29 Jamadilawal 1432H. [MOD] -
3  Mei, diraikan oleh hampir seluruh dunia setiap tahun, terutamanya  komuniti wartawan dan pencinta kebebasan akhbar dan bersuara, kerana ia  merupakan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia.
Tapi  di Malaysia, hari berkenaan seharusnya menjadi waktu semata-mata untuk  memperingatkan diri kita bahawa tahap kebebasan akhbar di tanah air ini  adalah memalu dan semakin mengaibkan.  Tahun lepas Malaysia memperoleh  tangga 141 seantero dunia, 10 takuk ke bawah dari tahun 2009.
Seolah-olah  keaiban ini tidak mencukupi, Malaysia didapati berada di tingkat bawah  daripada Singapura yang lazimnya dikaitkan dengan kebebasan akhbar yang  tersekat.
Sesungguhnya,  tahap kebebasan akhbar adalah penting kerana ia adalah salah satu  petanda utama terhadap darjah demokrasi yang wujud dalam sesebuah negara  yang menyifatkan dirinya demokratik.
Malaysia  tidak ada sebab kukuh untuk merai dan merayakan hari tersebut  lebih-lebih lagi pada masa-masa kebelakangan ini.  Banyak benda yang  berlaku yang sebenarnya mencabul kebebasan yang sepatutnya ada pada  media, khususnya akhbar arus perdana.  Malah ada benda yang berlaku  dalam dunia persuratkhabaran Malaysia yang merendahkan martabat dan  kredibiliti media arus perdana.
Satu  contoh yang ketara dan terkini ialah isu yang berkaitan dengan skandal  video seks yang kononnya melibatkan Ketua Pembangkang Parlimen Anwar  Ibrahim.  Akhbar arus perdana khususnya bukan sahaja melaporkan hal ini,  malah "memperagakan" klip video lucah di dada akhbar tanpa segan silu  walaupun menyedari bahawa pembacanya juga termasuk kanak-kanak atau  makhluk yang berusia amat muda.
Ketibaan  pemimpin luar negara, seperti Perdana Menteri China, di Malaysia  nampaknya tidak berupaya "bersaing" dengan kisah video seks itu dari  segi keutamaan politik dan "nilai berita".
"Kebebasan"  menyiarkan foto dan berita begitu menonjol sekali dalam akhbar bukanlah  menandakan satu pencapaian atau kemajuan dalam pemberitaan yang patut  kita banggakan.  Ini satu langkah ke belakang.
Kita  mungkin boleh cuba "memaafkan" jika penonjolan kes video seks ini  dilakukan oleh akhbar "panas" dan sensasi seperti News of the World di  Britain.  Tapi yang mengaibkan ialah ini melibatkan akhbar arus perdana  Malaysia yang kononnya serius dalam usahanya untuk meluaskan pemikiran  rakyat serta menggalakkan keintelektualan warga.
Akhbar  yang leka dengan sensasi dan unsur fitnah sudah tentunya mencerminkan  ketidaktanggungjawapannya di mata umum, selain daripada melanggar etika  kewartawanan.  Ini menjadi begitu ketara apabila pihak yang dicemarkan  imej dan kedudukan sosialnya tidak diberi peluang untuk membela dirinya  dalam akhbar berkenaan.
Kalaupun  diberikan ruang, selalunya ruang ini amat sempit, ataupun pandangan  pihak yang tercemar diperoleh melalui pihak ketiga, bukan secara  langsung daripada individu yang tercemar itu.
Tindak-tanduk  akhbar arus perdana yang tidak beretika menyerlah apabila negara  mengalami pilihanraya (seperti di Sarawak baru-baru ini).  Waktu inilah  akhbar bersikap kurang adil dalam pemberitaannya dengan memberi layanan  yang baik lagi lumayan kepada parti yang memerintah, iaitu Barisan  Nasional; malah ada juga akhbar yang bersekongkol dengan pihak berkuasa  dengan menjana bohongan dan herotan realiti.
Akhbar,  seperti ramai sedia maklum, bukan hanya sekadar melaporkan tentang  peristiwa yang berlaku atau isu yang timbul pada hari berkenaan, tetapi  ia juga berperanan - pada tahap tertentu - menyogok agenda bagi  masyarakat.  Dengan kata lain, akhbar mempunyai peranan atau matlamat  yang murni dalam mencari kebenaran dan keadilan bagi pihak ahli  masyarakat; mendidik rakyat; menggalakkan perbincangan secara aman; dan  juga menjana maklum balas umum terhadap dasar pemerintah.
Tetapi  peranan murni ini tidak akan dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin  jika akhbar berkenaan berkelakuan tidak lebih daripada penerbitan  gossip, mekanisme mencetus sentimen perkauman atau ekstremis, dan alat  propaganda pihak yang berkuasa.
Dan  akhbar akan masih mengalami kekurangan kudrat untuk memikul  tanggungjawab murni ini selagi ada undang-undang yang mengekang  pekerjaan wartawan seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA), Akta  Rahsia Rasmi (OSA), Akta Hasutan, dan Akta Keselamatan Dalam Negeri.   Wartawan tidak akan berupaya menjalankan kewartawanan penyiasatan selagi  ada undang-undang di atas, khususnya PPPA dan OSA.
Dalam  masyarakat yang pelbagai golongan etnik seperti Malaysia, akhbar  mempunyai peranan yang penting dalam konteks luas di mana rakyat  menginginkan keharmonian nasional dan etnik.  Sesungguhnya, akhbar boleh  memainkan peranan sebagai jambatan yang mengeratkan hubungan antara  golongan etnik dalam masyarakat.
Salah  satu langkah yang boleh dianggap sebagai satu kemajuan dalam  kewartawanan ialah jika ada usaha akhbar vernakular, seperti Sin Chiew  Daily dan Tamil Nesan, misalnya, meluaskan skop pemberitaan serta  perspektif politiknya yang menjangkau kepentingan komuniti bahasa  berkenaan.
Ini  juga bermakna bahawa rakyat yang bukan berbahasa ibunda berkenaan  mempunyai akses secara langsung atau tidak langsung kepada akhbar  berkenaan.
Tanggungjawab  akhbar berbahasa Melayu menjadi lebih berat dan mustahak lagi kerana  ianya menggunakan bahasa Melayu yang juga bertaraf bahasa nasional.
Dalam  kes Utusan Malaysia, misalnya, ia bukan saja harus melayani kehendak  "komuniti Melayu" tetapi juga kepentingan "komuniti Malaysia" yang  membabitkan pelbagai golongan etnik seperti Cina, India, Kadazandusun,  Iban, dll.  Melalui penggunaan bahasa Melayu dan juga ruang lingkup yang  lebih luas ini, akhbar berkenaan boleh menjana perasaan "keahlian"  (atau stakeholder) bagi setiap warga negara ini.  Keperluan kepelbagaian  ini sebenarnya telahpun dirasai sebelum "era 1Malaysia" lagi.
Dengan  kata lain, akhbar berbahasa Melayu khususnya, perlu bersikap lebih  terbuka dan sanggup melayani kepentingan dan keperluan pelbagai kelompok  yang wujud dalam masyarakat kita.  Dengan cara ini, bahasa Melayu  benar-benar dirasai "kebangsaan"nya oleh pelbagai rakyat negara ini, dan  lantas ianya menyuburkan lagi bahasa nasional ini.
Seperkara  lagi, dakwaan Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin baru-baru ini  bahawa Utusan Malaysia mencerminkan pandangan "komuniti Melayu" tidaklah  tepat. Ini kerana tidak ada "satu pandangan" dari satu "komuniti  Melayu".  Apa yang wujud ialah pelbagai pandangan dari pelbagai  kelompok, ideologi dan kelas sosial dalam masyarakat Melayu itu sendiri.   Pemberitaan dan penulisan Utusan Malaysia harus mencerminkan  kepelbagaian ini.
Seperti  umum sedia maklum, akhbar online menjadi popular dalam kalangan rakyat  Malaysia akibat daripada melesetnya kredibiliti akhbar arus perdana  kerana, antara lain, kawalan pihak berkuasa.  Keupayaan akhbar online  untuk menjalankan tugasnya sebaik mungkin juga menjadi kayu ukur kepada  darjah demokrasi negara ini.
Itulah  sebabnya ancaman siber yang dihadapi oleh akhbar online, seperti yang  berlaku pada Malaysiakini baru-baru ini, menjadi kebimbangan kepada  wartawan dan juga pencinta kebebasan akhbar.
Melesetnya  kedudukan kebebasan akhbar di negara ini juga mempunyai kaitan rapat  dengan kuasa yang diberikan kepada pemerintah oleh undang-undang yang  berkaitan dengan akhbar, seperti PPPA, OSA dsb. yang membolehkan kawalan  ketat pemerintah terhadap media pada keseluruhannya.
Negara  yang ingin mencapai cita-cita tinggi, iaitu taraf negara industri, maju  dan saintifik, memerlukan pada keseluruhannya warga yang berhemah  tinggi, waras, cerdek, berdaya saing tinggi, saintifik dan adil serta  kritis.
Hanya  akhbar dan media lain yang mempunyai daya intelek yang tinggi, fikiran  terbuka, komitmen terhadap kebenaran dan keadilan, dan kredibiliti  tinggi yang boleh melayani kehendak dan keperluan warga negara  sedemikian rupa.
MerdekaReview
