SEBAIK muncul di khalayak umum,  selepas sembuh menghidap penyakit cacar, badan Datuk Seri Najib Razak  kelihatan susut sedikit, tetapi wajah tetap berseri dengan bibirnya  berwarna kemerahan, yang sinonim dengan penampilannya.
Sejak mula diserang penyakit itu  4 November lalu, Najib kini sudah hampir sembuh sepenuhnya dan kembali  bertugas, meskipun banyak acaranya sejak seminggu lalu, diwakilkan  kepada Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Tidak hairanlah Facebook  Najib dibanjiri ribuan ucapan selamat kembali bertugas, diiringi doa  untuk terus sihat.
Menjelang 3 April tahun depan,  Najib akan menyambut ulang tahun kedua sebagai Perdana Menteri. Beberapa  hari sebelum itu, 26 Mac 2011, Tan Sri Abdul Taib Mahmud pula menyambut  ulang tahun ke-30 sebagai Ketua Menteri Sarawak.
Sejak Barisan Nasional (BN)  menang dua pilihan raya kecil, iaitu Parlimen Batu Sapi (Sabah) dan  Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas (Kelantan) baru-baru ini, sudah ada  cakap-cakap kemungkinan pilihan raya umum diadakan dalam tempoh  terdekat, serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak.
Yang pasti, Sarawak akan adakan  pilihan raya negeri dalam tempoh lapan bulan mulai sekarang kerana DUN  yang ada akan tamat tempohnya menjelang 24 Julai 2011. Antara Mac hingga April depan adalah tarikh popular menjadi teka-teki pemerhati politik, untuk pilihan raya.
Yang belum pasti ialah pilihan  raya umum, sama ada ia akan diadakan serentak dengan pilihan raya negeri  Sarawak. Jika serentak, bermakna pilihan raya umum juga perlu diadakan  sebelum Julai depan, meskipun tempoh kerajaan BN pada peringkat  Persekutuan sekarang hanya akan berakhir pada 2013, lebih dua tahun  lagi.
Persoalannya sekarang, perlukah  pilihan raya umum diadakan lebih awal semata-mata untuk mengadakannya  serentak dengan Sarawak dan persoalan paling penting ialah sudah  bersediakah BN khususnya UMNO untuk menghadapi pilihan raya dalam  keadaan sekarang?
Ada yang berpendapat, BN perlu  mengambil kesempatan kemenangan di Galas dan Batu Sapi untuk mengadakan  pilihan raya dalam tempoh terdekat dengan alasan sokongan pengundi muda  dan masyarakat Cina sudah kembali atau beralih semula kepada BN.
Namun ramai juga berpendapat,  kemenangan BN di Galas dan Batu Sapi tidak cukup untuk dijadikan ukuran  mutlak kekuatan BN, jika keputusan dua pilihan raya kecil itu  diperhalusi. Misalnya, di Galas, kemenangan BN dikatakan lebih menjurus  kepada faktor Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) dan di Batu Sapi pula  lebih kepada isu tempatan.
Sepanjang kempen di dua lokasi  itu, isu nasional tidak begitu ketara dibangkitkan. Di Batu Sapi, banyak  isu tempatan seperti pembangunan prasarana, jalan raya, jeti dan projek  sosioekonomi khususnya di kawasan Bumiputera banyak mempengaruhi  pengundi.
Namun, ketika cakap-cakap  mengenai pilihan raya mula bergema, pakatan rakyat khususnya Parti  Keadilan Rakyat (PKR) kelihatan mula kucar-kacir dengan proses  pengundian untuk barisan kepemimpinannya.
Walau apapun, selepas berehat  beberapa hari di Hospital Kuala Lumpur, Najib mungkin sudah mula  mencongak tarikh sebenar untuk mengadakan pilihan raya, awal tahun depan  serentak dengan pilihan raya Sarawak atau menunggu sehingga awal 2012?
( alb/sumber : Sabah Kini)
