
24 Ramadhan 1433H. [MOD] -
KOTA
 BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta 
mana-mana pemimpin DAP yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan negara 
Islam termasuk hukum hudud supaya tidak mengeluarkan perkataan ‘cacian’.
Nik
 Aziz bagaimanapun  berkata, beliau boleh menerima tindakan Pengerusi 
DAP Karpal Singh yang menentang pelaksanaan hudud kerana ia secara tidak
 langsung  memberi kefahaman kepada orang ramai khususnya masyarakat 
bukan Islam.
“Saya
 setuju, biar (Karpal) bising, dari bising itulah orang akan faham, 
tetapi jangan sampai  mencaci,” katanya ketika ditemui di pejabatnya 
hari ini.
Beliau
 berkata demikian ketika ditanya kenyataan Karpal yang berterusan 
mempersoalkan pemimpin Pas yang mahu melaksanakan hudud di negara ini 
dengan alasan ia tidak termaktub dalam perlembagaan negara.
Nik
 Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, pelaksanaan hukuman 
hudud memberi kesan langsung kepada masyarakat berbanding pelaksanaan 
hukuman yang dipraktikkan sekarang.
“Mengikut
 undang-undang sekarang, jika kes dadah, pesalah dikenakan hukuman 
gantung sampai mati tetapi jika hudud mereka dikenakan potong tangan.
“Jika
 gantung mereka hanya dibawa ke kubur tetapi jika potong tangan seluruh 
manusia akan mengambil pengajaran dan tidak melakukan perkara yang boleh
 merosakkan diri,” katanya.
Ditanya,
 tindakan Karpal menjejaskan Pas menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 
(PRU13), Nik Aziz berkata, orang ramai harus memikirkan siapa yang 
menolak sebenarnya menolak hukuman hudud.
“ Jika kita tidak undi DAP kerana tolak hudud, macam mana dengan Umno yang juga menolak pelaksanaan hukuman itu,” katanya.
sinar harian/-
