Kemajuan Untuk Semua Bangsa Tanpa Mengira Warna Kulit atau Bangsa di bawah Agama Islam

Instagram

Instagram

Suara Ketenangan

Revolution Ads

Revolusi

26 Muharram 1431H
Email : Herman Samsudeen

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menganggap Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebagai pengkhianat kepada rakyat Kelantan dan Sultan kerana enggan memperjuangkan isu Royalti Minyak untuk negeri berkenaan.

Kenyataan Mustapa bahawa tuntutan Kerajaan PAS Kelantan terhadap hasil minyak yang diperoleh di pelantar Bintang yang telah beroperasi sejak 1984 tidak berasaskan kenyataan merupakan satu penafian yang nyata untuk kali kedua.

Sebelum ini beliau juga menafikan hak Kelantan terhadap minyak yang diteroka di kawasan Kawasan bertindih atau di kenali sebagai Joint Development Area (JDA) Malaysia – Thailand.

Penafian beliau ini tidak selari dengan fakta Jabatan Perangkaan Negara yang melaporkan pada 2004 bahawa Kelantan bersama negeri Terengganu dan Sabah telah mengeluarkan minyak bernilai lebih dari RM 46 Billion (Nilai Kiraan Kasar) iatu 76 peratus dari nilai keseluruhan minyak dalam negara.

Fakta itu jelas menyatakan bahawa minyak dari Kelantan telah diambil oleh Petronas, tetapi kenapa masih dinafikan oleh Mustapa.

Pemberian wang ehsan, membuktikan bahawa kerajaan BN dan Umno di Kelantan berdendam dengan rakyat dan Sultan kerana sudah 20 tahun menolak BN. Ketika PAS Menang di Terengganu pada tahun 1999, serta merta Kerajaan BN menarik balik wang royalti dan mengantikannya dengan wang ehsan sebagai satu hukuman kepada rakyat Terengganu yang memilih PAS. Baru-baru ini selepas BN berjaya menguasai Terengganu untuk penggal kedua, BN mulai cuba merubah taraf perjanjian itu kepada wang royalti semula.

Paling tidak disukai rakyat, wang ehsan yang selama ini diberikan telah disalurkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan, bukan kepada Kerajaan Negeri.

Hal sama akan berlaku di Kelantan jika wang ehsan diberikan. Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan yang merupakan 'Kerajaan Hantu BN' di Kelantan akan bermaharajalela mengunakannya untuk meraih sokongan rakyat sebagai persiapan pilihanraya akan datang.

Kenyataan Mustapa bahawa Kerajaan BN menawarkan wang ehsan hanya kerana ingin menolong rakyat Kelantan yang tidak layak menerima royalti lantaran tiada minyak dikeluarkan merupakan satu pembohongan yang besar. Jika benar BN ingin tolong rakyat kenapa dinegeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor yang jelas tiada minyak tidak diberikan wang ehsan?

Kenyataan Mustapa yang mengakui bahawa wang ehsan itu akan dipergunakan sepenuhnya untuk kempen 'Umno Juara Rakyat' menjelaskan lagi bahawa inilah agenda sebenar mereka hingga sanggup mensabotaj Kerajaan PAS yang dipilih rakyat Kelantan.

PAS mendesak supaya rakyat Kelantan terus menolak Umno, dan bangkit untuk menuntut hak mereka dalam bentuk royalti, bukannya wang ehsan. Mustapa dan Umno merupakan pengkhianat rakyat bukan juara rakyat! kembalikan hak rakyat!

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

at 1/12/2010 09:00:00 PM Posted by Unknown 0 Comments

26 Muharram 1431H
Mohd Rashidi Hassan

Nama Dato' Chua Jui Meng bukan baru dalam politik Malaysia. Beliau memulakan karier politiknya sejak tahun 1976. Pada tahun 1978 beliau dipilih sebagai pemimpin MCA bahagian Muar. Tahun 1986 beliau menang di Parlimen Bakri. Beliau kekal di kerusi tersebut lebih 22 tahun atau 5 penggal.

Beliau memegang jawatan sebagai Naib Presiden MCA pada tahun 1990 hingga 2005. Pada tahun 1989 beliau dilantik menjadi Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan. Kemudian dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada tahun 1990. Kemudian sebagai Menteri Kesihatan pada tahun 1995.

Pada 1 Julai 2005 Chua mengumumkan hasrat untuk merebut jawatan Presiden MCA menentang Dato' Seri Ong Ka Ting. Pada 2008 beliau sekali lagi bertanding menentang Dato' Seri Ong Tee Keat tetapi tewas.

Pada 18 Julai 2009, Chua keluar dari MCA untuk menyertai Parti KeADILAN Rakyat. Beliau kini dilantik sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi KeADILan.

Berikut adalah wawancara esklusif antara Harakah bekas Menteri Kesihatan itu di kediamannya, di Bukit Damansara, baru-baru ini.

Harakah : Boleh Dato' ceritakan mengenai latar belakang penglibatan dalam politik?

Chua Jui Meng : Latar belakang politik saya bermula pada tahun 1969 sehari selepas peristiwa 13 Mei. Pada masa itu saya bekerja di London sebagai buruh di sana. Saya tidak dapat Biasiswa untuk membiayai pengajian Undang-undang pada masa itu. Saya tiada wang walaupun keputusan (peperiksaan) saya boleh tahan tapi tak boleh masuk ke universiti tempatan di Malaysia, terpaksa ke luar negara.

Terpaksa bekerja sebagai buruh, sebagai waiter dan potter sepanjang lima tahun untuk membiayai pendidikan saya di sana. Itu satu pengalaman yang baik oleh kerana itu saya faham kesusahan orang biasa tak kira apa bangsa.

Pada masa itu selepas Mei 13 1969 (yang berlaku di Malaysia), dalam televisyen ada ditayangkan di London, masa itu ada rusuhan berlaku di Malaysia, ada orang mati, kedai di Kuala Lumpur dibakar.

Ada dua orang Melayu yang kawan dengan saya sebagai penuntut jurusan undang-undang di sana, mereka kawan karib saya, tetapi mereka ini duduk dengan saya sekali di apartmen saya di London, apabila mereka menonton laporan rusuhan 13 Mei, selepas itu (akibat terpengaruh) mereka keluar dari apartment saya tanpa memberitahu atau berkata apa-apa kepada saya .

Ini memberi impak kepada saya, negara yang baik majmuk namun sehingga 13 Mei, kenapa perkara ini terjadi di mana perkauman telah ditegakkan di Malaysia, dan sebenarnya sebelum itu kita semua tak kira bangsa semua berkawan baik, di sekolah saya di Muar saya bersama orang Melayu, Cina dan India, kita semua berkawan baik tak kira dari desa atau bandar, kita semua baik.

Namun selepas Umno isytihar darurat, semua negara ini telah menjadi berlainan, wajahnya bertukar hingga kini kerana perkauman menjadi asas negara.

Adakah sentimen perkauman ini berlaku sampai sekarang?

Ya, sehingga sekarang ini, masih berterusan ini yang digunakan Umno, orang Cina atau India nak buat macam mana? Tiada pembangkang yang berkesan pada waktu itu (1969) untuk menentang Umno.

Sehinggalah tahun lalu (2008) munculnya Pakatan Rakyat yang baharu yang ada kekuatan mencabar Umno, kita tak tunduk kepada kuasa Umno, bukan kuasa orang Melayu tetapi kuasa Umno.

Sejak itu saya minat dengan politik walaupun saya sibuk kerja sebagai buruh ketika itu, saya sertai Kesatuan Pelajar Malaysia-Singapura di UK, dan pada tahun 1970 saya menjadi Presiden Kesatuan Pelajar Undang-undang Malaysia-Singapura di UK.

Minat saya dah mula dari sana, kenapa negara yang saya cintai ini, saya generasi ketiga di Malaysia tetapi kenapa nasib sudah jadi begini kita semua dikorbankan atas nama perkauman Umno.

Pada masa itu saya tiada pilihan lain, hanya saya ada MCA, takkan saya nak masuk parti komunis? Jadi saya terpaksa masuk MCA, yang mewakili kaum Tionghoa. Saya ceburi MCA sejak tahun 70-an, tetapi kaitan saya dengan politik sejak 1969.

Lebih 30 tahun Dato' dalam MCA, apa yang mendorong Dato' keluar BN?

Saya nampak fajar telah muncul, fajar bukan hanya untuk orang politik sahaja tetapi rakyat Malaysia seluruhnya, sebuah negara yang saya cintai.

Ini satu peluang, saya nampak bagaimana Umno menindas Pakatan Rakyat bagaimana Umno menggunakan cara bagaimana mereka menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat di Perak yang dipimpin oleh Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, dan cubaan di Selangor dan beberapa negeri lain, untuk menindas pemimpin Pakatan Rakyat, ini saya tak boleh terima.

Oleh itu, untuk mempertahankan sistem dua parti di Malaysia dan hak rakyat, cuma Pakatan Rakyat sahaja yang boleh mempertahankan hak rakyat Melayu, Cina dan India, dan bangsa-bangsa lain di Sabah Sarawak.

Berdasarkan prinsip yang saya pegang dalam hati saya sejak 1969, saya sokong Pakatan Rakyat, ia mesti diperkuatkan lagi.

Saya boleh sumbang peranan saya yang pernah jadi anggota pentadbir 15 tahun dalam kabinet, dan lebih 30 tahun dalam MCA dan BN dalam politik. Pengalaman itu dalam kerajaan dalam Parlimen boleh saya gunakan untuk kebaikan Pakatan Rakyat.

Apakah pada pandangan Dato' parti politik berasaskan kaum seperti Umno, MCA atau MIC India tidak boleh lagi diterima rakyat?

Ya, sudah tidak dapat diterima khasnya gokongan muda yang berprinsip. 'Nonsense' jika terus gunakan pendekatan perkauman, MCA bagaimana mereka nak perjuangkan nasib Tionghoa lagi kerana MCA mana ada kuasa?

Mereka ini tak boleh selagi Umno berpegang kepada ketuanan dan dominasi Umnoputra di negara ini. Dan selagi itulah MCA, MIC dan apa sahaja parti dalam BN, semua parti ini (MIC, MCA, PPP, Gerakan dan sebagainya) hanya menjadi hiasan sahaja kepada Umno.

Dato' yakin Pakatan Rakyat boleh bawa perubahan dalam negara?

Saya bersyukur kepada Tuhan Allah sebab pada hari ini orang Tionghoa, Melayu, India sudah buka mata. Mereka sudah pilih Pakatan Rakyat. Saya kesal kerana selama ini, negara dijadikan negara yang berbaur perkauman oleh Umnoputra, ketuanan Melayu yang disorak Umno selamanya, orang Cina pula jadi Cina, lebih dari China, dan sebagainya, ini situasi 'lose-lose' semua kalah, akhirnya oleh kerana negara kita tak boleh maju ke hadapan lagi selagi ada BN.

Dato' ada rasa kecewa tinggalkan MCA?

Langsung tak ada. Ada yang kata kepada saya, terlalu awal lompat, kalau masih dalam MCA, kononnya boleh dapat jawatan tinggi.

Jawapan saya mudah sahaja 'Apa guna saya jadi Presiden atau ada jawatan tinggi dalam MCA, bila saya dah nampak selama ini saya sudah tahu dalam sistem Umno yang kuasai negara ini tiada bangsa boleh maju termasuk orang Cina, Melayu atau India.

Berapa banyak rakyat yang ada kepakaran sudah lari, modal Cina sudah lari dari negara ini, kerana negara ini tiada sistem yang adil dan oleh kerana semuanya berasaskan kepada rasuah. Kalau mahukan projek kena rasuah, lesen boleh dibeli, semuanya berasaskan rasuah.

Saya sebagai seorang Kristian saya amat bencikan rasuah oleh kerana Injil menyebut saya tidak boleh berasuah, anak saya semua Kristian, mereka tidak amalkan rasuah, mereka tahu di negara ini peluang bagi mereka amat terhad oleh kerana mereka tak mahu rasuah kepada orang atasan.

Rasuah ini tidak boleh kerana dari prinsip agama ini sudah salah, Tuhan Allah benci kepada orang-orang yang rasuah, ini adalah satu taraf dosa yang terbesar di dunia ini, tak kira Buddha, Islam dan Kristian sama semuanya membenci rasuah.

Tetapi inilah yang dibuat dan ditegakkan oleh Umno. Dari atas ke bawah semuanya ramai sudah jadi korup termasuk golongan Cina yang buat perniagaan semuanya boleh dibeli dengan wang.

Inikah negara yang kita harapkan menjadi negara maju? Ini mustahil. Sebuah negara yang berasaskan kepada perkauman dan rasuah tidak boleh menjadi sebuah negara yang maju.

Dalam Umno ada politik wang, adakah ini juga berlaku dalam MCA?

Ya dalam MCA pun ada. Ini tak boleh diterima oleh agama, dari segi apa juga agama termasuk Islam.

Saya harap rakyat lihat dan sekaranglah masa untuk membuka minda mereka, janganlah lagi menyokong orang-orang yang sengaja memainkan isu-isu perkauman dan agama untuk pecahbelahkan rakyat.

Umno dilihat campurtangan dalam krisis dalaman MCA, apa pandangan Dato'?

Ini betul, Umno hendak tentukan masa depan MCA supaya mereka dapat kawal. Sejak Umno campurtangan mula kecoh dan makin hancur. Perdana Menteri dan Timbalannya secara terbuka campur tangan hal ehwal MCA.

Sekarang ini MCA berpecah tiga puak sekurang-kurangnya. Takkan MCA ini boleh lagi mewakili Tionghoa, jadi jaguh kepada Tionghoa di negara ini?

Ini mustahil sekarang ini, kerana kepimpinan MCA atasan ini hanya untuk menipu orang
Tionghoa.

Apakah krisis ini menunjukkan MCA tiada masa depan?

Dalam sistem parti dwi-politik ada peluang untuk 'survive', tetapi untuk jangka masa satu atau dua pilihan raya akan datang sukar bagi MCA kerana banyak kerusi mereka akan jatuh, ini risiko mereka.

Kenapa agaknya macam Ong Tee Keat, Chua Soi Lek dan Liow Tiong Lai bergaduh?

Kuasa...kerana kuasa. Kerana kuasa masing-masing nak jadi Presiden dan Timbalan Presiden.

MCA diheret dengan skandal PKFZ, apakah Umno juga terbabit?

Ya, ini yang kita nampak. Di dalam air keruh kita tak nampak lagi. Umno memang tidak mahu PKFZ didedahkan terus, akhirnya siapa yang kena dakwa?

Kita ada melihat ada di kalangan pemimpin Umno yang kecil yang didakwa, adakah yang besar ini lepas hanya dengan pendakwaan orang kecil.

Umno yang tak suka PKFZ didedahkan terbuka, bila dapat peluang emas mereka (Umno) campurtangan dan gunakan kuasa Umno, kuasa kerajaan terhadap MCA dan apa jadi kepada
PKFZ?

Umno dah capai matlamat untuk mendiamkan isu PKFZ. Kita tahu Umno tidak mahu berikan orang Cina kaya-raya sahaja, selagi mereka tak dapat peluang emas dari PKFZ macam
sekarang ini.

Sekarang ini mereka siasat orang Cina, kenapa boleh berlaku penipuan berbillion ringgit dalam PKFZ, bagaimana Kementerian Kewangan boleh bekerjasama dengan tauke PKFZ dengan begitu mudah keluarkan wang bila dituntut tanpa penyiasatan yang mendalam.

Cuba tanya kontraktor kecil bila mereka mahu tuntut wang projek daripada Kementerian Kewangan oleh kerana setelah selesai projek, cukup sukar nak dapatkan bayaran, tetapi PKFZ ini begitu mudah.

Adakah ini hanya mengkayakan Tiong Kin Sing sahaja? atau pegawai atasan PKFZ, adakah untuk mereka sahaja? Ini tak masuk akallah.

Dato yakin Pakatan Rakyat boleh memperbetulkan kepincangan dalam negara?

Ya. Kita sudah putuskan dasar bersama, tiga parti dalam Pakatan Rakyat, bukan tujuan kita untuk satu bangsa sahaja tetapi untuk semua bangsa.

Tuhan Allah telah berikan kita membuka mata hati kita termasuk orang bandar yang sudah faham dan kita mahukan orang desa di kawasan terpencil tahu apa yang berlaku kepada negara ini.

Di mana ada keadilan dalam negara? Carilah mana ada orang Melayu yang boleh kaya-raya sama seperti Umnoputra?

Orang Melayu sudah hilang daya saing di bawah sistem yang dimulakan Umno, subsidi. Universiti kita yang patutnya bangunkan Melayu, Cina dan India yang pandai cerdik telah disekat, sedangkan mereka ini boleh bantu kita memajukan ekonomi dan minda rakyat Malaysia.

Selepas 50 tahun, apa nasib orang Melayu biasa, apa nasib orang Cina biasa? Orang India? Yang kaya hanya taukeh-taukeh Umnoputra di kalangan kroninya banyak dapatkan keuntungan dari dasar dan rasuah mereka. Di Muar, saya balik saya marah kenapa orang Melayu masih miskin..

Dalam kemelut keyakinan rakyat kepada Umno-BN ini, apakah yang boleh Dato' sarankan kepada PAS dalam mendapatkan sokongan rakyat?

Ini satu cara yang amat mustahak bagi PAS oleh kerana sekarang ada Pakatan Rakyat yang mana Dato' Seri Anwar Ibrahim berjaya menyatukan tenaga tiga buah parti.

Pada masa ini orang Tionghoa sudah percaya kepada PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz jadi contoh orang agama Islam yang sangat baik di mata orang Tionghoa sebab dia adalah pemimpin Islam yang sangat baik, tidak ada rasuah, sangat sederhana gaya hidupnya, dia dihormati dan tidak berbaur perkauman.

Namun perlu diingatkan jangan ada lagi insiden seperti di Selangor. Kita bimbang orang Cina akan lari bila PAS dilihat ekstrem.

Ini bukan sahaja jejaskan PAS tetapi Pakatan Rakyat, jangan jadi jaguh kaum, ini kena faham, kerana orang Cina ada dua pilihan satunya keluar negara, dan keduanya ada Pakatan Rakyat.

Kita kena insaf bahawa ramai yang sudah berhijrah kerana mereka tidak boleh terima lagi sistem yang diamalkan oleh Umno.

Dulu orang Umno marah pada Tionghoa kerana tak sokong Umno sebelum tahun 1990, orang Cina sokong pembangkang.

Mereka kata baliklah ke Tongsan (China). Sekarang betul-betul mereka balik ke Tongsan di sana ada kekayaan dan bukan main-main kekayaannya, mereka telah ditransformasikan dari sebuah negara yang amat miskin dan menyedihkan, sehingga kini US pun tunduk kepada China.

Umno memecahbelahkan rakyat dan menghina rakyat dengan politik yang paling rendah yang boleh menjatuhkan kecerdikan rakyat. Dasar kerajaan BN yang menindas, Umnoputra ini paling tiada otak, otak paling rendah, mencabar rakyat untuk keluar jika tidak suka dengan sistem yang ada.

Apabila rakyat menolak Umno kerana perkauman dan menyalahgunakan kuasa, maka mereka beralih kepada PAS. Tetapi orang Cina amat harapkan PAS, supaya tidak jadi seperti
Umno.

Apa pandangan Dato' mengenai isu penggunaan kalimah Allah oleh The Herald?

Isu Herald itu sebenarnya isu politk sahaja. Bila munculnya isu ini? Pada tahun 2007 yang, selepas Bersih berjaya membuat berdemonstrasi untuk menggesa kerajaan mengubah sistem pilihan raya dan menuntut hak-hak rakyat, The Herald membuat laporan ekslusif di muka hadapan.

Mereka memaparkan gambar Dato' Seri Anwar Ibrahim dan demonstrasi Bersih. Apa yang dibuat oleh KDN ketika itu? Umno ambil tindakan.

Mereka menambah masalah. Kerana laporan itu menunjukkan ramai orang Kristian sudah menolak Umno dan BN. Isu The Herald asalnya adalah tekanan politik, bukan agama.

Kristian sejak masa silam telah menggunakan perkataan Allah bersama dengan God, Tun Mahathir Mohamad saya anggap dia cerdik pandai, dia kata Orang Kristian guna Tuhan, jangan guna Allah.

Orang Kristian ada di Arab Saudi, mereka gunakan perkataan tuhan ialah Allah, dalam perjanjian lama dan baru ialah Lord (tuhan) God (Allah) diterjemahkana sebagai Tuhan Allah. Kristian adalah agama Samawi menggunakan Allah.

Kenapa Umno lebih pandai dari Nabi Muhammad, lebih Islam kononnya dari Nabi Muhammad. Sedangkan Quran kata boleh guna Allah? Ini tak masuk akal.

Oleh kerana kepentingan politik mempertahankan survival, Umno mempermainkan isu perkauman yang begitu rendah dan mempermainkan hati rakyat termasuk orang Islam.

Apakah Umno dapat menarik sokongan Melayu dengan isu ini?

Umno memang harap, tapi saya fikir orang Islam tidak percayakan Umno sebab orang Islam lebih percayakan Ustaz Hadi (Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang) daripada Najib (Presiden Umno, Dato' Seri Najib Tun Razak).

Apa asas Najib di dalam isu-isu agama, Hadi lebih pandai dari Najib dalam isu agama, Hadi kutip apa yang dikatakan dalam Quran, nama Allah digunakan dalam agama Samawi, tetapi Najib kata tidak boleh Jangan api-apikan orang Melayu. Saya seorang Kristian, saya gembira jika orang Islam gunakan nama Isa. Saya tak boleh kata orang Melayu Islam jangan gunakan nama Isa. Injil lama sebelum kemuncukan al-Quran sudah sebut nama Allah.

Saya berterima kasih kepada Ustaz Hadi kerana berani mengeluarkan kenyataan yang benar yang mengikut al-Quran.

Saya minta OIC yang akan bertemu di Beirut tak lama lagi, saya minta Najib pergi sendiri untuk mempertahankan pendirian Umno di Malaysia di sana, kononnya orang Kristian tidak boleh guna nama Allah.

Saya hendak tengok, Najib berdiri depan negara dunia Islam dan katakan orang agama Samawi tidak boleh guna nama Allah. Tengok reaksi dari negara OIC lain, jangan jadi jaguh kampung, menyeleweng apa yang diajar dalam al-Quran.

Kalau PAS boleh pertahankan pendirian sekarang ini dan jangan rendahkan ekspetasi rakyat kepada PAS, PAS akan terus diterima. Saya harap lebih ramai lagi pemimpin-pemimpin seperti Tok Guru Nik Aziz dan Hadi bangkit di Malaysia iaitu seorang yang beragama mendalam, cinta negara, cinta rakyat pelbagai bangsa dengan ikhlas hati, tolak perkauman dan tolak Umno.

Akhirnya apakah rumusan Dato terhadap peluang Pakatan Rakyat.

Kita mesti memperkuatkan Pakatan Rakyat. Itu adalah asas kepada kemenangan. Jangan ada lagi kes-kes disiplin seperti di Selangor.

Biarlah kita pastikan kita dipimpin oleh orang yang boleh membawa kita kepada kemenangan, yang boleh memimpin kita untuk menang PRU-13.

Ada syaratnya jika nak menang, bagaimana kita pegang kepada prinsip dasar Pakatan Rakyat di mana Melayu, Cina dan India boleh rasa senang di negara ini dengan jika Pakatan Rakyat menang.

Kita juga harus berhati-hari dengan permainan media milik Umno-BN seperti Utusan Malaysia, The Star dan NST yang sentiasa memainkan propaganda dan memanipulasi isu politik, yang akhirnya menyebabkan orang Cina kurang yakin kepada Pakatan Rakyat.

Kita harus berhati-hati dengan permainan ini. Terima kasih.

Harakahdaily.net/-

at 1/12/2010 12:01:00 PM Posted by Unknown 0 Comments

26 Muharram 1431H
Ahmad baei jaafar

Pasangan yang hendak berkahwin harus mengetahui perkara yang dipandang remeh, tetapi amat besar maknanya. Perkara di bawah adalah berdasarkan pengalaman bagi membantu membina rumah tangga bahagia.

1. Tujuan berkahwin, apa yang kamu niatkan?

- Bagi lelaki, untuk mendapatkan sesuatu yang tidak boleh diperoleh di luar perkahwinan.

- Kasih sayang dan belaian manja dari seorang perempuan.

- Bagi wanita, untuk mendapat perlindungan dari seorang yang bergelar lelaki atau suami.

2. Apakah kewajipan suami?

- Memberi nafkah – makan – pakaian – tempat tinggal

- Mendidik isteri – sejak awal perkahwinan.

3. Apakah hak isteri?

- Taat suami kecuali perkara yang bertentangan dengan syarak

- Hormati suami dan keluarga suami.

4. Apakah isteri wajib masak dan membasuh?

Pada dasarnya bukan kewajipan isteri tetapi kalau suami minta masak atau membasuh dia wajib taat.

Kalaulah suami tidak suruh masak dan tidak suruh membasuh, dia seharusnya memasak kerana menghormati suami yang baru balik kerja. Dia juga seharusnya membasuh baju suami kerana menghormati suami yang pakaiannya kotor.

Sebenarnya isteri yang baik dia tidak mempertikaikan tentang urusan basuh dan masak itu kerana kedua-dua kerja itu adalah fitrah bagi seorang wanita.

5. Apakah persiapan awal suami isteri sebelum dan selepas kahwin?

- Kuatkan iman, taqwa dan ilmu agama

- Mengenali hati budi pasangan

- Mengetahui kesukaan dan kebencian pasangan

- Hindari kebencian pasangan

Formula menyelesaikan masalah rumah tangga

Masalah & Penyelesaian

1 Bila banyak urusan tidak menjadi, walaupun sudah diusahakan masih gagal.

Nilai hubungan kita dengan Allah, solat dan ibadah lain mungkin tidak diterima Allah.

2 Suami isteri mula renggang, suka bergaduh

Nilai semula solat suami dan solat isteri mungkin ada yang cuai atau tidak melakukan solat.

3 Suami isteri dilihat tidak mesra dengan anak-anak.

Lihatlah, mungkin suami dan isteri tidak mesra di atas katil.

4 Isteri rasa tak senang hati terhadap suami

Lihatlah mungkin suami buat dosa di luar rumah, buat maksiat. Perlulah bertaubat segera.

5 Suami rasa kurang selesa dengan isteri

Lihatlah mungkin isteri melakukan dosa di luar rumah. Bertaubatlah segera.

6 Bila anak tidak taat kepada ibu bapa

Lihatlah mungkin suami isteri ada masalah yang tidak diselesaikan, apatah lagi dosa dengan Allah.

7 Bila anak buat dosa di luar rumah

Ibu bapa/suami isteri tidak mendidik anak cara yang betul.

at 1/12/2010 12:00:00 PM Posted by Unknown 0 Comments

26 Muharram 1431H
Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 11 Jan: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, pemimpin Umno perlu menjelaskan kepada rakyat bahawa semua projek dan program yang dilaksanakan dalam siri kempen Umno Juara Rakyat adalah menggunakan wang, kepakaran dan jentera Umno sendiri.

“Barulah boleh Umno dabik dada kata dia juara rakyat. Kalau tidak, dia hanya jadi juara menyalahgunakan wang rakyat untuk kepentingan politik Umno yang kian pudar dan mulai pupus,” ujarnya.

Mengulas program Umno Juara Rakyat, beliau berkata kemungkinan pemimpin Umno menyedari parti itu dilihat terlalu jijik oleh rakyat sehingga menolak Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu.

“Yang menghairankan saya kenapa mesti Umno Juara Rakyat. Bukankah Umno bersama BN memerintah Malaysia. Tidakkah Umno sedar yang ditolak oleh rakyat ialah kerajaan BN,” ujarnya.

Nampaknya, kata beliau, pemimpin Umno hanya mahu rakyat melihat Umno saja yang juara rakyat dan bukannya BN.

“Atau pemimpin Umno memang sedar faktor penolakan rakyat terhadap BN adalah kerana Umno yang sudah dilihat terlalu jijik oleh rakyat.

“Mungkin inilah jawapannya sehingga Umno terpaksa bertungkus lumus untuk menampakkan yang Umnolah juara rakyat,” katanya.

Baginya, program yang dilancarkan oleh Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Hulu Selangor itu merupakan usaha Umno yang terdesak untuk mengembalikan keyakinan dan sokongan rakyat kepada parti itu.

Ini, katanya seperti yang dinyatakan oleh Najib bahawa Umno sudah insaf atas segala kesilapan masa lalu selepas keputusan PRU ke-12.

“Saya tak kisah kalau Umno nak ajak rakyat kata dia juara rakyat itu hak dia sebagai parti politik. Memang semua parti politik berusaha untuk mendapat sokongan dan dokongan rakyat.

“Persoalannya ialah kalau Umno nak mengaku yang dia juara rakyat, adakah program dan projek yang dia buat dalam kempen Umno Juara Rakyat menggunakan wang, tenaga, kepakaran dan lainnya dari Umno sendiri,” ujar Mahfuz lagi.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena mempersoalkan pengumuman Najib yang memperuntukkan RM15.6 juta untuk membaiki bumbung pangsapuri di Bandar Bukit Sentosa, Hulu Selangor.

“Adakah ini duit dari tabung Umno atau duit negara yang merupakan duit rakyat. Kenapakah projek ini diletakkan seliaannya di bawah ICU Jabatan Perdana Menteri. Adakah gaji pegawai-pegawai ICU untuk projek ini dibayar oleh Umno?” tanya beliau.

Begitu juga, katanya dengan program dan projek-projek lain, adakah tidak membabitkan wang negara dan jentera kerajaan.

Harakahdaily.net/-

at 1/12/2010 11:59:00 AM Posted by Unknown 0 Comments

26 Muharram 1431H
Rizal Tahir

KOTA BHARU, 11 Jan: Kementerian Dalam Negeri (KDN) seharusnya menangani isu kalimah Allah sejak awal lagi serta memberi penjelasan dengan baik kepada golongan bukan Islam.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Husam Musa, berkata, PAS lebih mengutamakan permesyuaratan termasuk pertukaran hujah bagi melahirkan keharmonian pelbagai masyarakat di negara ini sejak sekian lamanya.

“Sebenarnya perkara ini boleh diatur di luar mahkamah, tetapi KDN amat lemah.

“Antara contohnya, kerajaan tidak pernah memanggil Majlis Fatwa bermesyuarat mengenai isu kalimah Allah ni,” katanya.

“Kalau Majlis Fatwa tidak bermesyuarat, bagaimana KDN tahu kedudukan isu berkenaan dengan kedudukan sebenar dan lebih meluas.

“Jadi saya cadangkan pada kerajaan mulakan dengan mesyuarat Majlis Fatwa, panggil pihak terbabit berbincang dan berikan pandangan dan kekangan sekiranya ada,” ujarnya.

Menurutnya, beliau yakin masih ada peluang penyelesaian untuk diselesai dengan baik.

“Bukan sahaja kes rumah Kickdefella (Syed Zaidi) sahaja, tetapi isu-isu seluruh negara seperti gereja diserang, rumah dilempar cat dan sebagainya dapat diselesaikan,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kejadian ‘kapak terbang’ yang berlaku di rumah blogger Kickdifela semalam.

Harakahdaily.net/-

25 Muharram 1431H
Wan Sanusi Wan Ali

‘Jangan ikut tabiat buruk ayah’ itulah antara kata-kata terakhir seorang banduan yang menjalani hukuman gantung sampai mati kepada anak-anaknya. Kisah tali gantung yang diceritakan oleh En Samuel, sebagai renungan kita bersama.

Tali gantung yang diimport ini diperbuat dari jenis jut yang paling bagus dan dibalut dengan kulit lembut supaya tidak mencederakan kulit banduan yang akan digantung.
Setiap satu berharga di antara RM4,000 satu hingga RM5,000. Tali gantung ini semasa diterima daripada ejen pembekalnya akan diuji ketahanannya dengan menggantungkan patung seberat lebih 90 kilo selama 72 jam.

Setiap tali gantung ini mempunyai nombor siri dan ia diklasifikasikan sebagai senjata dan disimpan di dalam peti besi.

‘Setiap tali gantung kita terima ada perkiraannya. Kita tak boleh poie terus dan pasang, ada cara-cara yang kita kena ikut. Kita ada empat jenis tali dan kita pilih mengikut berat banduan,’ jelas Samuel.
Di antara ciri utama tali gantung ialah tembaga pembunuh yang berfungsi untuk mematahkan tengkok banduan.

APABILA RAYUAN DITOLAK

Di Penjara Kajang umpamanya banduan yang dijatuhi hukuman gantung dikenali sebagai banduan akhir dan ditempatkan di Blok Abadi sehingga hukuman dilaksanakan.
Mereka ini menghabiskan hampir 23 jam sehari sendirian di sel mereka dan hanya boleh meninggalkan sel atas kelulusan pegawai yang bertugas.

Banduan akhir mungkin terpaksa menunggu bertahun-tahun sehingga habis keseluruhan proses rayuan yang membabitkan Mahkamah Rayuan, Mahkamah Persekutuan dan Jemaah Pengampunan Negeri.

Sekiranya rayuan kepada Badan Pengampunan ini juga ditolak, Mahkamah Persekutuan akan mengeluarkan waran untuk melaksanakan hukuman di mana di dalam waran itu akan disebut nama banduan, nombor kad pengenalannya serta masa hukuman akan dijalankan iaitu di antara 5.30 pagi hingga 6.30 pagi.

‘Kita diberi satu jam untuk laksanakan hukuman. Untuk banduan beragama Islam biasanya kita akan jalankan hukuman gantung ini pada hari Jumaat, selepas solat subuh. Bagi yang bukan Islam, waktunya lebih kurang sama, cuma harinya boleh berbeza,’ kata Samuel.

Selepas waran dikeluarkan, banduan akhir akan dibawa berjumpa dengan pengarah penjara yang akan memaklumkan tentang pelaksanaan hukuman gantung selepas segala proses rayuan terakhir ditolak.

‘Biasanya banduan akhir ini akan tahu apabila dia dibawa keluar dengan tangan bergari dan ada kawalan ketat, dia tahu keesokan harinya sesuatu yang buruk akan berlaku (dia akan digantung),’ kata Samuel.

Semasa banduan akhir berada di bilik pengarah ini, kaum keluarganya yang biasanya sudah dimaklumkan seminggu lebih awal sudah menunggu di luar penjara untuk ‘perjumpaan terakhir.’

Lazimnya suasana dan pilu akan menyelubungi setiap perjumpaan terakhir ini.
Banduan juga diberi pilihan untuk ‘hidangan terakhir’ bernilai RM7.50.

HARI PENGGANTUNGAN

Menurut Samuel, kebanyakan banduan akhir yang menjalani hukuman gantung ‘poie dengan rela’ setelah menunggu begitu lamo untuk hukuman dilaksanakan.
‘Mereka yang rajin sembahyang, tak kira agama, menunggu dengan tenang dan sudah bersedia. Ada beberapa orang sahaja yang menjadi agresif sehingga ke saat-saat terakhir.

‘ Ada sesetengah banduan puas hati dan beritahu saya nasib mereka lebih baik dari saya kerana mereka tahu bila mereka akan mati. Bila kita buka pintu untuk bawa mereka keluar ke bilik gantung, ada yang salam dengan kita dan ucap terima kasih. Mereka kata mereka dah tak tahan lagi menunggu,’ katanya.

Di hari mereka diberitahu hukuman gantung akan dijalankan, mereka akan meminta pena dan kertas untuk nota terakhir.

‘Jangan ikut tabiat buruk ayah’ antara kata-kata terakhir seorang banduan untuk anak-anaknya, yang masih Samuel ingat.

Banduan juga boleh memilih pakaian apa yang hendak dipakainya pada hari hukuman.
‘ Ada banduan beragama Islam hanya mahu pakai kemeja T dan seluar sembahyangnya. Ada yang memilih kot dan tali leher. Ada yang pakai kasut berharga RM300. Mati penuh gaya . Banduan itu kata dengan jenaka,’ cerita Samuel.

Hukuman gantung pula hanya dijalankan selepas semua pihak termasuk pengarah dan doktor berpuas hati dengan keadaan banduan pada hari hukuman akan dilaksanakan.

BILA PINTU PERANGKAP RENGGANG

Pintu perangkap di bilik gantung di mana banduan akhir berdiri akan secara automatik renggang sepenuhnya bila ‘gear’ ditarik.

Di bawah lantai pintu perangkap ada ruang kosong dengan ketinggian 5.18 meter.
Bunyi pintu perangkap yang terbuka dengan kuatnya memecah kesunyian suasana penjara.
Menurut Samuel, proses menggantung dari masa banduan dibawa keluar dari bilik menanti ke bilik gantung dan pengarah memberi isyarat kepada tukang gantung untuk menarik ‘gear’ yang akan antaranya membuka pintu perangkap hanya mengambil masa kira-kira 15 saat.

Semuanya perlu dibuat dengan lancar dan menurut Samuel, kematian berlaku dalam masa di antara 30 saat hingga satu minit dan banduan akan diturunkan dan diletak di atas troli selepas setengah jam dibiar tergantung.

‘Saya sering mengingatkan pembantu-pembantu saya supaya menghormati jenazah kerana dia sudah menjalani hukuman. Kalau kita hormat pada dia, semuanya tak ada masalah.
‘Bagi saya pula, kebiasaannya saya akan pandang muka jenazah ini dan letakkan tangan saya di atas dadanya. Ini petua yang diberi oleh bos- bos saya dulu,’ kata Samuel.
Menjalankan tugas khas ini memberikan banyak keinsafan kepada Samuel.

Beliau menasihatkan ibu bapa supaya memupuk nilai-nilai murni kepada anak-anak mereka untuk mengelak mereka terjerumus melakukan jenayah..

‘Segala-galanya bermula dari keluarga. Kalau keluarga tak kawal,lingkup. Dadah, umpamanya, kalau seorang dalam keluarga jadi penagih, satu keluarga akan terjejas,’ katanya sambil menjelaskan bahawa kebanyakan kes hukuman gantung adalah berkaitan dengan dadah.

at 1/11/2010 01:58:00 PM Posted by Unknown 0 Comments

25 Muharram 1431H
Email : mohamad alias idris

Correct timing to take water, will maximize its effectiveness to Human body.

Two (02) glass of water - After waking up - Helps activate internal organs

One (01) glasses of water - 30 minutes before meal - Help digestion

One (01) glass of water - Before taking a bath - Helps lower blood pressure

One (01) glass of water - Before sleep - To avoid stroke or heart attack


    Followers