Kemajuan Untuk Semua Bangsa Tanpa Mengira Warna Kulit atau Bangsa di bawah Agama Islam

Instagram

Instagram

Suara Ketenangan

Revolution Ads

Revolusi



11 Jamadilawal 1432H. [MOD] -


LIMBANG, 15 April: Bukan sekadar memorandum mereka tidak diterima bahkan pegawai yang menyertai rombongan Perdana Menteri di Pasar Tamu Limbang petang semalam telah mengoyak memorandum itu.

Inilah nasib rakyat yang cuba mendapatkan pertolongan Perdana Menteri sendiri bagi menyelesaikan masalah mereka sesuai dengan slogan "Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan”

(Gambar: Keadaan kelam kabut apabila rombongan Najib enggan membenarkan penduduk Limbang dan DAP menyerahkan memo.)

Menurut Adun Pasir Pinji, Thomas Su, penduduk di sini bersama dengan DAP telah menunggug ketibaan rombongan PM untuk menyampaikan dua memorandum iaitu “Membekal Doktor Pakar dan Menaiktaraf Peralatan Perubatan di Hospital Limbang” dan satu lagi adalah mengenai “Membekal elektrik dan Air Bersih Serta melantik seorang Ketua Rumah Bagi Kampung Merasam Barat Limbang”.

"Kami menunggu ketibaan Datuk Sri Najib dan akhirnya beliau sampai di Pasar Tamu Limbang pada pukul 6 petang.

"Apabila beliau keluar dari kereta, beliau menuju ke arah lain dan enggan menerima memorandum kami walaupun hanya beberapa meter jauh daripada calon DAP di sini Leong Kwang Yew.

"Semasa Leong Kwang Yew dan Adun Selangor Jenice Lee cuba mendekati Perdana Menteri, rombongan BN pula menolak dan menghalang kedua-dua mereka secara kasar.

"Memorandum yang dipegang oleh Leong Kwang Yew telah dirampas dan dikoyak oleh rombongan Perdana Menteri, pembuatan begini seolah-olahnya telah menghancurkan hasrat rakyat Limbang yang ingin menyuarakan masalah mereka," cerita Thomas Su (gambar) dalam kenyataan medianya hari ini.

Menurut beliau, jika Perdana Menteri terus menbenarkan rombongan beliau menolak dan mengoyakkan memorandum dengan sikap begitu kasar dan kurang ajar, ini membuktikan “Satu Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan” yang dicanang oleh BN dan Perdana Menteri adalah satu pembohongan sahaja!

Beliau sangat kecewa dan menyesal dengan sikap PM dan rombongannya dengan kejadian yang berlaku di Pasar Tamu Limbang petang semalam.

H/daily

at 4/15/2011 07:53:00 PM Posted by Unknown 0 Comments



11 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



DENGAN apa yang ada di Sarawak sekarang Pakatan Rakyat memerlukan satu bilion saja lagi menjadikan bumi Kenyalang itu sebagai negeri maju.

Tetapi Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin mengira perbelanjaan sebesar itu kecil. Ia memerlukan berbilion-bilion bagi merialisasikannya.

Perkara yang pertama yang perlu diperhatikan oleh rakyat Sarawak ialah peruntukan yang secukupnya yang seminima mungkin yang diperlukan bagi menjadikan Sarawak negeri maju.

Peruntukan itu mestilah sesuai dengan pelan kemajuan yang dirancang.

Jika rakyat Sarawak menjadi penal meluluskan tender suatu bangunan atau projek atau hendak membeli sesuatu jentera, yang menjadi pertimbangannya ialah siapakah yang boleh menawarkan harga yang paling murah?

Dan apabila kerajaan hendak melelong hartanya, yang diperhatikannya ialah pembida yang dapat menawarkan harga paling tinggi.

Rakyat Sarawak seluruhnya bersetuju bahawa sesiapa yang hendak mentadbir Sarawak mestilah bersedia menjadikan Sarawak negeri yang maju. Seboleh-bolehnya kalau tidak melebihi Selangor, biarlah ia tidak kurang dari Selangor.

Pakatan Rakyat telah memberikan jawapan. Ia boleh menjadikannya negeri maju dengan peruntukan yang sederhana yang dianggarkan satu bilion. Kalau ia tidak cukup tambahan diperlukan tetapi tidak sampai sekali ganda. Tetapi tidak mustahil dengan perbelanjaan dan pelan berhemah, peruntukan satu bilion boleh dikurangkan.

Bagaimana pun Barisan Nasional mengikut Muhyiddin tidak sanggup memenuhinya dengan peruntukan sebesar itu. Ia mahu lebih besar. Lebih besar itu bukan sekadar sekali ganda dari yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat, bahkan berkali-kali ganda.

Bagi Muhyiddin dengan peruntukan besar yang disediakan, pun kerajaan BN terasa payah bagi menyiapkannya, maka apa lagilah jika peruntukan yang dikira kecil seperti yang disanggupi oleh Pakatan Rakyat.

Muhyiddin yang bercakap begitu mungkin kerana pengalamannya yang lama sebagai Menteri Besar Johor, sebagai menteri di beberapa kementerian dan terakhirnya sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Tetapi di belakang Pakatan Rakyat yang membuat peruntukan sekadar satu bilion itu adalah juga orang berpengalaman iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dia bukan sekadar pernah menjadi Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Timbalan Perdana Menteri sebelum Muhyiddin, tetapi lebih dari itu dia penah menjadi Menteri Kewangan di bawah Perdana Menteri Dr. Mahathir.

Bukan sekali dua dia membentangkan belanjawan negara, bahkan berkali-kali. Bukan sekadar peruntukan yang diperlukan Sarawak pernah dicadangkannya bahkan peruntukan bagi negara yang lebih besar.

Dia adalah menteri kewangan ketika Selangor merancang dan bersedia menjadi negeri maju. Tahulah dia apa yang diperlukan oleh Selangor dan apa yang boleh diberikan bagi menjadi negeri maju itu.

Dia menjadi menteri kewangan dalam sebuah negara tidak tahu berjimat, rasuah yang menjadi-jadi di sekelilingnya. Dan semua tahu dia diberi tanggungjawab sebagai pengerusi kabinet bagi anti penyelewengan. Maka tentulah dia tahu semua penyelewengan yang berlaku.

Dia dikeluarkan dari kerajaan dan Umno bukan kerana ada masalah dan kelemahan urusan ekonomi dan kewangan, tetapi kerana dia tidak berapa senonok dengan perjalanan Perwaja, perancangan Bakun dan lain-lain projek mega.

Mahathir tidak sebut dia dipecat kerana sebab ekonomi tetapi atas alasan kononnya tidak bermoral.

Semua tahu semasa dia dalam kerajaan, dia adalah orang yang sangat anti rasuah dan penyelewengan. Dia tahu ke mana banyaknya belanja yang digunakan oleh kerajaan dalam setiap peruntukan. Semua tahu bahawa sebahagian besar dari peruntukan setiap projek pergi kepada rasuah dan pembaziran.

Apabila Pakatan Rakyat mencadangkan angaran satu bilion bagi menjadi Sarawak negeri maju, maka ia tidak termasuk rasuah, pembaziran, penyelewengan peruntukan dan sebagainya.

Ada pun peruntukan belasan dan puluhan bilion yang diperlukan Muhyiddin bagi perancangan kemajuan yang sama termasuklah belanja rasuah dalam berbagai-bagai cara dan penggunaan duit ikut suka hati.

Dan siapa yang tidak tahu bahawa kerajaan BN yang berkuasa tahun 1955 bergelumang dengan rasuah dan penyelewengan?

Satu bilion yang Pakatan perlukan, bukan saja bersih rasuah dan penyelewengan, tetapi ia dibelanjakan secara berjimat, behemat dan cermat.

M/kini

at 4/15/2011 07:52:00 PM Posted by Unknown 0 Comments



11 Jamadilawal 1432H. [MOD] -


KUALA LUMPUR, 15 April: Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad menyifatkan, kenyataan yang dikeluarkan oleh Prof Datuk Dr Ramlah Adam, dari Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjatuhkan taraf ahli akademik.

Beliau melahirkan kesal dengan kenyataan Ramlah yang memberi amaran kepada belia supaya jangan menukar kerajaan yang sedia ada.


Ramlah (gambar) berpesan supaya tidak terperangkap dengan rancangan pihak tertentu yang bercita-cita untuk menghancurkan sistem pemerintahan yang sudah menabur bakti sejak 54 tahun lalu.

Kenyataan ini dinyatakan ketika beliau berucap di forum Perpaduan Negara Melalui Komunikasi dan Media di UiTM, Shah Alam.

Kenyataan ini, kata Idris yang juga bekas pensyarah UiTM, tidak layak keluar daripada seorang pensyarah Pentadbiran Awam yang mengajar pelajar-pelajar mengenai polisi pentadbiran awam dan sistem demokrasi yang membenarkan rakyat membuat pilihan setiap kali pilihanraya.

"Apakah beliau buta sejarah demokrasi negara maju seperti Jepun dan United Kingdom yang bertukar kerajaan dan pemerintahan tetapi terus maju? Apakah kerajaan selain daripada BN bukan sejenis manusia?

"Apakah beliau tidak mengetahui Parti Demokratik Jepun (DPJ) menumpaskan Parti Demokratik Liberal (LDP) yang memerintah Jepun semenjak penubuhannya pada tahun 1955.

"Apakah Dr Ramlah Adam membayangkan United Kingdom sekarang sudah kembali kepada zaman batu sejak Parti Konservatif mengalahkan Parti Buruh pada 6 Mei 2010?

"Apakah beliau seorang yang buta maklumat mengenai pencapaian negeri-negeri Pakatan Rakyat, walaupun baru berusia tiga tahun berbanding dengan BN memerintah selama 54 tahun.


"Janganlah kerana tebalnya Umno dalam lubuk hatiinya sehingga sudah tidak nampak kebenaran.." kata Idris (gambar) dalam kenyataannya.

PAS juga, katanya, menasihat kepada Dr Ramlah Adam jangan menjatuhkan taraf seorang ahli akademik.

"Jikalau bercakap begitu lebih baik jadi Ketua Wanita Umno Cawangan Seksyen 2 Shah Alam sahaja, bukan seorang ahli akademik. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga," katanya.

H/daily

at 4/15/2011 07:52:00 PM Posted by Unknown 0 Comments



11 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 15 April: Pengasas laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin, yang muncul dalam TV3 sejak beberapa hari ini tampil menjelaskan bahawa beliau adalah konsisten selama ini dan berkata video TV3 dirakam dua bulan lalu.

Dalam satu wawancara dengan akhbar milik Umno, New Straits Times, Petra sekali lagi menafikan bahawa beliau telah menarik balik tuduhannya selama ini.

Beliau hanya telah membuat pengakuan bersumpah supaya pihak berkuasa akan bersungguh-sungguh melakukan penyiasatan terhadap dakwaan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor terlibat dalam pembunuhan Altantuya Shariibuu pada 2006.

Media pro Umno menyiarkan berita sensasi kebelakangan ini akibat satu wawancara beliau yang disiarkan TV3 yang menggambarkan beliau seolah-olah telah membuat ‘pusingan U’ terhadap tuduhan bahawa perdana menteri terlibat dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.


“Apa yang saya kata ialah pemberi maklumat telah memberitahu saya terhadap perkara tersebut,” kata Petra ketika ditanya. “Jadi, sudahkah anda membaca SD (pengakuan bersumpah) saya? Saya rasa tidak, sebab banyak komentar berbuat demikian tanpa membacanya,” beliau menambah.

Sambil mengatakan bahawa beliau tiada mood untuk menjelaskan ‘spin’ media tradisional itu, Petra, 61 berkata sekarang sudah tiba masanya untuk beliau hendak mendapat kembali haknya terhadap orang yang menipu tentang dirinya.

“Kerja mereka hanya untuk menghentam saya, dan itu yang mereka tengah lakukan. Sekarang, selepas tiga tahun dihentam, saya menghentam balik. Ini bukan hak saya ke?” tanya beliau.

Wawancara 2 bulan yang lalu

Mengenai wawancara di TV3 yang disiarkan dua hari yang lepas secara berturut-turut, Petra berkata rakaman itu telah dibuat dua bulan yang lepas, dan menafikan dakwaan bahawa wawancara itu dibuat untuk membantu Barisan Nasional di pilihan raya Sarawak.

“Dua bulan yang lepas, tiada kata putus mengenai bila pilihanraya Sarawak akan diadakan. Jadi bila saya patut memberikan wawancara? Selepas pilihanraya Sarawak? Jadi, selepas pilihanraya Sarawak, orang akan tanya mengapa sekarang, sebelum pilihanraya umum ke 13?

"Jadi, saya tunggu selepas pilihanraya umum ke 13, and orang akan terus bertanya, mengapa sekarang, sebelum pilihanraya kecil? Jadi, bila saya patut buat wawancara ini? Selepas Malaysia membasmi pilihanraya?” bidas Petra secara sinis.

Menjawab satu persoalan samada beliau boleh memberikan bukti bahawa Najib terlibat dalam pembunuhan Altantuya, Petra membalas dengan memberikan sejarah ‘keadilan’ di mahkamah Malaysia di mana testimoni sudah cukup untuk mensabitkan kesalahan pada seseorang terhadap satu jenayah yang serius.

“Apa yang anda maksudkan dengan bukti? Bukti video yang mereka tengah bertuala dalam bilik hotel?” kata Petra secara jelas merujuk kepada video klip seks yang diedarkan beberapa pemimpin Umno yang mengaitkan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dalam skandal seks.

“Terangkan apa itu bukti. Anwar disabitkan kesalahan dan dipenjarakan 15 tahun pada 1999 hanya berdasarkan testimoni. Testimoni ialah bukti dan cukup untuk memenjarakan Anwar 15 tahun. Testimoni saya lebih hebat. Ia dalam bentuk pengakuan bersumpah,” kata Petra, yang dahulunya mengetahui kempen ‘Selamatkan Anwar’ dalam mendapat tekanan antarabangsa terhadap kerajaan untuk melepaskan Anwar daripada penjara.

Isu khalwat Najib

Mengenai dakwaan bahawa beliau telah ‘berubah’ kerana ingin kembali ke Malaysia, Petra membidas dalam keadaan yang marah dan mengingatkan wartawan NST itu kepada kejadian pada 1990an di Port Dickson, di mana Najib dikatakan telah ditangkap khalwat oleh jabatan agama di sebuah hotel, tapi dilepaskan tanpa pembicaraan syariah.

“Adakah anda hendak bertanya kepada Najib terhadap isu ini? Siapa kisah terhadap apa yang orang kata di bawah? Jikalau kerajaan Malaysia kata saya boleh kembali ke Malaysia, saya akan suruh kerajaan pergi mampus kerana saya cinta negara kelahiran saya, apa yang anda nak kata nanti?” kata Petra, yang dilahirkan di Surrey, UK.

Petra juga berkata dakwaan-dakwaan terhadapnya bukanlah baru, malahan beliau menambah beliau pernah dituduh murtad kerana pergi ke gereja setiap Ahad dan beliau dan isterinya telah meninggalkan Islam dan menjadi penganut Katolik.

Sementara itu, menjawab soalan bersiri daripada The Straits Times Singapura yang meliputi isu masa wawancara yang bertembung dengan pilihanraya negeri Sarawak dan dakwaan samada beliau tengah me’nuetralisasikan’ kesangsian terhadap penglibatan Najib dalam pembunuhan, Petra membidas bahawa ia adalah kelakar untuk menganggap bahawa wawancara beliau dan video seks yang ditujukan pada Anwar akan memberikan kesan terhadap keputusan pilihanraya Sarawak.

“Jika anda beranggapan demikian, maka anda patut meminta untuk ditukar ke meja servis makanan sebab anda masih jauh ketinggalan dalam memahami politik,” jawab beliau kepada wakil Malaysia akhbar tersebut, Hazlin Hassan.

Tindakan terhadap Kol Azmi

Sementara itu, akhbar Umno, Utusan Online melaporkan, seorang pegawai perisikan tentera, Leftenan Kolonel Azmi Zainal Abidin, bakal berdepan tindakan tegas di bawah Akta Angkatan Tentera jika terbukti beliau membuat kenyataan palsu bagi tujuan memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, siasatan serta merta sudah dijalankan terhadap Azmi Zainal sebaik sahaja pengendali laman web antikerajaan, Raja Petra Kamaruddin mendedahkan pembabitan pegawai tentera itu dalam usaha terancang bagi menyekat Najib daripada menjadi Perdana Menteri.

Katanya, berkuat kuasa serta merta juga, Azmi Zainal tidak lagi bertugas di Kor Risik sebaliknya, ditukarkan ke bahagian pentadbiran, di Wisma Kementerian Pertahanan.

H/daily

at 4/15/2011 07:51:00 PM Posted by Unknown 0 Comments



11 Jamadilawal 1432H. [MOD] -


KUALA LUMPUR, Apr 15: Rakyat bukan terkejut dengan kenyataan Raja Petra Kamaruddin, tapi terkejut bagaimana TV3 dan Perdana Menteri Najib Razak sanggup mengambil kata-kata seorang yang diisu waran tangkap sehingga kini masih menjadi buruan polis sebagai muktamad.

Begitulah reaksi Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ekoran media tradisional Barisan Nasional yang hangat mempermainkan dan memutarkan kenyataan Raja Petra yang di wawancara bersama TV3 untuk mengalihkan pandangan rakyat terhadap pilihanraya negeri Sarawak, di mana Barisan Nasional kini amat tertekan untuk mempertahankan dua pertiga majoriti DUN Sarawak.

Dalam tulisan terbarunya, Raja Petra menegaskan bahawa beliau hanya menerangkan apa yang didakwanya selama ini seperti mana yang tertera di dalam pengakuan bersumpah beliau, di mana beliau diberitahu secara yakin oleh beberapa individu bahawa Najib dan isterinya Rosmah Mansor terlibat dalam pembunuhan ngeri Altantuya pada tahun 2006 dan menyeru pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan tersebut.

Namun, TV3 melaporkan seolah-olah Raja Petra, seorang yang masih diburu polis sehingga kini telah membersihkan nama Najib dan Rosmah daripada kemelut Altantuya.

Turut melucukan, kenyataannya disambut baik oleh Najib, sebagai ayat sakti dalam membersihkan namanya tanpa menghiraukan bahawa Raja Petra kini masih tengah berperang media dengan Deepak Jaikishan.

Deepak pula adalah kenalan rapat Rosmah yang didakwa beliau membantu perisik P Balasubaraniam keluar dari negara selepas membuat pengakuan bersumpah bahawa Najib mempunyai hubungan fizikal dengan Altantuya sebelum menafikannya.

“Raja Petra yang diburu polis beberapa waktu dan waran tangkapnya masih sah, kini tiba-tiba menjadi hero sehingga PM dan FLOM (Wanita Pertama Malaysia, Rosmah) pun rasa bersih, lebih bersih daripada baru macam iklan sabun.

"Dengan hanya satu kenyataan saja dah jadi bersih, dengan sesudu sabun sahaja dah jadi macam baru,” sindir Tuan Ibrahim. (gambar)

Tambah Tuan Ibrahim, sekarang mungkin Raja Petra sudah boleh kembali dengan negara, dan rakyat tidak perlu terkejut jika kerajaan menyambutnya dengan karpet merah atas jasa besarnya kononnya telah membersihkan nama Perdana Menteri.

Cuma apa yang dibimbangi, kata Tuan Ibrahim, segala kekotoran yang asal terpalit pada Najib dan Rosmah kini mungkin akan memaluti Raja Petra ekoran wawancaranya bersama TV3.

“Sudah ada rakyat yang mula tengok beliau sebagai seorang yang kotor dan jijik ekoran wawancara itu. Soalnya, siapa yang akan bersihkannya selepas ini?” kata Tuan Ibrahim sambil menambah mungkin media tradisional BN akan digunakan sepenuhnya untuk “membersihkan” nama Raja Petra.

H/daily

at 4/15/2011 07:50:00 PM Posted by Unknown 0 Comments



11 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

Bagi pertama kalinya, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Polis sejak dari awal proses pilihan raya negeri Sarawak sudah mengumumkan mengenai wujudnya Kerusi Panas. Ia dimaksudkan kepada kedudukan kerusi-kerusi yang berkaitan rapat dengan potensi persaingan sengit dan ketegangan isu kempen dimainkan antara parti-parti atau calon bertanding. Di samping kawasan itu juga ditandai warna merah yang menjelaskan keadaan lebih kritikal yang berkemungkinan besar pihak Barisan Nasional bakal kalah ditangan Pakatan Rakyat.

Jangkaan sebelum realiti

Menurut Malaysiakini (14 April 11) yang memetik sumber Umno berkata ada 28 kerusi panas yang melibatkan 19 kerusi dianggap bakal dimenangi Pakatan Rakyat. Sementara sembilan Dun lagi bakal menjadi medan perebutan yang belum pasti.

Sejumlah 19 kerusi panas itu, 15 kerusi adalah ditandingi SUPP, iaitu lima di Kuching, tiga di Sibu, tiga di Miri, dua di Sarikei, dan masing-masing satu di Sri Aman dan Bintulu. Sementara empat kerusi lagi ialah masing-masingnya tiga PBB dan satu SPDP. Jika ini berlaku bermakna, Pakatan Rakyat akan dapat memenangi setidak-tidaknya 19 hingga 28 Dun dan sekaligus memungkinkan upaya Pakatan Rakyat menafikan kuasa mutlak dua pertiga.

Sekiranya matlamat untuk menafikan kuasa dua pertiga, iaitu memenangi 24 kerusi, rasanya Pakatan Rakyat tidak mempunyai halangan besar. Ini kerana kesemua kerusi itu terletak di kawasan majoriti Cina dan Iban, kecuali tiga Dun ditandingi PBB merupakan Dun Melayu/ Melanau (Seribas, Beting Maro dan Lingga). Di Dun Panas itu juga berlakunya putaran ligat isu penolakan terhadap Tan Sri Abdul Taib Mahmud dari kuasa ketua menteri. Ia seperti mana dijelmakan oleh laras bahasa kempen DAP yang mengingatkan pengundi bahawa “vote SUPP = vote Taib” sehingga memaksa pihak Barisan Nasional memutar isu tersebut menggunakan pendekatan reverse psi-war dengan mengajak pengundi Cina mengundi Barisan Nasional demi mengekalkan keamanan dan kesejahteraan, kemakmuran dan kesederhanaan.

Apa pun semua laras bahasa kempen pihak Barisan Nasional sudah dilihat kaku dan tidak bermaya berikutan banyak isu-isu yang terdedah sudah membongkarkan kekayaan Abdul Taib, anak-anak, menantu dan kroninya menerusi pelbagai projek ekonomi dan kewangan.

Menurut Bridget Welsh (Malaysiakini 12 April 2011) isu-isu berkaitan Abdul Taib itu telah perlekatkan dengan kekangan ekonomi semasa, peningkatan perbelanjaan sara hidup, gaji yang murah diikuti dengan pembolotan kekayaan oleh elit politik kroni Barisan Nasional dan elit politik dari Semenanjung Malaysia yang seida mengaut hak rakyat Sarawak. Ia bakal mencetus suatu gelombang kebangkitan rakyat Sarawak seumpama dengan tsunami politik
pada pilihan raya umum 2008.

Hal ini ada benarnya berasaskan kepada kajian persepsi oleh Zentrum Future dan maklumat Malaysiakini daripada ‘dalaman Umno’ yang menyimpulkan pihak Barisan Nasional Sarawak tidak lagi kalah lapan Dun, sebaliknya akan hilang kuasa dua pertiga.

Jadual berikut adalah ringkasan kedudukan jangkaan keputusan oleh dua entiti tersebut.

Jadual 1: Kajian persepsi semasa - Zentrum Future Studies

Berdasarkan jadual 1, Pakatan Rakyat dijangka berjaya meraih 31 kerusi dan parti oposisi lain, iaitu SNAP 12 kerusi dan Bebas 4. Ini bermakna Barisan Nasional bakal jatuh dari tampuk kuasa dengan hanya meraih 21 Dun. Maka dijangka tamatlah riwayat Abdul Taib sebagai Ketua Menteri paling lama. Justeru jangkaan Zentrum Future sudah tidak popular lagi buat Abdul Taib dan rakan sepasukannya.

Hal yang hampir sama ditunjukkan oleh Malaysiakini daripada maklumat ‘dalaman Umno’ (seperti mana dipetik Malaysiakini, 14 April 11) ) yang menilai prestasi kempen di Dun Sarawak. Jadual 2 berikut menunjukkan Barisan Nasional masih utuh di tampuk kuasa, meskipun masih kekal sebagai pihak berkuasa negeri.


Berpandukan jadual 2, kesemua parti Pakatan Rakyat dikatakan akan mencapai kemenangan di kerusi panas seperti yang dijelas di awal tadi. Namun, menurut sumber Umno (yang dipercayai bersumberkan maklumat perisikan yang sah), kemungkinan agak realistik, meskipun di sana masih muncul keghairahan kalangan pengundi Iban untuk berubah bersama-sama Pakatan Rakyat. Hal yang sama dijangkakan oleh salah seorang pensyarah sains politik Universiti Malaysia Sarawak (dalam Hornbill Unleassed 3 April 2011) yang meletakkan 29 kerusi persaingan sengit dan boleh dimenangi Pakatan Rakyat.

Apakah ini suatu realiti atau hanya sekadar jangkaan permainan analisis angka para pengkaji? Justeru itu, perkembangan kempen sehingga hari terakhir (15 April) di setiap 71 Dun boleh menjadi asas untuk menjangkakan kemenangan besar atau kecil . Ataukah ia bakal menyaksikan peralihan kuasa?

Perkembangan terakhir

Faktor Abdul Taib yang sudah berusia 74 tahun dan sudah berkuasa selama 30 tahun sebagai ketua menteri masih gagal diganti, ia sudah cukup menjadi simbol kontroversi di sebalik dominasi PBB mengetuai dominasi politik Sarawak.

Berdasarkan pandangan pengkaji politik, James Chin dari Monash University Malaysia, pihak Pakatan Rakyat dijangka memenangi sekitar 20 kerusi atas faktor pengundi yang tidak suka kepada Abdul Taib sahaja (belum diambil kira faktor lain). Asas tidak suka itu mungkin berkait rapat dengan angkara tuduhan rasuah berskala besar, amalan kroni dan penyuburan sekutu politik nepotisme.

Sebaliknya, hal tersebut turut menyuburkan sambutan rakyat kepada Pakatan Rakyat, meskipun pemimpinnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadikan sasaran kempen buli atas fitnah video seks dan liwat serta perpecahan dalaman parti KeADILan. Sekali-kali ia tidak menghalang sambutan luar biasa berlaku dalam kempen di Sibu, Miri dan Kuching serta Bintulu. Ia telah merekodkan poin hangat yang memungkinkan kesemua kerusi bandar dans sub-bandar akan menolak Barisan Nasional.

Jika itu benar, maka SUPP bakal terjelepak longlai seperti parti Gerakan, sementara PBB, SPDP dan PRS sedang tertekan dengan asakan isu pemilikan tanah adat dan kaitannya dengan penguasaan tanah tersebut oleh syarikat yang ada hubungannya dengan pemimpin politik parti-parti tersebut.

Atas faktor tersebut, nampaknya kesedaran muncul mendadak kalangan pengundi Iban, Bidayuh dan Orang Ulu serta suku bumiputra lain. Jika benar, gelombang rakyat Sarawak menolak Barisan Nasional pasti berlaku, maka gelombang pengundi di pedalaman itu memungkinkan Baru Bian boleh menang selesa di Ba’kelalan, diikuti dengan persaingan sengit di semua Dun pengundi Iban melebihi 3,000 orang. Apa pun hanya malam 16 April bakal menentukan semua jangkaan menjadi realiti untuk Sarawak, kemudian pilihan raya umum nasional ke-13.

H/daily


(Ustaz Abdul Hadi bersama pemimpin PAS Sarawak di samping calon PAS Beting Maro, Abang Mat [kanan sekali] di Pusa Hulu, Beting Maro)

BETING MARO, 13 April: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberi jaminan bahawa mana-mana Dun yang dimenangi oleh PAS dalam pilihanraya negeri (PRN) Sarawak akan dijadikan Dun angkat PAS pusat.

Jaminan itu dinyatakan beliau dalam satu ceramah di sini malam tadi.

"Yang mana, Dun tersebut akan dijadikan sebagai model yang akan memangkinkan kemasukan PAS ke Sarawak dan Sabah dengan lebih meluas lagi,"katanya.

(Gambar: Bukan guna helikopter tetapi hanya dengan sampan untuk bertemu pengundi)

Sementara itu, semalam beliau juga telah menghubungi menerusi telefon kesemua calon PAS yang bertanding di lima Dun di sini iaitu di Beting Maro, Sebuyau, Sadong Jaya, Muara Tuang dan Tanjung Datu.

Selain bertanyakan khabar kepada calon, beliau turut memberikan kata nasihat dan motivasi.

Antara lain, beliau menasihatkan agar calon meneruskan usaha mendekati rakyat dan tetap dalam perjuangan biarpun wujud usaha pihak tertentu menawarkan ganjaran agar calon menarik diri.

Sebelum ini, Wakil Calon PAS Tanjong Datu, Syed Abdul Rahman telah membuat laporan polis ekoran tindakan pihak-pihak tertentu memujuk calon PAS di itu, Hani Sahari menarik diri.

Yang amat dikesali adalah panggilan itu antaranya dari dari nombor telefon yang kemudiannya dikenalpasti dari Bukit Aman sendiri.

(Gambar: Ustaz hadi di sambut orang ramai setibanya di Pusa Hulu)

Kepada jentera pula, Ustaz Hadi menyeru agar mereka membantu calon dalam usaha bertemu seramai mungkin pengundi di kawasan Dun masing-masing.

Hari ini masuk hari ke lapan kempen pilihan raya di sini yang masih berbaki dua hari sebelum hari pembuangan undi 16 April ini.

Di fasa terakhir ini, parti-parti yang bertanding dilihat makin agresif menjalankan kempen mereka.

Hari ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib sendiri dijanga akan turun berkempen di Dun Sebuyau di mana PAS meletakkan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Hj Adam Ahid sebagai calon mereka menetang calon BN Julaihi Narawi.

Sementara itu, Abdul Hadi membuat rayuan khas kepada rakyat Sarawak menjelang hari mengundi 16 April ini. Berikut adalah rayuan beliau.

Rayuan Presiden PAS kepada rakyat Sarawak

Saya percaya bahawa sudah tiba masanya untuk seluruh pengundi di Sarawak, yang mengandungi berbagai resam budaya dan etnik, agama, untuk bersama dengan PAS dan Pakatan Rakyat bagi melakukan satu perubahan yang jelas dalam pilihan raya kali ini dengan satu mesej yang paling jelas, iaitu : Marilah Kita Berubah Dengan Menolak Barisan Nasional (BN) Dalam Pilihan Raya Kali Ini.

Cukuplah negeri Sarawak yang kaya dengan hasil bumi ini dipergunakan oleh BN selama puluhan tahun dengan meminggirkan rakyat sejak sekalian lama.

Janji dan rasuah politik oleh BN sepanjang tempoh pilihan raya ini akan terus diulang-ulang oleh pemimpin BN untuk mereka mengekalkan kuasa dan seterusnya mengumpulkan kekayaan untuk diri mereka sendiri.

Akhirnya nasib rakyat masih tidak berubah sejak puluhan tahun ini. PAS akan memastikan konsep Federalisma terus dipelihara, dan perpaduan kaum akan menjadi keutamaan di negeri Sarawak ini.

PAS merayu kepada pengundi di Sarawak untuk memilih calon dari PAS dan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kali ini. PAS akan memastikan wakil rakyat dari PAS nanti akan berkhidmat dengan penuh dedikasi kepada rakyat, membawa aduan dan suara rakyat ke Dewan Undangan Negeri Sarawak untuk melakukan sau perubahan bersama rakyat Sarawak.

Sekiranya menang di DUN Beting Maro, Sadong Jaya, Tanjung Datu, Muara Tuang dan Sebuyau dalam pilihanraya kali ini, PAS akan memastikan kawasan ini dibela dengan menjadikan DUN ini sebagai kawasan contoh di Malaysia, di mana seluruh petugas PAS akan menyumbang tenaga secara langsung di sini nanti.

Di sinilah nanti PAS akan menunjukkan contoh Keadilan Islam Untuk Semua Golongan di negeri Sarawak tanpa mengira anutan agama dan keturunan. Itulah sebenarnya wajah Islam yang ingin kami bawa.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS.

    Followers