
08 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
KUALA  LUMPUR, 11 Mei: Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Mohamad  Hata Wahiri berkata, agenda mingguan akhbar Utusan Malaysia ditetapkan  oleh Biro Politik Umno yang dipimpin oleh Presidennya, Datuk Seri Najib  Razak.
Hatta  dalam wawancaranya dengan laman web, Free Malaysia Today (FMT) (gambar)  berkata, Ketua Pengarang Utusan yang ada sekarang akan menerima arahan  dari mesyuarat Biro Politik Umno yang bersidang setiap hari Isnin malam.
Yang  hadir dalam mesyuarat itu adalah Najib, timbalannya, Tan Sri Muhyidin  Yasin, naib presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri  Hishamudin Husein dan Datuk Seri Safie Apdal serta Setiausaha Agung,  Datuk Tengku Adnan Mansor dan Ketua Penerangan, Datuk Ahmad Maslan.
Agenda  mingguan yang diputuskan dalam mesyuarat ini akan disampaikan kepada  Ketua Pengarang Utusan melalui pejabat Perdana Menteri.
Hata  telah dipecat oleh Utusan 1 Mei lalu, dua hari sebelum Hari Kebebasan  Akhbar sedunia yang disambut pada setiap 3 Mei. Alasan Utusan adalah  kerana Hata memalukan Utusan dalam kenyataan-kenyataan medianya.
"Utusan  akan melaksanakan isu yang diarahkan selama tiga hari sebelum  menghentikan sepenuhnya kecuali menerima sokongan kuat dari pemimpin  utama BN," laporan laman web itu.
Utusan  mendapat serangan dari pelbagai pihak sejak kebelakangan ini ekoran  tindakannya mensensasikan pelbagai isu yang dianggap tidak wajar.
Yang  terbaru isu "Kristian menjadi agama rasmi" sehingga MCA, rakan kongsi  Umno dalam Barisan Nasional (BN) juga tidak percaya lagi kepada akhbar  itu.
Selepas mendapat reaksi negatif, Najib sendiri seolah-olah tidak bersetuju dengan laporan itu dan meminta isu itu dihentikan. 
Mursyidul  Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat ketika menjawab soalan  wartawan tentang isu ini berkata, "Takkan saya nak percaya Utusan kalau  MCA pun tidak percaya."
Utusan  juga menjadikan agenda menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila  mendakwa Anwar menggelarkan Perdana Menteri Najib sebagai 'pundi kutty'  satu kenyataan mencarut dari bahasa Tamil.
Namun begitu, Anwar menafikan dakwaan itu kerana beliau menggelarkan pundi kutty kepada tindakan bejat BN bukannya kepada Najib.
Menurut  FMT lagi, Hatta berkata, semasa Utusan dipimpin oleh Datuk Khalid  Mohamad, perkara yang berlaku dalam Utusan sekarang tidak berlaku.
Ia  hanya mula berubah selepas kekalahan teruk BN dalam pilihan raya umum  2008 dan Khalid telah digantikan oleh Datuk Aziz Ishak sebagai Ketua  Pengarang.
"Menurut  Hata, Aziz tidak mempersoalkan arahan editorial yang ditetapkan oleh  Biro Politik Umno yang bermesyuarat setiap Isnin malam bagi  membincangkan agenda mingguan akhbar itu," lapor FMT.
Namun  begitu, strategi ini telah memberikan kesan buruk kepada Utusan apabila  jualannya jatuh merudum dan akhbar ini dilaporkan mengalami kerugian  RM20 juta sejak 2009.
"Data  dari Audit Bureau of Circulation (ABC) menunjukkan jualan harian akhbar  ini jatuh 20 peratus antara Jun 2006 hingga Jun 2010," lapor FMT.
Harakahdaily/-
