
13 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
ASHRAF menunjukkan resit bayaran minuman dan makanan yang didakwa mahal di Bukit Tunku, Kuala Lumpur semalam.
KUALA  LUMPUR – Seorang pelanggan di sebuah restoran di Bukit Tunku di sini  terkejut apabila dia mendakwa dikenakan bayaran sebanyak RM17.50 untuk  segelas teh o ais dan sepinggan nasi berlaukkan ayam goreng, kerabu  pucuk paku dan tempe masak sambal.
Menurut pelanggan itu yang cuma ingin dikenali sebagai Ashraf, dia singgah ke restoran tersebut untuk makan tengah hari semalam.
 “Saya  pertama kali pergi ke kedai makanan itu dan pada saya ia hanya kedai  biasa sahaja cuma bahagian dalam mempunyai ruang khusus untuk pendingin  hawa.
“Selepas  ambil makanan, saya makan di bahagian luar restoran ini. Kemudian  semasa saya ingin membayar makanan, saya diberitahu kena bayar RM4 untuk  segelas teh o ais dan RM13.50 untuk makanan,” katanya ketika ditemui  Kosmo! semalam.
Ashraf  yang merupakan seorang eksekutif di sebuah syarikat pengurusan bangunan  memberitahu, restoran itu tidak kelihatan seperti sebuah restoran  bertaraf lima bintang atau terdapat di hotel.
“Walaupun  saya pernah makan di tempat-tempat yang eksklusif dan membayar pada  harga yang tinggi untuk perkhidmatan yang disediakan tetapi saya tidak  rasa restoran ini bertaraf eksklusif dan pada pandangan saya biasa  sahaja dan tiada yang istimewa,” ujarnya.
Harga  segelas teh o ais di kebanyakan restoran ialah RM1 hingga RM1.70  manakala sepinggan nasi ayam goreng, kerabu pucuk paku dan tempe masak  sambal pula RM5 hingga RM8.
Kosmo/-
