
25 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
TEMERLOH,30  Mac: Krisis air yang menjejaskan sekurang-kurangnya 12,000 penduduk di  sekitar daerah ini melibatkan taman perumahan dan kampung tradisional  sejak empat hari lalu menimbulkan kemarahan mereka terhadap Jabatan  Bekalan Air (JBA), wakil rakyat dan menteri besar (MB).
Malah  menurut penduduk, beberapa kawasan perumahan seperti Taman Setia Jasa,  Seberang Temerloh dan Mentakab turut mengalami gangguan bekalan air  sejak 1 Mac lalu.
Tinjauan  Harakahdaily ke Taman Setia Jasa yang mempunyai lebih 400 buah rumah  dan seramai 1,800 penduduk mendapati penduduk mula menzahirkan kemarahan  dengan memasang sembilan kain rentang sebagai protes kepada JBA, wakil  rakyat dan MB untuk meluahkan ketidakpuasan hati mereka berhubung  masalah bekalan air itu.
Seorang  penduduk dari taman sama, Ghazali Idris, 63, berkata, gangguan bekalan  air di taman perumahan itu berlaku sejak sebulan lalu dengan ada  ketikanya air keluar kecil. Tetapi sejak awal minggu lalu langsung tiada  air.
Menurutnya, gangguan itu berlaku pada sebelah petang hingga subuh, namun sejak Sabtu lalu, langsung tiada bekalan air.
“Dulu  dah pernah berlaku teruk macam ini tetapi selesai, sekarang jadi  semula. Kami dah adu pada JBA tetapi mereka kata tak tahu punca dan ada  yang ada paip bawah tanah bocor.
"Keadaan  ini membuatkan kami di sini jadi seperti balik ke zaman dulu.  Bayangkan, saya memandu kereta sejauh 30 kilometer menuju ke Chenor  untuk memunggah air Sungai Pahang setiap hari bagi kegunaan makan minum  dan kebersihan untuk ahli keluarga,” katanya.
Menurut  Ghazali, masalah air di Taman Setia Jasa itu turut menyebabkan  pelajar-pelajar sekolah di situ mengalami masalah lewat ke sekolah  kerana terpaksa mandi di Jengka setiap pagi.
“Saya  ada tiga anak yang bersekolah. Mereka terpaksa bangun awal pagi, balik  ke kampung di Jengka untuk mandi dan patah semula ke sekolah di  Temerloh. Anak orang lain pun macm tu.
“Jadi  sampai bila masalah ini hendak selesai? Kita harap JBA segera  selesaikan jangan penduduk telefon pun tak mahu jawap. Bayangkan  penduduk yang ada anak kecil, lagi susah,” katanya.
Taman Setia Jasa terletak dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Mentakab dan Parlimen Temerloh.
Seorang  penduduk lagi, Ahmad Harun, berkata ini merupakan kali kedua penduduk  menghadapi krisis air yang serius dan lama sehingga terpaksa memunggah  air dari luar.
"Baru-baru  ini ada penduduk mengadakan majlis kenduri kahwin, walaupun ada pihak  yang menolong tapi teruk memunggah air. Bagaimana pula kalau berlaku  kematian?
"Saya  fikir Temerloh ini tidak sepatutnya menghadapi masalah air berulang  kali kerana berada dipinggir Sungai Pahang yang mewah air. Jadi sudah  tentulah ini kelemahan JBA," katanya.
Ahmad  berharap, supaya JBA segera selesaikan masalah yang menghantui penduduk  iaitu dengan JBA menghantar empat lori tangki air sehari dengan tiga  kali penghantaran.
Sementara  itu, peniaga warung makan di situ, Rahim Bakri, turut mengakui  ketiadaan air menyebabkan perniagaannya banyak terjejas kerana untuk  memasak dan membersih terpaksa menggunakan air yang banyak dan beliau  terpaksa memunggahnya dari luar.
Harakahdaily/-
Oleh : Khairil Abdul Rahim 
