23 Ramadhan 1432H. [MOD] -
Oleh Mohd Syamil Azhar.
LENGGONG: Bekas Naib Presiden Persatuan Bekas-Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Kapten (B) Mohd Rosli Yahaya mengejutkan banyak pihak apabila tampil di atas pentas ceramah PAS dengan menyerahkan borang permohonan menjadi ahli PAS seumur hidup.
Beliau yang juga bekas Yang DiPertua persatuan berkenaan bagi peringkat negeri Perak selama berbelas tahun, telah dilantik menjawat jawatan Timbalan Pengerusi Kelab Veteran Angkatan Tentera (KERABAT) peringkat Parlimen Lenggong.
Borang keahliannya diserahkan kepada Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Perak, Datuk Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin pada program ceramah perdana sempena pelancaran KERABAT Perak di Markaz PAS Kampung Gelok dekat sini baru-baru ini.
Penyerahan borang keahliannya disaksikan Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Perak yang juga Yang DiPertua PAS Lenggong, Haji Razman Zakaria, Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria dan Presiden KERABAT Malaysia, Kol (B) Nazri Mokhtar.
Lebih 2000 hadirin pada malam program itu turut menyaksikan penyerahan borang oleh Rosli yang selama di dalam PBTM, tidak henti-henti menyuarakan pembelaannya terhadap bekas-bekas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), balu-balu bekas tentera, anak-anak yatim bekas tentera dan semua peringkat bekas tentera.
Beliau juga lantang menuntut hak bekas-bekas tentera yang dijanjikan kerajaan, sepertimana telah termaktub dalam perlembagaan negara ini, seperti pemberian tanah serta lot tapak rumah dan sebagainya.
Selepas lebih enam bulan berlaku pemberontakan di Libya, rejim Muammar Gaddafi akhirnya tumbang setelah kumpulan pemberontak berjaya menawan hampir seluruh bandar Tripoli.
Bagaimanapun nasib pemimpin Libya itu masih menjadi tanda tanya.
Menurut AFP, anak lelaki bongsu Gaddafi, Seif al-Islam ditangkap oleh pemberontak, manakala anak lelaki sulungnya, Mohammed Al-Gaddafi yang diwawancara oleh televisyen Al-Jazeera di kediamannya dilaporkan menyerah diri, tetapi nasib anak-anaknya yang lain masih tidak diketahui.
Ramai pemuda mengibarkan bendera merah, hitam dan hijau milik pasukan anti-kerajaan dan bersorak dan menari sambil bertakbir dan melepaskan tembakan ke udara.
Ramai yang menunjuk isyarat jari keamanan sambil menjerit "beritahu Muammar dan anak lelakinya bahawa Libya mempunyai anak jantan".
Sementara itu, Reuters yang memetik televisyen al-Jazeera melaporkan anak lelaki sulung pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, Mohammad, memberitahu awal hari ini bahawa beliau ditahan pemberontak dan dikenakan tahanan di rumah di Tripoli.
“Anggota bersenjata mengepung rumah saya dan saya masih berada di dalam dan mereka di luar. Mereka berkata akan menjamin keselamatan saya. Mereka mengepung rumah saya," katanya menerusi panggilan telefon dari Tripoli.
Bunyi tembakan boleh didengar semasa perbualan itu.
"Ya, tembakan itu dalam rumah saya," katanya sebelum talian tiba-tiba terputus.
AP pula melaporkan harga minyak global dijangka mula mencatatkan penurunan sekiranya pemberontak Libya berjaya menggulingkan Gaddafi; namun kesan keseluruhannya tidak akan dirasai untuk tempoh beberapa bulan.
Malam Ahad (waktu tempatan), pasukan pemberontak bergerak ke Tripoli tanpa berdepan dengan tentangan, ia selepas beberapa jam pangkalan tentera yang mempertahankan ibu kota negara itu dimusnahkan.
Penganalisis bebas, Lipow Andrew, berkata pasaran minyak dijangka akan bertindak balas hari ini dengan mengunjurkan harga yang lebih rendah dalam "tanda lega selepas konflik semakin berakhir."
Namun, Lipow berkata, ia akan mengambil masa untuk pasaran kembali stabil selepas kenaikan harga yang besar terhasil dari penggantungan eksport minyak Libya sejak pemberontakan bermula pada Februari lalu.
Susulan pemberontakan itu, minyak diniagakan pada sekitar AS$84 setong dan menokok di atas AS$93 dan terus meningkat tinggi melebihi AS$110 pada akhir April. Permintaan dari pasaran baru muncul termasuk China juga mendorong harga yang semakin meningkat.
Harga minyak jatuh baru-baru ini bersama stok susulan kebimbangan mengenai ekonomi global. MK/-
23 Ramadhan 1432H. [MOD] -
TRIPOLI, Libya - Pemberontak dan penduduk Libya meraikan kejayaan mereka di Dataran Hijau di sini semalam selepas mereka menawan kebanyakan kawasan di ibu kota negara berkenaan.
Pertahanan Gaddafi hancur manakala pemerintahan kuku besinya selama 42 tahun juga berakhir, namun di mana pemimpin Libya itu kini bersembunyi masih tidak dapat dipastikan.
Pergolakan di Libya bermula pada Februari lalu apabila sejumlah penduduk berhimpun di Benghazi dan Al Baida pada Februari lalu bagi menuntut kebebasan hak asasi manusia sebelum bertukar menjadi peperangan di antara pemberontak dengan tentera Gaddafi.
Setakat ini, hanya terdapat beberapa penentangan kecil oleh saki baki tentera Gaddafi di sini.
Terdahulu, stesen televisyen Libya menyiarkan rayuan Gaddafi kepada rakyat negara itu supaya bangkit demi mempertahankan pemerintahannya.
Pejuang pemberontak kini menawan anak lelakinya yang juga pewaris Gaddafi, Seif al-Islam.
Seif dan bapanya sebelum ini dikehendaki Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di Belanda kerana jenayah kemanusiaan.
Seorang lagi anak lelaki pemimpin itu berada dalam tahanan rumah.
"Semuanya sudah berakhir si rambut kerinting (Gaddafi)," jerit beratus-ratus lelaki dan wanita yang berhimpun di Dataran Hijau lewat kelmarin.
Orang ramai yang gembira dengan kekalahan Gaddafi, melepaskan tembakan ke udara, bertepuk tangan dan melambaikan bendera tiga warna pemberontak.
Sebahagian mereka membakar bendera hijau rejim Gaddafi dan melubangi sebuah poster yang menampilkan imejnya.
Beberapa pemimpin pemberontak berkata, kemenangan mereka selepas kebuntuan dalam perang saudara di Libya sejak enam bulan lalu, dicapai menerusi kerjasama di antara pemberontak, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan penduduk Tripoli.
Pejuang-pejuang pemberontak dari barat Libya mara lebih 30 kilometer dalam masa cuma beberapa jam kelmarin dengan menawan beberapa buah bandar dan sebuah pangkalan tentera semasa menuju ke sini.
ORANG RAMAI yang menaiki sebuah trak mengibarkan bendera baharu Libya bagi meraikan ketibaan para pemberontak di Tripoli semalam.
Pada masa yang sama, penduduk di bandar raya ini yang dibekalkan senjata oleh pemberontak secara rahsia, bangkit menentang rejim Gaddafi.
Apabila pemberontak tiba di sini, satu batalion khas yang ditugaskan oleh Gaddafi untuk mengawal bandar raya ini bertindak menyerah diri kepada mereka.
Seorang pegawai kanan kepimpinan pemberontak, Fathi al-Baja berkata, komander batalion berkenaan berpaling tadah selepas saudara lelakinya dihukum bunuh oleh Gaddafi beberapa tahun lalu.
Menurutnya, pelan untuk menawan bandar raya ini dirancang sejak tiga bulan lalu dengan bantuan NATO dan pemberontak di sini.
Menjelang semalam, pemberontak telah menawan kebanyakan kawasan di bandar raya ini termasuk Dataran Hijau.
Rampasan Dataran Hijau merupakan kejayaan simbolik buat mereka.
Kawasan tersebut merupakan lokasi perhimpunan pro-Gaddafi yang diadakan hampir setiap malam dengan pemimpin Libya itu menyampaikan ucapannya di Kubu Merah di sebelah dataran berkenaan.
Gaddafi ialah pemimpin dunia Arab yang paling lama memerintah.
Beliau mentadbir negara Afrika Utara yang dihuni cuma enam juta penduduk dan kaya dengan minyak itu selama 42 tahun.
Sejak bertahun-tahun lamanya, pemimpin beliau dituduh mendalangi pengeboman pesawat 747 milik syarikat penerbangan Amerika Syarikat, Pan Am yang meletup di Lockerbie, Scotland dan membunuh 270 orang. - AP
Perintah itu dibuat Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Nariman Badruddin dalam kamar.
Ketiga-tiga plaintif iaitu Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco, Datuk Husam Musa dan Datuk Anuar Tan Abdullah diwakili peguam Hisham Fauzi.
Bagaimanapun peguam defendan, Rosli Abu Zarim tidak hadir hari ini.
Pemimpin PAS terbabit menyaman akhbar berkenaan berhubung laporan berunsur fitnah disiarkan Mingguan Watan bertarikh 21-27 Disember 2008.
Mereka menyaman M Goenawan Mohamed, Wan Bahador Wan Ismail @ Baha Azuwan, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, Naluri Teratai Sdn Bhd dan Tristan Media Distributors.
Mingguan Watan pada edisi ke-17 bertarikh 21-27 Disember 2008 menyiarkan berita berunsur fitnah terhadap ketiga pemimpin tersebut.
Raja Ahmad Zainuddin yang juga Adun BN di Perak bertindak sebagai Penasihat Jabatan Pengarang.
Berita itu disiar di halaman hadapan bertajuk “Siasat Pemimpin-Pemimpin PAS Kelantan Seleweng Ekuiti PKINK” ditulis M Goenawan.
Akhbar mingguan itu mendakwa “Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan mengalami kerugian puluhan juta ringgit akibat penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan beberapa pemimpin PAS Kelantan yang menjadi ahli lembaga pengarah PKINK.
“Kerugian bernilai RM21 juta itu berlaku dipercayai kerana penyalahgunaan kuasa di kalangan pihak pengurusan PKINK dalam urusan pentadbiran dan pengurusan projek anak syarikatnya Kelstone Sdn Bhd.”
Ekoran penyiaran berita berunsur fitnah tersebut Ketua Pegawai Eksekutif PKINK, Mohd Sabri Abdullah menghantar surat dan memberi notis selama 14 hari untuk membolehkan Mingguan Watan memohon maaf.
Bagaimanapun akhbar berkenaan pada edisi bertarikh 4-10 Januari 2010 menyiarkan berita pihaknya tidak perlu memohon maaf.
Sebaliknya seperti mencabar PKINK supaya menghantar surat pembetulan dan penjelasan fakta sekiranya berita yang disiarkan itu tidak tepat.
Malah dalam berita sama ditulis, akhbar berkenaan tidak takut kepada ugutan kerana mendakwa berpegang kepada prinsip dan asas kewartawanan.
Kes saman tersebut sebelum ini dibicara di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim sejak Febuari 2009.
Hisham berkata, pihaknya akan mengeluarkan notis bagi mengarahkan responden membayar gantirugi tersebut dalam tempoh tujuh hari.
”Notis tersebut InsyaAllah akan dikeluarkan esok,” katanya ketika ditemui di sini.
Dalam notis saman ketiga-ketiga pemimpin PAS terbabit menuntut ganti rugi sebanyak RM15 juta daripada akhbar Mingguan Watan.
Pada keputusan hari ini juga Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi memerintahkan Mingguan Watan membayar sebanyak RM675,000 kepada PKINK dalam saman yang dibuat secara berasingan.
Sebelum ini PKINK menyaman Mingguan Watan dan menuntut ganti rugi RM5 juta.
PULAU PINANG, 5 Ogos: Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan RM748,800 setahun kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) iaitu tambahan elaun sebanyak RM150 seorang kepada 238 penguatkuasa dan 178 pekerja awam sebagai penghargaan jasa mereka meningkatkan status MPPP walaupun terpaksa terdedah dengan bahaya dan kotoran.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (gambar) berkata, kenaikan elaun tersebut membolehkan mereka bekerja dengan lebih tekun, rajin, penuh kesabaran, mengikut lunas undang-undang dan berintergriti.
Menyentuh mengenai integriti ia bukan tertakluk kepada menangani rasuah sahaja tetapi juga mesti menekan aspek kebijaksanaan, amanah, tanggungjawab, cemerlang dan mengutamakan nilai murni.
"Kerajaan negeri bersetuju menambah elaun kepada 238 orang penguatkuasa dan 178 pekerja awam di MPPP sebanyak RM150 seorang sebagai penghargaan yang tidak ternilai tahun ini. Ia melibatkan sejumlah wang RM748,800," jelasnya semasa berucap di Majlis Penyampaian Cek Elaun Khas kepada anggota penguatkuasa dan pekerja awam 3D semalam.
Beliau berharap semangat kekitaan dan semangat berpasukan diterap dalam diri warga MPPP.
Sikap itu, katanya akan menjadi contoh kepada rakyat yang lain untuk lebih prihatin dan sekaligus dapat mewujudkan sebuah masyarakat yang matang dan berdisiplin barulah boleh melahirkan negeri yang lebih bersih, hijau dan selamat.
Ia juga, ujarnya membolehkan mereka lebih fokus kepada kerja keselamatan, penyelesaian aduan rakyat, penjagaan dan pemulihan alam sekitar serta urus tadbir bandar yang lebih berkesan.
Ini, katanya selaras dengan usaha menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri antarabangsa Plan Pengurusan Stratejik MPPP memberi penekanan kepada key result area (KRA) 3C dan 1R iaitu cleanliness, congestion, crime dan revenue seperti meningkatkan kebersihan, kecerian bandar, menerapkan amalan budaya menyelenggara kemudahan awam dengan baik, melaksanakan program bandar selamat, mencari jalan penyelesaian masalah pengurusan lalu lintas, memperkukuhkan kedudukan hasil majlis serta terakhir meningkatkan sistem penyampaian majlis supaya perkhidmatan yang disediakan adalah yang terbaik untuk rakyat.
"Sebagai warga MPPP mesti mempamerkan sikap yang baik sebagai contoh untuk rakyat lain melakukan kebaikan selari dengan usaha menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri bertaraf antarabangsa. Bila berjaya kelak semua orang rasa bangga," katanya.
harakahdaily/-
02 3amadhan 1432H. [MOD]
KUALA LUMPUR, 2 Ogos: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar memohon Yang di-Pertuan Agong tidak memperkenankan pembubaran Parlimen selagi lapan tuntutan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih 2.0 tidak dipenuhi.
"Isu yang mendesak kini ialah ancaman kepada kedaulatan dan keselamatan negara dengan kebanjiran warga asing di dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri.
"Apabila daftar pemilih dibanjiri oleh warga asing, ia jelas merupakan ancaman serius kepada kedaulatan negara dan keselamatan negara selain dari pencabulan hak asasi warganegara Malaysia sendiri," tegas beliau ketika menuntut supaya SPR menjelaskan bagaimana daftar pemilih dibanjiri oleh warga asing yang hanya memiliki status penduduk tetap sahaja.
Mahfuz menyifatkan pendedahan itu sebagai bukti yang tidak boleh disangkal lagi bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) dan SPR tidak habis-habis membohongi rakyat Malaysia apabila berulang kali mendakwa bahawa daftar pemilih yang ada sudah dibersihkan.
"Kita boleh terima kalau nama orang yang baru sahaja seminggu dua meninggal dunia masih ada dalam daftar pemilih walaupun zaman sekarang zaman teknologi yang membolehkan nama si mati dibuang hampir serta merta dari daftar pemilih.
"Tetapi kebanjiran begitu banyak warga asing bukan lagi perkara yang boleh dikompromikan. SPR boleh dituduh terang-terangan terlibat membiarkan kedaulatan dan keselamatan negara ini terancam.
"Sebagai agensi kerajaan, SPR tidak sepatutnya dilihat menjadi pihak yang mengancam kedaulatan dan keselamatan negara," tegas Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Antara lapan tuntutan bersih ialah supaya SPR membersihkan daftar pengundi. Tuntutan-tuntutan lain ialah mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.
"Sebab itulah kita mohon Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu campur tangan antaranya tidak memperkenankan permintaan Perdana Menteri untuk membubarkan parlimen selagi tuntutan Bersih tidak dipenuhi.
"Kini semakin terbukti, keengganan SPR membersihkan daftar pengundi sudah sampai ke peringkat mengancam kedaulatan dan keselamatan negara dengan kebanjiran warga asing dalam daftar tersebut.
"Jangan sampai nanti orang melihat SPR bukan sahaja tidak mahu membersihkan daftar pemilih malah menjadi dalang utama yang mengotorkan daftar itu dengan kebanjiran warga asing tersebut," kata Mahfuz.
Kebanjiran warga asing dalam daftar pemilih itu didedahkan oleh blog Perisik Rakyat (http://www.perisik-rakyat.com).
Blog itu mendedahkan sehingga 169 nombor Kad Pengenalan Pemastautin tetap Bukan Warganegara Malaysia yang dikesan telah didaftarkan sebagai pengundi di Malaysia.
Namun begitu, menurut siasatan Harakahdaily, tidak semestinya nombor kad pengenalan yang mempunyai angka -71- di tengah adalah warga asing. Ini kerana, angka -71- di tengah menunjukkan lahir di luar negara.
Menurut pendedahan Perisik Rakyat, antara warga asing yang didaftarkan sebagai pengundi bernama Mismah.
Menurut laporan Malaysiakini pula, Mismah diterima sebagai pengundi baru di Ijok, di mana Ahli Dewan Undangan Negerinya ialah Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Ahli Parlimennya ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dzulkelfy Ahmad.
Menurut Malaysiakini, Mismah didaftarkan dalam daftar pemilih tambahan sekarang dan sedang dipamer kepada awam untuk diteliti.
Semakan dalam melalui sistem pengesahan dalam talian JPN dan SPR mengesahkan dakwaan itu.
Sistem JPN yang membenarkan pengguna menyemak status individu dengan memasukkan nombor kad PR, menunjukkan Mismah (640704715238) seorang penduduk tetap.
Harakahdaily/-
Ulasan :
Ternyata musuh utama negara adalah kelompok yang sedang merancang untuk mempertahankan kuasa dengan menghalalkan segala cara termasuk menggadai kedaulatan negara Malaysia yang kita cintai.
Ayuh bangunlah rakyat Malaysia yang sayang dan cintai negara. Pastikan anda bersama kami menentang segala penipuan dan kemungkaran dalam sisitem pilihanraya.
02 Ramadhan 1432H. [MOD] -
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 2 Ogos: Pelbagai pihak melahirkan rasa terkejut mereka dengan pendedahan bahawa seorang penduduk tetap bernama Mismah adalah berstatus penduduk tetap paginya sudah berubah kepada warga negara pada petangnya.
Ekoran itu, Suhaizan Bin Kaiat, Pengerusi Pemulihan Demokrasi & Mobilisasi Pemuda PAS Malaysia menuntut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberikan penjelasan.
Dewan Pemuda PAS, katanya, mendesak agar suatu siasatan dibuat berhubung dengan kejadian ini.
"Suatu Suruhanjaya Di Raja perlu dibentuk dengan segera bagi menyiasat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) berhubung dengan isu yang cukup memalukan negara ini," kata beliau dalam kenyataannya.
(Kad MyPR Mismah pada sebelah pagi)
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) wajib dipersoalkan bagaimana mudahnya menjadi warganegara Malaysia pada waktu ini, katanya kepada Harakahdaily.
Malaysiakini mengeluarkan berita “PR Didaftar Sebagai Pengundi” pada jam 1.06 petang, 2hb Ogos 2011.
Pada masa tersebut individu bernama Mismah no kad pengenalan 640704715238 adalah berstatus Permastautin Tetap(PR).
Menariknya menjelang jam 2.30 petang hari yang sama selepas berita Malaysiakini dikeluarkan maka status Mismah sudah bertukar menjadi warganegara Malaysia.
Kad Pengenalan di bawah di salin pada jam 1.06 petang 2hb Ogos 2011 :
Kad Pengenalan sudah bertukar menjadi biru pada jam 2.30 petang hari yang sama 2hb Ogos 2011 setelah Malaysiakini mengeluarkan berita pada jam 1.06 petang. Ini memberi maksud bahawa Mismah menjadi warganegara dalam beberapa jam sahaja.
(Kad MyKad Mismah pada sebelah petang selepas dibuat laporan pada sebelah paginya)
Nama Mismah terdapat dalam WEB SPR sebagai “Sedang Dalam Pameran Rang” seperti di bawah :
Mismah adalah individu yang telah daftarkan sebagai pengundi di Dun Ijok, Selangor walaupun beliau adalah seorang PR. Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) sedang mempamerkan maklumat bakal-bakal pemilih di seluruh negara sekarang ini.
Dewan Pemua PAS, kata Suhaizan, sebenarnya telah mengesan lebih awal bagaimana PR khususnya daripada Indonesia telah didaftarkan sebagai pengundi. Mereka di daftarkan hampir di setiap negeri.
(Keratan semakan dengan SPR status Mismah sebagai pengundi)
"Kita telah memuat turun data-data kad pengenalan PR dengan banyak sekali. Dewan Pemuda PAS sudah menjangkakan sama ada “server” JPN akan di tutup atau PR ini akan bertukar menjadi warganegara dalam sekelip mata.
"Ternyata jangkaan Pemuda PAS benar apabila Malaysiakini mengeluarkan berita pada jam 1.06 maka status PR dengan mudah bertukar kepada warganegara. Ini lah bukti yang jelas bahawa negara Malaysia dalam keadaan yang cukup merbahaya apabila status warganegara dipermainkan oleh pihak berkepentingan dalam negara ini," katanya.
02 Ramadhan 1432H. [MOD] -
KOTA BHARU, 2 Ogos: Al-Quran menjadi dokumen paling istimewa di dunia ini apabila kitab suci Islam ini ditadarus setiap tahun.
(Saudara Muhammad Ghana, mewakili komuniti antarabangsa menerima tugasan tadarus perdana anak muda tamu Ramadan di Qaryah Ramadan Kota Bharu)
“Tidak ada dokumen lain dilakukan seperti ini,” kata Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Jika dibanding dengan agama-agama lain kata beliau, tidak ada yang melakukan upacara tahunan dengan meminta semua pengikut membaca keseluruhan kandungannya dalam masa satu bulan.Buku-buku dan dokumen-dokumen lain yang dianggap bermutu tinggi dan mulia pun tidak diulangi bacaannya sebagaimana al-Quran ditadarus.
“Di sepanjang sejarah manusia menyanjung pelbagai dokumen seperti deklarasi hak asasi dan perlembagaan negara-negara.
“Tapi kita tak pernah dengar dokumen-dokumen ini dibaca semula secara menyeluruh seperti tadarus,” kata beliau di majlis perasmian Tadarus Perdana Anak Muda Tamu Ramadan di Qaryah Ramadan di sini Isnin..
Al-Quran lahirkan generasi pemimpin dunia
Sementara itu, membaca, memahami dan beramal dengan al-Quran adalah teras kepada pembentukan generasi pertama Islam yang menjadikan mereka pemimpin dunia, kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.
“Mereka bangkit dari satu tahap kehidupan yang amat rendah kepada satu pasukan yang memiliki keupayaan luarbiasa untuk mengurus dunia global apabila mereka hidup bersama al-Quran”, kata beliau yang juga Exco kerajaan Kelantan.
Kerana itu beliau menyeru anak-anak muda untuk mengambil kesempatan di sepanjang Ramadan untuk merapatkan “persahabatan” dengan al-Quran.
“Kitab agung ini (al-Quran) akan menjadikan martabat seseorang akan terus meningkat jika mendekatinya,” ujar beliau.
Jika sesiapa yang boleh membaca al-Quran dengan baik sahaja sudah dianggap begitu mulia, beliau menambah tentulah mereka yang memahami isinya, mengajar orang lain dan beramal dengan ajarannya akan bertambah-tambah tingkat keupayaan mereka.
Husam berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian program tadarus perdana anak muda tamu Ramadan di Qaryah Ramadan Isnin.
Tadarus anjuran kerajaan negeri itu dijangka akan disertai lebih 10 ribu peserta yang terdiri dari kalangan belia dan remaja.
Lokasi-lokasi program ini diadakan di seluruh negeri bertempat di masjid, pondok, sekolah kelolaan YIK, sekolah agama swasta dan beberapa agensi terpilih.
Kemuncak program ialah majlis khatam yang akan menghimpunkan semua peserta tadarus pada penghujung Ramadan.
“Pihak kerajaan yakin anak-anak muda Kelantan yang telah dididik untuk sentiasa bersama al-Quran tidak akan melepaskan peluang keemasan ini bagi menambahkan keupayaan masing-masing,” kata Husam.
Berserta program ini kata beliau pellbagai acara iringan akan diadakan bagi membolehkan para peserta dan orang ramai merasa al-Quran boleh didekati dengan pelbagai cara dan satu bahan yang boleh diguna dalam menghadapi pelbagai situasi.
Harakahdaily/-
Ulasan :
Ucapan Tuan Guru sentiasa mengetuk jiwa dengan bahasa yang mudah namun terkandung pengertian yang mendalam dan mudah difahami oleh semua pihak.
Semuga kelompok manusia yang terlalu gemar mengambil maklumat dari dokumen yang jauh perbezaan tentang kebenarannya akan melakukan tindakan yang positif dengan insaf dan kembali kepada Al Quran sebagai rujukan yang utama.