Kemajuan Untuk Semua Bangsa Tanpa Mengira Warna Kulit atau Bangsa di bawah Agama Islam

Instagram

Instagram

Suara Ketenangan

Revolution Ads

Revolusi



05 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 Mac: PKR menggesa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyiasat kewangan ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan yang didakwa mampu membayar segala hutangnya secara tiba-tiba.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail yang merujuk kepada Gobalakrishnan yang bertindak keluar PKR Januari lalu mempersoal keupayaan kewangannya selepas keluar parti, sedangkan beliau sebelum ini diketahui mempunyai masalah kewangan.

Menurut Saifuddin yang juga ahli Parlimen Machang, Gobalakrishnan secara tiba-tiba dapat menjelaskan bayaran pajakan tanah di antara syarikat miliknya, Embun Megah Sdn Bhd beralamat 1525, Kulim Height 3, Kulim Golf and Country Resort, Kedah dengan Kumpulan Pertanian KElantan Bhd bernilai RM1,401,250,00.

Katanya, bayaran cek Hong Leong Bank masing-masing bernilai RM700,000 bertarikh 12 Januari 2011 dan RM701,250 bertarikh 15 Mac 2011 jelas menunjukkan kemampuan kewangan Gobalakrishnan yang secara berterusan menyerang PKR.

"PKR menggesa Lembaga hasil Dalam Negeri memulakan tugas 'bertanya khabar' keupayaan kewangan beliau yang membolehkan bayaran berjuta ringgit dibuat terhadap urusniaga ini. Dari mana sumbernya? Siapa yang 'bermurah hati' menolong? Urusniaga apa yang dilakukan beliau yang memungkinkan wang sebanyak ini diperoleh?

"Januari dan Mac 2011 adalah kemuncak tempoh serangan, kecaman dan fitnah ahli Parlimen Padang Serai terhadap PKR. Ketika ini jugalah beliau secara tidak semena-mena mampu membayar RM1,401,250 untuk bayaran tanah ini," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Gobalakrishnan pernah menjual rumahnya sendiri, kedai kek isterinya terpaksa ditutup dan kesukaran menjelaskan pelbagai bil-bil lain.

Beliau tabah dan sabar menghadapi situasi itu sehingga memenangi kerusi Padang Serai dengan tiket PKR.

Namun dakwa Saifuddin, Gobalakrishnan mula berubah apabila tiga tahun bersama PKR akibat masalah kewangan dan beliau mua tidak berpuas hati akibat tidak dilantik menduduki jawatan dalam anak-anak syarikat kerajaan negeri yang difikirkan menjanjikan pulangan lumayan.

PKR tegasnya mengulangi pendirian bahawa pengkhianatan keluar parti sejumlah ahli-ahli Parlimen PKR didorong habuan lumayan yang tidak mungkin diperoleh mereka jika kekal dalam PKR.

"Kerana dorongan inilah ramai tewas. Ralatnya mereka mencipta alasan-alasan yang tidak masuk akal untuk menjustifikasikan tindakan khianat mereka.

"Persoalannya ialah jika ahli Parlimen Padang Serai mampu menjelaskan bayaran tanah RM1.4 juta dalam masa tiga bulan, berapa agaknya habuan yang beliau terima sebagai harga pengkhianatan ini?

"Dan kalau 'nilai' ahli Parlimen Padang Serai sejumlah tersebut, berapa pula habuan yang diterima oleh ahli-ahli parlimen Wangsa Maju, Bagan Serai, Kulim Bandar Baharu, Bayan Baru dan Nibong Tebal, 'rakyat hakim terbaik'," katanya.

Sementara itu, ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam terkejut dengan kemampuan Gobalakrishnan membayar hutangnya dan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara itu.

"Saya terkejut dengan kemampuan Gobala. Saya yakin semua yang keluar parti itu dibeli dan seharusnya SPRM menyiasat bagaimana mereka ini boleh menjadi senang secara tiba-tiba," katanya.

Harakahdaily/-
Oleh : Hazayani Zakaria .

at 3/10/2011 07:36:00 PM Posted by Unknown 0 Comments



05 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 10 MAC : Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail hari ini membidas sikap bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad yang enggan ke mahkamah selepas di sapina untuk memberikan keterangan berhubung tuduhan yang direka terhadap Anwar Ibrahim.

Saifuddin dalam sidang media di lobi Parlimen mendakwa bekas perdana menteri itu mengemukakan alasan beliau hanya akan hadir memberi keterangan sekiranya dimaklumkan soalannya terlebih dahulu.

Beliau mengulas isu yang dibangkitkan bekas Perdana Menteri itu di dalam biografinya bertajuk "A Doctor in the House : The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilancarkan Selasa lalu yang mendakwa Anwar terlibat dalam aktiviti tidak bermoral.

"Saya tak fikir jika kita disapina hari ini di mahkamah, kita ada keistimewaan untuk bertanya soalan apa. Kita kena hadir. Kalau tidak hadir, keesokan harinya kita akan ditangkap polis dan didakwa menghina mahkamah. Dr Mahathir takut untuk hadir ke mahkamah walaupun peguam Anwar menggunakan proses undang-undang yang sah iaitu sapina beliau untuk memberi keterangan.

Waktu itu Dr Mahathir berpeluang untuk menceritakan apa yang diceritakan dalam buku. Berani kerana benar. Kalau betul apa yang ditulis di dalam buku itu, tiada siapa yang berani balas," katanya.

Saifuddin dengan nada sinis berkata, tindakan Dr Mahathir takut untuk berhadapan mahkamah dan peguam Datuk Seri Anwar ketika perbicaraan itu berlangsung jelas menunjukkan beliau tidak mampu berhadapan Anwar secara terbuka.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PKR itu juga turut menyatakan Dr Mahathir diberitahu isu berkenaan oleh Tun Hanif seawal tahun 90 an.

"Kita tahu dalam proses perlantikan jawatan tinggi dalam negara kita mestilah melalui satu tapisan personality clearance. Kalau ketika itu jika benar aduan Tun Hanif kepada beliau, Anwar masuk Umno seawal tahun 1983 dan dipecat pada 1998. Isunya ialah kenapa waktu itu Anwar lulus self clearance sehingga menjadi Menteri Pelajaran, Menteri Kewangan dan akhirnya Timbalan Perdana Menteri."

Saifuddin berkata, kenyataan dikeluarkan Dr Mahathir di dalam biografinya itu adalah meragukan lebih-lebih lagi maklumat tersebut disampaikan oleh Tun Hanif. Beliau turut menjelaskan, adalah tidak mustahil Perdana Menteri juga boleh ditipu.

"Tun Hanif pernah memberi keterangan kepada mahkamah bahawa tiada dalam Al-Quran yang mangatakan haram judi. Sedangkan daripada 6,666 ayat ada mengharamkan judi, Hanif kata dia tak pernah jumpa. Orang yang ada maklumat tentang Anwar ialah Hanif. Dan orang seperti Hanif itu sudah tentu kenyataannya boleh diragui.

Anwar juga dikatakan tidak menafikan tuduhan itu ketika Majlis Tertinggi. Mahathir tidak cerita, sebelum memulakan mesyuarat, Mahatihir mahukan Anwar dipecat. Mahathir mahukan anwar dipecat sebelum beliau berhak memberi penjelasan," katanya.

Ujar Saifuddin, isu yang dibangkitkan Dr Mahathir bukanlah perkara baru, sebaliknya hanyalah isu lama yang tidak mampu dibangkitkan di Parlimen sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri ketika itu.

Tv Selangor/-

at 3/10/2011 07:35:00 PM Posted by Unknown 0 Comments



05 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 16 Dis: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mendakwa projek pembinaan rumah Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi bernilai hampir RM12juta sebagai satu penyelewengan kewangan negara.

Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS mendakwa, projek itu merupakan satu projek yang disembunyikan daripada pengetahuan umum kerana ianya tidak terdapat dan dalam Rancangan Malaysia ke-9 dan bajet 2010.

"Saya anggap projek ini sebagai sulit kerana ianya tidak terdapat dalam semakan Rancangan Malaysia ke-9, dalam bajet 2010 pun tidak ada peruntukan untuk projek itu," kata Mahfuz ketika ditemui di lobi parlimen pagi tadi.

Beliau turut mempersoal berhubung undang-undang atau peruntukan yang didakwa tidak pernah ada itu.

"Memang ada satu peruntukankah yang membolehkan kerajaan menghadiahkan sebuah rumah kepada seseorang Perdana Menteri selepas beliau bersara? Setakat yang saya tahu tidak ada peruntukan itu" katanya.

Turut dipersoal motif kerajaan memberikan peruntukan tersebut kepada bekas perdana menteri itu.

"Apakah tujuan Kerajaan beri sebuah rumah kepada bekas Perdana Menteri yang sudah pun mempunyai rumah.

"Kalau rumah itu diberikan atas sebab beliau telah banyak berjasa kepada negara, saya percaya ramai lagi orang yang berjasa kepada negara," tegasnya.

Mahfuz turut mempersoal kaedah projek berkenaan dibuat iaitu secara runding terus, dalam nilai yang tinggi.

"Kenapa projek itu dibuat secara runding terus dengan harga hampir RM12 juta.Ianya diberikan kepada TRC corporation iaitu kontraktor yang membuat pengkalan kapal selam di Sabah yang bernilai
RM400 juta lebih," ujarnya.

Beliau tidak menolak kemungkinan ada sesuatu yang disembunyikan kerajaan.

"Saya rasa ada sesuatu yang tidak kena dalam pengurusan kewangan negara kita sekarang ini. Kewangan disalahgunakan untuk kepentingan pihak tertentu sahaja.

"Kerajaan tidak harus sembunyikan perkara ini daripada pengetahuan rakyat dan wakil-wakil rakyat kerana ianya melibatkan cukai yang dibayar rakyat," tegasnya.

Sewaktu perbahasan belanjawan 2010 di Dewan Rakyat petang semalam, Mahfuz mengutarakan perkara tersebut dan meminta Menteri Kewangan memberikan penjelasan.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri, Datuk Chor Chee Heung (BN-Alor Setar) berkata, Kementerian tidak mengetahui mengenai kewujudan projek tersebut dan akan memberikan jawapan bertulis.

Rumah berkenan dakwa Mahfuz terletak di Lot 65 seksyen 60, Persiaran Mahameru, dekat sini.

Projek berkenaan sedang daam pembinaan dan telah siap 20 hingga ke 30 peratus.




01 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

1.Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) melahirkan rasa kesal di atas kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Kebangsaan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Farahana Jamaluddin seperti yang tersiar di dalam akhbar Mingguan Malaysia pada hari ini, 6 Mac 2011. Di dalam kenyataan tersebut, beliau dilaporkan berkata bahawa,imej Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat adalah sama dengan pengasas ajaran sesat, Ayah Pin kerana menjadikan agama sebagai alat untuk menguasai pemikiran pengikutnya.

2.DPPNK menyifatkan kenyataan tersebut merupakan satu kenyataan yang kurang ajar serta biadap dan menunjukkan kejahilan seorang yang beragama Islam terhadap agamanya sendiri. Serangan ini menunjukkan UMNO sudah ketandusan modal dan senjata untuk berhadapan dengan PAS sehingga menggunakan pebagai badan NGO yang pada hakikatnya bergerak untuk kepentingan politik UMNO semata-mata.

3.Ini boleh dilihat melalui blog rasmi Jaringan Melayu Malaysia (JMM) di alamat http://jaringanmelayumal.blogspot.com/ di mana sebahagian besar daripada isi kandungannya ialah serangan terhadap PAS khususnya peribadi YAB al-Mursyidul Am PAS.

4.Sekiranya tidak boleh menggunakan agama untuk menarik sokongan rakyat, DPPNK ingin bertanya kepada Farahana Jamaluddin, apakah yang telah digunakan ole Rasulullah SAW sewaktu menyebarkan dakwah di Mekah pada awal kemunculan Islam dahulu? Atau Farahana terlampau jahil dengan sejarah agamanya sendiri lalu mengeluarkan kenyataan mengikut hawa nafsu semata-mata?

5.Atau apakah sebenarnya agama pada pandangan mata Farahana? Kita khuatir apa yang difahami olehnya ialah salah satu hasil benih sekular yang telah ditanam oleh UMNO sekian lama. Hakikatnya, UMNOlah yang seringkali mencetuskan ajaran baru yang tidak pernah disebut dalam agama. Buktinya Islam Hadhari yang dicipta oleh UMNO dan hari ini pula Presiden UMNO menjaja idea Islam Sederhana.

6.Justeru, DPPNK mencabar Jaringan Melayu Malaysia (JMM) untuk bersemuka dan berdebat di atas isu ini. JMM boleh menghantar sesiapa sahaja sebagai wakil termasuklah Farahana Jamauddin yang bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan biadap ini.

Sekian.

Yang menjalankan tugas,

AHMAD FADHLI BIN SHAARI,
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK).



28 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

Bandar Jinling sudah kehilangan suasana sebagai hab politik kebangsaan yang bercorak imperialis, menurut pandangan Li Bai. Ketika mengunjungi bandar itu, Li Bai mendapat layanan yang ramah dari rakyat tempatan. Pada saat makan jamuan perpisahan, ada penyanyi perempuan yang cantik diatur menemani Li Bai, sedangkan kawan-kawannya seorang demi seorang mengangkat cawan untuk minum arak dengannya sambil menyuarakan kata-kata berdoa. Kesemua layanan yang disediakan dalam suasana mesra itu memang sukar dilupakan oleh Li Bai.

Selepas meninggalkan bandar Jinjing, Li Bai memilih meneruskan perjelajahannya ke bandar Yangzhou melalui sungai Yangtze. Yangzhou merupakan satu bandar antarabangsa yang makmur ketika itu. Li Bai belum pernah melihat pemandangan bandar yang begitu makmur lagi riuh rendah. Beliau turut memutuskan bersama dengan kawannya menginap di sana lebih lama sedikit sehingga tibanya musim panas. Mereka bersiar-siar di bandar itu dengan menikmati pemandangan alam yang indah sebebas-bebasnya.

Setelah tiba musim gugur, Li Bai jatuh sakit di Huannan (satu tempat yang dibawah pentadbiran Yangzhou). Beliau berasa agak gelisah kerana terpaksa menerima rawatan di tempat yang jauh dari kampung halamannya, malah menghadapi harapan yang tipis bagi menubuhkan kerjayanya. Yang boleh membantu Li Bai meringankan penderitaannya dalam merindu kampung halamannya ketika itu hanyalah surat-surat sahaja yang dikirim dari kawan-kawannya.

Setelah sembuh di Huannan, Li Bai memutuskan menjelajah ke Gusu. Raja Fucai dari Negeri Wu, dan gundik yang paling dimanjakannya, Xisi, yang diikhtiraf sebagai seorang dari empat jelitawan yang paling tersohor dalam sejarah purba China, pernah makan, minum dan nonton secara semewah-mewahnya tanpa mengira malam atau siang harinya di sana.

Ketika mengenang kembali sejarah silam itu, Li Bai menghasilkan sebuah puisi yang bertajuk "Wu Qi Qu" yang berorientasikan rumusan terhadap sejarah. Puisi itu kemudiannya mendapat pujian tinggi dari He Zhizhang, seorang penyajak yang tersohor yang lebih senior daripada Li Bai ketika itu. Beliau menyifatkan karya ciptaan Li Bai tersebut "mampu mengharukan dewa-dewi."

Ini mencerminkan bahawa Li Bai ketika meneruskan penggunaan tajuk yang konvensional dalam menghasilkan sejumlah puisi untuk kegunaan Jabatan Muzik Diraja, tidak lupa menambah isi kandungan yang segar dalam karya-karya seumpama itu. Li Bai bukan sahaja berminat mengimbas kembali cerita-cerita yang romantik yang berlaku di Gusu pada zaman purba, tetapi juga berminat menikmati pemandangan yang indah di situ yang tentulah tidak lepas dari gadis-gadis tempatan yang cantik. Ketika mengunjungi Gunung Niaoluo yang pernah menyaksikan Xisi mencuci pakaiannya yang dibuat dari kain kasa, Li Bai tidak lupa menghasilkan puisi-puisi yang menggambarkan kehidupan gadis-gadis tempatan yang tinggal di sekitar kawasan itu.

Selepas itu, Li Bai memutuskan menamatkan penjelajahannya di bahagian timur dan pulang kampung dengan berjalan menuju ke barat. Setelah tiba di Jingmen, bandar yang pertama yang beliau singgah setelah memulakan penjelajahan sebelum itu, Li Bai berasa malu jika terus pulang kampung kerana masih belum mencapai apa-apa pun jasa atau kemajuan dalam merealisasikan cita-citanya. Dihantui rasa ragu-ragu, Li Bai sedar tak sedar sudah tinggal di Jingmen selama tiga bulan. Akhirnya, beliau memutuskan untuk memulakan semula penjelajahannya, tak kira diseksa oleh rasa rindu terhadap kampung halamannya.

Kali ini, Li Bai terlebih dahulu bertolak ke pinggir Tasik Dongting di mana dikebumikan bangkai Wu Zhinan, rakan akrabnya, untuk memindahkan bangkai itu ke Jiangxia (Bandar Wuchang, Provinsi Hubei sekarang).

CRI/-

at 3/03/2011 08:31:00 PM Posted by Unknown 0 Comments



28 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

PETALING JAYA, 3 Mac: Ketua Pemuda Umno Kuala Krau, Wan Salman Wan Ismail menafikan bekas Ketua Umno cawangan Jengka 25, Muzamil Mualif dan 11 ahli lain menyertai PAS namun beliau meminta meminta penjelasan lanjut dari Ketua Penerangannya pula.

“Kita (Umno) telah berhubung dengan Muzamil dan beliau tidak menyertai PAS,” katanya ketika dihubungi hari ini oleh laman web Free Malaysia Today (FMT).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemasukan bekas ketua Umno Jengka 25 ke dalam parti Islam itu malam semalam.

Muzamil bersama 11 ahli Umno cawangan berkenaan (gambar) telah menyerahkan borang penyertaan tersebut kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di rumahnya.

Wan Salman, bagaimanapun, enggan mengulas apabila diberitahu ada gambar yang menunjukkan Muzamil menyerahkan borang keahlian PAS kepada Abdul Hadi. Sebaliknya beliau mahu wartawan mendapatkan maklumat lanjut daripada Ketua Penerangan Umno bahagian Kuala Krau, Datuk Mohamed Jaafar.

Bagaimanapun, usaha menghubungi Mohamed tidak berjaya. Seorang lagi ahli jawatankuasa Umno Kuala Krau, Mohd Ali Hanafiah Ahmad ketika dihubungi berkata beliau tidak tahu perkara tersebut.

Selasa lalu, seramai 12 ahli Umno dari Felda Jengka 25 bertindak keluar parti untuk menyertai PAS.

Ahli-ahli Umno termasuk bekas Ketua Cawangan Umno Jengka Jengka 25, Muzamil Mualif menyertai PAS selepas dua hari Perdana Menteri mengadakan lawatan ke situ dengan mengumumkan projek pembangunan berjumlah jutaan ringgit.

Ahli-ahli Umno itu dikatakan kecewa dengan Najib ketika berkunjung ke Jengka yang disifatkan tidak serius mahu membantu masyarakat peneroka.

Satu majlis penyerahan borang keahlian PAS telah diadakan sempena kemasukan tersebut di rumah bekas Ketua Cawangan Umno itu sendiri, Muzammil Alif yang kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Muzammil merupakan pengasas Umno di Jengka 25 dan menjawat jawatan ketua cawangan di situ selama 15 tahun.

Beliau juga merupakan pembantu kepada bekas Adun Sanggang, Allahyarham Datuk Abdullah Kia.

Harakahdaily/-

at 3/03/2011 08:29:00 PM Posted by Unknown 0 Comments



28 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
Oleh : Abu Basyer

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Setiap orang mukmin yang ingin menjadi para daie yang istiqamah perlulah mewarisi sifat para Nabi dan Rasul iaitu siddiq, amanah, tablig dan fatanah. Walaupun mungkin sebagai manusia biasa kita tidak mampu mewarisi sepenuhnya sifat-sifat yang mulia ini kerana para Nabi dan Rasul bersifat maksum, tetapi sebagai asas akhlak yang mulia perlulah empat sifat ini menjadi pakaian dan perhiasan untuk para daie yang mukmin, yang berhasrat menjadi pewaris para nabi untuk menegakkan risalah Allah S.W.T.

Perwatakan seorang mukmin mestilah dihiasi dengan sifat ikhlas, murah hati, merendah diri dan benar, berhemah tinggi dan sederhana juga diharumi dengan sifat mengasihi dan menyayangi serta sentiasa mengalirkan kegembiraan dalam perhubungan, menjadikan akhlaknya sentiasa menjadi ikutan masyarakat.

Dalam dirinya tercantum segala sifat-sifat mahmudah yang sejati. Pada waktu siangnya bekerja keras untuk mencari nafkah untuk keluarga dan pada masa yang sama menyampaikan mesej dakwah dan tarbiah kepada masyarakat. Di waktu malamnya solat tahajud, berdoa dan bermunajat sehingga menitiskan air mata penyesalan mengadap Tuhan Rabbul Jalil.

Sahabat yang dikasihi,

Di sini akan difokuskan kepada empat sifat dasar yang merupakan sifat yang perlu ada pada setiap orang mukmin yang menjadi pemimpin umat. Sifat-sifat tersebut adalah siddiq, amanah, fatanah dan tabligh. Apabila sifat sifat ini lahir dalam kehidupan maka ianya akan menjadi contoh kepada umat Islam lain yang mengharapkan keredaan Allah S.W.T.

Sifat-sifat tersebuat adalah seperti berikut :

Pertama : Siddiq (Benar)

Seorang mukmin harus memiliki sifat benar tidak ada sepatah pun perkataannya yang mengandungi kebatilan, dalam apa sahaja keadaan dan suasana. Sifat siddiq adalah asas kemuliaan, lambang ketinggian, tanda kesempurnaan dan gambaran dari tingkah perlakuan yang bersih dan suci.

Sifat inilah juga yang menjamin dapat mengembalikan hak-hak kepada yang berhak, memperkukuh ikatan antara anggota masyarakat, tidak terkecuali samada dia itu seorang alim, atau seorang yang berkuasa atau seorang saudagar, samada laki-laki atau perempuan, dewasa ataupun kanak –kanak, selama mereka hidup dalam satu masyarakat yang saling perlu memerlukan antara seorang dengan yang lain.

Sifat siddiq (benar) adalah inti sari daripada kebaikan. Sifat inilah yang dimiliki sahabat yang paling disayangi Rasulullah SAW iaitu Abu Bakar as -Siddiq.

DariAbdullah bin Masud, Nabi S.A.W. bersabda bermaksud :

"Sesungguhnya siddiq (benar) itu membawa pada kebaikan, dan kebaikan akan menunjukkan pada syurga. Seseorang berperi laku siddiq, hingga ia dikatakan sebagai seorang yang siddiq. Pendustaan pula akan membawa kepada keburukan,dan keburukan akan menghantarkan pada neraka. Seseorang berperi laku dusta, hingga ia dikatakan sebagai pendusta."

(Hadis Riwayat Bukhari)

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :

"Sesungguhnya lelaki dan perempuan yang Muslim, lelaki dan perempuan yang mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatan, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama)Allah, Allah menyediakan untuk mereka ampunan dan ganjaran yang besar."(Surahal-Ahzab ayat 35).

Selain mendapatkan keampunan dan ganjaran yang besar dari Allah, golongan siddiqin juga akan mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah di akhirat. Mereka akan disatukan bersama nabi, orang syahid, serta salihin.

Seorang mukmin akan sentiasa berkata benar tidak berbohong, mungkir janji dan lidahnya tidak suka mengumpat dan memfitah orang lain walaupun terhadap orang fasik yang menghina dan menyerang peribadinya. Setiap nasihat dan tunjuk ajarnya membuatkan seseorang tertarik untuk mendekatkan diri dengan Islam kerana tuturkata yang lemah lembut dan penuh hikmah.

Kedua : Amanah

Amanah ialah sifat mulia yang pasti dipunyai oleh setiap orang dalam menghadapi perjuangan hidup demi untuk mencapai cita cita yang diazamkan. Suatu masyarakat itu tidak akan dapat dibina dengan harmoni melainkan hanya di atas asas yang kukuh dan tetap, antaranya asas amanah. Dengan jelas kita dapat menyaksikan perbezaan antara dua jenis manusia pertama yang amanah atau al amin dan kedua yang khianat atau al-Khain. Orang yang amanah akan menjadi tempat kepercayaan dan penghormatan orang ramai, sebaliknya orang khianat itu pula menjadi tumpuan kemarahan dan kehinaan.

Sifat seorang mukmin yang amanah akan melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh dan penuh bertanggungjawab. Dia tidak akan 'curi tulang', tidak akan mengambil rasuah dan tidak akan melaksanakan tugas sambil lewa sahaja. Dia merasai tanggungjawab dihadapan Allah S.W.T. jika di dunia diabaikan amanah yang diberikan kepadanya.

Jika sifat amanah ini dimiliki oleh para pemimpin kita, para ulama , guru-guru, pegawai atasan dan ahli perniagaan maka kita akan dapati negara akan berkembang maju dan kekayaan negara akan dapat di manfaatkan sepenuhnya untuk rakyat dan keseluruhan rakyat umumnya akan mempunyai akhlak yang baik. Oleh kerana sifat amanah suduh hilang atau berkurangan maka kesan daripadanya menyebabkan hutang negara bertambah kerana membazirkan wang negara untuk menyelamatkan syarikat-syarikat kroni yang bangkrap akibatnya negara terpaksa menanggung hutang yang besar. Selain daripada itu kesan sifat tidak amanah ini juga maka kadar jenayah semakin meningkat kerana tidak ada amanah diperingkat penguasaan undang-undang.

Daripada Ibnu Umar r.a., katanya, saya mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya :

"Setiap orang daripada kamu adalah penggembala dan setiap seorang dari kamu akan ditanya perihal penggembalaannya. Pemimpin adalah penggembala dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Seorang lelaki adalah penggembala dalam keluarganya dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Seorang wanita adalah penggembala dalam rumah suaminya dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Buruh adalah penggembala dalam harta majikannya dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Jadi setiap seorang dari engkau semua itu adalah penggembala dan tentu akan ditanya perihal penggembalaannya. "

(Hadis Riwayat Muttafaq 'alaih)

Ketiga : Tabligh

Tabligh atau sifat menyampaikan dakwah dan Islam kepada masyarakat adalah satu sifat atau tugas yang diamanahkan oleh Allah S.W.T.

Firman Allah dalam surah Al Maidah ayat 67 yang bermaksud : ”Wahai Rasulullah, Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan jika engkau tidak melakukannya(dengan menyampaikan kesemuanya) maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusanNya. ”

Walaupun ayat ini arahan Allah S.W.T kepada Rasulullah S.A.W. sebagai Rasul pilihan-Nya untuk menyampaikan apa yang diturunkan oleh Allah S.W.T., tetapi sebagai hamba Allah S.W.T. dan umat Nabi S.A.W. kita juga berkawajipan untuk menyambung perjuangan Nabi S.A.W. iaitu berdakwah dan menyampaikan risalah Allah S.W.T. yang dilaksanakan oleh baginda kepada umat manusia seluruhnya.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.” (Surah Ali-Imran ayat Ayat 104)

Kewajipan berdakwah adalah tanggungjawab besar yang menjadi tonggak utama agama dan tiang seri atau paksi menegakkan binaan Islam, menyempurnakan segala peraturan serta mengangkat martabat Islam hingga ke puncaknya.

Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa daripada kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka dia hendaklah mengubah dengan tangannya; jika dia tidak mampu berbuat demikian, maka hendaklah dia mengubahnya dengan lidahnya; dan sekiranya dia tidak mampu juga, maka dengan hatinya, itulah selemah-lemah iman.” (Hadis riwayat Muslim)

Berdakwah kepada Allah adalah amalan kebaikan diperintahkan supaya hamba-Nya sentiasa berdoa untuk mendapat keredaan Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang menyeru kepada petunjuk maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang mengerjakannya, Allah tidak mengurangkan sedikit pun pahala daripadanya. Dan barang siapa yang menyeru kepada kesesatan maka dia akan berdosa seperti mana dosa orang yang melakukannya, Allah tidak akan mengurangkan sedikit pun dosa itu daripadanya.” (Hadis riwayat Muslim)

Keempat : Fathanah (Kebijaksana dan cergas)

Sifat keempat ialah fathanah(bijaksana dan cerdas). Sifat ini adalah sifat penting yang perlu ada pada seorang mukmin yang bertugas menyampaikan dakwah kepada masyarakat, kerana sifat fatanah akan menyempurnakan sifat tabligh. Seseorang pendakwah yang terlibat secara lansung akan selalu terlibat dalam perbincanagan dengan musuh, menghadapi pertanyaan daripada ahli jemaah, serangan serta kritikan orang yang masih meragukan. Seorang yang memiliki sifat fatanah ini cukup faham keadaan mereka yang ingin didakwahkan dan mengambil pendekatan lemah lembut dan penuh hikmah. Dia juga berkemampuan untuk memahami isu-isu semasa, memahami kekuatan dan kelemahan orang yang ingin di dakwahkan dan mengambil pendekatan yang bijak supaya dapat mengelakkan fitnah dan penghinaan kepada Islam.

Kita dapati ada dikalangan para pendakwah yang cuba menyampaikan Islam dengan cara yang keras dan kurang hikmah hingga menyebabkan orang yang bukan Islam menganggap Islam itu ekstrim dan agama yang tidak ada toleransi. Ada setengahnya pula menyerang peribadi-peribadi tertentu untuk menjadi bahan ketawa. Perlulah diingatkan cara berdakwah yang berkesan adalah tidak mendedakkan keaiban seseorang dan berdakwah dengan cara lemah lembut dan penuh hikmah kerana inilah cara dakwah Rasulullah S.A.W. , betapa ramai orang kafir yang memusuhi Nabi S.A.W. tetapi akhirnya memeluk Islam kerana melihat ketinggian akhlak dan peribadai baginda.

Sahabat yang dimuliakan,

Marilah kita sama-sama mendidik diri kita menjadi seorang mukmin yang memiliki sifat siddiq, amanah, tabliq dan fatanah. Sifat yang mulia ini adalah sifat yang wajib dimiliki oleh para Nabi dan Rasul. Jika kita mempunyai sifat-sifat yang mulia ini barulah kita layak mendapat syafaat Rasulullah S.A.W dan termasuk dikalangan hamba yang dirahmati Allah S.W.T. dan akan layak memasuki syurga-Nya.

    Followers