
17 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
KOMENTAR  : Pada 1998 satu gerakan tersusun menyusup masuk dalam Dewan Merdeka  Pusat Dagangan Dunia Putra di mana Perhimpunan Agung Umno sedang  berlangsung. Anasir ini membekalkan buku “50 dalil mengapa Anwar tidak  boleh jadi Perdana Menteri” dalam beg cenderamata perhimpunan.
Anwar  berang dengan perbuatan licik itu dan membuat laporan polis. Beliau  berasa difitnah. Polis pun menyiasat. Anwar pula mengarahkan peguam  untuk menyaman penerbit buku itu, Allahyarham Khalid Jafri.
Akhirnya,  dalam usaha mahu membersihkan namanya dari pelbagai fitnah yang  terkandung dalam buku itu, siasatan polis itu beralih kepada Anwar  sendiri. Natijahnya kini sejarah. Anwar dibicarakan, dan dalam proses  itu pelbagai cerita menggiurkan didedahkan di mahkamah.
Namun  separuh jalan, mahkamah memutuskan untuk menolak cerita-cerita seks yang  dikatakan membabitkan Anwar dan akhirnya tuduhan dipinda dan Anwar  disabitkan atas tuduhan rasuah dan salahguna kuasa. Dia pun  dipenjarakan.
Hari ini, skrip hampir sama berulang. Seorang yang  memperkenalkan dirinya Datuk “T” menayangkan video seks yang  menggambarkan perlakuan seks membabitkan lelaki seiras Anwar.
Malah  Datuk T berkata, beliau akan mengirimkan salinan video itu kepada  pemimpin pembangkang itu dan isterinya. Beliau memberi mereka tempoh  seminggu untuk meletakkan semua jawatan politik.
Datuk T  menegaskan bahawa beliau tidak mahu membabitkan kerajaan dalam kes ini.  Jika pemimpin terbabit tidak mahu meletak jawatan beliau akan  menggerakkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan menubuhkan pasukan  bertindak khas untuk membuat siasatan forensik terhadap video berkenaan.
Meskipun  Datuk T tidak mahu kerajaan terbabit, Menteri Dalam Negeri,  Hishamuddiin Hussein tidak dapat mengawal “kegayatan dan naluri  politiknya” untuk memberi komen terhadap kemunculan video seks ini.
Hishamuddin  berkata, orang yang terbabit dalam video seks, jika berasa dirinya  difitnah, harus buat laporan polis. Biar polis siasat. Anak Perdana  Menteri Ketiga ini berkata, polis tidak sama sekali terbabit dalam  pembikinan video ini. Aneh!
Siapa yang bertanya dan mengapa pula  menteri ini perlu menafikan pembabitan polis dalam pembikinan video yang  beliau sendiri dakwa “belum tonton dan mungkin tidak akan menontonnya?”
Namun  beliau berkata, jika video itu benar membabitkan pemimpin Pakatan  Rakyat, maka terpulanglah kepada rakyat untuk menilai peribadinya.  Apakah itu sebenarnya matlamat Datuk T dan mereka yang bersengkongkol  dengannya -- bina persepsi atau prasangka terhadap pemimpin-pemimpin  Pakatan Rakyat?
Kemunculan video seks kali ini ditayangkan secara  teratur – jemput wartawan tempatan pada sebelah pagi dan wartawan media  asing pada sebelah petang – di hotel ternama di Kuala Lumpur.
Bayangkan  betapa banyak yang perlu dibelanjakan oleh Datuk T! Sudah tentu ini  projek besar yang memerlukan biaya daripada institusi yang kukuh  kewangannya.
Nampaknya, kempen untuk mengaib dan membunuh kerjaya  politik Anwar ini tidak pernah mengubah temanya. Sejak 1998 sasaran  musuh politik Anwar ialah pegangan moralnya. Ini membabitkan kes  mengurat isteri orang, liwat dan, amalan zina.
Anehnya, soal yang  menjadi senjata utama Anwar terhadap seteru politiknya – salah guna  kuasa, dan rasuah tidak pernah cuba digunakan terhadap Anwar.
Ini  menunjukkan bahawa musuh Anwar tidak dapat mencari fakta atau  merekacipta bukti membabitkan Anwar dalam amalan curang ekonomi seperti  rasuah.
Sebaliknya, mereka mencongak jika maruah Anwar boleh  dipertikaikan, tuduhan Anwar terhadap amalan salah guna kuasa dan  rasuah, pemimpin-pemimpin politik Umno-BN akan larut begitu sahaja dan  dilupakan orang.
Begitu juga dalam kes mahkamah yang membabitkan  konspirasi liwat kedua yang sedang berlangsung. Apabila melihat hakim  menolak bukti rekacipta polis, Umno dan konco-konconya berdemonstrasi  menagih Anwar supaya memberikan sampel DNA beliau. Jika tidak, ia  membuktikan Anwar takut kerana bersalah.
Namun kerana corak dan  tema dakwaan terhadap Anwar ini sama sahaja, ia menggambarkan betapa  dangkalnya pemikiran politik musuh-musuh Anwar. Mereka cuba menabur  persepsi bahawa sebagai seorang yang bermoral rendah (seperti kata musuh  nombor satu Anwar, Dr Mahathir Mohamad) Anwar tidak layak jadi  pemimpin.
Apa yang menakutkan mereka sekarang sebenarnya ialah,  bagaimana jika kerjaya politik Anwar terus mekar selepas pilihanraya  negeri Sarawak dan kemudian pilihanraya umum ke-13? Dan, Anwar  benar-benar jadi pemimpin utama negara? Maka teruslah mereka berpaut  kepada modal tohmahan video seks dan kes liwat dengan harapan rakyat  percaya.
Tv Selangor/-