
13 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
Dakwaan  dan cubaan untuk menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai  menteri besar Selangor adalah cara Umno bagi mengekang lonjakan  populariti pemimpin itu yang mutakhir ini begitu memberangsangkan,
Faekah  berkata usaha itu bertujuan menjejaskan populariti dan kredibiliti  Khalid yang kini mengatasi pimpinan Umno mahupun pemimpin Pakatan Rakyat  yang lain.
“Blog  (AntaraPos.com) yang diterajui bekas Pengurus Besar CCSB (anak syarikat  kerajaan negeri) yang ditamatkan kontrak Jun lalu digunakan untuk  melaksanakan perbuatan hina ini.
“Dari  maklumat yang kita terima laman web tunggangan Umno ini juga ditubuhkan  khas untuk mempertahankan Datuk Seri Najib (Razak) yang kini dikatakan  mendapat tentangan terang-terangan dari timbalannya Tan Sri Muhyidin  (Yassin),” kata Faekah dalam kenyataannya malam ini.
CCSB adalah syarikat yang mengendalikan TVSelangor dan buletin negeri Selangorkini yang diterbitkan setiap bulan.
Faekah mengulas dakwaan yang dibuat dalam blog itu berhubung beberapa wakil rakyat PKR yang mahu Khalid dipecat.
Faekah  bagaimanapun mengakui terdapat sesetengah pemimpin dalam Pakatan yang  tidak biasa dengan cara Khalid mentadbir negeri seperti mengurus  syarikat korporat.
“Golongan  ini sangat kecil jumlahnya namun bersuara agak lantang mungkin kerana  kedudukan mereka dalam parti dan mungkin juga di dalam masyarakat,”  katanya.
Menurut  beliau, rakyat mahukan pentadbiran yang berlandaskan ketelusan,  kebertanggungjawab, bebas rasuah dan adil yang tidak pernah dipraktikkan  BN sepanjang memerintah Selangor.
Pemimpin baik
Faekah juga berkata beliau ada mendengar mengenai memorandum yang disebarkan dengan tujuan mengugat kedudukan Khalid.
Katanya,  sebagai setiausaha poltik, sudah pasti beliau akan mempertahankan  kedudukan menteri besar jika Khalid diserang oleh mana-mana pihak tak  kira lawan mahupun kawan.
Beliau juga menyifatkan Khalid sebagai seorang pemimpin yang baik, bersih, telus serta komited terhadap kehendak rakyat.
Menurut  Faekah, dakwaan bahawa program yang dilaksanakan kerajaan Selangor  sebagai remeh dan hanya untuk populariti Khalid adalah tindakan  terdesak.
“Kita  telah membelanjakan lebih RM500 juta untuk program Merakyatkan Ekonomi  Selangor dan setakat Ogos 2011 seramai 1,181,109 rakyat Selangor telah  menikmati hasil program-program yang kita laksanakan.
“Bantuan-bantuan  ini diturunkan ke pejabat DUN untuk memastikan wakil rakyat dapat  berhubung terus dengan pengundi di kawasan mereka,” katanya.
Justeru,  menurut Faekah, wakil rakyat juga meraih populariti dari program  kerajaan kecualilah bagi wakil rakyat yang ‘segan’ dan ‘banyak mengelat’  dari turun padang bagi menyelesaikan masalah rakyat.
Selain  itu, katanya, dalam tempoh kurang lima tahun, menteri besar telah  menambah simpanan rezab kepada RM1.1 bilion malah Perbadanan Kemajuan  Pertanian Selangor (PKPS) yang menanggung kerugian sejak ditubuhkan,  buat pertama kali dalam sejarah, mencatatkan keuntungan RM11 juta.
“Jika  tiada pemimpin yang berpegang kuat pada prinsip, masih mengamalkan gaya  politik Umno, amalan kronisme, kerajaan Pakatan Selangor tidak mampu  mencapai kejayaan ini,” katanya lagi.
selatan online/- 
