
24 Ramadhan 1433H. [MOD] -
SHAH
 ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membuat keputusan menolak 
saman yang dibuat oleh Umno Selangor berhubung penerbitan satu artikel 
dalam akhbar Harakah yang didakwa memfitnah parti itu.
Hakim
 Datuk Ahmad Zaki Husin membuat keputusan tersebut setelah meneliti 
peruntukan yang terkandung di dalam Seksyen 9C Akta Pertubuhan.
Jabatan
 Pendaftaran Pertubuhan Malaysia yang mengatakan, hanya penama yang 
dimasukkan dalam daftar pertubuhan sahaja berhak menyaman atau disaman 
oleh mana-mana pihak terhadap pertubuhan berkenaan.
Mengikut
 rekod Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Datuk Abdul Rauf Jusof, 
Setiausaha Kerja Umno Pusat iaitu penjawat awam Umno
adalah penama yang berdaftar sebagai pendaftar pertubuhan dan hanya beliau yang berhak membuat pendakwaan.
Hakim juga turut memutuskan kedua-dua pihak menanggung kos masing-masing.
Plantif
 iaitu Setiausaha Pehubungan Umno Negeri Selangor, Datuk Seri Mohd Zin 
Mohamed menamakan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, pencetak 
akhbar Harakah, Angkatan Edaran Ent Sdn Bhd, penyunting akhbar tersebut 
Ahmad Lutfi Othman dan wartawannya, Khairul Azlam Mohamad sebagai 
defendan.
Mustafa yang ditemui di lobi mahkamah menyatakan kes saman telah selesai dan ia berlangsung dalam masa yang singkat.
"Terima kasih kepada barisan peguam yang mengendalikan kes ini dan apa yang kita ketahui tadi ia telah selesai dengan baik.
"Hakim telah menolak permohonan dari Umno terhadap tindakan saman itu, syukur segalanya telah selesai," jelasnya.
Peguam
 yang mewakil defendan adalah Asmuni Awi, Zulhazmi Shariff dan Dr 
Dzulkarnain Lukman manakala plantif pula diwakili Datuk Mohd Hafarizam 
Harun.
Turut hadir di mahkamah hari ini adalah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.
Dalam
 saman itu, Mohd Zin menuntut semua defendan membayar ganti rugi RM10 
juta termasuk ganti rugi keterlaluan atau teladan untuk libel dan faedah
 empat peratus setahun.
Saman
 tersebut dibuat berhubung serbuan Jabatan  Agama Islam Selangor (Jais) 
ke atas Gereja Methodist Damansara Utama, pada 3 Ogos lalu.
harakahdaily/-
