
30 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
UNTUK  kesekian kalinya UMNO dan Barisan Nasional bercakap tentang perlunya  calon yang boleh menang diletakkan dalam PRU 13 yang bila-bila saja  sekarang.
Pengajaran  yang dialami UMNO/BN dalam PRU 12 Mac 2008 dulu banyak mempengaruhinya  membangkitkan isu calon yang  boleh menang itu.
Mungkin ia satu muslihat bagi memudahkan BN dan UMNO mengatasi perebutan calon sesama UMNO  dan sesama parti kerabat BN.
Apa  cara BN untuk menolak lebih ramai  calon MIC dalam pilihan raya akan  datang atau untuk mengenepikan tuntutan PPP supaya diberi tambahan calon  buat partinya?
Atau  ia juga boleh dijadikan satu muslihat bagaimana UMNO hendak mengambil  kerusi-kerusi yang diberikan kepada bukan UMNO di kawasan yang majoriti  Melayu.
Dengan  tektik ini memudahkan pimpinan UMNO meletakkan calon yang mereka  kehendaki. Mana-mana calon yang tidak dikendaki mudah diketapi atas  alasan bagi memastikan calon yang boleh menang saja yang dipilih.
Mana-mana  ketua UMNO Bahagian yang tidak terpilih dan mana wakil rakyat yang  tidak dicalonkan semula nanti logiknya mereka diragui boleh memenangi  pilihan raya itu.
UMNO  dan BN dengan sendirinya  terpaksa menerima keadaan itu kerana  masing-masing mahu memastikan Barisan bukan saja dapat mempertahankan  kerajaannya yang ada bahkan dapat merampas semula kerajaan yang hilang  dulu.
Isu ini bukan baru bagi UMNO tetapi sudah berbangkit menjelang Pilihyan Raya Kecil Hulu Selangor dua  tahun lalu.
Pemimpin  MIC ketika itu, Samy Vellu mempertahankan supaya Timbalan Presidennya,  Palanivel yang kalah di situ tahun 2008 dicalonkan semula. Tetapi  UMNO  Hulu Selangor yang mahukan kawasan itu diberi kepada UMNO memberikan   alasan Palanivel yang sudah kalah itu tidak boleh menang lalgi.
Komprominya  Palanival ditolak  tetapi kerusi itu dikekalkan untuk MIC dan  menggantikannya dengan  calon lain. Kamalnathan dipercayai boleh jadi  calon  boleh menang. Benar dia menang.
Ini  menguatkan hujah UMNO supaya  calon yang boleh menang  saja  yang  letakkan kali ini. Jika UMNO mahu memastikan ia menang semula, maka UMNO  mesti menerima teori itu.
Ini  juga bagi memudahkan BN menolak permintaan PPP mahu satu  calon di  Kelantan. Kalau UMNO pun payah menang di Kelantan, maka apa lagilah PPP  sekali pun  calonnya Melayu.
Apa juga  tektik UMNO untuk menghadapi pengikutnya, ia adalah masalahnya.
Tetapi  isu  calon boleh menang saja yang dipilih  adalah menandakan gelabah  parti itu untuk menghadapi pilihan raya masa akan datang. Ia menandakan  UMNO tidak lagi perkasa. Dulunya  UMNO itu adalah perkasa seperti besi  waja. Ia boleh letak siapa saja.
Di   zaman keagungan UMNO dulu, ia letak batu dan kayu sebagai  calon, ia  boleh menang. Dalam tahun 1959 di kampung saya di Sitawan. Perikatan  meletakkan seorang MCA yang tidak terkenal, cakap Melayu tidak boleh dan  cakap Inggeris pun tak boleh. Bagaimana dua hendak bercakap di Parlimen  atau DUN?
Dia bukan calon yang disenangi MCA. Tetapi UMNO mahu dia. Kerana UMNO memang kuat, tunggul pun menang.
Seperti  Nik Abdullah Arshad ADUN PAS di Kelantan yang ditahan di bawah  ISA  awal  tahun 1960. Dia bertanding dari khemah tahanan. Tukang kempen  membawa songkoknya di setiap ceramah. Hanya membagi tahu Nik Abdullah  tidak dapat datang kerana ditahan. Hanya songkoknya yang boleh  didatangkan. Dia menang.
Mengapa?  Partinya kuat. PAS bawa beberapa calon dari luar Kelantan. Ramai  pengundi tak kenal mereka. Tetapi kerana PAS kuat, sekalian mereka  menang.
Masa  itu sudah tidak ada pada UMNO. Tetapi PAS di Kelantan dipercayai dapat  mengekalkan calon dari luar. Mereka dipercayai masih boleh menang.
BN  dipercayai sukar menjadi calon MCA dan Gerakan yang boleh menang di  Kuala Lumpur, Ipoh  dan Pulau Pinang. Tiada sukarelawan MCA sedia ke  Pulau Pinang. MCA dan MIC lebih senang  dicalonkan di kawasan majoriti  Melayu. Dengan UMNO yang belum pulih sekarang adalah satu risiko  meletakkan MCA dan MIC bertanding di kawasan Melayu.
Kalau  UMNO tidak  dapat memastikan calon Melayu sendiri boleh menang di  kawasan majoriti Melayu, dalam  suasana perkaum begitu mendadak dalam  UMNO dan MCA, payah diduga MCA dan MIC boleh menang seperti dulu.
Inilah sebabnya UMNO memberi isyarat awal calon yang boleh menang  saja yang akan dipilih bertanding.
harakahdaily/-
