KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersetuju pakaian
 serban digantikan dengan topi keledar bagi penunggang motosikal yang
 mahu memakainya, jika ia didapati boleh mencegah daripada kecederaan
 apabila berlaku kemalangan.
  Mursyidul Am Pas itu berkata, jika serban dipakai dengan ikatan
 kemas dan boleh mencegah kecederaan, ia boleh digantikan dengan topi
 keledar yang dianggap lebih selamat itu.
  Malah, katanya, topi keledar yang keras itu tidak selamat jika tidak dipakai kemas dan diikat dengan betul. "Kadang-kadang serban dan semuntal yang diikat kemas lebih selamat,
 kerana ia lembut apabila berlaku hentakan kuat berbanding topi keledar
 yang keras itu.
  "Topi keledar pun jika tidak dipakai dengan kemas dan diikat dengan
 betul boleh menyebabkan penggunanya tidak selamat apabila berlaku
 kemalangan, kerana mudah tercabut atau kecederaan dalaman akibat
 hentakan kuat," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
  Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai seorang
 pelajar sekolah pondok di Pasir Tumboh di sini, pada dua hari lalu
 dijatuhi hukuman denda RM90 atau penjara dua hari kerana didapati
 bersalah tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal
 sebaliknya memakai serban.
  Bagaimanapun, pelajar pondok terbabit, Ahmad Nasir Darus, 28, memilih untuk menjalani hukuman penjara dua hari.
 Nik Abdul Aziz berkata, umum mengetahui berapa ramai penunggang
 motosikal yang terbunuh akibat nahas jalan raya walaupun mereka memakai
 topi keledar sewaktu menunggang motosikal.
  Katanya, soal ia merupakan pakaian pak lebai atau golongan haji
 tidak berbangkit walaupun undang-undang dan peraturan jalan raya
 mengklasifikasikan begitu dan beliau tidak mahu campur urusan agama
 dengan peraturan jalan raya.
  "Cuma bagi saya, mereka yang memakai pakaian serban tidak harus
 dikenakan tindakan, jika ia dipakai dan diikat dengan kemas," katanya.
  Menurut Nik Aziz, serban bermakna dalam bahasa Melayu asal ialah
 ikatan kain kepala, seperti juga semuntal bagi pakaian tradisi orang
 Melayu Kelantan sedikit masa dulu.
  Beliau berpendapat, jika masyarakat keturunan Sikh yang memakai
 serban dan boleh dikecualikan daripada undang-undang jalan raya, tidak
 ada sebab orang Islam yang memakai serban tidak boleh dikecualikan
 daripada peraturan itu.
  "Saya tidak mahu ganggu soal agama. Lebai atau jahil, bukan boleh
 dinilai pada pakaian kerana ini mengikut tafsiran masingmasing, kerana
 ada orang lebai atau haji tetapi tidak pakai serban atau kupiah, dan
 ada juga yang pakai serban sebesar bakulpun tetapi tidak dianggap
 lebai," katanya.
 Sehubungan itu, beliau mahu kerajaan mengkaji semula peraturan itu
 bagi mengelakkan kekeliruan yang timbul seperti apa yang terjadi kepada
 kes berkenaan. BERNAMA
