11 Jamadilawal 1432H. [MOD] -
LIMBANG,  15 April: Bukan sekadar memorandum mereka tidak diterima bahkan pegawai  yang menyertai rombongan Perdana Menteri di Pasar Tamu Limbang petang  semalam telah mengoyak memorandum itu.
Inilah nasib rakyat yang cuba  mendapatkan pertolongan Perdana Menteri sendiri bagi menyelesaikan  masalah mereka sesuai dengan slogan "Rakyat didahulukan, Pencapaian  diutamakan”
(Gambar: Keadaan kelam kabut apabila rombongan Najib enggan membenarkan penduduk Limbang dan DAP menyerahkan memo.)
Menurut  Adun Pasir Pinji,  Thomas Su,  penduduk di sini bersama dengan DAP telah menunggug ketibaan  rombongan PM untuk menyampaikan dua memorandum iaitu  “Membekal Doktor  Pakar dan Menaiktaraf  Peralatan Perubatan di Hospital Limbang” dan satu  lagi adalah mengenai “Membekal elektrik dan Air Bersih Serta melantik  seorang Ketua Rumah Bagi Kampung Merasam Barat Limbang”.
"Kami menunggu ketibaan Datuk Sri Najib dan akhirnya beliau sampai di Pasar Tamu Limbang pada pukul 6 petang. 
"Apabila beliau keluar dari  kereta, beliau menuju ke arah lain dan enggan menerima memorandum kami  walaupun hanya beberapa meter jauh daripada calon DAP di sini Leong  Kwang Yew.
"Semasa Leong Kwang Yew dan Adun  Selangor Jenice Lee cuba mendekati Perdana Menteri, rombongan BN pula  menolak dan menghalang  kedua-dua mereka secara kasar. 
"Memorandum yang dipegang oleh  Leong Kwang Yew telah dirampas dan dikoyak oleh rombongan Perdana  Menteri, pembuatan begini seolah-olahnya telah menghancurkan hasrat  rakyat Limbang yang ingin menyuarakan masalah mereka," cerita Thomas Su  (gambar) dalam kenyataan medianya hari ini.
Menurut beliau, jika Perdana  Menteri terus menbenarkan rombongan beliau menolak dan mengoyakkan  memorandum dengan sikap begitu kasar dan kurang ajar, ini membuktikan  “Satu Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan” yang dicanang  oleh BN dan Perdana Menteri adalah satu pembohongan sahaja!
Beliau sangat kecewa dan  menyesal dengan sikap PM dan rombongannya dengan kejadian yang berlaku  di Pasar Tamu Limbang petang semalam.
H/daily
