
08 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
IPOH  – Setiausaha PAS Perak, Ustaz Misbahul Munir menyatakan kini gelombang   kebangkitan rakyat untuk memastikan PAS menggantikan UMNO selaku kuasa  politik utama orang melayu di negara ini bagaikan angin yang sedang  bertiup kencang.
Justeru  PAS Perak   akan membawa program besar-besaran yang dinamakan sebagai  himpunan kebangkitan rakyat 'PAS Ganti Umno' di negeri Perak pada 14-15  Mei 2011 di zon utara Perak iaitu di Padang Rengas dan 28-29 Mei 2011 di  zon Selatan Perak iaitu di Pasir Salak, jelas beliau.
Menurut  beliau lagi, PAS  Perak akan menggerakkan Himpunan Kebangkitan Rakyat  PAS ganti UMNO ini dengan bersungguh dan penuh komitmen agar program  yang dirancang ini dapat berlangsung dengan jayanya..
Beliau  juga menyatakan, program besar- besaran PAS ganti UMNO ini adalah  antara usaha PAS Perak  untuk kembali memerintah negeri Perak sejak ia  dirampas oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam kes rampasan kuasa  secara zalim oleh UMNO BN ketika Pakatan Rakyat memerintah Perak selepas  PRU 12 selama 11 bulan.
Setiausaha  PAS Perak itu juga menyatakan, PAS Perak akan terus berusaha dan  merancang serta melaksanakan pelbagai program untuk menawan hati rakyat.
Memetik ucapan beliau,
‘‘Kita  berhasrat dan memang berniat untuk mengambil semula pemerintahan negeri  Perak, jadi beberapa perancangan dan program yang telah dan sedang  rancak dijalankan untuk menghadapi Pilihanraya Umum 13 yang akan  diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.
"  Oleh itu kita memikirkan sesuatu yang boleh menggerak dan menawan hati   rakyat, kita mendokong penuh program yang disarankan diperingkat PAS  Pusat iaitu program "PAS Ganti Umno", dan kita akan jayakannya di  peringkat negeri Perak.
Menurutnya  lagi, kejayaan Himpunan PAS ganti UMNO di pantai timur tanah air  menyebabkan pemimpin Umno  akur melihat kekuatan rakyat yang begitu  ramai berhimpun untuk menyatakan aspirasi mereka menyokong perjuangan  PAS.
Justeru  Ijtima’ PAS Ganti UMNO adalah manifestasi perjuangan yang sekian lama  dilaungkan oleh PAS dalam usaha menggantikan UMNO dalam penguasaan  politik negara, ia juga merupakan matlamat utama parti mewujudkan sebuah  pemerintahan yang adil mengikut lunas-lunas Islam. 
Rakyat  pasti akan lebih terbela masa depannya, manakala negara akan lebih  stabil dalam semua aspek pembangunan sekiranya PAS berpeluang  menggantikan UMNO yang sudah lama pincang dengan amalan rasuah,  kronisme, salah guna kuasa, menzalimi hak rakyat, budaya fitnah dan  beribu penyelewengan lagi.
mohd hafez sabri
