
5:00 PM DRS. KHALIL IDHAM LIM
28 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 21 Mac: "Kalau negara sudah bankrap baru rakyat mahu ubah kerajaan, tak boleh buat apa lagi, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar).
"Sekarang hutang negara berada pada tahap kritikal iaitu hanya dua peratus kurang dari had dibenarkan.
"Kalau nak ubah kerajaan untuk selamatkan negara ini dari bankrap seperti yang menteri kabinet (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Tun Razak) sendiri jangkakan, ubah sekarang.
"Kalu negara dah bankrap baru nak ubah kerajaan, tak boleh buat apa lagi," kata beliau.
Mohamad juga mempersoalkan, apa lagi yang mahu dibohongi oleh Najib kepada kepada rakyat.
"Hari ini, timbalan menteri bercakap seolah-olah rakyat bodoh sangat.
"Kononnya tidak perlu bimbang walaupun negara mencapai hutang pada tahap 53 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu kurang dua peratus dari tahap 55 peratus dari daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dibenarkan oleh perlembagaan negara.
"Najib nak bohong apa lagi kepada rakyat? Transformasi apa lagi nak mengaburi mata rakyat sedangkan negara menuju bankrap seperi yang menteri dia sendiri akui dan hutang negara pula semakin menjerut leher rakyat," beliau terus mempersoalkan.
Di Dewan Rakyat hari ini, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Awang Adek Hussin mendakwa, hutang negara belum berada pada tahap kritikal atau membimbangkan,walaupun ia hanya dua peratus sebelum mencecah had pinjaman yang dibenarkan oleh perlembagaan.
"Ia tidak berada pada tahap yang kritikal pada masa ini. Had kita adalah 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kita kini cuma berada pada paras 53 peratus.
"Jadi tidak perlu bimbang tentang hal itu," katanya semasa sesi soalan.
Mohamad menyifatkan jawapan itu menghina akal dan intelektualiti rakyat.
Mengulas lanjut mengenai keadaan itu, beliau tertarik dengan istilah cepat tangan yang digunakan oleh blogger Aspan Alias terhadap para pemimpin Umno.
"Istilah cepat tangan itu menuntut rakyat memberikan perhatian kepada perkara penting mengenai ketenatan ekonomi negara kini.
"Keadaan ini berlaku kerana kerajaan murah hati kepada rakyat atau kerana perangai cepat tangan para pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN)," kata Mohamad.
Dalam tulisannya yang bertajuk "Susah kalau dapat pemimpin yang 'cepat tangan'", Aspan berkata: "Saya selalu berkata yang sikap ini sudah menjadi budaya pimpinan kita. Sifat 'cepat tangan' ini memang sudah menjadi sebati dan amat payah untuk dibuang".
Cara yang terbaik untuk mengelak dari kejadian seperti ini berlaku ialah dengan menolak parti yang dipimpin oleh pemimpin seperti ini, katanya
Aspan yakin, mereka tidak akan memperbaiki diri mereka kerana sikap 'cepat tangan' itu sudah menjadi darah daging didalam diri pemimpin-pemimpin kerajaan yang tidak mempunyai 'accountability' terhadap kesalahan yang mereka lakukan sendiri.
"Tidak boleh nampak wang rakyat yang banyak terus sahaja meleleh air liur untuk membelanjakannya untuk kegunaan peribadi.
"Apa transformasi yang boleh dilakukan oleh pemimpin seperti ini sedangkan diri sendiri tidak mampu untuk ditransformasikan," katanya.
harakahdaily/-

10:54 AM DRS. KHALIL IDHAM LIM
26 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 19 Mac: PAS mendakwa 'nasihat' Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar rakyat tidak menggadai masa depan dengan mengundi pembangkang membuktikan BN bimbang dengan perubahan 'mood' rakyat.
Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, semakin dekat dengan pilihan raya umum, semakin banyak kenyataan Najib yang menggambarkan kerisauan BN.
"Pemikiran Perdana Menteri ini masih lagi pemikiran lama, belum berubah.
"Dulu Perdana Menteri merayu pengundi berilah peluang sekali lagi kepada BN. Kemudian beliau minta maaf di atas kesilapan BN dan kali ini beliau kata jangan gadai masa depan dengan undi Pakatan.
"Saya fikir ini menggambarkan BN berada dalam keadaan bimbang terhadap perubahan mood rakyat sekarang," kata beliau pada sidang media di Pusat Khidmat Parlimen Titiwangsa sempena konvoi penerangan Lajnah Penerangan PAS Pusat ke Wilayah Persekutuan, semalam.
Pesuruhjaya PAS Pahang itu juga berkata, tidak timbul soal menggadai masa depan rakyat kerana terbukti mereka menerima manfaat yang lebih baik di begeri-negeri Pakatan Rakyat berbanding di bawah kerajaan BN.
"Bila rakyat buat perubahan tidak timbul soal gadai maruah atau gadai masa depan sebab negeri-negeri yang rakyat buat perubahan, rakyat ternyata mendapat manfaat lebih baik daripada apa yang ditawar BN.
"Selain pendapatan negeri-negeri yang meningkat berkali ganda, jelas bahawa negeri-negeri yang dimenangi ini, kita berjaya membersihkan imej pemimpin-pemimpin korup dan tak ada isu-isu begitu berlaku di negeri kita menang termasuk di Kelantan selama 20 tahun," katanya.
Tambahnya lagi, negeri Pakatan Rakyat mengamalkan pentadbiran yang telus contohnya dalam pemberian projek, dilakukan secara tender terbuka.
"Tak timbul soal menggadai masa depan sebab sebarang elemen pembangunan sebagai contoh sumber negeri, kerajaan negeri yang kita menang semua projek melalui tender terbuka dan diadakan perbincangan direct dengan mereka yang terlibat dalam setiap pembangunan yang nak dibuat," katanya.
Kelmarin, Najib mendakwa BN sudah melakukan pelbagai perkara untuk kesejahteraan rakyat termasuk menyalurkan pelbagai bantuan kerana BN mampu mengurus tadbir negara dengan cekap dan berkesan.
Beliau turut mendakwa Pakatan Rakyat tidak mempunyai kemampuan untuk mengurus tadbir negara.
Harakah Daily

10:49 AM DRS. KHALIL IDHAM LIM
26 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -
Akhirnya Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, suami kepada Ketua Pergerakan Wanita Umno Malaysia Datuk Sharizat Abdul Jalil yang juga merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, telah didakwa di Mahkamah terhadap dua pertuduhan pecah amanah yang melibatkan RM49.7 juta berhubung pembelian dua unit kondominium serta dua lagi pertuduhan menyalahi Akta Syarikat.
Isu NFC, mula mendapat perhatian ramai selepas Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang di bentangkan di Parlimen pada Oktober lalu menyatakan pusat itu gagal memenuhi matlamat penubuhannya.
Ia menjadi semakin panas selepas beberapa ahli Parlimen serta pimpinan Pakatan Rakyat telah mendedahkan bukti wujudnya penyelewengan terhadap peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada NFC.
Sementara itu, dalam kes Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu yang runtuh pada pada 2 Jun 2009, seorang jurutera perunding Wan Manan Wan Ali telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.
Beliau didakwa atas tuduhan menipu dengan berpura-pura bertindak sebagai pemeriksa yang diiktiraf mengeluarkan dokumen mengenai sistem teras bumbung utama dan kerja yang berkaitan dengannya, bagi cadangan untuk membina dan menyiapkan stadium utama atau kompleks Sukan Negeri Terengganu.
Stadium Sultan Mizan yang dianggap 'tercanggih' di Pantai Timur telah siap dibina pada tahun 2008 menjelang berlangsungnya sukan SUKMA yang diadakan di negeri Terengganu.
Ia telah dirasmikan oleh Yang DiPertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei 2008 dalam satu upacara yang gilang gemilang. Malangnya baru hanya setahun digunakan ia telah runtuh dan tidak dapat digunakan sehingga sekarang.
Secara faktanya, projek ’kebanggaan’ kerajaan negeri di bawah kepimpinan Umno/BN ini pada mulanya di jangka siap pada tahun 2007 dengan kos asal projek berjumlah RM191 juta. Namun akibat daripada berlakunya kelewatan siapnya projek ini lebih dari setahun, kosnya telah melambung naik kepada lebih RM 292 juta.
Projek Mega ini telah di serahkan perlaksanaannya kepada 3 ’kontraktor kroni’ utama iaitu Bina Struktur, Emarcon dan Genggam Mercu Sdn. Bhd. Manakala pembekal utama bumbung stadium berbentuk 'Space Frame’ ini adalah syarikat SOWON PTE. LTD. dari Korea Selatan.
Namun pada 2 Jun 2009 suatu trajedi yang amat memalukan seluruh rakyat Terengganu telah berlaku. Sebahagian daripada bumbung utama stadium kebanggaan ini telah runtuh. Mujurlah tiada sebarang kemalangan jiwa yang berlaku dalam insiden ini.
Semasa kejadian, projek ini masih lagi dalam 'Tempuh Tanggungan Kecacatan’ dan pihak kontraktor sedang melaksanakan kerja-kerja membaiki kecacatan.
Satu Jawatankuasa Khas Penyiasatan telah ditubuhkan oleh Kementerian Kerjaraya (JKR) untuk menyiasat punca berlakunya keruntuhan bumbung stadium ini. Hasil dari penyiasatan yang telah dijalankan ini telah di taklimatkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di bawah Parlimen Malaysia. Semua punca keruntuhan telah dikenalpasti olh pihak JKR semasa taklimat kepada PAC dan telah diserahkan juga kepada kerajaan negeri.
Namun sehingga kini, ramai kalangan yang tertanya-tanya, siapakah yang sebenarnya bertanggungjawab terhadap skandal keruntuhan yang memalukan ini? Walaupun begitu banyak laporan telah dibuat kepada pihak Polis dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), hanya seorang konsultan bertaraf ’jurutera Perunding’ yang boleh dianggap sebagai ’bilis kecil’ telah diseret ke mahkamah.
'Jerung-Jerung besar’ yang telah mengaut laba berganda dari projek pembinaan stadium yang bernilai hampir RM300 juta ini masih lagi bebas berpoya dengan keuntungan yang mereka dapat.
Ramai yang tertanya-tanya dimanakah hasil laporan terperinci oleh pihak SPRM setelah hampir 3 tahun menjalankan siasatan yang rapi ini? Apakah tidak ada langsung elemen rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dalam skandal sebesar ini? Dan kenapakah laporan yang di buat oleh oleh pihak JKR kepada PAC Parlimen tidak di ambil tindakan wajar oleh pihak SPRM sendiri?
Sekurang-kurangnya dalam kes projek lembu NFC, setelah diasak dengan laporan kepada pihak polis dan SPRM serta pelbagai 'pendedahan’ akhirnya 'jerung besar’ yang beristerikan seorang menteri terpaksa dikorbankan pihak Peguam Negara dan diseret ke mahkamah.
Berbeza dengan kes skandal Sultan mizan, walaupun semua punca keruntuhan telah dikenalpasti oleh pihak Kementerian Kerjaraya (JKR) dan telah di taklimat kepada PAC Parlimen, namun setelah hampir 3 tahun laporan lengkap telah disiapkan oleh pihak JKR, kenapakah masih belum ada 'Jerung-Jerung Besar’ yang didakwa dan diseret ke Mahkamah?
Bayangkan stadium Sultan Mizan yang runtuh yang nilainya jauh lebih besar dari skandal lembu NFC. Semua pihak seolah-olahnya mahu 'cuci tangan’ dan meletakkan seluruh bebanan kesalahan kepada seorang jurutera ‘bilis kecil’ yang dikambing-hitamkan’.
Apakah ianya akan hanya tinggal satu kenangan yang terus menjadi ’titik hitam’ dalam sejarah negeri Terengganu Darul Iman sendiri? Kemana perginya 'kontraktor kroni’ dan kepimpinan Menteri Besar sekarang, Datuk Sri Ahmad Said? Yang nyata, ia jelas merupakan satu lagi ‘Projek kebangaan Kerajaan Barisan Nasional’.
----------------------------
Penulis adalah Penolong Setiausaha Agong PAS yang juga Adun Batu Burok, Terengganu. Beliau boleh dihubungi melalui Email: syedazmans@yahoo.co.uk
Harakah Daily

10:52 AM DRS. KHALIL IDHAM LIM
26 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -
1. Berurus niaga [muamalat] dengan individu Yahudi atau mana-mana pihak Yahudi yang terhad pada individu atau syarikat Sdn Bhd mereka, seperti Yahudi dari negara Eropah dan lainnya, maka pada hukum asalnya adalah harus justeru Rasulullah saw pernah berurus niaga dgn bangsa Yahudi.
2. Namun urus niaga dengan Yahudi Israel hari ini, Yahudi yang membunuh Ummat Islam Palestine lalu merampas tanah Palestine dan menubuhkan negara haram Israel atas penderitaan dan kesengsaraan ummat Islam Palestine, Yahudi yang mencari dan mengaut keuntungan lalu membina kekayaan mengukuhkan kuasa dan penjajahan mereka keatas ummat Islam Palestine malah membunuh sewenangnya Ummat Islam Palestine, maka haram berurus niaga dengan mereka walau apa fahaman yang mereka anut termasuk zionis.
3. Ulama' telah banyak memberikan fatwa haram berkait urusniaga semasa dengan Yahudi Israel secara umumnya seperti Dr Yusuf al Qaradhawi, kerana asasnya keseluruhan Yahudi Israel telah melakukan satu jenayah besar ke atas Ummat Islam dan ianya masih berlarutan sehingga hari ini.
4. Fatwa haram urus niaga dengan Yahudi Israel Zionis ini dibina oleh para alim ulama' berasaskan kesan dan perkembangan politik dan ekonomi ummat Islam antarabangsa apabila setiap ringgit atau dollar yang mengalir ke Israel melalui apa jua bentuk urusniaga dengan mereka menghasil sebutir peluru yang telah dan bakal menembusi jantung ummat Islam Palestine yang sedang berjuang mempertahan aqidah dan membebaskan tanahair mereka.
5. Fatwa itu dibina bukan kerana mereka dilahirkan berbangsa Yahudi tetapi disebabkan mereka melakukan satu jenayah besar ke atas ummat Islam dan jenayah itu masih berlarutan hingga ke hari ini. Demikian adalah hukum yang berkait dengan muamalah atau urusniaga.
6. Sementara kedudukan Yahudi secara umumnya di mata ummat Islam telah disebut secara jelas di dalam Al Quranil Karim. Bagaimana dendam dan semangat permusuhan mereka terhadap Islam yang didedahkan oleh Allah swt.
"Kamu akan dapati golongan yang sangat tinggi kadar permusuhan mereka terhadap orang - orang beriman ialah Yahudi dan mereka yang mempersekutukan Allah swt".
"Dan sekali-kali tidaklah Yahudi dan Nasara Redha terhadap kamu sehingga kamu mengikut cara hidup mereka".
7. Banyak ayat seperti ini di dalam Al-Quran dan ia adalah pendedahan serta peringatan Allah swt kepada ummat manusia, khasnya kepada ummat Islam terhadap sikap dan bahaya yang dicetuskan oleh Yahudi berasaskan latar belakang dan sejarah mereka yang sering menipu, khianat, mungkir janji dan berdendam, biar apa pun fahaman yang dianut oleh mereka di sepanjang zaman termasuklah faham zionisme yang sememangnya telah mengisytiharkan protokol mereka yang jelas dan nyata memusuhi serta memerangi ummat Islam.
8. Justeru tiada pengiktirafan dan persekongkolan dengan Yahudi di atas peta politik dunia hari ini.
9. Ummat Islam tidak perlu panik dan usah resah dalam mengikuti perkembangan semasa berkait isu Yahudi, lantaran Perbahasan mengenai hukum muamalah adalah suatu yang berbeza dengan siasah. Keduanya mesti diteliti dengan cermat dan jelas.
10. Walaubagaimana pun terlebih aula dan wajar kita terus berfikir dan merancang untuk terus meningkatkan sokongan moral, politik dan ekonomi kita kepada ummat Islam di Palestine khasnya HAMAS untuk mereka terus membina masa depan mereka yang kebih baik berdepan kekejaman Yahudi Israel Alaihi Laknatullah berbanding kita berbincang dan berpolemik mengenai urus niaga kita dengan Yahudi.
Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Harakah Daily

3:58 PM DRS. KHALIL IDHAM LIM
26 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 19 Mac: Timbalan Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah), Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir (gambar) mengisytiharkan keluar Umno hari ini.
“Pada hari ini saya telah pun mengirim surat kepada Setiausaha Agong Umno Malaysia untuk meletakkan jawatan selaku ahli Umno Malaysia mulai hari ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Dalam kenyataan itu, beliau memaklum mula menjadi ahli Umno dan memegang jawatan dalam parti itu sejak tahun 1956 sehingga sekarang iaitu selama 56 tahun.
Beliau pernah menjadi Exco Pemuda Umno selama 10 tahun dan Ahli Majlis Tertinggi Umno selama 24 tahun di samping jawatan-jawatan lain seperti Ketua Pemuda Umno Negeri Kedah dan sebagainya.
“Saya juga menjadi Ahli Pentadbiran Kerajaan Malaysia sekitar 30 tahun, selaku Setiausaha Politik, Setiausaha Parlimen, Timbalan Menteri dan Menteri.
“Pada minggu sudah saya telah meletakkan jawatan selaku Bendahari Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu, jawatan yang akhir dalam Umno yang saya menjawat,” ujarnya.
Tindakan beliau mengkritik kepimpinan Umno dan kerajaan hari ini telah menimbulkan rasa tidak senang di kalangan pemimpin utama parti itu.
Kritikan beliau selaku Timbalan Presiden Amanah terhadap Umno termasuk mendedahkan pembelian undi semasa pilihan raya umum jelas menimbulkan kemarahan beberapa pemimpin utama Umno.
Harakah Daily

3:25 PM DRS. KHALIL IDHAM LIM
22 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -
PEKAN, 15 Mac: Program ceramah umum Pakatan Rakyat di Kampung Batu 9, Sungai Miang dekat sini malam tadi tercemar dengan gelagat penyokong UMNO yang sengaja membuat provokasi di kawasan terbabit.
Tidak cukup dengan mengadakan program "Penerangan & Ramah Mesra Bersama Masyarakat" dijarak begitu hampir (sekitar 100 meter) daripada lokasi ceramah berkenaan, mereka juga turut mengganggu dan mengejek Mohammad Sabu ketika Timbalan Presiden PAS itu menyampaikan ceramahnya semalam.
Ceramah dimulakan oleh Ustaz Abu Kassim Manaf, Yang DiPertua PAS Kawasan Pekan kemudian diikuti oleh Aspan Alias, bekas Blogger UMNO Negeri Sembilan yang kini menyertai DAP.
Selepas itu barulah mantan Ketua Penerangan UMNO Pekan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis iaitu Datuk Ariff Sabri Abd Aziz (gambar) menyampaikan ceramahnya.
Beliau yang juga dikenali sebagai Blogger Sakmongkol itu banyak menyingkap sejarah lama ketika bersama UMNO sehinggalah beliau membuat keputusan untuk bersama Pakatan Rakyat dengan menyertai DAP.
Dalam kenyataannya, Ariff banyak mengulas tentang perangai dan sikap pemimpin UMNO yang tidak mahu berubah dan gemar mengejar duniawi menjadi punca dia meninggalkan parti itu.
Beliau turut menyelar sikap puak-puak UMNO yang sudah tidak mempunyai idea hingga tergamak menganjurkan program mereka pada malam itu semata-mata untuk menganggu ceramah umum Pakatan Rakyat sebenarnya.
"Inilah kerja mereka sejak dari dulu lagi. Sepuluh tahun lalu UMNO tuduh ceramah PAS mencaci dan menghina .. tapi sekarang tuan-tuan lihat, amalan itu sudah terlekat pula pada diri mereka," kata Ariff Sabri.
Beliau turut menegaskan kenapa orang Melayu terpinggir sedangkan sudah lebih 50 tahun UMNO menjadi pemerintah di negara ini.
Kuasa ada pada orang Melayu, namun kehidupan dan ekonomi bangsa sendiri terus merundum katanya.
Mereka yang kaya raya dan menikmati hasilnya ialah puak-puak pencacai yang proksi serta kroni mereka sendiri.
Inilah yang berlaku sejak sekian lama dan amalan ini sukar untuk dibendung lagi dalam UMNO, lantaran itulah beliau akhirnya kini terpaksa meninggalkan parti tersebut.
Sementara itu, Ariff Sabri juga banyak mendedahkan beberapa penyelewengan yang dilakukan oleh UMNO selama mereka memerintah termasuk juga dalam isu Felda yang sedang hangat diperkatakan.
Beliau turut mendedahkan bahawa beberapa orang bekas pemimpin UMNO yang bertaraf menteri pun mengakui bahawa jangka hayat parti itu kemungkinan akan berakhir pada PRU-13 ini.
Pakatan rakyat katanya akan menang dan bakal menakluki Putrajaya.
"Saya dimaklumkan, BN akan kehilangan hampir 16 kerusi parlimen di Sarawak dan minima 12 kerusi di Sabah.
"Jika dicampur dengan kelemahan mereka di Semenanjung yang hanya bergantung kepada undi masyarakat Felda dan orang kampung maka harapan untuk melihat BN kecundang pasti akan tercapai.
"Apapun, saya harap Datuk Najib menang di Parlimen Pekan kerana kita nak dia jadi Ketua Pembangkang di parlimen selepas ini," katanya.
Sementara itu Haji Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS dalam kenyataan awalnya menegaskan apa yang berlaku malam tadi adalah kelemahan tindakan pihak polis.
"Kenapa polis tak halang UMNO buat program dekat tempat kita, sedangkan depa tahu Pakatan Rakyat terlebih awal mahu adakan program ceramah di sini. Polis sengaja biarkan suasana jadi huru hara dan kekecohan tercetus.
"Kenapa polis boleh bersikap begini, sedangkan mereka ditugaskan menjaga keselamatan rakyat. Polis hanya mahu jaga UMNO tapi bukan rakyat!. Mereka berpakat dengan UMNO buat program dekat dengan lokasi kita. Depa nak kita jadi marah ... ," kata Mat Sabu.
Dalam pada itu, mengulas lanjut berkenaan kutukan dan cacian yang dibuat oleh penceramah UMNO terhadap beliau, Mat Sabu secara sinis berkata penceramah terbabit tidak akan dibenarkan ceramah jika Pakatan Rakyat memerintah.
"Dok caci saya isu khalwat, isu tu dah selesai di mahkamah. Kenapa dok bising. Ini kerja puak-puak UMNO. Depa dah tak ada isu," kata Mat Sabu lagi.
Beliau turut mengingatkan rakyat, supaya bersiap sedia untuk menghadapi Pilihanraya Umum Ke-13 bila-bila masa dari sekarang.
Katanya, Pakatan Rakyat kini berpeluang cerah untuk menakluki Putrajaya. ..PahangDaily.

3:40 PM DRS. KHALIL IDHAM LIM
22 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -
TEHERAN - Presiden Mahmoud Ahmadinejad menolak tuduhan anggota-anggota Parlimen Iran yang menyatakan beliau cuai dalam menguruskan ekonomi negara.
Perkembangan itu berlaku ketika inflasi di Iran meningkat lebih 30 peratus, nilai mata wang rial Iran pula merudum susulan sekatan ekonomi oleh Barat manakala dana projek infrastruktur mega seperti pembinaan rangkaian tren bawah tanah di sini turut dibekukan.
Namun, dalam jawapan beliau kepada anggota-anggota Parlimen Iran, Mahmoud tetap mempertahankan dasar ekonominya dengan menyatakan ekonomi Iran masih kukuh.
"Tiada bukti dasar pentadbiran saya melanggar undang-undang negara setakat ini," kata Mahmoud.
Ini adalah kali pertama Presiden Iran disoal oleh 290 anggota Parlimen negara itu berhubung cara beliau mentadbir negara sejak Republik Islam Iran diasaskan pada 1979.
Semasa disoal oleh anggota-anggota Parlimen, Mahmoud kelihatan tenang dan bersahaja dalam memberikan jawapan.
Beliau turut mempersenda peraturan baharu yang mewajibkan wakil rakyat baharu memiliki ijazah sarjana atau kelulusan setaraf dengan menyatakan, draf peraturan tersebut dibuat oleh mereka yang memiliki ijazah sarjana.
Mahmoud berkata, beliau boleh mengusulkan peraturan yang lebih baik.
Bercakap tentang kod berpakaian yang ketat bagi masyarakat Islam Iran, Mahmoud tetap berpegang kepada pendapatnya bahawa peraturan tersebut perlu dilonggarkan.
"Kita perlu menghormati hasrat rakyat," ujarnya.
- AFP
