
7 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
KUALA
 LUMPUR, 5 Okt: Majlis Fatwa Kebangsaan digesa mengambil tindakan segera
 membendung pihak-pihak tertentu khususnya kenyataan pemimpin yang 
beragama Islam yang telah memberikan tafsiran tentang undang-undang 
hudud mengikut selera pemahaman masing-masing tanpa merujuk kepada 
ulama-ulama yang muktabar.
Demikian
 ditegaskan Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Nazmi Nik Din 
ketika mengulas keberanian pihak-pihak tertentu yang mengulas berkenaan 
hudud tanpa suluhan ilmu dan nasihat daripada para ulama Islam yang 
muktabar.
“Apa
 yang kita bimbangkan sekarang ialah keberanian pihak-pihak tertentu 
khususnya yang beragama Islam memberikan tafsiran yang tidak tepat 
berkenaan hudud, akhirnya orang-orang bukan Islam keliru dengan hukum 
hudud ini, ”kata beliau.
Beliau
 merujuk laporan Bernama yang menyatakan bahawa MCA menolak hukuman 
hudud kerana ianya bercanggah dengan kebebasan beragama dan hak asasi 
individu.
“Kita
 memahami mengapa orang bukan Islam menolak hudud bahkan penolakan 
mereka sebahagiannya mungkin berkaitan isu-isu teknikal seperti 
pertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, 
tetapi
 apa yang kita bimbang ialah ulasan dan pandangan yang diberikan oleh 
pemimpin yang beragama Islam itu sendiri, tanpa panduan yang jelas 
daripada ulamak yang muktabar, ianya dibimbangi akan memberikan kesan 
perspektif yang negatif di kalangan bukan Islam,” tambah beliau lagi.
Katanya,
 Majlis Fatwa Kebangsaan sebagai satu institusi yang disanjung oleh umat
 Islam di Malaysia hendaklah mengeluarkan satu kenyataan untuk 
memberikan penjelasan berkenaan dengan undang-undang hudud.
“Diharap
 dengan penjelasan ini akan memberikan ingatan kepada pihak-pihak 
tertentu agar berhati-hati sebelum memberikan sebarang ulasan berkenaan 
isu agama kecuali setelah mendapat bimbingan dan panduan daripada ulamak
 yang muktabar,” ujar beliau lagi.
harakahdaily/- 
