Kemajuan Untuk Semua Bangsa Tanpa Mengira Warna Kulit atau Bangsa di bawah Agama Islam

Instagram

Instagram

Suara Ketenangan

Revolution Ads

Revolusi

KUALA LUMPUR, 3 Nov: Kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) ‘cari kerja lain’ sebelum ini telah menimbulkan kemarahan sekaligus mengguris hati ribuan graduan dan bakal graduan ISMP di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan kampus-kampus lain.

Susulan dari ketidakpuashatian itu, hampir seribu mahasiswa UPSI telah mengadakan piket di perkarangan Sudut Pidato Universiti tersebut semalam sebagai tanda protes.

Setiausaha Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Yuyu Luna ketika dihubungi Harakahdaily menjelaskan piket yang berlangsung selama empat jam itu telah menyaksikan ucapan-ucapan menuntut hak penempatan guru untuk graduan ISMP yang dikatakan telah dinafikan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

"Piket tengah hari semalam telah dianjurkan oleh Gabungan Bertindak Mahasiswa yang dicetus oleh wakil LMP sebuah 'front' Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Adam Adli dan wakil Gabungan Graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan, Wan Ahmad Fathi.

"Gabungan mahasiswa ini turut digerakkan bersama wakil Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS), dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), serta 'front' mahasiswa UPSI yg lain," jelasnya.

Tambah Yuyu lagi, piket itu kemudian diakhiri dengan penyerahan memorandum Tujuh Tuntutan Mahasiswa ISMP oleh YDP Majlis Perwakilan Pelajar UPSI kepada TNC Penyelidikan dan Inovasi, Datuk Noraini.

"Tujuh tuntutan itu termasuklah menuntut Timbalan Perdana Menteri menyediakan penempatan yang mencukupi kepada graduan ISMP, mengurangkan pengambilan Guru Sandaran Tidak Tetap serta Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah dan memperincikan bajet pendidikan yang lebih telus dalam menyediakan penempatan guru.

"Tuntutan lain termasuklah menuntut agar unjuran pengambilan guru yang tepat dan telus dikeluarkan agar universiti boleh membuat unjuran pengambilan pelajar yang tidak merugikan,” ujarnya lagi.

Yuyu juga memberitahu gabungan itu berhasrat untuk menyerahkan 10,000 tanda tangan mahasiswa kepada Timbalan Perdana Menteri dalam masa terdekat.

"Petisyen tersebut telah diedarkan disekitar kampus dan kolej-kolej kediaman dan sehingga kini tandatangan yang kita perolehi menjangkau angka sepuluh ribu.

"Ia bakal diserahkan sendiri oleh wakil-wakil mahasiswa kepada Timbalan Perdana Menteri pada masa dan tarikh yang akan ditetapkan nanti," tambahnya lagi.

Sebelum itu, Muhyiddin telah mengeluarkan kenyataan yang disiarkan Buletin Utama pada 30 Oktober lalu bahawa tiada lagi jaminan penempatan bagi graduan ISMP yang tidak ditaja KPM.

Selain itu, beliau turut menyebut bahawa graduan pendidikan perlu mencari kerja di tempat lain yang sesuai dengan ijazah mereka.

Muhyiddin turut menyifatkan keutamaan penempatan turut diberikan kepada Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) manakala penempatan graduan ISMP akan dibuat setelah selesai penempatan GSTT dan KPLI.

Yuyu berkata, Muhyiddin sekarang berdepan dengan kemarahan mahasiswa di UPSI jika isu tersebut tidak diselesai segera selain memenuhi tujuh tuntutan memorandum tersebut.

Muhammad Faizal(Harakahdaily)

KUALA LUMPUR, 3 Nov: Bagi menyatakan bantahan terhadap panganjuran Seksualiti Merdeka 2011 yang sedang berlangsung sehingga 13 November ini, Dewan Pemuda PAS pusat akan mengadakan himpunan aman di di seluruh Masjid Negeri esok.

Menurut ketuanya, Nasruddin Hassan, arahan itu telah dikeluarkan kepada ketua dewan pemuda PAS negeri-negeri hari ini.

"Hari ini kita telah mengarahkan kepada Dewan Pemuda PAS Negeri agar mengadakan himpunan aman di masjid negeri masing-masing selepas solat Jumaat esok," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Himpunan itu ujarnya bagi membantah program yang disifatkan sebagai bertentangan dengan cara hidup semua agama itu dan menuntut ianya dibatalkan dengan segera.

Bagaimanapun menurutnya, masjid yang akan diadakan himpunan tersebut akan diputuskan oleh dewan pemuda PAS negeri mengikut kesesuaian negeri masing-masing.

Sehubungan itu beliau menyeru kepada seluruh masyarakah perihatin agar turun beramai-ramai menyatakan bantahan bersama dewan pemuda PAS esok.

Program yang dikenali sebagai Seksualiti Merdeka 2011 dengan temanya Queer Without Fear telah berlangsung kelmarin hingga 13 Nov 2011 di The Annaxe Gallery.

Program itu kononnya berteraskan perjuangan hak asasi, menuntut hak dan kebebasan golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual untuk mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka.

Banyak pihak berpandangan, ianya sama sekali tidak sesuai dengan kehidupan masyarakat di Malaysia apatah lagi sangat bertentangan dengan ajaran agama Islam.

Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Wilayah dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, bagi Kuala Lumpur demonstrasi tersebut akan di adakan di Masjid Kampung Baru esok.

Harakahdaily



3 Zulhijjah 1432H. [MOD] -
PAS Miri

Miri - Forum Rakyat dengan tema “Membina Malaysia Sejahtera” di sebuah Hotel Miri yang dianjurkan oleh Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Miri mendapat sambutan yang baik dari masyarakat Cina dan bukan Islam di Bandaraya Miri. Antara panelis yang hadir pada hari tersebut ialah Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Pusat Hu Pang Chaw, YB Alan Ling Sie Khiong (DAP), Dr Micheal Teo (PKR) dan moderator dari NGO stadio Mualaf sdr Robby. Turut hadir dalam forum tersebut ialah pimpinan Pakatan Rakyat dan juga masyarakat setempat dari berbagai bangsa dan agama.

Diantara isu yang dibangkit pada forum tersebut ialah berkenaan dengan Hudud. Isu Hudud yang di politik oleh pihak tertentu telah dapat ditangani dengan baik oleh Pengerusi DHPP Pusat Sdr Hu Pang Chaw, dimana kata beliau isu Hudud ini bukan perkara yang perlu ditakuti oleh masyarakat Cina dan bukan Islam kerana katanya Hudud adalah sebahagian daripada perundangan Islam. Masyarakat Cina dan bukan Islam tidak perlu takut dengan Hudud sebab Hudud hanya dikenakan kepada umat Islam yang melanggar perintah Allah dan yang bukan Islam tidak akan dikenakan hukuman tersebut secara paksa kecuali yang bukan Islam sedia menerimanya sebagai perundangan. Lagi pun sekarang Perlembagaan Malaysia juga membenarkan sistem kehakiman berganda yang unik, iaitu undang-undang sekular (jenayah dan sivil) dan undang-undang syariah.

Dengan kedatangan pengerusi DHPP Pusat ke Miri sekurang-kurangnya dapat meredakan keadaan yang boleh mencetuskan kontrovasi diantara kaum dan agama di Miri sebab apabila masyarakat Cina dan bukan Islam mendengar sendiri penerangan dan penjelasan dari pimpinan pusat mereka rasa lega dan yakin PAS bukanlah parti yang bersifat perkauman dan exterismis seperti yang digambarkan oleh Umno/BN selama ini.

Menurut Hu Pang Chaw lagi Hudud bukanlah suatu masalah bagi yang bukan Islam tetapi oleh kerana ianya di politikkan oleh pihak tertentu maka ianya sudah semacam suatu perkara yang menakutkan orang bukan Islam terhadap PAS. Seperti yang berlaku di Semananjung Malaysia, Umno membiarkan MCA memburuk-burukkan hukum Islam seperti Hudud sebab mereka tahu kalau mereka yang menentang Hudud secara terang-terangan sudah pasti orang Melayu Islam marah jadi mereka biarkan rakan parti komponen mereka seperti MCA mengecam Hudud demi survival parti mereka. Tujuan utama mereka membuat demikian hanya untuk menjauhkan PAS dengan masyarakat bukan Islam. Sebab mereka tahu kalau PAS berjaya menarik pengundi bukan Islam menyokong dan menyertai PAS sudah pasti Umno/BN mudah dikalahkan dalam PRU 13 nanti.

Apabila PAS berjaya menubuhkan Kelab Penyokong PAS maka PAS sudah dapat sokongan dari masyarakat Cina dan bukan Islam dan inilah yang menakutkan Umno/BN. Tidak mustahil PAS Sarawak juga boleh diterima dalam masyarakat Cina dan bukan Islam di Bandar sekiranya PAS dan DHPP dapat menyakinkan masyarakat Cina dan bukan Islam bahawa PAS sesuai untuk semua golongan tanpa mengira bangsa dan agama.

Dalam pada itu YB Alan Ling (DAP) juga memuji PAS Miri kerana sentiasa aktif menjalankan aktiviti bersama rakyat di Miri dan begitu juga Dr Micheal Teo (PKR) juga mengatakan betapa perlunya kerjasama yang kukuh agar Pakatan dapat menawan Putrajaya dalam PRU 13 nanti.

Kita yakin kalau masyarakat Cina dan bukan Islam dapat gambaran yang jelas tentang Hudud tiada masalah untuk mereka menerima PAS sebagai wakil mereka dalam Pakatan. PKR, DAP dan PAS akan mencapai kejayaan yang besar kiranya mereka terus bersatu dan bekerjasama dengan satu maklamat menuju dan membina Malaysia sejahtera.

PAS Miri
Jofri Jaraiee



30 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

UNTUK kesekian kalinya UMNO dan Barisan Nasional bercakap tentang perlunya calon yang boleh menang diletakkan dalam PRU 13 yang bila-bila saja sekarang.

Pengajaran yang dialami UMNO/BN dalam PRU 12 Mac 2008 dulu banyak mempengaruhinya membangkitkan isu calon yang boleh menang itu.

Mungkin ia satu muslihat bagi memudahkan BN dan UMNO mengatasi perebutan calon sesama UMNO dan sesama parti kerabat BN.

Apa cara BN untuk menolak lebih ramai calon MIC dalam pilihan raya akan datang atau untuk mengenepikan tuntutan PPP supaya diberi tambahan calon buat partinya?

Atau ia juga boleh dijadikan satu muslihat bagaimana UMNO hendak mengambil kerusi-kerusi yang diberikan kepada bukan UMNO di kawasan yang majoriti Melayu.

Dengan tektik ini memudahkan pimpinan UMNO meletakkan calon yang mereka kehendaki. Mana-mana calon yang tidak dikendaki mudah diketapi atas alasan bagi memastikan calon yang boleh menang saja yang dipilih.

Mana-mana ketua UMNO Bahagian yang tidak terpilih dan mana wakil rakyat yang tidak dicalonkan semula nanti logiknya mereka diragui boleh memenangi pilihan raya itu.

UMNO dan BN dengan sendirinya terpaksa menerima keadaan itu kerana masing-masing mahu memastikan Barisan bukan saja dapat mempertahankan kerajaannya yang ada bahkan dapat merampas semula kerajaan yang hilang dulu.

Isu ini bukan baru bagi UMNO tetapi sudah berbangkit menjelang Pilihyan Raya Kecil Hulu Selangor dua tahun lalu.

Pemimpin MIC ketika itu, Samy Vellu mempertahankan supaya Timbalan Presidennya, Palanivel yang kalah di situ tahun 2008 dicalonkan semula. Tetapi UMNO Hulu Selangor yang mahukan kawasan itu diberi kepada UMNO memberikan alasan Palanivel yang sudah kalah itu tidak boleh menang lalgi.

Komprominya Palanival ditolak tetapi kerusi itu dikekalkan untuk MIC dan menggantikannya dengan calon lain. Kamalnathan dipercayai boleh jadi calon boleh menang. Benar dia menang.

Ini menguatkan hujah UMNO supaya calon yang boleh menang saja yang letakkan kali ini. Jika UMNO mahu memastikan ia menang semula, maka UMNO mesti menerima teori itu.

Ini juga bagi memudahkan BN menolak permintaan PPP mahu satu calon di Kelantan. Kalau UMNO pun payah menang di Kelantan, maka apa lagilah PPP sekali pun calonnya Melayu.

Apa juga tektik UMNO untuk menghadapi pengikutnya, ia adalah masalahnya.

Tetapi isu calon boleh menang saja yang dipilih adalah menandakan gelabah parti itu untuk menghadapi pilihan raya masa akan datang. Ia menandakan UMNO tidak lagi perkasa. Dulunya UMNO itu adalah perkasa seperti besi waja. Ia boleh letak siapa saja.

Di zaman keagungan UMNO dulu, ia letak batu dan kayu sebagai calon, ia boleh menang. Dalam tahun 1959 di kampung saya di Sitawan. Perikatan meletakkan seorang MCA yang tidak terkenal, cakap Melayu tidak boleh dan cakap Inggeris pun tak boleh. Bagaimana dua hendak bercakap di Parlimen atau DUN?

Dia bukan calon yang disenangi MCA. Tetapi UMNO mahu dia. Kerana UMNO memang kuat, tunggul pun menang.

Seperti Nik Abdullah Arshad ADUN PAS di Kelantan yang ditahan di bawah ISA awal tahun 1960. Dia bertanding dari khemah tahanan. Tukang kempen membawa songkoknya di setiap ceramah. Hanya membagi tahu Nik Abdullah tidak dapat datang kerana ditahan. Hanya songkoknya yang boleh didatangkan. Dia menang.

Mengapa? Partinya kuat. PAS bawa beberapa calon dari luar Kelantan. Ramai pengundi tak kenal mereka. Tetapi kerana PAS kuat, sekalian mereka menang.

Masa itu sudah tidak ada pada UMNO. Tetapi PAS di Kelantan dipercayai dapat mengekalkan calon dari luar. Mereka dipercayai masih boleh menang.

BN dipercayai sukar menjadi calon MCA dan Gerakan yang boleh menang di Kuala Lumpur, Ipoh dan Pulau Pinang. Tiada sukarelawan MCA sedia ke Pulau Pinang. MCA dan MIC lebih senang dicalonkan di kawasan majoriti Melayu. Dengan UMNO yang belum pulih sekarang adalah satu risiko meletakkan MCA dan MIC bertanding di kawasan Melayu.

Kalau UMNO tidak dapat memastikan calon Melayu sendiri boleh menang di kawasan majoriti Melayu, dalam suasana perkaum begitu mendadak dalam UMNO dan MCA, payah diduga MCA dan MIC boleh menang seperti dulu.

Inilah sebabnya UMNO memberi isyarat awal calon yang boleh menang saja yang akan dipilih bertanding.

harakahdaily/-



30 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah meluluskan pinjaman bernilai RM55.1 bilion tanpa sokongan jaminan kerajaan.

Bagaimanapun, Laporan Ketua Audit Negara 2010 mendapati hanya satu daripada 13 peminjam yang layak mendapatkan pinjaman tanpa jaminan tersebut. Peminjam berkenaan diberi pinjaman RM21.3 bilion.

Daripada 12 baki penghutang tersebut, dua daripadanya dikecualikan daripada jaminan kerajaan kerana mereka mempunyai penarafan kredit yang tinggi.

Pinjaman kepada kedua-dua pihak berkenaan berjumlah RM7.3 bilion.

(Penjelasan dalam laporan maklum balas Perbendaharaan terhadap isu utama dalam laporan Ketua Audit Negeri mengenai aktiviti badan berkanun bagi 2010 - menyebut kedua-duanya ialah Khazanah Nasional Berhad dan Tenaga Nasional Berhad).

Menurut Laporan Kedua Audit Negara itu lagi, KWSP
juga telah meluluskan 15 pinjaman bernilai RM35.69 bilion sehingga 31 Disember 2010.

Daripada 15 pinjaman yang diberikan - menurut Laporan Ketua Audit Negara itu - dua telah diluluskan kepada syarikat bukan subsidiari kerajaan walaupun mempunyai jaminan kerajaan - masing-masing bernilai RM1.24 bilion dan RM5 bilion.

(Penjelasan dalam laporan maklum balas Perbendaharaan terhadap isu utama dalam laporan Ketua Audit Negeri mengenai aktiviti badan berkanun bagi 2010 - menyebut kedua-duanya ialah Assets Global Network (AGN) dan Valuecap Sdn Bhd.)

KWSP menjelaskan AGN dimiliki sepenuhnya Syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan oleh itu, merupakan syarikat subsidiari kerajaan.

Valuecap dimiliki oleh tiga syarikat induk, iaitu Khazanah, Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan masing-masing memerang peratus kepentingan yang sama.

Menurut penjelasan itu lagi, Valuecap adalah mirip kepada agensi kerajaan memandangkan dua daripada pemegang sahamnya adalah merupakan agensi kerajaan.

malaysiakini/-

    Followers