| Hazayani Zakaria, |       | 
KUALA LUMPUR, 11 Jan:  Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) meminta Angkatan  Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) campur tangan untuk  mempertahankan Koperasi Permodalan Felda (KPF) daripada disalah guna  pihak berkepentingan.
Tuntutan tersebut terkandung dalam  memorandum yang diserahkan Presiden Anak, Mazlan Aliman kepada pegawai  yang mewakili Yang Dipertua Angkasa, Prof. Dr. Ali Baharom di pejabatnya  di Kelana Jaya, hari ini.
Memorandum tersebut ekoran pelantikan  Tan Sri Isa Samad sebagai pengerusi KPF yang didakwa bercanggah dengan  Undang-Undang Kecil KPF kerana Isa dilantik sebagai Pengerusi Felda  secara kontrak sahaja.
Mengikut Undang-undang Kecil KPF,  keanggotaan koperasi terbuka kepada peneroka Felda, isteri dan  anak-anak, kakitangan Felda, isteri dan anak-anak, koperasi-koperasi  peneroka Felda yang didaftarkan di bawah akta sebagai koperasi asas atau  koperasi menengah, serta koperasi kakitangan Felda yang berdaftar di  bawah akta.
Keadaan bertambah rumit apabila KPF akan mengadakan  mesyuarat agung pada 8 Februari depan, sedangkan status Isa masih  dipertikai.
Bercakap kepada pemberita selepas penyerahan  memorandum, Mazlan berkata, pihaknya sangat berharap Angkasa memberikan  komitmen dalam usaha menyelesaikan kemelut ini.
"Angkasa jangan  tunduk kepada kemahuan pihak berkepentingan yang diterajui Tan Sri Isa  Samad. Angkasa mesti menjunjung prinsip ketelusan dan bertindak berani  mempertahankan yang hak," kata beliau.
Menurut Mazlan, meskipun  mesyuarat agung KPF dibatalkan 5 Januari lalu, namun usaha untuk membawa  Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi merasmikan mesyuarat agung  pada 8 Februari ini sedang berjalan.
Apa yang membimbangkan  peneroka, mesyuarat itu diadakan bagi mendapatkan persetujuan ahli KPF  berhubung cadangan pelaburan KPF dalam Felda Global Ventures Holdings  (FGVH) yang akan disenaraikan di Bursa Saham Malaysia (BSKL) April  depan.
"Kempen kotor dan jijik sedang digerakkan. Adalah  dipercayai sogokan dan imbuhan istimewa sedang ditawarkan kepada  perwakilan agar bersetuju dengan penyenaraian. Angkasa mesti bertindak  dan memantau perkembangan ini," katanya.
Antara usaha-usaha yang  akan dilakukan KPF yang dibimbangi menjejaskan masa depannya ialah  cadangan pelupusan ekuiti milik KPF dalam FGVH dan 10 anak syarikat  milik Felda Holdings kepada FGVH.
Ekuiti milik KPF dalam Felda  Holdings adalah 51 peratus dan aset 10 anak syarikat berkenaan yang  menjadi kekutan pelaburan KPF dianggarkan RM3.13 bilion.
Mengikut  maklumat, pegangan saham KPF dalam FGVH sebanyak 35 peratus selepas  penyenaraian akan dipindahkan ke dalam sebuah syarikat pegangan  pelaburan baru (Fund Co) yang ditubuhkan oleh Felda melalui pegangan  Saham Keutamaan Boleh Tebus (Redeemable Preference Share).
Felda memiliki 100 peratus pegangan saham biasa tertangguh (defferedordinary shares) dan semua dividen yang diisytiharkan oleh Fund Co akan disalurkan terus kepada KPF.
Felda hanya mempunyai hak mengundi tetapi tidak mempunyai hak ekonomi ke atas diviiden yang diisytiharkan oleh Fund Co.
"Mengapa  Fund Co harus ditubuhkan, siapa yang bakal terlibat dalam syarikat  tersebut dan tujuan sebenar organisasi itu diwujudkan dalam konteks  proses penyenaraian FGVH?
"Kita minta Angkasa memantau perkara ini agar KPF kekal sebagai koperasi terbaik di Malaysia," kata Mazlan.
