
25 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
KUCHING,  30 Mac: Meskipun polis sedari dulu sentiasa memberi tekanan demi  tekanan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum PKR itu tegas  menyatakan beliau mahu membawa perubahan politik secara aman dengan  menggunakan saluran pilihan raya.
“Orang  Arab nak tukar sistem, susah. Sehingga (mereka) terpaksa diadakan  revolusi, (tapi) kita mahu perubahan secara aman. Kita tidak mahu  masalah dengan polis. Anak-anak muda Sarawak perlu buat perubahan,”  katanya.
Beliau  berkata demikian dalam ucapannya di Kampung Tupong Batu yang terletak  di pinggir Sungai Sarawak itu kerap disambut sorakan ‘reformasi’ di  kalangan 300 penduduk setempat, lapor Keadilan Daily.
Pada ceramah di lokasi persendirian yang tidak memerlukan permit itu, polis hanya memberi masa 15 minit untuk Anwar berucap.
Malah, pihak berkuasa membuat banyak sekatan jalan raya di laluan yang menghala ke lokasi ceramah.
Ceramah Anwar di mana-mana jua termasuk di Sarawak sentiasa mendapat halangan polis
Anwar  berkata, pilihan raya Sarawak kali ini amat penting kerana ia adalah  masa paling sesuai untuk membuat perubahan kerana golongan penindas  rakyat semakin berani berbuat demikian secara terang-terangan.
“Sebab itu, pilihanraya Sarawak penting. Perubahan adalah perlu. Orang Sarawak perlu sedar.
“Orang  yang baik, takut. Orang yang jahat, berani. Ini tidak betul. Perkara  ini mesti diubah. Sarawak mesti berubah. Sekaranglah masanya,” katanya  disambut tepukan gemuruh.
Dalam  ceramah di Restoran Sim Poh Poh yang dihadiri ratusan penduduk pula,  polis turut ‘mencipta’ halangan dengan tidak membenarkan pembesar suara  di hala ke luar, sebaliknya mengarahkan ia dihala ke dalam premis itu.
Pada  ceramah yang majoriti dihadiri masyarakat keturunan Tionghua titu,  Anwar turut memetik falsafah cendekiawan purba Cina, Confucious.
“Kata Confucious: Lebih baik duduk di dalam kandang harimau daripada duduk di bawah kerajaan yang zalim.
Kehadiran Anwar memang dinanti-nantikan penduduk Sarawak yang dahagakan perubahan.
“Pembaziran  berleluasa. Kronisme dan rasuah. Projek hanya untuk anak-anak, isteri  dan kroni. Yang kaya hanya ketua menteri. Rasuah di bawah dan di atas  meja.
“Benarlah  seperti kata penyair besar di Jawa, Ronggo Warsito: Zaman ini zaman  edan (gila),” katanya yang meminta rakyat Sarawak mengambil iktibar dari  pesanan kedua-dua ahli falsafah itu.
Beliau  mengingatkan rakyat Sarawak, pimpinan Barisan Nasional (BN) di Negeri  Bumi Kenyalang itu juga membawa wang rakyat ‘lari’ hingga menyebabkan  masyarakat dihimpit kemiskinan berpanjangan.
“Bukan  sahaja di Mesir, Tunisia sahaja orang bawa duit. Di sini (Sarawak) pun  sama bawa duit lari. Berapa yang dibawa lari Mubarak? 40 hingga 70  bilion USD. Rakyat miskin kerana pemimpin curi wang rakyat,” katanya.
