
13 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
KUALA  LUMPUR, 16 Mei: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang  diperintahkan untuk membela diri dalam kes fitnah II hari ini melahirkan  rasa terkejut kerana hakim telah menjatuhkan hukuman awal.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, hakim Datuk Mohd Zabidin seolah-olah terikat dengan hujah pendakwaan.
“Ia  bukan sesuatu yang mengejutkan. Tetapi apa yang mengejutkan ialah  beliau (Mohd Zabidin) telah membuat pengadilan terlebih dahulu dalam kes  ini dan menjangkaui kes prima facie,” kata beliau kepada pemberita di  perkarangan mahkamah selepas selesai mendengar keputusan hakim hari ini.
Hakim  Mohd Zabidin hari ini berkata, Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mendakwa   diliwat oleh  Anwar  telah disifatkan sebagai “saksi yang benar dan  berwibawa”.
Pengakuan  itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Mohamad  Zabidin Mohd Diah ketika memerintahkan Anwar supaya membela dirinya.
Anwar  mempertahankan bahawa beliau tidak bersalah sambil berhujah bahawa  kesnya tidak mengambil kira keterangan beberapa saksi penting, antaranya  doktor hospital Pusrawi Dr Osman Hamid dan pemilik unit kondominium  Desa Damansara.
“Saya  telah menegaskan saya tidak bersalah, mengikut undang-undang kes ini  tiada asas,” katanya yang juga ketua pembangkang di parlimen.
Mahkamah  Tinggi hari ini memutuskan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu membela diri  terhadap tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Hakim menetapkan 6 hingga 30 Jun ini untuk menyambung perbicaraan kes liwat peringkat bela diri.
Cabar Najib hadir sebagai saksi
Sementara  itu, Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin mencabar Perdana Menteri,  Datuk Seri Najib Razak agar hadir ke mahkamah sebagai saksi kerana  beliau merupakan saksi yang sangat relevan dalam kes ini.
Ini kerana katanya, Saiful sendiri mengaku bertemu dengan Najib selepas beliau didakwa diliwat Anwar.
Beliau  juga memberi amaran kepada Najib agar tidak mengikut jejak bekas  Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang enggan hadir ke mahkamah  meskipun beliau salah seorang saksi pening dalam kes liwat pertama  dahulu.
"Kita  nak tengok keberanian Datuk Najib untuk hadir ke mahkamah memberi  keterangan kerana beliau orang yang pertama bertemu Saiful.jadi beliau  sangat relevan sebagai saksi.
"Saya  ingin cabar Perdana Menteri supaya jangan guna alasan seperti mana yang  digunakan Tun Mahathir dalam kes pertama untuk mengelakkan diri dari  hadir ke mahkamah. Kita nak selesaikan di mahkamah," katanya yang juga  ditemui di perkarangan mahkamah hari ini.
Shamsul turut 'terkejut' dengan keputusan mahkamah yang seolah-olah telah menjatuhkan hukuman bersalah terhadap Anwar.
"Ini  keputusan yang telah kita jangka dan saya yakin peguam bela Anwar akan  menyusun strategi dan mengumpul seramai mungkin saksi kerana mentaliti  pemikiran hakim sebentar tadi lebih menjurus kepada memutuskan Anwar  telah bersalah walaupun sebelum mendengar keseluruhan kes.
"Ini  agak meranjatkan kerana pada masa ini bukan hakim kena buat keputusan  yang muktamad siapa yang bersalah, hanya perlu buat keptusan samaada  Anwar perlu membela diri atau tidak," katanya.
Beliau  turut mendakwa BN akan menggunakan sepenuhnya mahkamah untuk mengherat  Anwar ke penjara kerana isu video seks dilihat bukan lagi 'peluru yang  berkesan' untuk menjatuhkan Anwar.
"Saya  yakin akan ada lagi sokongan rakyat kerana kes ini digunakan sepenuhnya  untuk mengekang kemaraan Anwar kerana isu video seks ini bukan lagi  peluru yang berkesan," katanya.
Sehubungan  itu, beliau menyeru rakyat agar terus memberikan sokongan kepada Anwar  bagi memastikan keadilan terlaksana di Malaysia.
Harakahdaily/-
Oleh : Hazayani Zakaria 
