
30 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
Hudud: Hasrat PAS akan wujudkan dua sistem tak adil, dakwa Mahathir
KUALA  LUMPUR, 27 Okt — Tun Dr Mahathir Mohamad terus menyerang hasrat PAS  memperkenalkan hukum hudud dengan hari ini menegaskan, perundangan Islam  itu akan membawa kepada sistem keadilan yang berat sebelah kepada  masyarakat Muslim dan bukan Muslim.
“Mereka  mengatakan bahawa hudud hanya bagi Muslim. Jadi, jika ada kecurian  melibatkan seorang rakan Cina, mereka akan memotong tangan tetapi rakan  Cina atau rakan India, mereka (hanya) akan dapat hukuman penjara dua  bulan.
“Jadi,  bagi PAS itu keadilan. Sudah pasti, jika anda melakukan (kesalahan)  lain, mereka akan memotong kepala anda,” kata beliau kepada pemberita  selepas menghadiri majlis jamuan teh anjuran Perodua di sini hari ini. 
Laporan  media semalam menyebut kerajaan Kelantan terus meletakkan harapan mahu  mencapai hasrat dua dekad melaksanakan hukum hudud mahu bertemu dengan  Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan perkara tersebut sebaik sahaja  segala pendekatan berkaitan selesai diadakan.
Isnin lalu, pentadbiran Nik Aziz mengumumkan pembentukan jawatankuasa teknikal berhubung pelaksanaan hukum hudud.
Pengerusi  Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Kelantan,  Datuk Mohd Amar Abdullah berkata pihaknya sudah pun menghantar surat  kepada Najib berhubung cadangan mengadakan pertemuan dengan kerajaan  persekutuan.
Mohd Amar berkata pertemuan rasmi dengan Najib belum ada lagi dan ia akan dilakukan apabila semuanya sudah sedia.
Bulan  lalu, Dr Mahathir berkata Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz  Nik Mat boleh mengadakan pertemuan dengan Najib jika masih berhasrat  meneruskan usaha melaksanakan hukum hudud.
Dalam  satu surat kepada Nik Aziz pada 1994, Dr Mahathir menolak rancangan  Kelantan atas alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Kelantan terus mendakwa hukum hudud gagal dilaksanakan ekoran pendirian dan sekatan kerajaan pusat.
Polemik  bermusim ini muncul semula akhir bulan lalu dengan wujud pelbagai  pandangan iaitu Kelantan boleh melaksanakannya dan pada masa yang sama  ia juga bercanggah dengan undang-undang pusat. -TMI
