
18 Syawal 1433H. [MOD] -
Merujuk
 kepada laporan yang dikeluarkan agensi penarafan kredit Standard & 
Poor’s (S&P) bertarikh 5 September terhadap kedudukan penarafan 
kredit dan kewangan negara, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menggesa 
pihak kerajaan Malaysia mengambil langkah segera untuk memastikan 
khazanah wang rakyat diurus secara lebih berhemah, demi kelangsungan 
daya saing dan daya tahan negara.
 
Kerisauan
 terhadap kadar defisit fiskal dan hutang negara yang tinggi, hasil 
daripada perbelanjaan kerajaan yang tidak berhemah menjadi alasan utama 
laporan tersebut yang memberikan amaran risiko penurunan penarafan 
kredit dan kewangan Malaysia.
 
Laporan
 S&P ini dilihat senada dengan sebuah laporan yang dikeluarkan oleh 
agensi penarafan kredit antarabangsa terkemuka yang lain, antaranya 
agensi Fitch Ratings yang turut menzahirkan kebimbangan yang sama 
terhadap kedudukan kewangan Malaysia dalam senario ekonomi global dan 
serantau yang tidak menentu.
 
Pemuda
 PAS berpendapat, jika rakyat ditegur untuk membuang tabiat gemar 
berhutang dan berbelanja melebihi pendapatan, seruan yang sama adalah 
lebih wajib kepada pihak kerajaan supaya tabiat buruk ini diberhentikan.
 
Tindakan
 berhutang untuk menampung perbelanjaan kerajaan dilihat umpama tabiat 
yang sukar dihakis apabila Laporan Perbendahaan Persekutuan mencatatkan 
hutang kerajaan persekutuan meningkat 70%  dalam tempoh 5 tahun, 
daripada RM247 bilion pada tahun 2007 kepada RM421 bilion pada tahun 
2011, berbanding pendapatan negara yang meningkat sebanyak 30% daripada 
RM140 bilion kepada RM183 bilion bagi tahun yang sama.
 
Pemuda
 PAS mendesak kerajaan Malaysia memberikan perhatian serius terhadap 
aspek perbelanjaan kerajaan dan beban defisit fiskal selama 14 tahun 
berturut-turut ini, natijah daripada sikap kerajaan yang berbelanja 
melebihi pendapatan sejak tahun 1998, malah rekod defisit yang sama 
turut diunjurkan bagi tahun 2012 dan 2013.
 
Apa
 yang lebih membimbangkan, kadar hutang negara yang kian meruncing di 
paras 52% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir tahun 
2011 diunjurkan terus meningkat ke paras kritikal 55% jika tidak 
dibendung secara drastik dan holistik.
 
Pemuda
 PAS berpendapat, kerajaan perlu memberikan perhatian terhadap aspek 
dayatahan ekonomi negara (economic resilience) secara komprehensif, 
bukannya pemberian populis sementara (one-off contribution) yang tidak 
mampu mengeluarkan rakyat daripada belenggu bebanan sara hidup yang kian
 menghimpit.
 
Pemuda
 PAS menyarankan agar kerajaan Malaysia meneroka sumber pendapatan yang 
baru agar tidak terus bergantung kepada hasil petroleum, mengkaji 
mekanisma agihan subsidi dan bantuan kebajikan yang lebih efektif, 
penyusunan semula agihan peruntukan kepada sektor produktif khususnya 
pendidikan dan perubatan, serta pelaksanaan sistem tender yang telus 
untuk menghentikan ketirisan wang rakyat.
 
Malah,
 Pemuda PAS sekali lagi mengulang saranan yang sama agar jawatan Menteri
 Kewangan tidak lagi dipegang oleh Perdana Menteri untuk mewujudkan 
fungsi ‘semak dan timbang’ (check and balance) kerana mengikut rekod, 
Malaysia menanggung defisit fiskal yang berterusan sejak 1998 di bawah 
pentadbiran Tun Dr Mahathir, diteruskan oleh Tun Abdullah dan dikekalkan
 oleh Perdana Menteri sekarang.
 
Justeru,
 sebelum Bajet 2013 dibentangkan, Pemuda PAS mengajak seluruh rakyat 
menilai kejayaan  Bajet 2012 dengan memberikan pertanyaan berikut, 
“Adakah peruntukan Bajet 2012 ditepati? Adakah matlamat Bajet 2012 
dicapai?” dan yang lebih penting, “Adakah Bajet 2013 membawa masa depan 
yang sejahtera kepada anak cucu kita?” Selamatkan Malaysia!
 
Penulis ialah Pengarah Institut Polisi Studi Dewan Pemuda PAS Malaysia.
