
23 Jamadilawal 1432H. [MOD] -
IPOH,   Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Tambun, Ustaz Mohd Hafez Sabri,  dalam kenyataan medianya mempertikaikan agenda perjuangan PERKASA yang  kononnya berjuang untuk orang Melayu. 
Motif  yang diperjuangkan kononnya untuk membela nasib orang Melayu dengan  mengadakan demontrasi jalanan dan menyemai sentimen perkauman secara  melampau mengundang pelbagai persoalan.  Malahan PERKASA  hanya dilihat  vokal dan lantang  di negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat  sahaja.
Beliau  menyatakan, kita serba maklum bahawa demontrasi dan memorandum bantahan  yang dikemukakan oleh PERKASA adalah sekadar gimik politik yang  dipimpin oleh ahli politik umno yang semakin dipinggirkan dalam arena  politik negara.  Isu untuk memperjuangkan nasib bangsa Melayu juga  seolah-olah hanya wujud di negeri-negeri Pakatan Rakyat sedangkan  PERKASA perlu tegas dan berani membawa tuntutan kepada kerajaan pusat  yang kini di bawah UMNO/BN.
Beliau  juga mempersoalkan apakah relevennya kemujudan PERKASA ini, sedangkan  hak dan keistimewaan orang-orang Melayu telah termaktub dan dijamin di  dalam Perlembagaan Persekutuan.  Malahan isu mengenai kedaulatan  Raja-Raja Melayu yang kononnya PERKASA perjuangkan sebenarnya lebih  banyak terhakis hilang hak keistimewaan tersebut di bawah pemerintahan  UMNO/BN semenjak 50 tahun sebelum ini.
Selain  itu beliau juga menyatakan PERKASA ingin dilihat kononnya berjuang  membela nasib orang-orang Melayu yang katanya kian terpinggir.  Namun,  ia sebenarnya lebih sekadar gimik dan modal politik yang diperkudakan  untuk meraih populariti di kalangan orang-orang Melayu apabila jelas  UMNO kini semakin ditolak oleh rakyat dan orang-orang Melayu sendiri. 
Beliau  menyatakan lagi, pihaknya melihat jika  PERKASA mahu membela nasib  orang Melayu di Negara ini, terlebih dahulu PERKASA perlu memberi  desakan  dan tuntutan kepada parti pemerintah negara ini yang mana jelas  dan nyata selama ini gagal membangunkan dan memperkasakan kekuatan  bangsa Melayu daripada aspek ekonomi, sahsiah, minda dan politik sejak  50 tahun lepas.
 Memetik  ucapan beliau, “ Kami selaku Anak Muda Generasi baru  melihat agenda  politik yang membawa fahaman berjuang sekadar untuk membela nasib  sesuatu kaum adalah bersifat untuk kepentingan sendiri dan elit-elit  tertentu sahaja. 
Sedangkan  agenda memperkasakan rakyat pelbagai bangsa di negara ini perlu menjadi  keutamaan bagi memastikan negara ini hidup bersama secara harmoni dan  berkasih-sayang.”
“  Malahan agenda pembanterasan jenayah rasuah dan memperkukuh nilai  keadilan dalam pentadbiran adalah keutamaan untuk membina negara ini  memacu pertumbuhan dan kemakmuran negara.”
Beliau  mempersoalkan apakah  PERKASA adalah perkakas kepada UMNO, jika dilihat  mirip dan modus operandi apa yang kononnya diperjuangkan adalah sama  sahaja iaitu sentimen perkauman yang menebal dalam agenda perjuangannya.
“  Kita mempertikaikan apa motif PERKASA yang hanya lantang di  negeri-negeri Pakatan Rakyat tetapi membisu, lesu dan kaku apabila  berada di negeri-negeri di bawah kerajaan UMNO/Barisan Nasional.
“   Ke manakah suara pembelaan PERKASA apabila melihat nasib Bahasa Melayu  semakin dipinggirkan?  Ke manakah pembelaan PERKASA tatkala  undang-undang Islam dipermain-mainkan apabila Mahkamah Syariah dianggap  tidak setaraf dengan Mahkamah Sivil?  Ke manakah suara-suara vokal  PERKASA apabila pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO yang berbangsa Melayu  terpalit dengan pelbagai skandal moral, rasuah dan penyelewengan kuasa? “  soal beliau
Justeru,ketua  penerangan Dewan Pemuda PAS Tambun itu sekali lagi mengingatkan agar  rakyat bijak dan pintar menilai agenda sempit yang dibawa oleh PERKASA  dari masa ke masa. 
Bangsa  Melayu kian terpinggir dalam dunia persaingan sejagat adalah berpunca  dari kegagalan UMNO sendiri selaku pentadbir negara selama 50 tahun ini  kerana gagal menterjemahkan Islam sebagai cara hidup atau serta tidak  melaksanakan ajaran Al-Quran dan Sunnah sepenuhnya di negara ini.
mohd hafez sabri
