, Posted by Pro-M at 11:00 AM
SHAH ALAM - Pro-Mahasiswa Universiti Malaya (UM) menyelar kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Khaled Nordin yang menyifatkan tindakan sekumpulan mahasiswa berdemonstrasi di hadapan pejabat Naib Canselor UM kelmarin selepas kalah pada pilihan raya kampus (PRK) sebagai tidak matang.
Pengerusi pro-Mahasiswa (pro-M), Mohd Shafie Hashim mendakwa, kenyataan Khaled itu membuktikan Menteri itu bukan seorang pemimpin rakyat dan mempunyai ego serta tidak ada perikemanusiaan terhadap penindasan.
“Kenyataan beliau memperlekehkan mahasiswa dengan ungkapan tidak ‘matang’ dan ‘tidak boleh terima kekalahan’ dan kenyataan tersebut jelas menunjukkan keegoan seorang pemimpin rakyat yang tidak ada perikemanusiaan terhadap penindasan yang berlaku kepada mahasiswa yang juga sebahagian di bawah tanggungjawabnya.
“Jika begitu, sebenarnya Datuk Khaled juga tidak matang kerana mengeluarkan kenyataannya tanpa menyelami apa yang mahasiswa rasai,” katanya menerusi kenyataan media kepada Sinar Harian semalam.
Menurut Mohd Shafei, pro-M jelas dengan prinsip perjuangannya yang hanya mahu menegakkan keadilan dan menghancurkan kezaliman terhadap apa sahaja yang berlaku.
“Pro-M tidak ‘bias’ pada mana-mana pihak, yang salah tetap salah, yang benar tetap benar. Dalam Konteks Pilihan raya Kampus di UM kali ini, kita berhadapan dengan sistem E-voting yang masih baru dan diragui lagi ketelusan dan integriti yang tiada pada pengendalian dan pengurusan sistem berkenaan.
“Dalam masa yang sama PRK UM berhadapan dengan pentas perlawanan yang tidak adil sehingga berlaku banyak penindasan yang sangat teruk dan atas perkara itu, Pro-M bangun mempertahankan kebenaran sehingga mendapat keputusan yang baik daripada Naib Canselor untuk menyiasat dan tangguh segala keputusan pilihan raya yang sebelum ini telah diumumkan,” katanya.
Katanya, menang atau kalah bukan ukuran tetapi mahasiswa tegas dan tetap pendirian di atas perjuangan untuk mempertahankan kebenaran dan keadilan sehingga menumbangkan segala kezaliman dan penindasan.
Kelmarin, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Khaled Nordin berkata tindakan sekumpulan mahasiswa UM yang berdemonstrasi di hadapan pejabat Naib Canselor selepas kalah pada PRK Khamis lalu sebagai tidak matang.
Katanya, kumpulan Pro-M perlu menerima kekalahan dan menghormati pilihan majoriti kerana PRK merupakan suatu proses demokrasi.-sinar harian.
KEBAJIKAN ANDA KEUTAMAAN KAMI
WE UNITE FOR UM
http://promahasiswaum.blogspot.com