30 Rabiulawal 1431H
TELUK  INTAN, 16 Mac: Ketua Pemuda Dewan Himpunan Penyokong PAS Perak,  Panthiyan a/l Patchamuthu mati ditembak di hadapan kedai mencuci kereta  miliknya di Langkap, sebentar tadi.
Dua das tembakan dengan satu  mengenai kepala dan dada mengakibatkan mangsa mati di tempat kejadian  jam 3 petang semalam.
Difahamkan, suspek menaiki motosikal dengan  nombor pendaftaran palsu datang ke kedainya lalu melepaskan tembakan  dari jarak dekat.
Mangsa yang berusia 34  mengalami kecederaan parah di kepala mati di tempat kejadian dan  mayatnya dihantar ke Hospital Daerah Hilir Perak untuk bedah siasat.
Difahamkan,  ahli keluarga mangsa yang berada di kedai itu tidak dicederakan.
Dalam  pada itu, pihak Polis Daerah Hilir Perak meminta orang ramai yang  menyaksikan kejadian itu supaya menghubungi talian 05-6212222 untuk  membantu siasatan.
Sementara itu, Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz  Abu Bakar Husain bagi pihak pimpinan dan ahli-ahli seluruh negeri  merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mendiang atau lebih  dikenali sebagai Siva.
Katanya, bagi PAS Perak, mendiang  merupakan seorang yang bertanggungjawab dalam memikul amanah sebagai  Ketua Pemuda Himpunan Kelab Penyokong PAS negeri, juga sebagai Pengerusi  Kelab Penyokong PAS Pasir Salak, selain itu mendiang juga dikenali  sebagai pemuda yang mempunyai akhlak yang baik dan disenangi oleh  masyarakat setempat.
Mendiang juga, katanya banyak berperanan  dalam menarik minat masyarakat bukan Islam untuk bersama menyertai  Himpunan Kelab Penyokong PAS Perak.
"Kami berharap agar seluruh  ahli keluarga mendiang bersabar di atas kematian mendiang. Kami  menyifatkan kematian mendiang sebagai satu kehilangan yang besar serta  amat dirasai didalam arena politik negara khususnya dalam Himpunan Kelab  Penyokong PAS Perak," ujarnya dalam satu kenyataan.
Dewan Pemuda  PAS negeri pula mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan kejam terhadap  Siva itu.
Naib ketuanya, Salman Saleh merakamkan rasa yang amat  sedih dengan berita yang telah dilaporkan kerana cara pembunuhan  tersebut amat kejam dengan dua das tembakan yang mengenai kepala dan  dada mangsa.
Oleh yang demikian, beliau meminta pihak polis  membuat siasatan menyeluruh terhadap pembunuhan kejam tersebut.
Pihaknya  juga, kata beliau meminta ahli keluarga mendiang dan semua Ahli Dewan  Himpunan Penyokong PAS Perak bersabar serta tenang dan berhati-hati  dengan suasana yang berlaku itu.
Harakahdaily.net/-
