3  Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR, 25 Feb: Ketua Dewan Ulamak  PAS Pusat, Datuk Harun Taib (gambar) menegaskan sumpah taat setia atau  bai'ah yang diamalkan parti itu adalah selari dengan ajaran Islam kerana  pelaksanaannya tidak bertentangan dengan syariat dan hukum syarak.
 Beliau  berkata, amalan berbai'ah dalam PAS juga dilaksanakan berdasarkan  kepada al-Quran dan hadis dan berteraskan ketaatan kepada Islam dan  kesetiaan kepada pemimpin yang memperjuangkan Islam.
 Menurut  beliau lagi, perkara ini dapat dilihat melalui firman Allah s.w.t  sepertimana yang terkandung dalam Al-Quran, aantaranya ialah sepertimana  yang terkandung di dalam Surah Al-Fath.
 Beliau  berkata demikian sebagai merujuk kepada ayat 10 dan 18 daripada surah  tersebut yang menceritakan tentang bai'ah dan akibat sekiranya tidak  melaksanakan bai'ah.
 Maksud  ayat yang ke 10 daripada surah Al-Fath:"Sesungguhnya orang-orang yang  memberi pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad, untuk berjuang  menentang musuh), mereka hanyasanya memberikan pengakuan taat setia  kepada Allah; Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu  (untuk membalasnya). Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji  setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya dan  sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah,  maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar".
 Manakala  ayat 18 surah yang sama pula bermaksud: “Demi sesungguhnya! Allah reda  akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat  setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum  di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya  tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu  Dia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka dan membalas  mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya”.
 Menurut  beliau lagi, para sahabat juga turut berbai'ah kepada Rasulullah  sepertimana yang tercatat dalam hadis nabi serta diriwayatkan dalam  sirah nabawiyyah.
 Justeru  itu, jelasnya yang juga Adun Manir, Terengganu apa yang dilakukan oleh  PAS dalam isu ba'iah adalah selari dengan tuntutan Islam dalam usaha  untuk menegakkan agama Allah s.w.t di atas muka bumi ini.(HD)
