

28 Jamadilawal 1432H. [MOD] -
Mohd Nasir Awang
Bersungguh benar nampaknya Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, memastikan cetusan ideanya mengenai kedudukan wakil masyarakat Cina dalam kerajaan diberikan perhatian.
Biar pun pendirian kontroversi itu pernah mendapat reaksi negatif termasuk oleh para pemimpin parti-parti rakan komponen Barisan Nasional (BN) sendiri ketika beliau pertama kali menyuarakannya ekoran keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, 16 April lalu, itu sedikit pun tidak menumpulkan hasratnya terus menjulang ideanya itu.
Kini pendirian sama diulangnya lagi. Dalam kenyataan kepada media pada Jumaat, Soi Lek dilapor mempertegaskan bahawa sikap itu kini menjadi keputusan sebulat suara Majlis Mesyuarat Presiden partinya yang diadakan pada hari sama. Ertinya ia kini menjadi pendirian rasmi MCA dan bukan lagi pandangan peribadi Soi Lek.
Menurutnya, MCA tidak akan menerima sebarang jawatan di peringkat Pusat dan negeri jika parti itu gagal meraih sokongan masyarakat Cina terhadap BN. Katanya, penolakan tersebut bukan sahaja membabitkan jawatan Kabinet dan Exco negeri, tetapi turut melibatkan jawatan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), Ketua Kampung serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung.
Dalam ungkapan lain, partinya tidak akan mengambil bahagian dalam pentadbiran kerajaan sekiranya ia gagal mencatatkan keputusan memuaskan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.
“Maksud kurang memuaskan di sini ialah kita akan guna keputusan pilihan raya umum lalu sebagai penanda aras... jika jumlah (kerusi dimenangi) pada pilihan raya umum akan datang kurang daripada apa kita menang pada 2008, ia dikira tidak memuaskan,” katanya.
Pada 2008, MCA menang hanya 15 daripada 40 kerusi Parlimen diperuntukkan kepadanya. Manakala di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun), ia menang hanya 31 daripada 90 kerusi ditandinginya.
Ertinya, jika dalam PRU-13 nanti prestasi MCA lebih buruk daripada itu, parti itu tidak akan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan. Ada sekurang-kurangnya dua alasan diberikan Soi Lek bagi menyokong pendirian itu.
Pertama, katanya, ia sebagai tanda MCA menghormati pendirian masyarakat Cina yang tidak lagi memilih parti itu. Logiknya, oleh kerana kaum itu tidak lagi menaruh kepercayaan kepada MCA untuk mewakili mereka dalam kerajaan BN, maka apa gunanya ia terus menawar diri memperjuangkan suara mereka.
Di atas hujah sama Soi Lek sebelum ini menggesa parti-parti berasaskan kaum Cina di Sarawak menolak sebarang tawaran menduduki Kabinet negeri seusai PRN Sarawak pertengahan bulan lalu. Kekalah teruk SUPP di tangan DAP dan PKR dijadikan bukti Cina menolak untuk bersama BN.
SUPP yang diberi tanggungjawab mewakili BN di 19 kerusi hanya mampu memenangi enam daripadanya. Bagi Soi Lek, itu sudah lebih dari cukup untuk membuktikan kaum Cina tidak lagi mempercayai SUPP sebagai wakil mereka.
Kedua, menurut Soi Lek, keputusan yang diambil itu secara tidak langsung akan menyuntik semangat kepada seluruh ahli MCA agar menggandakan usaha bagi meningkatkan sokongan masyarakat Cina menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang dijangkakan berlangsung tidak berapa lama lagi.
Sementara Soi Lek dan partinya cuba memperlihatkan sikap bertanggungjawab dan gentleman, pendirian itu juga tidak sukar dinilai dari perspektif berbeza.
Paling tidak, ada yang menilai desakan pemimpin MCA itu seakan menyindir parti-parti komponen lain yang gagal menunjukkan prestasi memberangsangkan, tetapi tidak malu menerima tawaran menduduki Kabinet. Pada 2008 lalu, selain MCA, masalah kemerosotan sokongan kaum masing-masing turut dialami PPP, Gerakan dan MIC.
Turut menerima kekalahan di tangan pakatan pembangkang ialah presiden ketiga-tiga parti itu. Soi Lek sendiri tidak tersenarai bersama mereka kerana beliau tidak bertanding dalam PRU lalu.
Namun dalam pembahagian kerusi Kabinet, wakil-wakil parti terbabit turut diberikan peluang mengisinya. Barangkali Soi Lek melihatnya sebagai suatu yang tidak wajar.
Sepertimana dia beralasan ketika mendesak SUPP menolak sebarang jawatan Kabinet negeri Sarawak, Soi Lek berpandangan parti-parti terbabit perlu menerima hakikat bahawa kaum yang sepatutnya mereka wakil telah menolak hasrat mereka menjadi wakil kaum tersebut.
Justeru, secara ‘gentleman’ tidak ada gunanya mereka (parti-parti komponen) yang sudah tidak mendapat kepercayaan kaum mereka beriya-iya untuk terus menjadi wakil kaum masing-masing.
Ia sepintas lalu menampakkan ketegasan, di samping turut terselit unsur merajuk. Malah lebih ketara ia seakan sindiran buat pihak yang kalah agar tidak terus menuntut bahagian dalam pemerintahan, walau pun sudah gagal melaksanakan tanggungjawab meraih sokongan kaum masing-masing kepada BN.
Namun, kesan yang mungkin lebih dihasratkan Soi Lek ialah terhadap kaumnya sendiri. Pendiriannya itu seakan satu amaran tegas kepada masyarakat Cina agar berfikir semula untuk terus memalingkan sokongan daripada BN.
Soi Lek sebenarnya cuba bermain psikologi. Ia seakan mengugut dan memberi kata dua kepada pengundi Cina, sama ada membantu kemenangan MCA atau berdepan risiko tidak mempunyai wakil dalam kerajaan BN nanti.
Itulah tekanan psikologi yang tersirat di sebalik ketegasan Soi Lek. Beliau sebenarnya melontarkan pilihan agar masyarakat Cina berfikir, jika mereka mahu terus diwakili dan suara mereka masih didengari dalam setiap peringkat pentadbiran kerajaan dikuasai BN, mereka perlu kembali memberikan sokongan besar kepada MCA.
Cuma Soi Lek mungkin terlupa bahawa perkiraanya itu dibuat berdasarkan andaian BN masih memerintah negara selepas PRU-13 nanti. Sedangkan gelombang penolakan terhadap BN di kalangan masyarakat Cina sebenarnya dengan cita-cita melihat perubahan pemerintahan negeri dan negara.
Justeru, apa perlunya mereka kembali menyokong MCA dan BN?
Tajuknya pun sudah mampu untuk menjentik minda kita yang beku untuk cair bagi kita berfikir apa sebenarnya maksud di sebalik kata-kata ini. Cuba anda bayangkan seketika kata-kata ini. Kemudian kaitkan mutiara kata ini dengan isu sumpah mubahalah dan segala macam sesumpah yang berlaku sekarang ini. Ini yang dikatakan jika orang baik tidak melakukan apa-apa, maka berleluasalah kejahatan itu. Lihat apa yang berlaku kepada segala ulama kita yang sepatutnya memberi tindak balas terhadap isu ini. Majoritinya hanya berdiam diri dan tidak pula memberikan hujah hukum Islam yang tepat. Amat bersesuaian sekali dengan tajuk mutiara kata ini. Adakah kita sebagai Muslimin harus tunduk dengan fitnah kejahatan ini??? Semua orang pun tahu naiknya Nazi Hitler di German adalah kerana tiada orang yang peduli dengan Hitler ini mulanya. Akhirnya Perang Dunia ke 2 berlaku kerana tiada siapa yang peduli. Ketidakpedulianya rakyat terhadap sesuatu isu itu menyebabkan demokrasi kita ini separuh masak. Asal ada cukup makan, tidak lagi perlu kita mencari idealisme perjuangan ini. Jangan pedulikan PR, mereka ini tidak lebih dari pengacau sahaja. Sebab itu Allah turunkan bala bencana kerana tidak pedulinya kita pada kejahatan ini. Hentikanlah 'indifference'. Pedulilah kita pada isu-isu ini. Pastikan kita tidak diperbodohkan lagi dengan lawak bodoh dan slapstik UMNO-BN ini.
| Harakahdaily |
| KUALA LUMPUR, 29 April: Mungkin MCA sudah tiada idea lain yang lebih bernas untuk menarik sokongan masyarakat Cina ekoran kekalahan rakan sekutunya SUPP di Sarawak. Justeru, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek memberi pengakuan akan mengundi PKR jika parti tersebut menggugurkan hak istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan Malaysia. Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kayat berkata mengekalkan hak istimewa orang Melayu yang terangkum dalam Perkara 153 Perlembagaan Malaysia telah menjadi persetujuan bersama dalam Pakatan Rakyat (PR) semasa konvensyen di Shah Alam tahun 2009. Tambahnya, tidak mungkin disebabkan seorang tokong kontroversi Soi Lek maka PR akan berubah sikap. “Sebagai pemimpin senior dalam Barisan Nasional (BN), Soi Lek sewajarnya mendidik masyarakat memahami mengapa adanya hak istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan Malaysia,” katanya. Jelasnya, hak istimewa orang Melayu bukan menjadi halangan orang bukan Melayu untuk hidup selesa di negara ini. Katanya, hak istimewa orang Melayu dilihat tempang kerana pengkhianatan Umno yang berlindung di balik dasar ini untuk mengumpul kekayaan kroni-kroni mereka. “Bermaksud jika tiada penghianatan Umno dan negara diurus dengan adil dan saksama maka hak istimewa orang Melayu tidak menjadi perkara yang dipertikai. Tambahnya, tanpa pengkhianatan Umno, orang Melayu sudah lama maju di negara ini. “Jika orang Melayu sudah maju dan kedudukan ekonominya sudah seimbang dengan kaum-kaum lain, maka saya percaya orang Melayu sudah tidak perlukan lagi tongkat hak istimewa orang Melayu lagi,” ujarnya. Buat waktu ini, katanya hak istimewa orang Melayu masih diperlukan. Beliau sangat khuatir permainan politik Dr Chua Soi Lek mengenai hak istimewa orang Melayu akan menambah parah lagi salah faham antara kaum dalam negara ini. Menurutnya, ada banyak perkara lain yang boleh menarik perhatian masyarakat bukan Melayu untuk mengundi MCA selain sentimen perkauman. “Tetapi Dr Chua Soi Lek sengaja mencari populariti membangkitkan isu yang sensitif bagi menarik perhatian masyarakat Cina khususnya untuk menyokong MCA,” katanya. Baginya, betapa murahnya harga perjuangan politik Dr Chua Soi Lek sehingga sanggup menjolok sarang tabuan demi mendapat secupak keuntungan politik. Katanya, keceluparan Chua Soi Lek ini juga melambangkan kegagalan Umno mengawalnya. Baginya, Dr Chua Soi Lek umpama harimau yang sudah terlepas dalam kandang Barisan Nasional (BN). Menurutnya, hak istimewa orang Melayu adalah maruah Umno di mana memberi perakuan untuk mengundi PKR jika parti tersebut menggugurkan hak istimewa orang Melayu adalah umpama melelong maruah Umno di pasar Batu Pahat. “Di mana Pemuda Umno? Di mana Pemuda BN? Di mana Khairy Jamaluddin?” “Saya cabar Umno dan Barisan Nasional (BN) yang diketuai oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak, Pengerusi BN bertindak tegas terhadap keceluparan Chua Soi Lek,” katanya. |
