11 Jamadilawal 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 15 April: Pengasas  laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin, yang muncul dalam TV3  sejak beberapa hari ini tampil menjelaskan bahawa beliau adalah  konsisten selama ini dan berkata video TV3 dirakam dua bulan lalu.
Dalam satu wawancara dengan  akhbar milik Umno, New Straits Times, Petra sekali lagi menafikan bahawa  beliau telah menarik balik tuduhannya selama ini.
Beliau hanya telah membuat  pengakuan bersumpah supaya pihak berkuasa akan bersungguh-sungguh  melakukan penyiasatan terhadap dakwaan bahawa Perdana Menteri, Datuk  Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor terlibat dalam  pembunuhan Altantuya Shariibuu pada 2006.
Media pro Umno menyiarkan berita  sensasi kebelakangan ini akibat satu wawancara beliau yang disiarkan  TV3 yang menggambarkan beliau seolah-olah telah membuat ‘pusingan U’  terhadap tuduhan bahawa perdana menteri terlibat dengan pembunuhan  Altantuya Shaariibuu.
“Apa yang saya kata ialah  pemberi maklumat telah memberitahu saya terhadap perkara tersebut,” kata  Petra ketika ditanya. “Jadi, sudahkah anda membaca SD (pengakuan  bersumpah) saya? Saya rasa tidak, sebab banyak komentar berbuat demikian  tanpa membacanya,” beliau menambah.
Sambil mengatakan bahawa beliau  tiada mood untuk menjelaskan ‘spin’ media tradisional itu, Petra, 61  berkata sekarang sudah tiba masanya untuk beliau hendak mendapat kembali  haknya terhadap orang yang menipu tentang dirinya.
“Kerja mereka hanya untuk  menghentam saya, dan itu yang mereka tengah lakukan. Sekarang, selepas  tiga tahun dihentam, saya menghentam balik. Ini bukan hak saya ke?”  tanya beliau.
Wawancara 2 bulan yang lalu
Mengenai wawancara di TV3 yang  disiarkan dua hari yang lepas secara berturut-turut, Petra berkata  rakaman itu telah dibuat dua bulan yang lepas, dan menafikan dakwaan  bahawa wawancara itu dibuat untuk membantu Barisan Nasional di pilihan  raya Sarawak.
“Dua bulan yang lepas, tiada  kata putus mengenai bila pilihanraya Sarawak akan diadakan. Jadi bila  saya patut memberikan wawancara? Selepas pilihanraya Sarawak? Jadi,  selepas pilihanraya Sarawak, orang akan tanya mengapa sekarang, sebelum  pilihanraya umum ke 13? 
"Jadi, saya tunggu selepas  pilihanraya umum ke 13, and orang akan terus bertanya, mengapa sekarang,  sebelum pilihanraya kecil? Jadi, bila saya patut buat wawancara ini?  Selepas Malaysia membasmi pilihanraya?” bidas Petra secara sinis.
Menjawab satu persoalan samada  beliau boleh memberikan bukti bahawa Najib terlibat dalam pembunuhan  Altantuya, Petra membalas dengan memberikan sejarah ‘keadilan’ di  mahkamah Malaysia di mana testimoni sudah cukup untuk mensabitkan  kesalahan pada seseorang terhadap satu jenayah yang serius.
“Apa yang anda maksudkan dengan  bukti? Bukti video yang mereka tengah bertuala dalam bilik hotel?” kata  Petra secara jelas merujuk kepada video klip seks yang diedarkan  beberapa pemimpin Umno yang mengaitkan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim  dalam skandal seks.
“Terangkan apa itu bukti. Anwar  disabitkan kesalahan dan dipenjarakan 15 tahun pada 1999 hanya  berdasarkan testimoni. Testimoni ialah bukti dan cukup untuk  memenjarakan Anwar 15 tahun. Testimoni saya lebih hebat. Ia dalam bentuk  pengakuan bersumpah,” kata Petra, yang dahulunya mengetahui kempen  ‘Selamatkan Anwar’ dalam mendapat tekanan antarabangsa terhadap kerajaan  untuk melepaskan Anwar daripada penjara.
Isu khalwat Najib
Mengenai dakwaan bahawa beliau  telah ‘berubah’ kerana ingin kembali ke Malaysia, Petra membidas dalam  keadaan yang marah dan mengingatkan wartawan NST itu kepada kejadian  pada 1990an di Port Dickson, di mana Najib dikatakan telah ditangkap  khalwat oleh jabatan agama di sebuah hotel, tapi dilepaskan tanpa  pembicaraan syariah.
“Adakah anda hendak bertanya  kepada Najib terhadap isu ini? Siapa kisah terhadap apa yang orang kata  di bawah? Jikalau kerajaan Malaysia kata saya boleh kembali ke Malaysia,  saya akan suruh kerajaan pergi mampus kerana saya cinta negara  kelahiran saya, apa yang anda nak kata nanti?” kata Petra, yang  dilahirkan di Surrey, UK.
Petra juga berkata  dakwaan-dakwaan terhadapnya bukanlah baru, malahan beliau menambah  beliau pernah dituduh murtad kerana pergi ke gereja setiap Ahad dan  beliau dan isterinya telah meninggalkan Islam dan menjadi penganut  Katolik.
Sementara itu, menjawab soalan  bersiri daripada The Straits Times Singapura yang meliputi isu masa  wawancara yang bertembung dengan pilihanraya negeri Sarawak dan dakwaan  samada beliau tengah me’nuetralisasikan’ kesangsian terhadap penglibatan  Najib dalam pembunuhan, Petra membidas bahawa ia adalah kelakar untuk  menganggap bahawa wawancara beliau dan video seks yang ditujukan pada  Anwar akan memberikan kesan terhadap keputusan pilihanraya Sarawak.
“Jika anda beranggapan demikian,  maka anda patut meminta untuk ditukar ke meja servis makanan sebab anda  masih jauh ketinggalan dalam memahami politik,” jawab beliau kepada  wakil Malaysia  akhbar tersebut, Hazlin Hassan.
Tindakan terhadap Kol Azmi
Sementara itu, akhbar Umno,  Utusan Online melaporkan, seorang pegawai perisikan tentera, Leftenan  Kolonel Azmi Zainal Abidin, bakal berdepan tindakan tegas di bawah Akta  Angkatan Tentera jika terbukti beliau membuat kenyataan palsu bagi  tujuan memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri,  Datin Seri Rosmah Mansor.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri  Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, siasatan serta merta sudah dijalankan  terhadap Azmi Zainal sebaik sahaja pengendali laman web antikerajaan,  Raja Petra Kamaruddin mendedahkan pembabitan pegawai tentera itu dalam  usaha terancang bagi menyekat Najib daripada menjadi Perdana Menteri.
Katanya, berkuat kuasa serta  merta juga, Azmi Zainal tidak lagi bertugas di Kor Risik sebaliknya,  ditukarkan ke bahagian pentadbiran, di Wisma Kementerian Pertahanan.
H/daily
