7 Rabiulakhir 1431H
http://episodeperjuangan.blogspot.com    
1.  Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara [JPN] Datuk Alwi Ibrahim  telah mendedahkan peningkatan Anak Luar Nikah [ALN] yang didaftarkan ke  Jabatan Pendaftaran Negara: [ Berita Minggu : 21 Mac ]
a] 2007 :  16,100 anak Luar nikah
b] 2008 : 16,541 anak luar nikah
c] 2009 :  17,303 anak luar nikah
2. Datuk Alwi juga menyebut bahawa dalam  tempoh 5 tahun terakhir Jabatan Pendaftaran Negara telah mencatatkan  74,723 anak luar nikah yang membabitkan orang melayu Islam .
[ Fakta ini tidak termasuk kes buang bayi yang  dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat ]
3. Sepanjang  tempoh yang sama [ 5 tahun ] , seramai 214,033 bayi luar nikah  didaftarkan dengan status anak tidak sah taraf termasuk kes anak yang  tidak berbapa dari pelbagai bangsa dalam negara kita .
4. Fakta  yang saya paparkan ini satu lagi episod kebinasaan dan kemusnahan yang  sedang deras melanda negara . Membunuh sistem nilai dan memasung maruah  ummah . Segalanya angkara nafsu yang tidak dipandu oleh wahyu . Hidup  dalam satu sistem politik dan sosial yang terhindar dari petunjuk Allah  swt dan pedoman sunnah Rasulullah saw.
5. Sistem pendidikan ,  perumahan , pembangunan , IT , media dan lainnya yang sangat jelas serta  ketara tidak menepati syarat dan sistem Islam adalah antara penyumbang  utama kepada keruntuhan moral dan akhlak . [ sebagai contoh ....]
Pendidikan  : Tidak menitik beratkan pentarbiyyah untuk melahirkan insan yang soleh  dan bermoral . Nilai agama dan moral tidak menjadi asas utama dalam  memburu kecemerlangan akdemik .
Perumahan : Rumah murah 2 bilik  tidak sesuai untuk rakyat kerana menyumbang kepada gejala sumbang mahram  serta susun atur kawasan perumahan yang tidak islamik sebagai contoh  kawasan perumahan yang tidak disediakan surau oleh pemajunya dan pusat  pengajian agama tambahan serta kawalan akhlak dan moral selain warden  yang menjaga keselamatan tetangga .
Pembangunan : Hanya memburu  keuntungan sehingga dalam satu daerah biarpun majoriti muslim masih  dibenarkan kedai - kedai jualan arak dan kondom secara terbuka seperti  seven eleven dan pertumbuhan kelab malam , karaoke , rumah urut yang  tidak terkawal tumbuh bagai cendawan selepas hujan .
6. Seperkara  lagi yang saya lihat tidak kurang juga pentingnya ialah kegagalan pihak  berwajib menjalankan tanggungjawab untuk mencegah kemungkaran [ an  Nahyu a'nil mungkar ] . Seketika , nasib pelacur , mak nyah lebih baik  dari penceramah agama dan pendakwah yang sering diburu kerana tiada  tauliah . Demikian juga nasib kelab malam dan pusat hiburan yang  mendapat cop "halal" oleh pihak berkuasa tempatan nyata lebih baik dari  masjid dan surau yang tidak dibenarkan menganjur majlis - majlis ilmu .
7.  Apa yang berlaku ialah al amrul bil mungkar wa nahyu a'nil makruf !  Khatib yang membaca khutbah tanpa tauliah dari jabatan agama meskipun  mendapat ijazah dari universiti Islam senantiasa dalam resah dan gusar  diburu oleh penguatkuasa agama berbanding rasa selamat dan selesanya  mereka yang langsung tidak hadhir solat jumaat .
8. Setiap kali  dipersoal , pihak penguatkuasa ini sering menggunakan hujjah arahan  orang atas !
Tentunya orang atasan ialah orang yang berkuasa iaitu  kerajaan yang memerintah . Malang bagi sebuah kerajaan yang memiliki  kuasa dan mandat rakyat tidak menggunakannya untuk membasmi maksiat dan  mungkar tetapi sebaliknya menunjukkan sikap anti agama atau anti Islam .  Islam yang mereka mahu ialah Islam yang boleh kompromi dengan maksiat  dan mungkar .
[ contoh : Masjid dibina tetapi Kelab Malam juga  dibina . Musabaqah Al Quran dianjur tetapi Akademi Fantasia juga dianjur  . Peluang pekerjaan disedia tetapi pusat - pusat judi juga disediakan  dan banyak lagi contoh contoh lain .]
9. Bukan tidak tegur dan  bukan juga tidak dinasihati , tetapi mereka sukar memahami . Kita telah  menghantar memorundum , kita telah menegur dalam kunjungan hormat kita ,  kita juga sudah sebut dalam dialog , wacana ilmiah , debat , khutbah ,  kuliah , ceramah bahkan demonstrasi . Kita juga menegur mereka secara  rasmi di dalam Parlimen , Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri tetapi  semuanya tidak membuahkan hasil . Mereka hanya memekakkan telinga dan  menggulung lidah .
10. Menjadi tanggungjawab setiap individu  untuk bangkit berjuang bagi menyelamatkan negara dari kebinasaan dan  kemusnahan ini dengan membuat desakan agar syariat Islam dilaksana dan  didaulatkan . Ianya adalah satu desakan berasas setelah semua pihak  menyaksikan kegagalan total sistem peraturan dan undang - undang ciptaan  manusia .
Ustaz Nasrudin Hassan  at Tantawi,
Ketua Dewan  Pemuda PAS Pusat.
*  Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili  pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab  terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.
Harakahdaily.net/-
