
19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
SEGAMAT,  17 Okt: Rumah Yang Dipertua PAS Segamat, Firdaus Masood, telah dilontar  cat merah dipercayai dilakukan pihak-pihak yang begitu marah setelah  merasakan pengaruh mereka tergugat dan tercabar berikutan kehadiran dua  tokoh Pakatan Rakyat, baru-baru ini.
Kehadiran  Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pada 10 Oktober dan diikuti dengan  Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, dua hari kemudian (12 Oktober),  benar-benar telah menimbulkan kemarahan pihak-pihak terbabit sehingga  bertindak di luar batas moral.
Terdahulu  dari itu Firdaus turut mendakwa menerima ugutan melalui telefon  termasuk membakar pejabatnya jika meneruskan hasrat untuk mengadakan  ceramah oleh Mohamad Sabu pada 10 Oktober lalu.
Firdaus  ketika ditemui di rumahnya kelmarin memberitahu, beliau tidak akan  lemah semangat dengan ugutan-ugutan itu sebaliknya akan meneruskan  perjuangan untuk menjatuhkan Umno BN Pilihan Raya Umum (PRU) akan  datang.
“Ugutan  dan simbahan cat ini adalah petanda bahawa Umno BN memang dalam keadaan  yang sangat terdesak sekarang ini, sebab itu mereka cuba menghalang  pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mendedahkan segala kepincangan mereka  selama ini.
“Mereka cuba menghalang program ceramah kita kerana menyedari Segamat adalah kawasan hitam bagi mereka” katanya.
Firdaus  yang juga pengamal undang-undang seterusnya menyifatkan, tindakan itu  merupakan permulaan kepada cabaran-cabaran yang mungkin lebih besar lagi  selepas ini, namun terus bertekad untuk meneruskan perjuangan.
“Perjuangan  ini akan tetap diteruskan bahkan insiden yang berlaku ini akan  menambahkan lagi semangat juang setiap pendukung PAS dan Pakatan Rakyat  khususnya di Segamat ini,” ujarnya.
Ekoran insiden itu, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Segamat, kira-kira jam 1.00 petang kelmarin.
Pada  satu majlis di Labis, 7 Oktober lalu, seorang petugas Jabatan Amal  Johor, Shahril Sulaiman, tercedera dan menerima tujuh jahitan setelah  dilontar dengan objek keras ketika cuba menghalang kira-kira 50  penunggang motorsikal yang cuba membuat bising untuk mengganggu majlis  tersebut.
Sementara  itu cubaan untuk mengganggu ceramah Mohamad Sabu di Kampung Tahang  Rimau Segamat pada 10 Oktober lalu berjaya digagalkan, kehadiran ratusan  petugas Jabatan Amal dan Angkatan Muda Keadilan yang mengawal lalu  lintas menyebabkan taktik sama yang cuba dilakukan kumpulan penunggang  motosikal untuk membuat bising bagi mengganggu ceramah, tidak menjadi.
harakahdaily/-
