
30 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
KUALA  LUMPUR, 28 Okt: Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak  mengupah orang asing untuk menaikkan imejnya adalah membazir,
sia-sia dan tidak adil.
"Jika  benar Najib mengupah Alastair Campbell yang pernah menjadi ketua  komunikasi bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair untuk menaikkan
imejnya dan wang rakyat digunakan untuk tujuan itu, 
ia bukan sahaja membazir dan sia-sia, malah amat tidak adil menggunakan wang rakyat
untuk kepentingan peribadi dan partinya," kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.
Sarawak  Report sebelum ini melaporkan, Campbell kini menasihati Najib untuk  memastikan kemenangan Umno Barisan Nasional (BN) dalam pilihan
raya akan datang.
"Mana  pergi pakar-pakar tempatan yang hebat-hebat untuk menaikkan imej Najib  setelah imej Umno BN jatuh merudum terutama di kalangan pengundi bukan  Melayu?
"Kita difahamkan ada pakar dari stesen TV terkenal diambil untuk menaikkan imej imej Najib dan partinya. Adakah pakar itu gagal
menaikkan  imej Najib dan memperbaiki imej (isteri Najib, Datin Seri) Rosmah  (Mansor)?" Ahli Parlimen Kubang Kerian itu mempersoalkan.
Beliau  berkata, Najib tidak perlu mengkaji pergi jauh-jauh dan mengikis wang  negara mengupah konsultan luar untuk menyedari tahap
penerimaan rakyat terhadap beliau dan kerajaannya.
"Ambil  perhimpunan Bersih 2.0 dan Himpun (Himpunan Sejuta Umat) sebagai  contoh. Walaupun sebelum perhimpunan Bersih 2.0 media-media
pro-Umno  BN seperti kerasukan menghasut dan menakut-nakutkan orang ramai malah  dengan pelbagai sekatan dan tindakan ganas terhadap
perhimpunan aman itu, Kuala Lumpur tetap dibanjiri rakyat yang mahukan pilihan raya yang bersih dan adil.
"Malah  terdapat ramai penganalisis yang menyifatkan perhimpunan Bersih 2.0  yang mendapat liputan seluruh dunia itu sebagai kebangkitan rakyat
tanpa pemimpin," kata Salahuddin.
Sebaliknya,  kata beliau lagi, Himpun yang mendapat 'tacit approval' dari kerajaan  Najib dan disertai pula oleh histeria media-media
pro-Umno  BN menyokong dan mendorong orang ramai menyertainya serta ditambah pula  dengan sambutan mesra polis yang sebelum itu mengganasi Bersih 2.0,  hanya 10,000 orang sahaja yang hadir.
"Saya  ambil angka 10,000 orang yang disebut oleh akhbar pro-Umno BN sebagai  tanda simpati  walaupun terdapat banyak laporan yang lebih
dipercayai yang menyatakan bahawa kehadiran sebenar amat jauh lebih kecil dari itu," kata beliau.
Perbezaan  sambutan rakyat terhadap Bersih 2.0 dan Himpun merupakan bukti yang  sangat jelas tentang penerimaan mereka terhadap Umno BN,
kata beliau.
Malah,  kata Salahuddin lagi, tidak cukup dengan tamparan hebat rakyat melalui  perbezaan sambutan mereka terhadap Bersih 2.0 dan Himpun itu,
Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri mengakui imej Najib jatuh merudum akibat penangan Bersih 2.0.
"Tak  perlulah Najib membazir wang rakyat secara tidak adil untuk memulihkan  imejnya dengan mengambil konsultan asing seperti Campbell,
jika benar beliau berbuat demikian.
"Saya  bersetuju dengan pandangan yang menyatakan konsultan asing pun tak akan  mampu menukar sang kodok menjadi putera raja," katanya.
harakahdaily/-
  
