
19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
Najib  Razak menyindir Belanjawan Pakatan Rakyat sebagai bajet yang  "menjanjikan bulan dan bintang" yang bunyinya sama seperti ejekan  budak-budak sekolah yang masih berhingus.
Mungkin,  ia bukanlah sesuatu terjangkau oleh fikiran mereka di pihak Barisan  Nasional kerana Pakatan Rakyat bukan sekadar menjanjikan urus tadbir  ekonomi yang baik malah menawarkan pentadbiran yang berintegriti dan  telus seperti mana terbukti di negeri-negeri di bawah pentadbiran  Pakatan Rakyat.
Bukti-bukti kejujuran Pakatan
Sebagai  contoh, kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang tidak  berasaskan perkauman dan politik kronisme berjaya mencatatkan lebihan  bajet untuk tiga tahun berturut-turut sejak 2008 melalui urus tadbir  cekap, akauntabel dan telus (CAT).
Kejayaan  ini yang disahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara juga mendapat pujian  Tranparency International di Malaysia kerana berjaya memerangi rasuah.
Pentadbiran  yang bersih itu telah menghasilkan "dividen anti-rasuah" yang  dikumpulkan bagi mengadakan program untuk membantu warga emas, orang  kurang upaya dan banyak lagi yang mana kebanyakan penerimanya adalah  kalangan orang Melayu dan umat Islam negeri.
Kerajaan  Pakatan Selangor pula mengadakan banyak program membantu warga emas dan  golongan miskin serta menghidupkan kembali projek perumahan rakyat yang  terbengkalai sewaktu pemerintahan BN dahulu.
Yang  terbaru, statistik Malaysia Industrial Development Authority (MIDA)  mengenai pelaburan di Malaysia bagi separuh penggal tahun ini  menunjukkan Selangor sebagai negeri paling banyak mempunyai projek yang  diluluskan.
Sebanyak  158 projek perindustrian yang diluluskan di Selangor dan ini merupakan  31% daripada jumlah projek bagi seluruh Malaysia, menurut Exco Kanan  Kerajaan Negeri Selangor bagi Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan,  Teresa Kok.
Kerajaan  negeri Pakatan Kedah yang juga bebas rasuah telah berjaya  mengamalkannya melalui cara kepimpinan melalui teladan di mana pimpinan  negeri tidak menggunakan jet kerajaan, tidak tinggal di hotel mewah,  malah membuat potongan gaji dan elaun yang dapat menjimatkan pentadbiran  daripada pembaziran.
Begitu  juga kerajaan negeri Pakatan Kelantan yang telah sekian lama diterima  oleh anak negeri kerana cara hidup sederhana dan anti-rasuah yang  diamalkan sejak lebih 20 tahun lalu.
Ini bererti Pakatan Rakyat mampu mentadbir negeri dengan baik, telus dan serius menangani masalah rakyat.
Memang  benar Pakatan menawarkan pemberian tunai dan pelbagai program kebajikan  kepada rakyat sebagaimana yang ditiru oleh BN tetapi ada satu perbezaan  besar yang tidak ditawarkan oleh BN - pentadbiran yang adil, bersih,  telus dan anti-rasuah.
Melihat  Bajet BN 2012, ternyata bajet yang dibentangkan oleh Najib baru-baru  ini bukan sekadar bajet pilihan raya tetapi memperlihatkan ketandusan  idea pentadbiran BN, malah sebahagian daripadanya dicedok dari idea  Belanjawan Pakatan Rakyat sendiri.
BN gagal angkat martabat insan
BN  terdesak sehingga terpaksa mengulangi berapa banyak subsidi yang telah  diberikan kerajaan kepada rakyat sedangkan perkara ini telah pun kita  ketahui.
Malah,  lebih memalukan apabila BN yang sebelum ini bermati-matian mengatakan  subsidi akan menjadikan negara bankrap terpaksa menelan ludah sendiri  apabila terpaksa mengekalkannya.
Sudah  tentu ia bukan kerana BN sayangkan rakyat tetapi semata-mata mahu  memancing undi dalam pilihan raya umum akan datang.  Jika tidak, mengapa  perlu lidah bercabang?  Bukanlah Pakatan Rakyat lebih konsisten dalam  membuat tawaran ikhlas kepada rakyat?
Rakyat  berhak mendapat subsidi yang lebih banyak dari sekarang memandangkan  Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan pelbagai sumber  ekonomi.  Jika kerajaan BN kesempitan wang, ia adalah berpunca daripada  pentadbirannya yang penuh dengan ketirisan, kebocoran dan tidak telus.
Ini  menunjukkan bahawa BN gagal menangani masalah ekonomi dengan baik  apatah lagi bergelut dengan pelbagai isu ketirisan wang negara yang  parah.
Kalangan rakyat yang tinggal di bandar terutamanya telah lama dihimpit masalah ekonomi yang kian mendesak.
Apa yang Najib lakukan untuk membela nasib golongan ini?  Menurunkan cukai, mengurangkan harga petrol?  Jauh sama sekali.
Malah,  diskaun tambang LRT dan monorel yang amat diperlukan oleh pelajar,  pekerja awam serta kakitangan swasta tidak dipedulikan; sebaliknya mahu  diberikan kepada warga emas yang amat jarang menggunakan perkhidmatan  pengangkutan itu.
Apakah  pengecualian yuran sekolah yang sememangnya hanya beberapa ringgit itu  sudah cukup untuk memperbaiki status ekonomi rakyat?
Apakah  pemberian bonus untuk kakitangan awam sahaja mampu menyelesaikan  masalah kemiskinan rakyat terbanyak?  Sedangkan jumlah pekerja yang  ramai adalah dari sektor swasta.  Jadi di mana pelaksanaan gaji minima  untuk mereka?
Mengapa  pula Akta Pekerjaan mahu dipinda untuk member lebih kuasa kepada  majikan?  Siapa sebenarnya yang dibela oleh kerajaan BN?
Najib  dan BN bukan sahaja gagal menangani masalah ekonomi rakyat malah gagal  mengangkat martabat insan untuk mendapat keadilan dan kesaksamaan yang  sewajarnya.
Apakah  kita sebagai rakyat wajar mendapat layanan sebegini dari sebuah  kerajaan yang telah diberikan amanah?  Dan sampai bilakah kita harus  membiarkan negara ini ditadbir oleh orang-orang yang gagal?
*Tulisan ini dipetik dari Roketkini.
