
26 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
PERMATANG  PAUH, : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cukai  barangan dan perkhidmatan (GST) akan tetap dibatalkan sekiranya Pakatan  Rakyat berjaya memerintah negara kerana ia membebankan rakyat.
Beliau  berkata demikian ketika berucap dalam majlis ramah mesra 'Sepetang  Bersama Masyarakat'  di Dewan Orang Ramai Batu 5, Permatang Janggus,  Permatang Pauh, kelmarin.
Menurut  beliau lagi, GST adalah satu bentuk paksaan yang dikenakan oleh  pemerintah kepada rakyat yang sedang menghadapi masalah bebanan dengan  kenaikan harga barangan.
"Sekiranya  cukai ini dikenakan kepada rakyat, ia bukan saja membebankan mereka,  tetapi menjadikan rakyat terpaksa tunduk kepada hasrat kerajaan untuk  menekan dan menzalimi secara hormat.
"Oleh  itu, seandainya PR berjaya memenangi kerusi pilihan raya umum yang akan  datang, kita berjanji akan membatalkan GST yang tidak memberi manfaat  kepada rakyat, khususnya golongan yang berpendapatan rendah," ujarnya  yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh.
Anwar  yang juga merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh, turut menyelar  kepimpinan Datuk Seri Najib kerana mempermainkan rakyat apabila  menangguhkan GST sehingga selepas pilihan raya yang akan datang.
Katanya,  apabila cukai yang hendak dikenakan ditangguhkan sebelum pilihan raya,  adalah tidak mustahil ianya akan dilaksanakan selepas ini.
"Ini  membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ada tidak prihatin  terhadap keperluan rakyat, sebaliknya memberi prioriti terhadap  keperluan mereka bagi memeras dan mencekik darah rakyat," tambahnya  lagi.
Dalam  pada itu, beliau juga membidas BN yang cuba mempolitikkan isu berkaitan  pelajar sekolah yang didakwa terlibat dalam kes serangan seksual  dikaitkan dengan anak Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
Jelasnya  lagi, cara politik yang dimainkan bukan saja mempamerkan kedangkalan  modal oleh BN, sebaliknya memperlihatkan bahawa parti tersebut  senantiasa menjadikan kelucahan sebagai modal politik terdesak.
"Adalah  sesuatu yang merbahaya sekiranya, BN terus diberi mandat untuk  menerajui kepimpinan dalam negara apabila mereka tidak dapat  menjustifikasikan mana yang baik dan mana yang buruk untuk  dipolitikkan," tambahnya lagi.
harakahdaily/-
