Oleh: Oleh: Nur Akmal bt Mohamad
Antara gerakan yang kuat mempromosikan agenda mereka pada ketika ini ialah gerakan feminis di mana perjuangan mereka adalah untuk mencapai persamaan hak untuk berpolitik, bersosial dan melakukan aktiviti ekonomi selain menuntut agar emansipasi dilakukan ke atas kaum wanita bagi tujuan tersebut.
Feminisme telah menjadi sebagai disiplin akademi yang telah melahirkan gerakan feminis sekitar tahun 1960-an dan 1970-an.
Kebanyakan pendokong gerakan ini menjadikan ilmu pengetahuan sebagai suatu penghubung sehingga kepada pengamalan politik. Bentuk pembinaan ilmu pengetahuan ini dipanggil sebagai ilmu pembebasan (emancipatory knowledge).
Hal ini bermakna penghasilan ilmu pengetahuan tersebut dapat membantu wanita untuk memperbaiki kehidupan mereka melalui pemerkasaan dalam bidang pendidikan dan akhirnya membantu mereka untuk berjaya dalam bidang politik, ekonomi, dan sosial.
Sasaran terpenting golongan feminis ini ialah untuk menerangkan mengenai peminggiran wanita yang mana mewujudkan tahap-tahap yang berbeza dalam masyarakat dan mencari jalan untuk menyelesaikannya. Bagaimanapun, feminis tidak bersetuju sebab mengapa wanita dipinggirkan dan langkah untuk mencegahnya.
Hakikatnya terdapat pelbagai jenis teori feminisme di seluruh dunia dan kepelbagaian ini juga memberi alasan yang juga berbeza mengenai peminggiran kaum wanita dari arus perdana. Antara golongan feminis tersebut ialah liberal, Marxist, socialist, pasca-kolonial dan pasca-moden.
Golongan feminis liberal percaya bahawa dengan menghapuskan halangan-halangan undang-undang dapat menyelesaikan masalah peminggiran kaum wanita.
Walau bagaimanapun, kesemua pendekatan ini melihat secara mendalam mengenai akar permasalahan tersebut dengan masalah sistem dalam semua masyarakat di mana tidak boleh dihapuskan hanya dengan semata-mata melalui undang-undang sahaja.
Golongan feminis Marxist dan sosialis pula melihat mencari penjelasan kepada masalah peminggiran wanita dalam pasaran buruh yang menawarkan ganjaran yang lebih banyak dan berprestij sebagai upah dalam lingkungan sosial melebihi daripada wanita yang hanya bekerja di rumah.
Sekalipun mereka bekerja dalam sektor awam atau swasta mereka juga turut menuntut bayaran gaji yang lebih kerana mereka memiliki lebihan bebanan atau double burden ekoran menjadi pekerja di sektor dan sebagai ibu dan isteri di rumah.
Feminis pasca kolonial dan pasca moden percaya bahawa adalah salah untuk menganggap secara umum tentang semua wanita.
Pengalaman berkaitan peminggiran wanita adalah berbeza kerana mereka berada dalam keadaan yang cukup berbeza yakni dari sudut perbezaan mengenai pengamalan ekonomi, sosial dan politik.
Maka kesemua teori feminis pasca liberal menggunakan gender sebagai kategori penting untuk tujuan analisis.
————
*Exco Kebajikan dan Akademi Rakan Masjid Masjid Sultan Badlishah Universiti Utara Malaysia (UUM)