
26 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
TEMERLOH,  24 Okt: Dewan Pemuda PAS Pahang (DPPNP) membantah konsert Greatest Hits  Tour melibatkan penyanyi gay Elton John di Arena of Stars, Genting  Highlands pada 22 November depan kerana dianggap tidak sesuai dengan  budaya negara ini.
Ketuanya,  Shahril Azman Abdul Halim Al-Hafiz, berkata walaupun mungkin penyanyi  yang berkahwin sesama lelaki itu datang sekadar menghiburkan peminatnya,  tetapi bimbang ikon muzik dunia itu akan menjadi ikutan negatif kepada  generasi muda.
Sebuah  akhbar harian semalam melaporkan Elton, 64, “top 10 artis paling  terlaris dalam sejarah muzik” bakal mengadakan konsert sulungnya di  Malaysia November ini bertempat di Genting Highlands.
“Pihak  berkuasa kena sedar bahawa budaya hedonisme atau berhibur secara  berlebihan dan melampau kian menular, merebak umpama racun berbisa yang  semakin menyerang remaja Islam. 
“Sedangkan  budaya inilah yang lazimnya membawa kepada kerosakan sebuah masyarakat  seperti pergaulan bebas, gejala arak, berzina, anak luar nikah dan  melekakan mereka terhadap tanggungjawab beragama selama ini.
“Ini  ditambah lagi dengan kemunculan pengamal seks sejenis. DPPNP tidak  dapat bayangkan bagaimana penerimaan golongan muda apabila pihak  berkuasa tidak menyekatnya dari awal,” katanya dalam satu kenyataan, di  sini.
Tambahnya  lagi, sedangkan akta yang digubal oleh jabatan agama peringkat negeri  seperti kesalahan orang Islam memasuki premis judi nombor ekor dan  meminum arak di khalayak awam pun gagal ditangani pada masa ini.
“DPPNP  memandang setiap perkara yang boleh membawa kemudaratan mestilah  disekat lebih awal dengan kuasa yang ada demi kemaslahatan umum dan ini  tidak boleh dianggap sebagai tindakan yang menyekat hiburan.
“Oleh  itu sama ada Jabatan Agama Islam Pahang, Kerajaan Negeri Pahang, Majlis  Daerah Bentong dan mana-mana pihak berkuasa, hendaklah menggembeleng  tenaga supaya mencegah kemungkaran ini kerana gejala sosial dan  kebejatan moral yang ada pada hari ini pun tidak mampu lagi ditanggung.”
“Jadi  pihak penganjur tidak boleh berbangga dengan aktiviti yang mungkin  dianggap membawa keuntungan tetapi sebaliknya merosakkan institusi  mayarakat dalam jangka panjang,” menurut kenyataan tersebut.
Elton  yang terkenal dengan lagu hits seperti Candle In The Wind, Rocket Man,  Levon dan Your Son" telah mendirikan rumah tangga dengan rakan  homeseksualnya David Furnish pada 21 Disember 2005, selepas kerajaan  Britain membenarkan perkahwinan sejenis. 
Anak mereka, Zachary Jackson Levon John, dilahirkan melalui ibu tumpang pada 25 Disember 2010 di California.
harakahdaily/-
