermula pada jam 10.00 pagi tadi di Mahkamah Majistret Jawi, Seberang Perai Selatan.

Majistret Mohd Izham Ali yang mendengar kes perbicaraan tersebut telah menangguhkan kes tersebut pada 29 dan 30 November yang akan datang.Perbicaraan yang melibatkan ramai dari pendokong PAS itu telah tiba sejak awal pagi bersama-sama dengan Mohamad Sabu.

Namun begitu selepas perbicaraan berjalan selama hampir dua jam, ia telah ditangguhkan kepada tarikh tersebut.

Menurut kertas pertuduhan, kesemua mereka telah dituduh menghalang anggota polis berpangkat Superitenden Mohd Nasir Salleh daripada menyerahkan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret, Jalan Duta, Kuala Lumpur terhadap Mohamad Sabu.

Kesalahan tersebut didakwa telah dilakukan di hadapan Plaza Tol Bukit Tambun, Seberang Perai Selatan, lebuhraya PLUS berhadapan susur keluar lebuhraya dari arah Kuala Lumpur ke Pulau Pinang pada jam 7.45 malam 9 Disember 2007.

Kesemua mereka juga dituduh menurut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang mana membawa humuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10 ribu atau kedua-duanya sekali sekiranya disabit akan kesalahan.

Dalam perbicaraan yang diadakan tadi, kesemua yang dituduh terdiri dari Mohamad Sabu, Fauzi Saharat, Abd Rahim Md Ariff, Zairun Azrul Zainal Abidin, Zamarul Aini Abdul Malek, Mohd Bunyamin Ishak, Md Lazim Osman, Abd Razak Ramli, Mohd Sabri Said dan Mohamed Salleh hadir.

Mohamad Hanipa Maidin bersama-sama dengan Aminuddin Zulikifli dan Yusnita Yusoff mewakili kesemua tertuduh.

Apa yang menariknya semasa sesi perbicaraan tersebut, apabila Hanipa menyoal balas saksi pendakwa dalam perbicaraan tadi telah beberapa kali memohon kepastian sama ada ada atau tidak waran tangkap diterima secara bertulis dan diserahkan kepada Mohamad Sabu semasa tangkapan hendak dilakukan.

Saksi pendakwa yang berpangkat ASP itu beberapa kali menyatakan bahawa beliau hanya menurut arahan pihak atasan secara lisan dan tidak ada waran tangkap secara bertulis yang diserahkan kepada tertuduh.

Hanipa untuk beberapa kali mengulangi soalan yang sama kepada saksi pendakwa apakah arahan boleh mengatasi undang-undang atau dari mana-mana kuasa sekalipun sedangkan tertuduh tidak dibekalkan secara hitam putih waran tangkap untuk diserahkan kepadanya.

Namun begitu saksi pendakwa tetap menyatakan beliau hanya menurut arahan pihak atasan walaupun bertindak tanpa waran tangkap yang perlu diserahkan kepada tertuduh.

Antara beberapa soalan menarik yang ditanya oleh Hanipa.

Hanipa: Tertuduh (Mohamad Sabu) tidak ditunjukkan surat waran tangkap, apakah beliau boleh ditangkap begitu sahaja.

Saksi pendakwa: Saya hanya mengikut arahan pihak atasan.

Hanipa: Apakah arahan boleh mengatasi undang-undang atau dari mana-mana pihak sekalipun.

Saksi pendakwa: Saya hanya menerima arahan.

Hanipa: Jika terima arahan apakah tangkapan ini tidak bercanggah dengan undang-undang. Kenapa tidak minta waran tangkap.

Saksi pendakwa: Saya terima arahan ketua sahaja.

Hanipa: Antara arahan ketua dan undang-undang mana yang perlu dipatuhi?

Saksi pendakwa: Undang-undang.

Harakahdaily/-

27 Syawal 1431 H
Oleh: Rizal Tahir

KOTA BHARU, 5 Okt: Ketua Perhubungan Orang Asli Dun Galas, Pandak Panjang Ey berkata, masyarakat Orang Asli tidak rasa tersisih dan malahan rasa dihargai oleh kerajaan negeri melalui majlis rasmi kerajaan bersama mereka.

Beliau menyatakan demikian sewaktu berucap di Majlis Ramah Mesra Pimpinan Kerajaan Bersama Masyarakat Orang Asli di Kediaman Rasmi JKR 10, di sini.

Beliau juga berharap agar kerajaan negeri sentiasa mengadakan program-program seperti itu di masa yang lain.

Justeru, katanya masyarakat Orang Asli di Dun berkenaan akan memastikan calon PAS memenangi pilihan raya kecil nanti.

Pandak akan mewujudkan jentera daripada masyarakat Orang Asli sendiri.

“Di Dun Galas terdapat sebanyak enam peti undi Orang Asli dan saya akan wujudkan jentera dari masyarakat Orang Asli,” katanya.

“Jentera ini akan melakukan kerja-kerja kempen kepada masyarakat Orang Asli dan juga kepada orang masyarkat lain juga.

Ujarnya, beliau akan memberi tumpuan kepada masyarakatnya terlebih dahulu tetapi sekiranya dipanggil untuk berceramah di mana-mana kawasan berkempen, beliau bersedia.

Seramai 80 orang masyarakat Orang Asli hadir di majlis berkenaan yang terdiri dari enam unit peti undi (UPU) yang terdapat di dalam Dun Galas iaitu UPU Pos Brooke, UPU Sungai Ber, UPU Pos Hau, UPU Pos Belatin, UPU Pos Balas dan UPU Pos Bihai.

Untuk rekod, terdapat seramai 1996 orang pengundi dari masyarakat Orang Asli di dalam Dun Galas dan majoritinya dari suku kaum Temiang.

Harakahdaily/-

27 Syawal 1431 H
Oleh: Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 5 Okt: Masyarakat Orang Asli dari Gua Musang memberi sokongan padu kepada kepimpinan ulama di Kelantan dan sanggup bekerja keras bagi membantu kemenangan PAS dalam pilihan raya kecil N45 Dun Galas nanti.

Menurut wakil Masyarakat Orang Asli, Pandak Bin Panjang Ey, 39, kejayaan PAS di Gua Musang juga dibantu oleh kaum mereka dan untuk kali ini mereka sanggup membina satu pasukan sendiri bagi memberi penerangan kepada masyarakat Orang Asli dan Melayu di dalam Dun Galas.

“Saya berharap untuk pilihan raya kecil kali ini, PAS Kelantan memberi kebebasan kepada jentera yang dibentuk oleh kami bagi memberi penerangan tersendiri kepada orang kami dan kalau boleh kami ingin menjadi penceramah di pentas PAS di kawasan orang Melayu juga,” ujar beliau yang disambut dengan tepukan orang ramai.

Beliau berucap demikian di Majlis Ramah Mesra Pimpinan Negeri Bersama Masyarakat Orang Asli di Kediaman Rasmi JKR 10.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub mewakili Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada majlis yang turut dihadiri Speaker Dun Kelantan, Datuk Nasruddin Daud dan Exco Kerajaan Negeri.

Pandak juga berharap kerajaan Kelantan lebih peka tentang permasalahan masyarakat Orang Asli terutamanya berkaitan dengan masalah pemilikan tanah.

Sementara itu, Datuk Ahmad Yakub berkata, pelbagai dasar dan pelaksanaan telah dibuat untuk meningkatkan ekonomi dan pembangunan masyarakat Orang Asli.

Beliau juga memberitahu, sehingga kini seramai 240 Orang Asli telah dimasukkan dalam senarai peserta Ladang Rakyat.

“Kita seberapa daya usaha telah membawa perubahan dalam kehidupan masyarakat Orang Asli ini dan alhamdulillah, kerjasama dari tuan-tuan amat memberangsangkan,” kata beliau.

Harakahdaily/-

27 Syawal 1431 H
Oleh: Nazri Abdullah

SINGAPURA, 6 Okt: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat semalam diterima sebagai tetamu kehormat bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.

Beliau ke negara republik itu bagi memberi penghormatan dan mengucapkan takziah kepada keluarga Kuan Yew berikutan kematian isterinya, mendiang Kwa Geok Choo.

Deligasi Tuan Guru Nik Aziz yang juga Musryidul Am PAS tersebut turut disertai Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa dan dua setiausahanya yang lain.

Ketibaan rombongan di Lapangan Terbang Changi, Singapura jam 10.20 pagi semalam, disambut Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Dr Ahmad Faisal Muhamad.

Mereka kemudianya ditempatkan sementara di bilik rehat di VIP Complex sebelum dibawa menziarah mendiang Kwa di Sri Temasek, kediaman rasmi Lee di Istana di sini.

Kunjungan ke Istana kemudiannya disambut anak kepada mendiang Kwa, Lee Hsien Loong yang juga Perdana Menteri republik ini sekarang.

Nik Aziz dibawa menziarah mendiang Kwa sebelum diberi peluang bertemu dan berbual-bual dengan Hsien Loong yang sentiasa berada di sisi mendiang ibunya sejak lawatan dibuka kepada umum semalam.

Semalam juga adalah hari terakhir untuk rakyat negara itu memberi penghormatan sebelum jenazah mendiang dibawa ke Mandai Crematorium hari ini untuk upacara terakhir.

Kwa, 89, meninggal dunia di rumahnya pada petang Sabtu lalu.

Ketika ditemui selepas lawatan itu, Nik Aziz berkata beliau mengharapkan ahli keluarga sabar menerima ketentuan tersebut.

(Gambar kiri: Tuan Guru bersama Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura.)

"Saya hadir untuk ucap takziah kepada keluarga Kuan Yew. Jangan bersedih sangat dan saya yakin mereka sabar terima ketentuan ini," katanya ketika ditanya beberapa wartawan tempatan dan antarabangsa.

Menurutnya lagi, penganut Islam mempercayai bahawa hidup dan mati adalah kepunyaan Allah, dan dia berkuasa ke atas hamba-Nya.

"Semasa kita hidup ini kita kena isi betul-betul untuk keredhaan Allah sebab kita mati akan jumpa Dia (Allah).

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan lawatan tersebut juga adalah sebagai kunjungan balas terhadap lawatan Kuan Yew ke Kota Bharu awal tahun ini.

Nik Aziz bagaimanapun tidak dapat bertemu dengan Lee Kuan Yew sendiri semalam ekoran masalah kesihatan bekas perdana menteri Singapura itu dengan ditambah pula dengan suasana kematian isterinya.

Kuan Yew kini sedang mendapat rawatan ekoran infeksi pada paru-parunya selepas lawatan ke Eropah, baru-baru ini.

Difahamkan, pihak hospital juga tidak membenarkan Kuan Yew menerima kunjungan tetamu buat sementara waktu.

"Lee Kuan Yew datang melawat Kelantan awal tahun ini, dan ini adalah kunjungan balas saya.

"Walaupun tidak dapat bertemu, saya harap beliau berada dalam keadaan sihat," katanya.

Harakahdaily/-

24 Syawal 1431H
Dr. Azman Ibrahim

Seumur hidup saya tidak pernah menghadiri sebarang program ceramah Umno dan tidak pernah berminat untuk curi-curi dengar ‘klentong’ penceramah-penceramah upahan mereka. Tapi semalam ketika dalam perjalanan pulang dari menyampaikan kuliah maghrib dan menziarahi kematian di Jabi, hati saya tergerak untuk berhenti seketika di hadapan Sekolah Kebangsaan Padang Luas, Jerteh, lokasi ceramah Umno yang kalau
mengikut poster yang tersebar bertajuk ‘DAP Anti Islam’.

Entah apa relevannya tajuk ini sedangkan Besut yang menjadi lokasi ceramah ini tidak mempunyai walaupun setengah cawangan DAP. Tambahan pula Najib sendiri menawarkan diri kepada Obama untuk mengatasi masalah Islamophobia, tiba-tiba Idris Jusoh menganjurkan ceramah untuk mengapi-apikan sentimen agama dan menyemai kebencian kepada penganut agama lain. Penceramahnya: Idris Jusoh, Alwi Che Ahmad dan seorang yang bernama Abdullah Sa’amah. Saya tidak mengenalinya walaupun dikatakan dia Tok Guru Pondok Genting, Tumpat. Pernah terlihat nama dan gambarnya bersama-sama pemimpin-pemimpin Umno di poster-poster ceramah anjuran Umno Kelantan tetapi saya tidak begitu ambil pusing. That’s not my business. Ketika saya tiba ‘Tok Guru’ ini sedang berceramah.

Entah berapa upah yang diterimanya malam tadi sehingga begitu bersemangat sekali ‘Tok Guru’ ini berceramah diiringi paluan gendang oleh budak-budak Umno (saya tak pasti pemuda atau putera Umno yang berbaju lambang dacing memenuhi satu kanopi sebagai pasukan sorak dan gendang). Di atas pentas kelihatan beberapa pemimpin Umno tempatan tersenyum kelat dan tertawa, entah kerana lucu atau mentertawakan hujah-hujah dangkal penceramah upahan ini. Trade mark kepada penceramah ini adalah perkataan ‘gilo’ (gila). Tak kurang dari 30 kali perkataan ‘gilo’ diulanginya untuk mengutuk PAS dan PKR. “Baso gilo”, “puak-puak gilo”, “jenis gilo”, “orang gilo”, “Nik Aziz gilo”, “gilo nok jadi PM”, “menate gilo”, “kena masuk hospital gilo”, “penyakit gilo”, “pemimpin gilo” dan macam-macam lagi jenis ‘gilo’ yang diulang-ulang sebut. Sehingga saya mari terfikir, gilakah ‘Tok Guru’ ni?

Rupanya benar sebagaimana pernah dikhabarkan seorang sahabat dari Dewan Pemuda Pas Kelantan bahawa ‘Tok Guru’ ini pernah ‘berfatwa’ dalam satu ceramahnya di atas pentas UMNO di Tumpat. “Tuan-tuan sokonglah Umno. Ambo beri jaminan siapa yang sokong Umno, dia akan selamat dunia akhirat.” Begitulah taksubnya ‘Tok Guru’ ini dengan Umno. Semalam dia kata “kita kena lawan puak-puak gilo ni (PAS dan PKR). Melawan puak gilo ni adalah jihad di jalan Allah. Nik Aziz kalu tak pandai memerintah, turun! kalu tak dak ore nak ganti, biar ambo ganti. Ni Tok Guru Haji Loh, Tok Guru hok Sengoti.” Ujarnya angkuh. Sekali lagi terdetik di hati saya, gilakah ‘Tok Guru’ ni?

Malangnya Umno, kerana terpaksa mempergunakan khidmat manusia sebegini untuk meraih sokongan. Saya cuba meneliti kalau-kalau ada hujah beralaskan fakta yang dikemukakan, tapi ternyata sekadar tin kosong, yang mengambarkan butanya penceramah ini dengan fakta sebenar atau dia sengaja membutakan mata demi RM yang mengalir ke dalam poketnya. Intipati ceramahnya cuba untuk mengambarkan khianatnya PAS dan PKR bersekongkol dengan DAP untuk menghakis hak orang Melayu Islam di Negara ini. “Puak-puak ni memang gilo, beri tanah kepada orang Cina, bantuan kepada Sekolah Cina. Sekolah Melayu bakpo tak bantu. Kita nak kata apa lagi kalu bukan kerja gilo.” Seranah ‘Tok Guru’ ni lagi disambut paluan gendang dan tepukan hadirin. Mungkin tak sampai maklumat kepada dia, Umnolah yang bertanggungjawab menghentikan bantuan kepada SAR.

Kerajaan Pakatan Rakyat yang bertanggungjawab memberikan semula bantuan kepada SAR termasuklah Kerajaan Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng yang dikatakan kerajaan kafir harbi. Masih saya ingat, Saudara Misbah, bekas Setiausaha Politik MB Perak memaklumkan bahawa Dato’ Ngeh Kho Ham, Pengerusi DAP Perak telah mencadangkan di dalam satu mesyuarat EXCO supaya diluluskan pemberian tanah 100 ekar kepada Pondok Pok Teh, Pengkalan Hulu supaya boleh diusahakan dan menjadi sumber ekonomi kepada pusat pengajian Islam ini. Sedangkan Allahyarham Pok Teh, Tok Guru Pondok ini yang telah kembali kerahmatullah beberapa hari lepas telah belasan tahun memohon tanah tersebut dari kerajaan Umno tetapi tidak dilayan, padahal Pok Teh adalah ahli majlis fatwa Negeri Perak.

Disamping kerajaan PR Perak telah memberikan hak milik Tanah kepada orang Cina, penduduk Kampung Baru yang dah hampir 2 generasi tinggal di situ tanpa dapat hak milik, Kerajaan PR Perak juga telah mengurniakan hak milik tanah kepada orang Melayu di Kampung Tersusun dengan jumlah yang jauh lebih banyak berbanding kepada orang Cina.

Buku Sejarah Melayu Tingkatan Lima dibawanya dan ditujukkan kepada hadirin, “inilah dia rujukan Perlembagaan Malaysia yang telah dipertahankan oleh Umno puluhan tahun tapi dirosakkan oleh DAP, PAS dan PKR.” Disambut dengan tepukan dan paluan gendang pemuda Umno. Saya sekadar ketawa di dalam hati. Kenapa Idris Jusoh tak bekalkan dia Buku Perlembagaan yang sebenar walaupun sekadar untuk ditunjukkan kepada hadirin sebab kalau baca pun belum tentu dia boleh faham. “Pemimpin Umno adalah Hang Tuah yang mempertahankan orang melayu, DAP ni kafir harbi yang menentang Negara Islam. Pemimpin DAP kata, nak tubuh Negara Islam, langkah mayat dia dulu! Gilonya pemimpin PAS sehingga baca doa untuk orang kafir harbi dalam khutbah Jumaat. Memang gilo sungguh!” Ujarnya, mungkin merujuk kes doa untuk YAB Lim Guan Eng dalam khutbah Jumaat di Pulau Pinang yang dah diperjelaskan secara panjang lebar, bagaimana hukum berdoa untuk orang bukan Islam dan dah lama selesai. Saya tidak berminat untuk mengulanginya lagi. “Kalu kita lok (biar) Negara kita kepada puak-puak gilo ni, jawabnya orang Melayu akan jadi serupa Melayu Singapura. Hilang dari muka bumi.” Akhir sekali dia ‘berwasiat’. “Kita kena beri sokongan padu kepada Dato’ Seri Idris, Dato’ Abdullah Mohd Zain dan pastikan puak-puak gilo ni tak dapat walaupun satu undi dalam pilihanraya akan datang.”

Astaghfirullah, begini sekali rendahnya akhlak dan peribadi ‘Tok Guru’ ni dan butanya dia dengan maklumat semasa. Nak banding dengan Tok Guru Nik Aziz yang dikatakannya ‘gilo’, jauh bumi dengan langit.

Moralnya, hinanya manusia yang menjadi penjilat kebatilan.

24 Syawal 1431H.

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan cadangan untuk menamakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas sebagai tidak wajar.

Menteri Besar Kelantan itu, menyifatkan cadangan itu juga sebagai merendahkan darjat Tengku Razaleigh yang tidak layak sama sekali bagi seorang pemimpin veteran itu bertanding di peringkat DUN.

"Saya boleh sebut ini dah melampau. Ku Li (Tengku Razaleigh) bukan taraf dia (bertanding di DUN), dia menteri dah. Dia dah ke Parlimen dan turun ke DUN ini ada benda tak betul.

"Tak jaga lidah betul (cadangan pilih Tengku Razaleigh), jagalah lidah sikit. Ku Li ni berketurunan raja dan (pernah) jadi Menteri Kewangan tiba-tiba nak letak di DUN. Ini tak betul. Ada masalah lain le ni," katanya.


24 Syawal 1431H.
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 2 Okt: Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli menyifatkan cadangan Tan Sri Muhyidin Yassin agar Tengku Razaleigh Hamzah dipilih sebagai calon BN di Galas adalah satu penghinaan kepada Ketua Umno Gua Musang itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai berkata, tindakan Umno itu juga adalah cubaan menghilangkan pengaruh Tengku Razaleigh yang dahulunya satu nama besar dalam sejarah Umno.

"Cadangan ini satu penghinaan kepada Ku Li selepas jadi menteri kini di minta duduk dalm Dun jadi Adun pembangkang pula," katanya.

Bagi beliau, nilai Razaleigh adalah jawatan Perdana Menteri dan tidak layak untuk jawatan yang lebih rendah daripada itu.

Oleh itu, apabila Muhyidin mencadangkan beliau menjadi calon, ia bukan untuk kepentingan Ku Li tetapi menjaga kepentingan politik Umno semata-mata.

"Muhyidin ingat Ku Li boleh menyelamatkan maruah Umno tetapi dalam masa yang sama dia tidak sedar ini satu penghinaan kepada Ku Li," kata Hatta lagi.

Selepas dilantik sebagai pengarah pilihan raya kecil Dun Galas, Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang dicadangkan menjadi calon pula.

Ini kerana, kata beliau, Muhyidin yakin hanya Razaleigh yang boleh memenangkan Umno dalam pilihan raya kecil ini.

Sehingga kini, Razaleigh yang masih berada di luar negara belum memberi sebarang respons sama ada menerima cadangan berkenaan atau sebaliknya.

Bagi PAS pula, mereka kini sudah mengenal pasti calon yang bakal diketengahkan dan senarai pendek calon akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatan kuasa parti petang esok.


    Followers