
3:29 PM DRS. KHALIL IDHAM LIM
7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -
KOTA BHARU, 29 Feb: Laporan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri menjelaskan indeks kemiskinan di Kelantan 4.8 iaitu lebih rendah berbanding Perlis (6.0), Kedah (5.3) dan Sarawak (5.3).
Bahkan jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan Sabah yang mencatat paling tinggi iaitu 19.2.
Laporan itu berdasar Jadual 6, Insiden Kemiskinan Mengikut Etnik, Strata dan Negeri Malaysia 1970-2009.
Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, sekiranya dibuat perbandingan, nyata sekali Kelantan bukannya negeri termiskin.
“Apakah Perdana Menteri tidak diberi maklumat yang betul sedangkan Unit Perancang Ekonomi berada di bawah dagunya sendiri melaporkan sebaliknya.
“Atau sememangnya Dato’ Seri Najib sengaja mengundang kemarahan rakyat Kelantan dengan melontarkan penghinaan sebelum ini,” katanya di sini.
Ketika berucap merasmikan Mini Estet Sejahtera di Kampung Nala, Lahad Datu di Sabah pada 18 Februari lalu Perdana Menteri menyifatkan Kelantan sebagai negeri yang termiskin di Malaysia.
Abdul Latif yang juga Adun Mengkebang berkata, Pengarah Sektor Pembangunan Manusia Bank Dunia (Asia Timur dan Pasifik), Emmanuel Jimenez turut mengesahkan Sabah merupakan negeri termiskin di Malaysia.
Katanya, kenyataan itu dibuat berdasar kepada kajian yang dibuat dan pada pengamatannya Sabah dijangka terus kekal sedemikian dalam tempoh agak lama berdasar perkembangan ekonominya sekarang.
Menurut beliau fakta tersebut bukan bertujuan menghina Sabah, sebaliknya pelbagai masalah melanda negeri itu termasuk kebanjiran warga asing di bawah kerajaan BN sekarang.
Selain itu skandal pemberian kad pengenalan dikatakan begitu berleluasa sekali.
“Rakyat Kelantan tidak boleh menerima penghinaan seorang Perdana Menteri yang mengeluarkan kenyataan tanpa berasaskan kepada fakta.
“Apakah lawatan Datuk Seri Najib ke Kelantan pada 2 Mac ini cuba mengulangi penghinaan serupa,” katanya.
Menurutnya tidak wajar sama sekali seorang Perdana Menteri melontarkan penghinaan sebegini kepada sebuah negeri yang termaktub dalam perlembagaan berada di bawah persekutuan Malaysia.
Kata Abdul Latif juga kerajaan BN meninggalkan pentadbiran Kelantan pada 1990 dengan hutang sebanyak RM700 juta. Selain itu dinafikan pelbagai hak termasuk royalti minyak.
“Kami menuntut agar Perdana Menteri menarik balik kenyataannya sebelum ini dan memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Kelantan di atas penghinaan tersebut,” ujarnya.
Harakah Daily

10:20 AM DRS. KHALIL IDHAM LIM
7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 29 Feb: Harga saham operator kilang rare-earth Lynas yang berpusat di Australia menjunam Isnin lalu akibat Himpunan Hijau 2.0 di Kuantan dan bandar-bandar lain yang berkempen untuk kilangnya di Gebeng ditutup serta saman mencabar keputusan pemberian lesen operasi sementara (TOL) kepada Lynas Malaysia Sdn. Bhd.
Saham Lynas, yang disenaraikan di Australian Securities Exchange ditutup 4.65 peratus lebih rendah pada A$1.23 Isnin lalu selepas berita saman oleh 10 penduduk Gebeng mencabar keputusan pemberian lesen operasi sementara kepada Lynas Malaysia Sdn. Bhd.
Dalam permohonan itu, mereka memohon satu perintah certiorari supaya mahkamah membatalkan keputusan lembaga itu pada 30 Jan lalu, memberikan lesen operasi sementara kepada Lynas Malaysia untuk menjalankan operasi di tapak Loji Lynas Advanced, di Gebeng.
Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) iaitu yang mengawal dan menyelia produksi, aplikasi dan penggunaan bahan tenaga atom dan radioaktif, Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekitar dan Lynas Malaysia Sdn Bhd telah dinamakan sebagai responden.
Awal bulan ini, AELB telah memberikan lesen operasi sementara kepada Lynas untuk beroperasi di Gebeng walaupun dibantah keras oleh rakyat Malaysia. Akibat itu, harga saham naik mendadak ke A$1.59.
Walaupun ditentang hebat daripada penduduk sekitar dan rakyat Malaysia yang bimbang terhadap sisa radioaktif yang bakal ditinggalkannya, Lynas tetap yakin bahawa kilangnya di Malaysia tidak akan ditutup.
“Walaupun Lynas menghormati kebimbangan penduduk dan masyarakat tempatan, namun ia tidak percaya kepada dakwaan yang tidak berasas dalam saman tersebut. Lynas akan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk mempertahankan haknya seperti yang dituntut dalam saman tersebut,” kata syarikat itu yang dipetik daripada The Australian.
Tindakan kerajaan Malaysia untuk mengemukakan bantahan awal terhadap saman 10 wakil dari Gebeng semalam telah memberikan signal bahawa kerajaan Umno-BN pimpinan Datuk Seri Najib Razak akan mempertahankan Lynas.
Sejurus selepas Himpunan Hijau Ahad lalu, Najib bertegas mempertahankan Lynas dengan menyatakan bahawa “dari segi fakta, dari segi scientific evidence projek Lynas ini tidak akan membawa kemudaratan kepada masyarakat.”
Ekoran bantahan kerajaan Malaysia, Mahkamah Tertinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) di sini menetapkan 20 Mac untuk 10 penduduk Gebeng menjawab hujahan bantahan awal yang dikemukakan oleh kerajaan Najib.
Cara pelupusan bahan sisa radioaktif telah menjadi isu utama dalam bantahan kepada projek Lynas. Bulan lepas, Lynas telah membuat iklan di akhbar-akhbar tempatan untuk menyakinkan penduduk tempatan terhadap keselamatan kilangnya.
harakahdaily/-
10:30 AM DRS. KHALIL IDHAM LIM
7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -
ALOR SETAR - Pertemuan antara Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub dengan dua pemimpin Pas Kedah semalam membuahkan hasil positif dan dijangka boleh membantu menyelesaikan kemelut pelantikan semula sebagai Exco.
Salahuddin ketika dihubungi Sinar Harian berkata, beliau sudah bertemu dengan kedua-dua pihak iaitu Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi di rumah masing-masing.
"Pertemuan hari ini (semalam), membuahkan cadangan, buah fikiran dan pendapat yang positif ke arah penyelesaian isu di Kedah.
"Selaku perantara, saya akan membawa semua cadangan, pemikiran dan pendapat ini dalam mesyuarat khas Pas Pusat yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur malam esok (hari ini)," katanya.
Beliau berharap isu itu dapat segera diselesaikan dengan baik bagi melancarkan urusan pentadbiran Kerajaan Negeri.
"Saya nampak ada harapan yang positif ke arah penyelesaian isu ini. Bagaimanapun sebarang keputusan akan dimaklumkan selepas mesyuarat," katanya.
Ditanya sama ada pertemuan turut melibatkan seorang lagi Exco yang didakwa menolak untuk dilantik semula, Dr Ismail Salleh, beliau berkata, pertemuan dengan Azizan dan Phahrolrazi sudah memadai.
Kehadiran Salahuddin ke negeri ini bertujuan menjadi perantara bagi menyelesaikan kemelut itu setelah Pas Pusat memutuskan untuk campur tangan agar tidak berlarutan.
Lapan daripada 10 Exco semasa menerima tawaran dikekalkan jawatan. Majlis angkat sumpah berlangsung pagi semalam.
sinar harian/-

10:50 AM DRS. KHALIL IDHAM LIM
7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -
Gambar di bawah adalah kehadiran ceramah Hasan Ali di Kampung Melayu Subang malam tadi.
Memang pada mula Hasan Ali memulakan "tour" beliau, kelihatan ceramah beliau mendapat sambutan.
Mengikut laporan yang Tulang Besi dapat dari ceramah beliau di Paya Jaras tempohari, majoriti yang hadir dalam ceramah di Paya Jaras tempohari adalah terdiri dari penyokong dan pendokong PAS.
Tujuan mereka hadzir adalah semata-mata mahu mendengar sendiri manusia bernama Hasan Ali mengutuk dan menista PAS.
Inilah budaya dalam PAS. Apabila PAS dikhianati samada oleh bekas pemimpin ataupun parti kawan, maka ahli2 mahu pergi melihat dan mendengar sendiri orang yang mengkhianati PAS tersebut.
Tulang Besi berpengalaman waktu Semangat 46 dibubarkan serta Tengku Razaleigh mula menghentam PAS serta Tok Guru Nik Aziz.
Waktu itu Ku Li buat road show seluruh negara. Dan Tulang Besi hadzir salah satu ceramah Ku LI tersebut.
Tulang Besi lihat sendiri majoriti yang hadzir dalam ceramah itu adalah penyokong dan pendokong PAS.
Perkara yang sama berlaku kepada Hasan Ali.
Namun, di dalam pusingan kedua siri ceramah Hasan Ali ini, kehendak mahu melihat sendiri ini sudah habis.
Maka, tinggalah beberapa kerat penyokong sebenar Hasan Ali yg masih mahu mendengar ceramah beliau seperti di bawah.
Tak lama lagi, ceramah Hasan Ali akan sama ramai pendengarnya macam ceramah Zul Nordin.
Allah Maha Kaya.
Tulang Besi
11:15 AM DRS. KHALIL IDHAM LIM
7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -
Petaling Jaya - PKR mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menjelaskan sebab Felda Farm Products Sdn Bhd tidak dilantik menerajui Pusat Fidlot Nasional (NFC).
Sebaliknya, ia mendakwa kontrak tersebut diberikan kepada dua syarikat, iaitu Agroscience Industries Sdn Bhd milik keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Lambert Agriculture Trade (M) Sdn Bhd.
Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli mendakwa sebagai individu yang menganugerahkan kontrak tersebut, Najib perlu membuat penjelasan tersebut dan tidak boleh mencuci tangan serta berdiam diri sahaja.
Difahamkan, Perdana Menteri adalah Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Syarikat Peneraju NFC.
“Kini terbukti kontrak dianugerahkan kepada syarikat milik keluarga menteri ini tidak berjaya memenuhi sasaran dan menyelewengkan wang bagi tujuan lain.
“Beliau (Najib) wajib memikul tanggungjawab dan tindakan menolak isu ini kepada Shahrizat semata-mata membayangkan beliau seorang ahli politik Umno yang pentingkan diri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini semalam.
Menurutnya, jika dilihat daripada segi perbandingan saiz kapital dan perolehan, jelas Felda Farm Products Sdn Bhd lebih layak berbanding lima syarikat lain yang dikatakan mengemukakan kertas cadangan bagi projek NFC itu.
Katanya, agak menghairankan bagaimana kedua-dua syarikat tersebut yang baru setahun ditubuhkan sebelum kontrak, mendapat peluang itu berbanding Felda Farm Products yang jelas mempunyai pengalaman sejak sedekad lalu di dalam industri penternakan berskala besar.
“Kenapa beliau (Najib) mengetepikan warga Felda sedangkan mereka lebih layak dan berpengalaman, berbanding keluarga menteri (Shahrizat)?
“Apa kriteria digunakan sehingga Felda Farm Products Sdn Bhd diketepikan berbanding Agroscience Industries Sdn bhd yang tidak mempunyai pengalaman?,” katanya.
Mohd Rafizi berkata, PKR mendesak supaya semua minit mesyuarat jawatankuasa NFC itu didedahkan serta-merta supaya ratusan ribu warga Felda boleh mendapat penjelasan sewajarnya.
sinar harian/-

12:15 PM DRS. KHALIL IDHAM LIM
7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 29 Feb: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mempersoal tindakan kerajaan yang hanya membatalkan konsert artis bertatoo Erykah Badu selepas dibantah umum.
Ketua Penerangannya Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, biarpun menyambut baik pembatalan konsert yang sepatutnya berlangsung malam ini di KLCC itu, namun pembatalan hanya selepas bantahan itu memperlihatkan sikap kerajaan yang 'tidak sensitif'.
"Dalam isu ini, PAS WP menganggap kerajaan seperti bersikap talam dua muka. Konsert Erykah Badu dibatalkan hanya kerana adanya bantahan awam.
"Bagaimana sekiranya tiada bantahan dibuat? Adakah kerajaan tetap mahu membatalkannya atau membiarkan ia diteruskan," soalnya sambil menambah sampai bila kerajaan boleh bersikap proaktif terhadap artis dalam atau luar negara yang menimbulkan kontroversi.
Kesal dengan tindakan itu juga, beliau turut mempersoal agensi kerajaan seperti Pusat Permohonan Pengambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL), di bawah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik (Kebudayaan) Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia (KPKK) yang lambat bertindak sehingga konsert itu dibatalkan di saat-saat akhir.
Apatah lagi katanya, artis menjadi pujaan masyarakat, namun imej bertatoo Erykah Badu hanya membawa kesan negatif kepada masyarakat khususnya golongan belia.
"Sepatutnya setiap permohonan untuk membawa masuk artis luar negara perlu ditapis terlebih dahulu dengan melihat latar belakang mereka.
"Tidak timbul artis tersebut mendapat bantahan awam atau tidak kerana kerajaan lebih awal menyekat sebarang imej yang boleh menimbulkan polemik di kalangan masyarakat," ujarnya lagi.
Sehubungan itu, beliau mengharapkan kerajaan benar-benar bertegas dalam memastikan akhlak dan akidah umat Islam di negara ini terpelihara.
"Tidak ada gunanya melaungkan slogan hebat dalam memperjuangkan Islam di negara ini, sedang aqidah dan akhlak ramai umat Islam di negara ini tergadai," katanya.
Harakah Daily

12:37 PM DRS. KHALIL IDHAM LIM
7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 29 Feb: Akhbar MCA, The Star sehingga kini sudah dua kali menerima amaran dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana menghina dan tidak sensitif dengan Islam.
(Gambar poster konsert Erykah tidak mempunyai tatoo nama Allah tetapi The Star menyiarkan gambar yang ada tatoo nama Allah)
Ini bermakna, penyiaran gambar penyanyi Amerika, Erykah Badu yang bertatoo nama Allah pada dadanya yang terlanjang adalah kali ketiga.
"Kes pertama adalah tulisan seorang editor The Star yang mempertikaikan tindakan Mahkamah Syariah di Pahang yang menjatuhkan hukuman sebat terhadap seorang wanita yang meminum arak.
"Kes kedua adalah kes daging babi panggang untuk berbuka puasa yang disiarkan bulan Ramadhan lalu.
"Kes Erykah ini adalah kes yang ketiga yang dihadapi The Star," kata satu sumber kepada Harakahdaily.
Ekoran itu, The Star dijangka tidak akan dilepaskan begitu sahaja oleh KDN kali ini melainkan ada tangan-tangan ghaib yang menghalang tindakan diambil.
"Sebelum ini sudah dua amaran...takkan kali ketiga amaran juga. Kalau begitu, benarlah tuduhan PAS bahawa pentadbiran negara yang diterajui Umno membiarkan akhbar MCA bebas untuk menghina Islam," kata sumber berkenaan.
Menurut sumber itu juga, beliau sendiri terkejut apabila membaca laporan berkenaan kerana gambar Erykah yang disiarkan itu terlalu besar iaitu setengah muka surat akhbar berkenaan.
"Hanya orang buta sahaja yang tidak lihat gambar itu dan saya tidak faham kenapa The Star berbuat demikian," katanya kepada Harakahdaily.
The Star menyiarkan setengah muka gambar penyanyi Amerika, Erykah Badu yang bertatoo nama Allah di dadanya yang terlanjang menjelang konsertnya di Kuala Lumpur.
Padahal poster asal Erykah tidak adapun tatoo nama Allah itu.
Ekoran penyiaran itu, tiga editor kanan The Star telah dipanggil oleh KDN untuk memberikan penjelasan.
Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, KDN akan bertindak berdasarkan penjelasan yang dibuat oleh ketiga-tiga editor The Star itu.
Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu dalam kenyataannya kepada Harakahdaily mendakwa Umno yang memberi lesen kepada MCA melalui akhbarnya untuk menyerang Islam.
Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan, Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya dan NGO Isma mendesak agar permit The Star digantung atau ditarik balik.
Harakah Daily
