Kemajuan Untuk Semua Bangsa Tanpa Mengira Warna Kulit atau Bangsa di bawah Agama Islam

Instagram

Instagram

Suara Ketenangan

Revolution Ads

Revolusi

09 Muharam 1432H

KUALA LUMPUR, 14 Dis: 2000 perwakilan dari parti-parti komponen Pakatan Rakyat iaitu PAS, PKR dan DAP dijangka akan berhimpun di Dewan Milllenium Kepala Batas Ahad ini untuk menyertai Konvensyen Ke 2 Pakatan Rakyat.

Mereka dijangka mempersiapkan Pakatan Rakyat untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Setiap parti akan menghantar 600 perwakilan tidak termasuk para pemimpin utama parti berkenaan, tetamu dan para pemerhati.

Sepanjang konvensyen, empat perwakilan setiap parti akan membahaskan perbentangan yang akan dibuat oleh tiga jurucakap utama parti masing-masing.

"Fokus akan diberikan kepada dua perkara utama dalam konvensyen ini iaitu cerita kejayaan negeri-negeri Pakatan dan mempersiap kami semua untuk menghadapi pilihan raya umum ke 13," kata Mujahid Yusof (gambar), Pengarah konvensyen ini.

Untuk mencapai tujuan itu, klip video cerita kejayaan kerajaan negeri Pakatan akan dipersembahkan kepada semua perwakilan semasa konvensyen ini.

Kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat juga akan mempamerkan kejayaan mereka melalui booth pameran yang akan mereka sediakan di konvensyen ini.

Selain Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah turut akan membuat pameran adalah kerajaan negeri Perak ketika diperintah Pakatan dan kerajaan Terengganu dari tahun 1999 ke 2004 yang tidak diketahui masyarakat tentang kejayaan mereka.

Menurut Mujahid, konvensyen ini juga akan menghasilkan 'buku oren' iaitu buku yang menggariskan polisi Pakatan dalam bentuk perincian dari Dasar Bersama yang telah diluluskan dalam konvensyen pertama tahun lepas.

"Ia berupa pra manifesto kita dalam pilihan raya umum akan datang," kata Mujahid.

Tema konvensyen kali ini adalah "Ubah Sekarang" untuk mengajak rakyat membuat perubahan dalam pilihan raya umum akan datang.

"Video klip cerita kejayaan, booth kerajaan negeri Pakatan dan buku oren ini akan menjadi isi atau asas kenapa kita mengajak rakyat ubah sekarang," kata Mujahid.

Dalam konvensyen lepas, katanya, konvensyen telah selesaikan asas bersama iaitu penerimaan Pakatan kepada Islam agama persekutuan, kedudukan bahasa Malaysia dan juga kedudukan raja-raja Melayu.

Kali ini, kata Mujahid, pengisian akan dibuat sepenuhnya bagi mempastikan semua sektor rakyat bersedia untuk bersama-sama membuat perubahan dalam pilihan raya umum akan datang.

"Kami yakin, dengan cerita kejayaan yang telah kerajaan Pakatan buat, rakyat akan yakin kita mampu memberikan jauh lebih baik berbanding BN," katanya lagi.

Harakahdaily/-

09 Muharam 1432H

KUALA LUMPUR, 15 Dis: Walaupun penuh dengan sekatan polis, ia tidak menghalang orang ramai memenuhi kawasan lapang taman Melati dekat sini untuk mendengar sendiri penjelasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan-rakannya tentang tuduhan terbaru para pemimpin Singapura melalui WikiLeaks.

Dan di majlis itu, Anwar tidak hilang karismanya sebagai pemimpin apabila berkata, “Adakah kamu fikir saya ini bodoh untuk memasuki perangkap apabila tahu ianya perangkap? Jangan cabar saya terlalu berlebihan! Saya akan dedahkan kes pembunuhan yang telah dilakukan dan cuba ditutup rapat.”

“Wikileaks, apa bukti kamu, bawa Lee Kuan Yew ke mahkamah. Saya tidak peduli, kamu fikir saya buat atau tidak. Itu bukan urusan saya. Kamu ada rakaman video atau catatan doctor, bawa ke mahkamah,” kata Anwar disambut tepukan gemuruh para penyokongnya.

Anwar merujuk kepada dakwaan para pemimpin Singapura dan diplomat mereka dalam apa yang dinamakan sebagai pendedahan oleh WikiLeaks melalui media Australia yang antara lain mendakwa Anwar telah diperangkap oleh musuhnya dalam kes sodomi dan Anwar sendiri memasuki perangkap itu.

Walaupun cuba diterangkan oleh para pemimpin Pakatan mengenainya, namun semua media tradisional negara menutupnya. Laporan WikiLeaks juga diambil tentang dakwaan Lee Kuan Yew terhadap Anwar sahaja tetapi laporan tentang pembunuhan Altantuya Shariibuu tidak disiarkan.

Di samping Anwar, turut berceramah adalah anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad, anggota Parlimen Batu Tian Chua, Tan Tee Kwong, Shamsul Iskandar dan juga Teresa Kok.

Tian Chua dalam ceramah itu berkata, pihaknya sedang berusaha supaya laporan WikiLeaks ini dibincangkan di Dewan Rakyat. Satu usul telah dibentangkan bagi membincangkan hal itu.

“Kita mahu Dewan Rakyat bincangkan laporan terhadap Anwar dan juga dakwaan terhadap Najib berkaitan dengan pembunuhan terhadap Altantunya yang juga disebutkan dalam dokumen WikiLeaks ini,” kata Tian.

Siang tadi, peguam Anwar mengumumkan pihaknya akan menyaman Lee Kuan Yew dan juga Tun Dr Mahathir yang berkata beliau yakin pemimpin Singapura itu tahu Anwar melakukan sodomi itu.

Anwar mula menjelajah negara mulai semalam. Esok 16 Disember, Anwar akan berada di Dataran Muhibbah, Kampong Ismail, Ampangan, Negeri Sembilan dalam siri Ceramah Perdananya sehinggalah 19 Disember ini yang akan berakhir di Pulau Pinang.

Harakahdaily/-

09 Muharam 1432H
Oleh: Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR,14 Dis: Pakatan Rakyat mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberikan penjelasan mengenai laporan portal Wikileaks yang mendakwa beliau terlibat dalam skandal pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, Najib tidak boleh bersikap tidak ambil peduli berhubung dakwaan ini kerana ia melibatkan kepimpinan negara dan boleh memberikan kesan kepada sosial dan ekonomi negara.

"Pelbagai dakwaan yang dibuat ini sangat penting kerana membabitkan Perdana Menteri semasa bukan bekas Perdana Menteri. Ini akan memberikan satu kesan kepada ekonomi negara kita.

"Menteri tidak boleh bersikap tidak endah terhadap laporan Wikileaks sedangkan media dalam negara kita mengendahkan laporan wikileaks dengan memuatkan hal-hal berkaitan Datuk Seri Anwar Ibrahim tapi Perdana Menteri kata perkara yang berkaitan beliau itu tidak perlu diendahkan," kata beliau dalam sidang media di lobi Parlimen siang tadi.

Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS sebelum itu membangkitkan perkara itu dalam perbahasan di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Luar Negeri.

Menteri, Datuk Seri Anifah Aman dalam jawapannya memberitahu beliau akan mengambil perhatian terhadap laporan itu.

Sementara itu, ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, laporan ini mengambarkan seolah-olah Singapura menganggap Perdana Menteri anti Cina apabila membuat dakwaan mengenai kemungkinan berlakunya rusuhan di Malaysia.

"Perdana Menteri diberi gambaran yang begitu berat oleh diplomat dan pemimpin Singapura sehinggakan dalam Perdana Menteri cuba untuk promosi konsep 1Malaysia dan sebagainya, kerajaan Singapura memberi gambaran bahawa akan berlaku rusuhan kaum dan orang Cina akan banjiri Singapura.

"Ini memberi implikasi bahawa Singapura menganggap Perdana Menteri anti Cina sebab akan berlaku rusuhan kaum seperti yang dilaporkan dan ini bercanggah dengan usaha Perdana Menteri untuk menunjukkan semangat perpaduan dan sebagainya. Najib mesti ambil berat atas tuduhan itu," kata beliau.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul bimbang laporan ini merupakan permainan Singapura untuk menguji kewibawaan Malaysia.

"Kita lihat pemikiran pegawai risikan dari singapura mereka mengatakan mereka ambil sumber ini dari sumber tertentu. Kita sedar hubungan antara Malaysia dan Singapiura ada pasang surutnya.

"Kita bimbang tindakan Singapura ini bertujuan menguji kewibawaan Malaysia dan permainan mereka untuk menyekat pelabur asing ke Malaysia," katanya.

Sementara itu, ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memulakan usaha mendapatkan sepenuhnya semua kabel-kabel berhubung Malaysia daripada sumber-sumber yang sah seperti Kedutaan Amerika Syarikat, akhbar Sydney Morning Herald, akhbar The Guardian selain Wikileaks sendiri.

Mereka juga akan membantu memulakan kempen untuk mendapatkan kesemua kabel-kabel ini untuk dinilai secara adilnya oleh rakyat Malaysia.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang juga pengarah strategik PKR petang tadi ke Kedutaan Singapura bagi menyerahkan memorandum dari PKR kepada kerajaan republik pulau itu.

Baru-baru ini laman web antarabangsa, Wikileaks mendedahkan mengenai maklumat risikan Singapura yang dihantar kepada Australia yang menyatakan Anwar memang melakukan kesalahan tersebut, akibat diperangkap oleh seteru politiknya, meskipun Anwar menyedari tentang perkara itu.

‘Maklumat’ itu yang disiarkan oleh akhbar Australia, Herald Sun (Sydney Morning Herald), menimbulkan kecaman pemimpin Pakatan Rakyat yang menyifatkan pendedahan itu sengaja di ada-adakan tanpa sebarang bukti kukuh.

Harakahdaily/-

04 Muharam 1431 H
Oleh:Abd Shukur Harun shukurharun@yahoo.com

Sepatutnya isu perkauman dengan segala rangkaiannya tidak wajar mendominasi pemikiran rakyat Malaysia, justru ada pelbagai masalah yang jauh lebih penting dan mendesak untuk segera diselesaikan.

Malaysia dengan masyarakat majmuknya sepatutnya menumpukan perhatian kepada masalah yang sangat mendesak – iaitu isu penting mengenai keadilan dan demokrasi, harga barangan yang terus meningkat,

isu rasuah yang sangat melemaskan, isu buang bayi, kes- kes jenayah yang terus meningkat, isu salah guna kuasa oleh pihak tertentu, isu pembaziran wang rakyat, isu projek mewah yang sama sekali tidak menguntungkan rakyat – kecuali segelintir golongan elit yang berkepentingan.

Juga isu kekurangan tenaga kerja tempatan, ke mana ‘hilang’ atau ‘bersembunyi’nya belia tempatan, khususnya belia Melayu yang kini tidak berada dalam pasaran kerja menyebabkan pekerja asing melimpah ruah di pasaran hingga mereka mendominasi bandar-bandar di hari-hari cuti umum dan banyak lagi isu.

Sepatutnya semua isu ini yang menjadi tumpuan pemikiran sesetengah rakyat justru semua masalah ini benar-benar menyentuh kehidupan rakyat Malaysia. Malangnya, hampir seluruh masa, tenaga dan pemikiran, malah wang ringgit dihabiskan untuk membincangkan isu perkauman ini.

Isu harga barangan naik sangat dirasakan oleh semua rakyat – tidak kira Melayu, Cina, India, Kadazan dan lain-lain – kecuali golongan elit yang berkuasa, serta golongan korporat yang mewah, yang tidak pernah merasakan pedihnya berbelanja di pasar atau di kedai runcit.

Dalam masa yang sama bagaimana pemimpin politik boleh memiliki rumah seperti istana, kenderaan mewah yang memenuhi sekitar halaman rumah di lereng bukit, perabut rumah yang tidak terkira harganya yang dibeli di luar negeri, keluar negeri dengan berbelanja sesuka hati dan pelbagai lagi kehidupan mewah yang dipamerkan.

Dari mana mereka mendapat wang semewah dan sebanyak itu. Dalam masa yang sama, mangsa banjir di Kedah, Perlis, di Kelantan dan di tempat lain menitiskan air mata menyaksikan kemusnahan barangan mereka di samping bagaimana pula untuk mereka meneruskan kehidupan.

Para nelayan di Kuala Sedili, Kemaman, Kuala Kedah, Juru, Pantai Remis dan tempat lain yang menghadapi tekanan hidup begitu berat sekali mengeluh melihat harga barang yang terus menerus naik setiap kali pergi ke pasar atau ke kedai runcit untuk membeli beras, gula, tepung dan barangan keperluan lain. Semuanya ini adalah luka rakyat yang sangat memedihkan.

Oleh itu apa perlunya isu perkauman dimainkan dalam keadaan negara begitu banyak masalah yang tidak terselesaikan. Belum lagi masalah rasuah yang sangat menakutkan, demokrasi yang entah terumbang-ambing, gejala sosial – buang bayi, bersekedudukan, dadah dan bakal datang pula hub hiburan yang sangat menakutkan dan pelbagai lagi masalah.

Justru apa perlunya rakyat diasak dengan isu perkauman setiap hari yang dimainkan oleh media tradisional dan kata-kata pemimpin politik. Teriakan perkauman ini tidak menguntungkan negara yang sepatutnya kita pelihara dengan sebaik-baiknya.

Malaysia, seperti kata pengarang Inggeris, Anthony Burgess, adalah bumi yang sangat subur. Katanya, campak saja benih di mana-mana akan tumbuh subur, pantai dan lautnya banyak ikan, negerinya indah, bergunung-gunang, pantai dan pulau-pulaunya cantik.

Demikian kaya dan suburnya bumi Malaysia ini.

Oleh itu dalam keadaan dan suasana begini mengapa masih lagi kedengaran teriakan perkauman, adu domba dan segalanya.

Lebih-lebih lagi semakin dekatnya Pilihan Raya Umum Ke-13, teriakan perkauman itu semakin nyaring dan amat menakutkan, sepergi ngaum singa dan harimau di hutan Afrika.

Sebab itu, pada pendapat saya Konvensyen Pakatan Rakyat Kali Ke- 2 di Pulau Pinang 19 Disember ini sewajarnya tidak melayan teriakan isu perkauman yang merugikan ini. Konvensyen yang penting itu, yang mungkin terakhir sebelum PRU Ke-13 perlu hanya memberi fokas iaitu cara mana menawan hati nurani rakyat supaya menyokong Pakatan dalam pilihan raya nanti, agar dapat membuat perubahan untuk kebaikan rakyat.

Isu perkauman nampaknya lebih banyak ditujukan kepada penduduk luar bandar, yang jauh di pedalaman, yang tidak melayari internet dan saluran media alternatif. Golongan inilah sewajarnya diberikan tumpuan untuk menjelaskan kepada mereka akan tawaran Pakatan Rakyat jika memenangi pilihanraya nanti.

Kepada pengundi luar bandar hal inilah perlu diterangkan bezanya antara Umno/BN dan Pakatan Rakyat. Bagaiamana rakyat pelbagai kaum di negeri yang kini diperintah oleh Pakatan Rakyat, dilayan seadil-adilnya dari semua segi bidang kehidupan.

Tidak dinafikan, antara masalah yang dihadapi oleh Pakatan Rakyat dan mesti diselesaikan segera ialah soal membina rangkaian penerangan yang benar-benar berkesan dan ini mesti dilakukan sekarang justru PRU Ke-13 sangat dekat.

Sementara itu, seperti yang dinyatakan berulang kali, pendaftaran pengundi baru – khususnya di kalangan anak dan saudara mara serta sahabat handai warga Pakatan Rakyat mestilah juga disegerakan.

Tentu saja Konvensyen 19 Disember ini di mana Dr. Mujahid Yusuf Rawa sebagai Pengarah Sekretariatnya menjadi perhatian oleh pelbagai pihak, sejauh mana ia menyusun jentera pilihan raya, melakar strategi dan manifesto, bagaimana ia membaca senario politik yang ada dan menanganinya.

Berhentilah membincangkan isu siapa Timbalan Perdana Menteri jika Pakatan berkuasa, isu negara Islam dan hudud, isu pembahagian kerusi dan isu-isu yang boleh menjadi ‘bola tanggung’ kepada Umno/ BN. Isu ini sebenarnya boleh dibincangkan di peringkat dalaan dan tertutup, bukan diluahkan di depan media.

Harakahdaily/-

04 Muharam 1431 H
Oleh:roslan mohd

Pakatan Rakyat akan memperkenalkan slogan terbarunya, 'Ubah Sekarang!' yang akan dilancarkan pada konvensyennya di Seberang Perai, Pulau Pinang, minggu hadapan.

Penyelaras pentadbiran konvensyen, Mujahid Yusof Rawa berkata slogan itu membawa lima mesej penting kepada rakyat.

Ia termasuk matlamat Pakatan untuk menubuhkan kerajaan persekutuan yang bebas dari rasuah, telus dan mempunyai integriti.

"Kita mahu mendemokrasi dan membebaskan rakyat Malaysia dan membina persaudaraan di kalangan kumpulan berbeza bangsa kerana masyarakat kita sekarang ini tidak bersatu kerana ketegangan kaum dan agama,” kata Mujahid (atas, berbaju merah) kepada wartawan malam semalam.

"Namun, ini tidak bermakna kebebasan mutlak, kebebasan bermakna solidariti bukan anarki.”

Mujahid, yang juga ahli parlimen Parit Buntar berkata apabila Pakatan mengambil-alih kerajaan persekutuan, usaha mereka adalah bagi menambahkan pendapatan rakyat kepada RM4,000 sebulan dan masyrakat Melayu pastinya mendapat manfaat.

Gabungan yang ditubuhkan selepas pilihan raya 2008 itu juga menjanjikan keadilan dan sama rata dalam undang-undang serta gaji minimum untuk pekerja.

"Kenapa slogan 'Ubah Sekarang?' Jika kita tidak ubah seklarang, kita hadapi risiko belia kita akan menganggur, gejala rasuah terus berleluasa dan retaknya perpaduan kaum di kalangan rakyat pelbagai bangsa dan agama yang akan menjejaskan keseluruhan sistem,” katanya.

Konvensyen yang dijadualkan pada 19 Disember ini dijadual akan dihadiri oleh pemimpin utama Pakatan Rakyat.

04 Muharam 1431 H
Oleh:Abdul Rahim Sabri & Lee Way Loon

Tiga pemimpin siswa ditahan selepas mereka mengadakan perhimpunan di luar Masjid Putrajaya untuk menyerahkan memorandum kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) kerana membantah kenaikan harga minyak, gas dan gula minggu lalu.

Mereka yang ditahan itu ialah setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Mohd Ridzuan Othman, pemimpin Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis), Ahmad Shukri Abdul Razak, serta pelajar Universiti Malaya, Mohd Shahruldeen Ahmad Rosli.

Ketiga-tiganya duanya adalah sebahagian daripada 100 pelajar yang berhimpun di situ.

Kumpulan pelajar yang memakai baju berwarna hitam itu turut menjerikkan slogan-slogan seperti "Kuasa Mahasiswa" ketika berkumpul di hadapan masjid di Putrajaya itu.

Bagaimanapun, kira-kira lima anggota polis menemui mereka dan meminta mereka bersurai.

Seorang anggota polis memberitahu mereka tidak boleh berkumpul di situ atau mereka akan ditangkap.

Setelah berunding seketika, anggota polis membenarkan lima wakil pelajar tersebut menuju ke JPM yang terletak berhampiran masjid tersebut, untuk menyerahkan memorandum mereka.

Dalam memorandum berkenaan, kumpulan mahasiswa itu menyuarakan rasa kesal dan kecewa terhadap kenaikan harga barangan baru-baru ini.

Minggu lalu, kerajaan mengumumkan kenaikkan harga petrol RON95 sebanyak 5 sen menjadi RM1.90, diesel naik 5 sen menjadi RM1.80 sen, gas pula naik 5 sen menjadi RM1.90 sen sekilogram dan gula juga naik 20 sen menjadi RM2.10 sen. Semua kenaikan itu dibuat di sebalik jaminan kerajaan bahawa tiada kenaikan harga untuk tahun ini.

Selepas menyerahkan memorandum tersebut pada kira-kira jam 2.15 petang, polis mengarahkan mahasiswa berkenaan bersurai.

Ketika itu, Ridzuan kelihatan bercakap dengan anggota polis di situ, difaham dia meminta kebenaran untuk berucap, tetapi dia ditahan dan dibawa menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Ridzuan dan Shukri kini ditahan di ibupejabat polis (IPD) Putrajaya. Mohd Shahruldeen pula ditahan di hadapan IPD Putrajaya.

Dalam memorandum empat muka surat itu juga, mereka mendesak agar gaji menteri dikaji semula dan dikurangkan bagi mengurang kos pengurusan dan perkhidmatan awam.

Mereka juga menuntut agar kerajaan mengembalikan semula subsidi barangan yang telah dipotong serta menurunkan harga barangan asas (kawalan) bagi kemudahan rakyat.

Memorandum tersebut diserahkan oleh presiden Gamis Ahmad Syazwan Hassan kepada wakil dari Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Moin Omar di pintu masuk JPM.

Ahmad Syazwan turut diiringi oleh pengerusi dan setiausaha SMM Shazni Munir Mohd Ithnin dan Mohd Ridzuan menyerahkan memorandum tersebut.

Sewaktu menerima memorandum tersebut, Abdul Moin memberitahu mereka bahawa beliau akan memajukan memorandum tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malaysiakini/-

1 Muharram 1432H.
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 6 Dis: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan serangan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak terhadap Pakatan Rakyat khususnya PKR dalam ucapan di Konvensyen BN semalam sebagai keras dan tindakan terdesak.

Anwar berkata, ucapan Najib yang juga Perdana Menteri itu jelas menggambarkan rasa cemasnya terhadap perkembangan politik semasa dan salah satu cara untuk mengalihkan kepincangan pentadbiran BN.

"Ucapan serangan Najib keras dan melambangkan sikapnya yang terdesak dengan perkembangan politik sekarang, nak alih isu kepincangan dalam pentadbiran dan rasuah dalam BN sendiri. Ini nampak lain dari 'style' Najib yang biasa.
"Maknanya ini pelancaran perang untuk menghadapi pilihan raya," kata Anwar dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ketua Pembangkang itu juga berkata, isu 'keluarga dalam PKR' yang dibangkitkan Najib sangat tidak relevan kerana kedudukan Najib juga berlatar belakangkan hubungan keluarga.

"Beberapa isu beliau bangkitkan begitu aneh seperti isu keluarga dalam parti dan sebagainya, datangnya dari seorang yang naik atas kapasiti ayahnya Perdana Menteri, lantik sepupu sebagai Menteri Dalam Negeri dan masih membangkitkan isu peribadi," katanya merujuk kepada ayah Najib, Tun Abdul Razak dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang merupakan sepupunya.

Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh turut mempersoal dakwaan Najib bahawa Pakatan Rakyat anti nasional.

Saya nak tumpu tentang Pakatan ini, beliau memberikan gambaran seolah-olah Pakatan Rakyat mengalami perpecahan. Isu apa?Anti nasional isu apa? Kita berpegang pada perlembagaan. Adakah menentang rasuah itu anti nasional?Cara melayani tunjuk perasaan aman rakyat menuntut hak mereka itu juga anti nasional?" soalnya.

Tambahnya, jika benar Najib seorang pemimpin yang bertanggungjawab, beliau akan memberi peluang kepada Pakatan Rakyat untuk membalas hujahnya secara bersemuka.

"Kalau benar beliau pemimpin bertanggungjawab, beliau tidak harus mengeluarkan kenyataan tak bertangugjawab dan harus beri ruang kepada pembangkang untuk menjawab. Ini seorang Menteri bercakap di hadapan ahlinya, tak beri ruang untuk kita menjawab. Ini membelakangkan semangat demokrasi dan perbahasan segar," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dengan nada sinis mengucapkan terima kepada kasih kepada Najib kerana memberikan mesej jelas kepada rakyat bahawa Pakatan merupakan gabungan masa depan.

"Saya ucap tahniahlah kepada Najib kerana tak dapat sembunyikan rasa cemasnya.

"Terima kasih juga kepada beliau kerana serangan beliau itu memberikan mesej jelas kepada rakyat bahawa Pakatan merupakan gabungan masa depan bagi rakyat Malaysia," kata beliau yang juga ahli parlimen Pokok Sena.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pula meminta satu suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan bagi menyiasat kehilangan RM 52 bilion saham bumi untuk membuktikan keihklasan BN.

"Kalau Perdana Menteri serius menangani rasuah kita harap beliau boleh adakan suruhanjaya siasatan diraja ke atas skandal saham bumi sebanyak 52 bilion ringgit yang telah dilesapkan kerana sungguhpun RM52 bilion saham yang harus diberikan kepada golongan melayu ataupun bumiputera miskin sudah hilang, tiada sebarang tindakan diambil.

"Kenapa tak ada sebarang tindakan BN terhadap skandal ini?Jelas mereka hanya nak kekalkan kekayaan kroni mereka," katanya yang juga ahli Parlimen Bagan.

Najib dalam ucapan dasar sempena Konvensyen BN di Wisma MCA semalam menggelarkan Pakatan Rakyat sebagai pakatan nepotisme dan anti nasional.

Harakahdaily/-

    Followers