
7 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
BN
 Perak menganggap tiada kawasan mengundi yang boleh dilabelkan 'hitam' 
iaitu yang tidak boleh dimenanginya dalam pilihan raya umum akan datang.
Menteri
 Besar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir yang juga pengerusi BN Perak 
berkata sama ada 'hitam' atau 'putih' sesebuah kawasan Dewan Undangan 
Negeri (DUN) atau Parlimen bergantung kepada strategi parti di samping 
usaha dan kerja keras setiap anggota untuk aktiviti masyarakat di situ.
"Sukar
 katakan kawasan tertentu sebagai 'hitam' sebab ini adalah politik. 
Kadangkala kawasan yang dianggap 'putih' (peluang cerah untuk menang) 
boleh bertukar 'hitam' kerana politik adalah sesuatu yang dinamik," 
katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Hari Bertemu Pelanggan di 
Ipoh, semalam.
Beliau
 memberi contoh, dahulu ada yang menjangka BN tidak boleh menang kerusi 
Parlimen Ipoh Timur sedangkan BN pernah memenanginya, begitu juga bagi 
kerusi Parlimen Ipoh Barat.
Zambry
 berkata beliau enggan mempercayai pandangan wujudnya kawasan 'tertutup'
 kepada BN sehingga mustahil untuk parti itu memenanginya.
Beliau
 berkata semua komponen BN umpamanya MCA boleh meraih kembali mendapat 
sokongan di kawasan tradisi yang ditandingi termasuk kawasan yang 
berpotensi untuk menang berdasarkan aktiviti yang dilaksanakan di situ.
Katanya
 MCA di bawah presidennya sekarang, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, adalah 
parti yang paling aktif menjalankan pelbagai aktiviti dan usaha seperti 
itu berupaya mengembalikan kepercayaan rakyat serta menggambarkan tahap 
penerimaan rakyat terhadap parti itu.
Zambry
 juga berkata pada prinsipnya persetujuan mengenai cadangan pertukaran 
kerusi antara parti komponen BN telah selesai tetapi penilaian masih 
diteruskan dari semasa ke sesama.
Mengenai
 dakwaan ADUN Pasir Panjang Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin 
daripada PAS dalam sebuah akhbar semalam bahawa budaya mencantas dan 
masalah perebutan kerusi hanya berlaku dalam Umno, Zambry menyifatkan 
kenyataan itu sebagai 'merapu'.
"Cakap
 merapu, saya tahu mereka (Pakatan Rakyat) di Perak sedang 'berperang' 
teruk, masing-masing nak berebut kerusi, cuma orang itu (Mohammad Nizar)
 kata mereka tiada masalah," katanya.
- Bernama
