27 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
KENINGAU,  30 Mei: Umno Sabah didakwa sedang mengalami pergolakan dalaman yang  serius berikutan pengguguran Azman Ruslan sebagai ketua pemuda Umno  negeri ditentang ahli mereka sendiri.
Ketua  Penerangan Badan Perhubungan PAS Sabah, Hisammuddin Sulaiman berkata,  beliau tidak menolak kemungkinan krisis itu sudah sampai ke kemuncak dan  tidak mampu lagi dikawal pengerusinya Datuk Sri Panglima Musa Aman.
Selain  Musa, Adun Liawan Sairin Karno yang didakwa antara adun yang  berpengaruh di Keningau juga gagal memberi penjelasan berhubung  pemecatan Azman yang juga ketua pemuda Umno Keningau.
Difahamkan, mereka mahu 'lepas tangan' dan meletakkan beban kepada Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaludin.
"Kenapa  Musa Aman, Ketua Menteri Sabah dan Sairin Karno yang juga wakil rakyat  Liawan membisu seribu bahasa apabila Khairy (Jamaludin) memecat Azman,"  soal Hishammuddin.
Azman  digugurkan serta-merta dari jawatannya berkuat kuasa 29 April lalu  kerana didakwa 'tidak sebulu' dengan kepempinan Umno negeri.
Biarpun pemilihan Umno ditangguhkan buat tahun ini, namun pemecatan itu jelas memberi petanda Umno Sabah sedang bergolak.
Sehubungan  itu, Hishammuddim mahu rakyat negeri itu menilai sendiri sikap Umno  yang hanya sibuk dengan permasalahan dalam mereka sehingga mengabaikan  permasalahan rakyat.
Harakahdaily/-
