17 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
SHAH  ALAM, 19 Feb: PAS dalam usahanya mewujudkan sebuah Malaysia Baru yang  mengangkat martabat kaum Melayu dan Islam, hari ini memberikan jaminan  istimewa terhadap dua belas perkara untuk rakyat Malaysia.
Dua belas jaminan ini terkandung  dalam resolusi Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa; Jaminan PAS yang  berlangsung sehari di Auditorium MBSA, dekat sini.
Berikut adalah dua belas resolusi yang dibentangkan oleh Naib Presiden PAS selaku Pengarah Konvensyen, Datuk Mahfuz Omar.
PAS sebagai sebuah parti politik yang berteraskan Islam memberi jaminan bahawa:
1. PAS tetap komited untuk melaksanakan agenda pengupayaan bangsa Melayu dan Bumiputera berteraskan prinsip-prinsip di atas;
2. PAS akan terus mempertahankan  kedaulatan Raja-raja Melayu dan kepentingan bangsa Melayu dan  Bumiputera seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia;
3. PAS tetap beristiqamah untuk  menghayati Islam sebagai satu cara hidup sesuai dengan kerangka  perlembagaan Malaysia sebagai teras terpenting usaha mengupayakan  Melayu;
4. PAS akan sentiasa memastikan seluruh kegiatan pembangunan bangsa Melayu berkiblatkan akhirat demi mencapai keredhaan Allah;
5. PAS tetap mengutamakan  perjuangan untuk membela nasib rakyat terpinggir dan berpendapat rendah  yang sebahagian besarnya adalah kaum Melayu dan Bumiputera;
6.  PAS akan terus  mempertahankan konsep ketuanan rakyat yang berpaksikan keadilan Islam  dengan jaminan saksama kepada kaum-kaum lain;
7.  PAS tetap memperjuangkan  dasar-dasar affirmative yang berasaskan siapa yang berkeperluan (need  based) sesuai dengan matlamat keadilan Islam;
8. PAS akan terus komited untuk  menampilkan kepimpinan Melayu yang bebas rasuah dan penyelewengan di  semua peringkat kepimpinan bermula dari kepimpinan Negara sehingga  kepimpinan komuniti;
9. PAS tetap mempertahankan  tanah-tanah rizab Melayu, tanah-tanah adat, kampung-kampung tradisi dan  penempatan-penempatan yang mempunyai kepentingan Melayu dan Bumiputera  seperti Felda, malah berusaha menjadikannya sebagai penyumbang  terpenting kekuatan ekonomi Melayu;
10. PAS akan terus  mempertahankan warisan Melayu selagi mana tidak bertentangan dengan  syarak, sebagai khazanah penting kepada generasi Melayu akan datang;
11. PAS tetap mempertahankan  pendidikan vernakular yang telah memberi ruang kepada kewujudan sekolah  agama rakyat, madrasah dan sekolah pondok, di samping tidak menolak  kepentingan elemen integrasi nasional diterapkan dalam sistem pendidikan  dan;
12. PAS akan terus berusaha  memasakkan jatidiri berteraskan Islam kepada generasi muda Melayu kerana  mereka merupakan teras kepada pengupayaan bangsa Melayu dan waris  kepimpinan akan datang.   
Sementara itu dalam ucapannya,  Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang  berkata, dasar dan pendekatan Pengupayaan Bangsa - Jaminan PAS telah  dibentangkannya untuk tatapan semua.
"Masa telah sampai untuk kita  menggemblengkan seluruh tenaga dan sumber bagi mengangkat martabat umat  Islam, mendayakan bangsa Melayu dan melahirkan Politik Lita'arafu  yakni  Politik Saling Menghormati.
"Semua usaha ini adalah bagi  melahirkan sebuah Malaysia baru yang menjunjung tinggi tuntutan Keadilan  dan Kesejahteraan Untuk Semua yang bebas rasuuah, kezaliman dan  penyelewengan kuasa.
Mursyidul Am PAS, Datuk Bentara  Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat turut berucap merasmikan  konvensyen dengan memberikan penekanan terhadap peri pentingnya  masyarakat negara ini diberi kefahaman paling tepat dan memudahkan.
Semua wakil PAS kawasan daripada  seluruh negara hadir dalam konvensyen sehari yang turut menampilkan  ramai tokoh antaranya; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng,  Budayawan dan Cendikiawan terkenal, Prof Emiritus Dr Abu Bakar Abdul  Hamid dan Presiden Teras, Haji Mohd Azmi Abdul Hamid.
Turut mendapat perhatian adalah  ucapan dan pandangan daripada Setiausaha Agung Keadilan, Saifuddin  Nasution Ismail termasuk AJK PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar dan Pakar  Sains Politik dan Aktivis Sosial, Dr Wong Chin Huat.
Sebelum ini, Pakatan Rakyat  mengemukakan Buku Jingga mengandungi sepuluh perkara jaminan terdiri  daripada mereformasikan institusi-institusi penting negara seperti SPR,  SPRM, pejabat Peguam Negara dan PDRM untuk mengembalikan kewibawaan  kepada sistem pentadbiran kerajaan.
Jaminan itu juga meliputi Akta  Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mengarahkan Khazanah Berhad, KWSP dan  lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk  menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaan dengan tujuan  menghapuskan tol;
Merombak struktur subsidi negara  bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta seperti gas sebanyak RM19  bilion kepada penjanan bebas dengan memindahkannya bagi menampung  perbelanjaan subsidi rakyat;
Mengiktiraf peranan dan jasa  awam dengan mengkaji semula struktur gaji bermula dengan menaikkan  imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang guru sebagai  penghargaan guru mendidik bangsa;
Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan;
Menyediakan perkhidmatan internet wi-fi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa rakyat; 
Membatalkan Felda Plantations  bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannya kepada generasi  kedua dan ketiga Felda dan;
Menaikkan royalti minyak kepada  Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan kepada 20 peratus dan menubuhkan  Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan  kerakyatan di Negeri Sabah.
