Kemajuan Untuk Semua Bangsa Tanpa Mengira Warna Kulit atau Bangsa di bawah Agama Islam

Instagram

Instagram

Suara Ketenangan

Revolution Ads

Revolusi

1 Muharram 1431H.

Parti-parti komponen Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP tidak akan mampu untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) secara bersendirian, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Justeru, Guan Eng berkata, PR perlu mencetus serta mencorakkan gelombang rakyat tanpa mengira kaum untuk bersama-sama pakatan itu bagi menumbangkan BN yang semakin rakus membolot kekayaan negara menjelang pilihanraya umum (PRU) ke-13.

“Selagi media arus perdana, wang dan jentera kerajaan terus dikuasai oleh BN, maka PR berada dalam keadaan yang tidak setara atau setanding untuk bertarung dengan BN, hanya gelombang kuasa rakyat jelata yang mampu untuk menumbangkan BN,

“Itulah semangat atau intipati yang ingin kita tiup dan sampaikan dalam Konvensyen Kebangsaan PR yang akan diadakan pada 19 Disember ini dengan Pulau Pinang sebagai tuan rumah selepas Selangor menganjurkannya buat kali pertama tahun lalu,

“Konvensyen Kebangsaan PR kali ini sangat penting kerana ia mungkin menjadi persidangan utama PR terakhir sebelum pilihanraya umum (PRU) ke-13 yang dijangka pada suku pertama tahun hadapan, ” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, BN semakin rakus membolot kekayaan negara tanpa mengambil kira ekonomi rakyat apabila menaikkan harga petrol RON95, diesel, harga gas asli cecair (LPG) dan harga gula.

Yang peliknya, kata beliau, syarikat-syarikat penjana tenaga persendirian atau IPP milik antara orang terkaya di Malaysia, umpamanya, terus menikmati subsidi gas.

Konvensyen kali kedua itu akan diadakan di Dewan Melinnium, Kepala Batas, Pulau Pinang pada 19 Disember ini dan dijangka dihadiri kira-kira 3,000 perwakilan.

Mereka termasuk pimpinan utama Pakatan seperti ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; penasihat DAP, Lim Kit Siang; presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Guan Eng yang juga setiausaha agung DAP, serta beberapa perwakilan asing.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, walaupun Pulau Pinang di bawah pentadbiran Pakatan terus menerima asakan dan tohmahan Umno dan BN, namun pihaknya yakin rakyat akan tetap bersamanya.

Katanya, ini kerana rakyat tahu bahawa kerajaan negeri Pakatan sentiasa mengutamakan rakyat dan mentadbir negeri secara cekap, berakauntabiliti dan telus.

“Jika rakyat terus menyokong BN, maka mereka harus bersedia untuk menerima lebih banyak kenaikan harga minyak, tepung, susu, gula dan barangan keperluan asas lain sepertimana yang pernah diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU), ” tambahnya.

Malaysiakini/-

Nazri dan Hazayani

KUALA LUMPUR, 5 Dis: Kira-kira 15,000 orang yang menyertai perhimpunan aman membantah kenaikan harga air oleh Syabas di pekarangan Masjid Negara terpaksa berpecah kerana disuraikan dengan semburan air dan gas oleh pasukan polis.

Ini ekoran pihak polis menghalang semua laluan menunju ke Istana Negara.

Mereka yang berkumpul sejak sebelum waktu Zohor pada mulanya berada dalam suasana tenang sementara menunggu ketibaan pemimpin Kerajaan Selangor untuk menyerahkan memorandum membantah kenaikan tarif itu kepada Yang di-Pertuan Agong.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid berkesempatan menyampaikan ucapan yang sebahagiannya adalah daripada kandungan memorandum itu kepada orang ramai.

Pihak polis membenarkan rombongan beliau dengan tiga buah kereta ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum berkenaan.

Sebaik sahaja anggota rombongan meninggalkan kawasan Masjid Negara, pihak polis mulai menyurai peserta himpunan aman itu termasuk menggunakan gas pemedih mata dan semburan air daripada jentera water cannon.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyampaikan ucapan.

Sebahagian peserta himpunan aman membantah kenaikan harga air oleh Syabas di perkarangan Masjid Negara.

AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu turut menyertai rakyat menolak penswastaan air.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Mohd Salleh turun bersama rakyat menyatakan bantahan.

Rakyat dari pelbagai lapisan yang menyertai bantahan kenaikan harga air oleh Syabas.

Pasukan polis membuat halangan.

Jentera water cannon menyebur air dan melepasjan gas pemedih mata kepada peserta himpunan aman.



Harakahdaily/-

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 5 Dis: Kira-kira 50 peserta himpunan 'Kembalikan Hak Air Selangor', yang mahu berarak menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong di Istana Negara, ditahan pihak polis.

Penangkapan bermula seawal lima minit perarakan dimulakan dari masjid negara- tempat peserta berkumpul- menuju ke jalan utama di hadapan Stesen Keretapi Kuala Lumpur.

Kekecohan berlaku apabila peserta bertembung dengan pihak polis yang membuat sekatan bagi menghalang pergerakan peserta himpunan ke Istana Negara.

Pada perhimpunan di Masjid Negara sebelum itu, para peserta difahamkan polis akan mengawal perarakan hari ini sihingga sampai ke Istana, bagaimanapun keadaan sebaliknya berlaku apabila sekumpulan polis mengadakan benteng dihadapan stesen keretapi.

Tidak cukup dengan itu, beberapa trak water cannon juga sudah bersedia manakala pasukan FRU pula berbaris dengan senapang gas pemedih mata.

Tidak berpuas hati dengan sekatan itu, para peserta himpunan mula merempuh halangan pihak polis dan berjaya melepasinya.

Biarpun berjaya, pasukan FRU yang menunggu di hadapan himpunan mula melepaskan gas pemedih mata ke udara, manaka wate cannon mula membuat semburan.

Ekoran itu, peserta mula mencari perlindungan dengan sebahagian masuk ke dalam stesen keretapi manakala sebahagian lagi berjaya meneruskan perjalanan.

Polis dan FRU bagaimanapun bertindak segera menghalang semua jalan ke istana sehingga peserta himpunan yang dapat melepasi halangan polis tadi terpaksa kembali semula ke kawasan Masjid Negara.

Sekembalinya ke masjid negara, polis memulakan operasi tangkap terhadap peserta khususnya yang berpakaian merah termasuk anggota Unit Amal Dewan Pemuda PAS yang mengawal keselamatan peserta.

Operasi menangkap peserta himpunan aman di masjid itu bermula kira-kira jam 2.50 petang.

Sehingga kini, difahamkan lebih 50 orang telah dibawa dengan trak ke balai polis tetapi lokasinya masih tidak dapat dipastikan.

Keadaan kelam kabut itu memaksa pihak penganjur mengadakan perbincangan dengan pihak keselamatan.

Exco kerajaan negeri, Yaakob Sapari bersama Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad kemudiannya bertemu pihak polis bagi meredakan keadaan.

Polis kemudian memberi jaminan tidak akan membuat tangkapan dengan syarat peserta disuraikan dengan aman serta-merta.

Ekoran persetujuan itu, semua peserta diarah bersurai kira-kira jam 3.30 petang.

Nazri dan Hazayani

KUALA LUMPUR, 5 Dis: Pesuruhjaya Suhakam, Muhammad Sha'ani Abdullah berkata, tindakan polis menangkap para peserta himpunan aman membantah kenaikan harga air tidak berpadanan dengan apa yang dilakukan oleh rakyat.

Katanya, para peserta himpunan tidak mendatangkan sebarang ancaman terhadap keselamatan negara, lagipun sekarang bukan masa darurat.

Tambahnya, mereka hanya menyertai perhimpunan aman dan tidak menimbulkan sebarang masalah tetapi hanya tidak mempunyai permit sahaja.

Menurutnya, keadaan yang berlaku itu tidak sebagaimana di London yang boleh mengadakan himpunan secara aman.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad pula melahirkan rasa kesal dengan pihak polis yang menangkap peserta himpunan membantah kenaikan harga air oleh Syabas itu.

Beliau beserta Exco kerajaan negeri, Yaakob Sapari turut mengadakan perbincangan dengan pihak polis supaya tidak terus menahan para peserta sebagaimana yang dijanjikan.

“Tetapi sangat malang apabila polis menggunakan kekerasan menahan pseserta himpunan,” ujarnya.

Menurutnya, pihak polis memberi jaminan akan membebaskan mereka yang ditahan dan tidak akan menangkap peserta yang mahu bersurai sekitar jam 3.30 petang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor akan membawa usul pada persidangan Dewan Rakyat nanti berhubung penangkapan peserta himpunan aman itu.

Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh mempersoalkan tindakan polis menahan peserta kerana pada awalnya berjanji memberikan kerjasama.

Beliau kesal kerana polis sedia memberi kerjasama kepada peserta himpunan untuk berarak ke Istana Negara bagi mengiringi pemimpin Kerajaan Negeri Selangor menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, apa yang dinyatakan oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim bahawa polis bahawa memberi kerjasama kerana pihak Istana Negara sedia menunggu rombongan kerajaan negeri.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan pihak polis mengikut arahan siapa di sebalik penangkap yang dilakukan itu.

Menurut Suaram, sekitar 70 orang ditahan pada himpunan aman itu yang difahamkan dibawa ke Balai Polis Dang Wangi dan Cheras.



Harakahdaily/-

KUALA LUMPUR, 5 Dis — Sultan Kelantan Sultan Muhammad V telah melucutkan dua pingat yang dikurniakan kepada pemimpin politik veteran negara Tengku Razaleigh Hamzah baru-baru ini, tetapi alasan keputusan itu masih belum diketahui.

Sumber-sumber rapat dengan putera Kelantan itu, yang mesra dikenali sebagai “Ku Li” malam tadi mengesahkan tulisan beberapa blog dan khabar angin bahawa Istana Kelantan telah memutuskan untuk menarik balik dua pingat dengan salah satunya Darjah Kerabat (D.K.), yang dikategorikan sebagai pingat tertinggi istana dan dikhaskan kepada keluarga diraja.

“Ya, ia (khabar angin itu) benar. dua pingat... D.K. (Darjah Yang Utama Kerabat Diraja) dan satu lagi, saya tidak pasti. Saya juga tidak tahu sebabnya,” kata sumber itu kepada The Malaysian Insider.

Difahamkan, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Aiseri Alias juga telah dimaklumkan mengenai keputusan itu, tetapi belum mengeluarkan kenyataan rasmi sebagaimana lazimnya dilakukan sebelum ini.

Satu lagi sumber memaklumkan kemungkinan Tengku Razaleigh, yang juga Ahli Parlimen Gua Musang dan Ketua Umno bahagian itu akan mengadakan sidang media di ibu negara esok, dipercayai berkaitan dengan isu tersebut.

“Kalau nak tanya Tengku (Razaleigh) boleh tanya, mungkin Tengku Razaleigh akan menemui wartawan, ada sidang akhbar, ada perkara umum nak dikatakan, jika mahu tanya boleh tanya beliau pada sidang media itu mengenai isu ini,” kata sumber itu lagi.
Tengku Razaleigh telah digugurkan daripada keanggotaan Majlis Perajaan Negeri (MPN) baru-baru ini.

Laman web mengenai darjah kebesaran menyebut D.K. dizahirkan pada 1916 dan dianugerahkan kepada Kerabat Diraja serta kepada orang-orang yang bertaraf tinggi dan ternama yang telah membuat jasa kebaktian yang cemerlang kepada Kelantan.
Keanggotaan darjah kebesaran ini adalah juga dianugerahkan kepada Raja-raja dan Kerabat Diraja dari luar negara.

Darjah kebesaran ini mempunyai satu peringkat sahaja.

Awal Oktober lalu, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V menarik balik anugerah dan darjah kebesaran daripada empat individu termasuk gelaran “Datuk” kepada Ahli Parlimen Pasir Mas, Ibrahim Ali dan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Wan Hashim Wan Daud.

Dua lagi individu adalah kerabat Istana Kelantan iaitu Tengku Mohamed Shafie Tengku Ibrahim dan Tengku Abu Bakar Tengku Mansor.

Ketika mengumumkan perkara itu Setiausaha Kerajaan Negeri juga tidak menjelaskan sebab penarikan balik itu dibuat.

“Penarikan balik ini adalah hak Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Kelima Al Sultan Kelantan yang dijalankan menurut hemah dan budi bicara,” kata Mohd Aiseri ketika itu.

Tuanku Muhammad Faris Petra Tuanku Ismail Petra dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan pada 13 September lalu.

Tengku Razaleigh, bekas Menteri Kewangan dan pengasas Petronas, kini merupakan antara Ahli Parlimen paling lama berkhidmat di negara ini.

Beliau merupakan bekas timbalan pengerusi MPN, dan dilaporkan tidak menghadiri mesyuarat yang diadakan untuk mengesahkan pemasyhuran pemerintah baru negeri itu September lalu. Difahamkan turut tidak hadir adinda baginda Tengku Amalin A’ishah Putri.

http://www.themalaysianinsider.com

Kuala Lumpur, 6.01 pm : Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Ahmad Syazwan, hari ini menyifatkan partisipasi anak muda di dalam perhimpunan aman bantahan kenaikan taraf air dan kenaikan harga bahan api serta gula merupakan ‘pilot test’ partisipasi golongan itu di dalam Pilihanraya Umum 13.

“Selepas kenaikan taraf air, bahan api dan gula, tidak sampai 3 hari kita dapat mobilasi lebih 5000 anak muda untuk turun ke demonstrasi.

“Itu 3 hari untuk perhimpunan hari ini. Untuk PRU 13, kita akan buat persediaan rapi melalui jentera mahasiswa yang ditubuhkan khas untuk rakyat. Kita sudah mulakan beberapa usaha awal, antaranya kempen kesedaran mengundi di kampus-kampus.

Beliau turut memberi amaran tegas kepada pihak-pihak yang menginginkan kemenangan di dalam pilihanraya akan datang supaya lebih serius melaksanakan perubahan untuk rakyat.

“Kami di peringkat mahasiswa akan pastikan golongan anak mudalah yang akan menentukan siapa kerajaan akan datang. Kepada pihak-pihak yang mahu kemenangan, hati-hati dengan kuasa anak muda.

Beliau juga menyatakan rasa bangga atas partisipasi anak muda yang prihatin memperjuangkan nasib rakyat.

“Saya mengucapkan tahniah kepada anak muda khususnya mahasiswa yang mendominasi suasana perhimpunan.” – Mahasiswakini


26 Zulhijjah 1431H
KUALA LUMPUR, 2 Dis: PAS dan Pakatan Rakyat mungkin menawan Johor, Negeri Sembilan, Melaka serta lain-lain negeri dalam pilihan raya umum akan datang.

Demikian kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam temubual khas di parlimen kelmarin.

“Tidak ada suatu yang mustahil dalam dunia ini dan tidak ada kerajaan yang kekal selamanya,” katanya.

Menurutnya, tidak mustahil kita berjaya menguasai majoriti kerusi parlimen walaupun ia tidak mudah kerana Pakatan bertanding di padang yang tidak sama rata.

“Media massa dan jentera kerajaan dikuasai oleh parti pemerintah. Namun jika dilipatgandakan usaha dan kekuatan jentera, kita mampu mendapat kemenangan,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir yang mengatakan bahawa BN mungkin menawan kembali dua atau tiga negeri Pakatan Rakyat.

"Jika beliau katakan mungkin, kita juga hendak katakan mungkin juga PAS dan Pakatan akan kuasai Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Hari ini PAS sudah mempunyai dua Adun di Johor, dan sokongan rakyat juga bertambah, petanda-petanda perubahan juga sudah dilihat," ulas Ustaz Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang.

Ketika mengulas kemenangan BN di Galas dan Batu Sapi baru-baru ini, Tun Dr Mahathir mengatakan ia satu isyarat perubahan kepada BN dan mereka mungkin tawan dua atau tiga negeri Pakatan.

Namun bagi Abdul Hadi, kemenangan BN di Galas dan Batu Sapi bukan isyarat sokongan rakyat kepada BN sudah beralih, sebaliknya ia merupakan isyarat kepada Pakatan supaya mengemaskini jentera dan memperbaiki kelemahan.

Menurut beliau, tidak dinafikan adanya kelemahan di pihak PAS dan Pakatan yang perlu diperbaiki.

Dalam masa yang sama ketika menjawab soalan The Malaysian Insider, Isnin lepas sama ada PAS akan melaksanakan agenda negara Islam jika Pakatan menang, Ustaz Abdul Hadi menjawab: "Perlaksanaan Islam akan dilakukan peringkat demi peringkat, kita hendaklah faham bahawa Islam tidak boleh diterjemahkan sebagai religion kerana tidak memenuhi objektif Islam itu sendiri, sebaliknya maksud lebih tepat ialah a way of life, yang meliputi seluruh aspek kehidupan dan juga bukan Islam yang tidak dipaksa menganut Islam.

"Keduanya negara kita mengamalkan sistem faderalisme, yang mana ada kuasa-kuasa negeri. Sudah tentu PAS akan kuasai negeri-negeri tertentu seperti Kedah, Kelantan seperti mana juga PKR dan DAP.

Sekiranya faderalisme diamalkan dengan betul, PAS diberi peluang menunjukkan model pemerintahan Islam sebenar di negeri-negeri ini, ia dapat dilihat oleh rakyat Malaysia untuk dinilai sama ada positif atau negatif, kemudian berlakunya dialog dengan cara lebih demokratik, ini akan mengembangkan matlamat kita untuk mendirikan negara yang diterima oleh semua.

“Kita tidak mahu slogan sahaja, tetapi isinya tidak Islam.”

Harakahdaily/-

    Followers