
6 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
KUALA  LUMPUR, 9 Mei: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) hari ini  membuat satu laporan polis berhubung laporan muka depan akhbar Utusan  Malaysia bertajuk 'Kristian Agama Rasmi?'
Laporan  itu dibuat presidennya, Ahmad Syazwan Hassan di balai polis Pantai  dekat sini kira-kira jam 11.30 dengan diiringi 20 wakil pertubuhan  pelajar lain termasuk bukan Islam yang berkumpul di luar pekarangan  balai polis tersebut.
Menurut  Ahmad Syazwan, kenyataan akhbar Utusan yang dikeluarkan pada 7 Mei 2011  boleh mejejaskan perpaduan kaum di negara ini kerana bersifat provokasi  yang menyentuh sentimen agama di negara ini.
Menurut  beliau lagi Utusan Malaysia dilihat tidak bijak dan kredibitinya  dipertikai apabila mengambil sumber hanya daripada blog yang bersifat  pandangan peribadi penulis.
Beliau juga mahu tindakan yang tegas diambil terhadap pihak Utusan mengenai kenyataan tersebut.
Selain  itu, beliau juga menggesa pihak Utusan meminta maaf dan  bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Syarikat media  milik Umno itu.
"Tindakan  ini adalah untuk memberi pengajaran terhadap mana-mana media yang juga  mencetuskan sentimen agama yang boleh menjejaskan perpaduan di negara  ini", katanya
Sementara  itu, menurut Presiden Majlis Pewakilan Mahasiswa Universiti Malaya,  Mohd Syahid Zaini berkata tindakan Utusan itu cuba mengaut keuntungan  politik tanpa mengira kesannya kepada rakyat di negara ini.
Presiden  Persatuan Mahasiswa Islam UM, Mohd. Safwan Anang pula mahu mahasiswa  menolak budaya fitnah dan provokasi dilemparkan akhbar tersebut.
Pandangan sama turut disokong Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UPM, Mohd Hazim Mohd Noh.
"Kami  bersikap tegas terhadap mana-mana media yang cuba mencetuskan sentimen  perkauman ini, saya berharap segala unsur fitnah dan khabar yang tidak  benar dari sumber yang betul hendaklah diselidik terlebih dahulu agar  sebarang kenyataan yang dikeluarkan tidak menjejaskan keharmonian yang  sedia ada di negara kita," katanya.
Sehubungan itu, mereka turut mendesak agar tindakan tegas diambil kepada pihak akhbar tersebut.
Sebagai tanda bantahan, mereka turut membaca akhbar utusan secara terbalik sebelum mengoyak dan memijak akhbar terbabit.
Harakahdaily/-
